Wednesday, February 16, 2022

SKHKM: LIHAT SEKTOR LAIN JUGA UNTUK STABILKAN HARGA BARANG - UTUSAN MALAYSIA - 11/02/2022

 

PETALING JAYA: Kerajaan mengambil langkah tepat memberikan subsidi harga ayam dan telur kepada penternak kerana inisiatif berkenaan dapat menstabilkan harga barang keperluan itu di pasaran ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pihaknya mengalu-alukan dan berterima kasih kepada kerajaan kerana peka dengan keadaan semasa.

“Langkah ini menunjukkan kerajaan memberikan respon terhadap isu kenaikan harga dan saya juga berharap kerajaan dapat melihat juga kepada sektor-sektor lain bagi menstabilkan harga barangan di pasaran.

“Saya percaya kerajaan telah melakukan siasatan yang terperinci sebelum mengambil sebarang keputusan, ia pastinya mencermin kepada kerugian dalam ekosistem yang terlibat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Kabinet bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) membabitkan peruntukan sebanyak RM528.52 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata, penternak akan menerima subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat serta 5 sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Menurut Jacob, beliau juga percaya keputusan kerajaan memperkenalkan subsidi itu bukan bermotifkan politik dan berharap subsidi juga dapat diperkenalkan kepada barangan lain untuk menjamin sumber makanan negara dan pengguna amnya.

“CASSA telah turun padang dan mendengar pelbagai rintihan daripada pengguna dan juga pembekal makanan itu sendiri. Ketika ini, banyak tekanan daripada pelbagai aspek, jadi, semua perlu dibantu untuk meneruskan kelangsungan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif kerajaan itu amat bagus buat masa ini untuk menampung beban pengguna yang berdepan kenaikan kos sara hidup.

“Untuk jangka pendek perkara itu bagus menstabilkan harga barang kerana dapat membantu pengguna. Tetapi, selepas ini saya harap kerajaan dapat mencari alternatif lain kerana langkah berkenaan turut memberikan kesan dan menyebabkan kerajaan membelanjakan ratusan juta.

“Kita siasat, cari punca kenapa kenaikan itu berlaku dan di peringkat mana yang ambil kesempatan. Kenaikan harga juga memberi tekanan kepada ekonomi negara sekarang seolah-olah seperti ada agenda tertentu,” katanya. 

Artikel oleh: Utusan Malaysia

SKHKM: LIHAT SEKTOR LAIN JUGA UNTUK STABILKAN HARGA BARANG

https://www.utusan.com.my/berita/2022/02/skhkm-lihat-sektor-lain-juga-untuk-stabilkan-harga-barang/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...