Monday, August 30, 2021

5888) PPIM AGIH BANTUAN KEPADA PEMANDU TEKSI, LIMO TERJEJAS - SINAR HARIAN - 28/08/2021

 

SHAH ALAM - Impak pandemik Covid-19 membuatkan ramai kalangan rakyat negara ini yang terjejas pendapatan, termasuk pemandu teksi dan limo.

Simpati dengan nasib mereka, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama rakan sinergi PPIM turun padang bagi membantu memberikan bantuan kepada golongan berkenaan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, agihan bantuan itu melibatkan pemandu teksi dan limo di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

"Agihan Infaq Rezeki Jelajah Utara Prihatin yang bermula dari 27 hingga 30 Ogos depan melibatkan agihan sumbangan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Pinang, Jeti Pulau Langkawi.

"Selain itu, ia turut melibatkan pemandu di Kompleks Terminal Bas dan Teksi Kangar, Perlis dan Terminal Bas Shahab Perdana, Kedah. Secara keseluruhan, ia melibatkan 400 pemandu yang rata-rata terkesan dengan impak pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Program agihan itu kata beliau, turut mendapat kerjasama beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan Satria Intelligence Agency Sdn Bhd.

Bantuan itu katanya, diharap akan meringankan beban mereka kerana pendapatan berkurangan disebabkan pandemik Covid-19.

Selain itu, ia diharap dapat menceriakan penerima tatkala negara akan menyambut Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.


Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM AGIH BANTUAN KEPADA PEMANDU TEKSI, LIMO TERJEJAS

https://www.sinarharian.com.my/article/158156/EDISI/PPIM-agih-bantuan-kepada-pemandu-teksi-limo-terjejas

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL