Tuesday, February 8, 2022

11 NGO TUNTUT 4 PERKARA DALAM KEMPEN 'MALAYSIA SEJAHTERA TANPA ARAK' - ISMAWEB - 05/02/2022

 

BANGI, 3 Rejab 1443H, Sabtu – Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bergabung membuat empat tuntutan menerusi kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ bagi menghentikan penjualan minuman keras secara berleluasa di negara ini.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, empat tuntutan itu adalah meminta kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program-program menghidangkan minuman itu secara terbuka dan umum.

“Gabungan juga menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasakan dan memperkemaskan undang-undang berkaitan arak serta memperketatkan lagi syarat-syarat membeli dan menjual arak.

“Selain itu, menuntut PBT agar tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti muslim.

“Gabungan juga menuntut pihak berkuasa membuat pemeriksaan dan pemantauan yang lebih ketat dan lebih kerap ke atas pemandu-pemandu terutama waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan ‘Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ yang dianjurkan oleh ISMA, di sini hari ini.

Antara strategi kempen berkenaan termasuk melancarkan petisyen dengan menyasarkan sejuta tandatangan melalui talian dan juga secara fizikal dalam membantah penjualan arak secara berleluasa.

Petisyen tersebut akan mula dilancarkan pada hari ini sehingga 5 Mac.

“Mengikut statistik pada 2017 sebanyak 212 kemalangan berkait dengan pengambilan arak dan daripada jumlah sebanyak 58 kematian dilaporkan.

“Manakala 2018 pula, sebanyak 191 kemalangan dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 54 kematian berpunca pengambilan alkohol yang bebas.

“Ini adalah rekod yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi banyak lagi kes seperti pergaduhan, perceraian, keganasan rumah tangga, penderaan yang berpunca daripada pengambilan arak namun tidak dimasukkan secara rasmi oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan arak,” katanya.

Antara 11 NGO yang terlibat adalah Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Allieance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Turut terlibat Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) serta Pemuda BERJASA.


Artikel oleh: Ismaweb

11 NGO TUNTUT 4 PERKARA DALAM KEMPEN 'MALAYSIA SEJAHTERA TANPA ARAK'

https://ismaweb.net/2022/02/05/11-ngo1-tuntut-4-perkara-dalam-kempen-malaysia-sejahtera-tanpa-arak/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...