Wednesday, February 2, 2022

TIADA KENAIKAN TARIF ELEKTRIK: PENGGUNA DOMESTIK LEGA - BERNAMA - 29/01/2022

 

KUALA LUMPUR, 29 Jan — Keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung hingga 31 Dis 2024 seperti diumumkan Suruhanjaya Tenaga semalam sememangnya melegakan lebih sembilan juta pengguna kategori itu.

Banyak pihak termasuk pengguna domestik sendiri memberi reaksi positif terhadap keputusan kerajaan kerana langkah itu tentunya akan meringankan beban mereka yang masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di akaun Twitternya juga dilaporkan berkata subsidi elektrik sebanyak lebih RM700 juta akan diteruskan agar pengguna domestik tidak terkesan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata keputusan kerajaan itu adalah wajar dan akan memberi impak positif kepada masyarakat secara menyeluruh.

"Memang bagus kerana rakyat sekarang berdepan detik sukar. Kalau (tarif) dinaikkan juga memang akan huru-hara keadaan rakyat nanti kerana sudah pasti kos bagi sesetengah perkhidmatan dan barangan juga akan turut meningkat.

"Alhamdulillah, ini sememangnya akan membantu bukan sahaja kepada pemain industri dan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) bahkan membantu kesemua pengguna. Ini memberi petanda yang sangat baik dan harapan kepada semua pihak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Nadzim turut berharap kerajaan dapat mewujudkan satu saluran di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memudahkan rakyat membuat aduan secara terus mengenai sebarang permasalahan yang mereka hadapi.

Beliau berkata data yang diperoleh melalui aduan terus daripada rakyat itu amat penting bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terjamin.

"Kita mahukan aduan itu sampai kepada kerajaan dan JPM sendiri yang akan menyelesaikan isu itu sekali gus suara rakyat didengari. Ini sedikit sebanyak membantu pelbagai pihak yang terjejas kerana terdapat aduan yang dikemukakan oleh agensi (swasta) tetapi tidak mendapat perhatian," katanya yang menzahirkan penghargaan kepada perdana menteri atas keprihatinannya kepada rakyat.

Pengusaha Nasi Lemak Janda Cheras Norizan Mohammad Yusof, 58, berkata beliau gembira mengenai berita pengekalan tarif elektrik kerana membolehkannya menjalankan perniagaan seperti biasa.

Saya berpuas hati kerana perniagaan saya perlu menggunakan perkakas dapur (perkakas elektrik di rumah) untuk menyiapkan bahan masakan. Jadi, ini tidak menjejaskan perbelanjaan harian memandangkan kami hanya berniaga secara kecil-kecilan sahaja," katanya.


Artikel oleh: Bernama

TIADA KENAIKAN TARIF ELEKTRIK: PENGGUNA DOMESTIK LEGA

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2047883

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...