KUALA LUMPUR: Mana-mana pemandu teksi yang seharusnya mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dinasihat agar kekal mencarum demi perlindungan mereka dan keluarga.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, skim itu akan membantu mana-mana pemandu teksi untuk menerima faedah Hilang Upaya Sementara di bawah SKSPS.
"Saya difahamkan seramai enam pemandu teksi di Perlis yang didapati positif COVID-19 akibat jangkitan daripada penumpang.
"Mereka bakal menerima faedah Hilang Upaya Sementara di bawah SKSPS, kerana itu penting untuk memastikan setiap pemandu teksi mencarum di bawah skim ini.
"Inisiatif ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di mana sebahagian sumbangan merupakan wakalah yang dikembalikan kepada Perkeso hasil Potongan Zakat Berjadual (PZB) anggota setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohammed Azman berkata demikian ketika mengulas program agihan Infaq Rezeki Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mengadakan misi Agihan Infaq Rezeki Jelajah Utara Prihatin bermula 27 sehingga 30 Ogos.
Misi itu melibatkan agihan sumbangan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Pinang, Jeti Pulau Langkawi, Kompleks Terminal Bas dan Teksi Kangar Perlis dan Terminal Bas Shahab Perdana, Kedah.
Sementara itu, Ketua Cawangan Sumber Manusia Perkeso, Mohd Razmi Khalid berkata, bantuan yang diberikan adalah barangan asas keperluan dapur yang diagihkan kepada pemandu teksi yang mencarum di bawah SKSPS dan diperluaskan kepada mereka yang tidak lagi mencarum.
"Perkeso melihat kolaborasi ini sinergi yang sangat baik dan memberikan impak positif.
"Kami juga menyeru lebih ramai yang akan tampil bersama-sama dalam Misi Bantuan Infaq Rezeki ini supaya lebih ramai akan menerima manfaat," jelasnya.
Dalam pada itu Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menjelaskan ujian pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia tentunya memberi impak besar buat semua masyarakat.
"Dalam misi ini, kita memberi sumbangan kepada lebih 400 pemandu teksi dan limo yang rata-rata terkesan dengan impak pandemik.
"Ujian pandemik yang sedang melanda seluruh dunia tentunya memberi impak besar buat kita semua.
"Ramai yang telah kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan," ujarnya.
Agihan turut melibatkan jalinan kerjasama beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan Satria Intelligence Agency Sdn Bhd.
Agihan kali ini melibatkan beberapa pihak dan agensi termasuk Perkeso, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Langkawi Development Autority (LADA), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Persatuan Pengguna Islam Langkawi (PPIL), Gabungan Sahabat Langkawi (NGO), sumbangan.com, PEISO Motor Garage, Kingz Motorcycle Group dan Adventure Touring Motor Sport (ATMS).
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab menjelaskan, pihaknya telah berkolaborasi bagi agihan Infaq Rezeki kali ini dengan menyediakan kemudahan logistik agar proses menyalurkan sumbangan sebanyak 500 kotak barangan asas keperluan dapur bernilai RM40,000 berjalan lancar.
Mengulas isu sama, Ketua Operasi - Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri menjelaskan, dana bagi agihan Infaq Rezeki itu juga merupakan sumbangan daripada penyumbang platform dalam talian iaitu sumbangan.com.
"Agihan ini digerakkan Unit Kebajikan PPIM (UKPPIM) kepada sekitar 100,000 penerima manfaat Infaq Rezeki bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0).
"Kami berharap selepas ini lebih ramai pihak yang akan tampil untuk bersama-sama bagi agihan bantuan ini," katanya.
Artikel oleh: Astro Awani
PEMANDU TEKSI DISARAN TERUS MENCARUM DI BAWAH SKSPS
No comments:
Post a Comment