Kota Bharu: Tiada lagi kelonggaran, sebaliknya orang ramai yang masih gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu (LLM) sehingga 30 September ini akan dikenakan tindakan tegas termasuk saman.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, penguatkuasaan akan bermula 1 Oktober, dengan tindakan bakal diambil mengikut Seksyen 26 (1) dan 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Selepas tiga kali diberikan lanjutan (penangguhan membaharui lesen), kerajaan melihat sudah tiba masanya aspek pematuhan dikuatkuasakan semula dengan tiada kelonggaran lagi yang akan diberikan.
"Tidak kira apa kenderaan yang dimiliki, pemandu harus ada dokumen penting yang sah," katanya yang ditemui di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, hari ini.
Beliau menghadiri Program JPJ Prihatin bagi agihan 150 bakul makanan kepada pengusaha kenderaan perdagangan yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf.
Zailani berkata, bagi melancarkan urusan pembaharuan lesen dan pembayaran, pihaknya bekerjasama sama dengan Pos Malaysia untuk transaksi itu mulai esok, selain membuka kiosk.
Katanya, kaunter pejabat pos akan dibuka pada hujung minggu namun, pengguna perlu membuat janji temu terlebih dahulu.
"Kita harapkan tidak wujud kluster pos kerana banyak platform disediakan dan jika ada yang datang secara terus sekalipun, mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.
Terdahulu, sumbangan bakul makanan turut mendapat kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Artikel oleh: Harian Metro
SAMAN JIKA GAGAL PERBAHARUI LESEN SELEPAS 30 SEPTEMBER [METRO TV]
No comments:
Post a Comment