Monday, August 9, 2021

5851) TIADA LAGI MORATORIUM PEMBAHARUAN LESEN MEMANDU, CUKAI JALAN - BERITA HARIAN - 08/08/2021

 

KOTA BHARU: Pengguna jalan raya berdepan tindakan penguatkuasaan tegas jika masih belum memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) bermula 1 Oktober ini.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim, berkata penamatan moratorium bagi pelanjutan pembaharuan lesen itu dianggap wajar memandangkan tempohnya sudah mencukupi.

Beliau berkata, jika ada yang masih belum memperbaharuinya sehingga 30 September ini, mereka akan dikenakan tindakan saman serta kompaun dan boleh dituduh mengikut Seksyen 26(1) dan 23(1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Selepas tiga kali diberikan lanjutan, kerajaan melihat sudah tiba masanya aspek pematuhan dikuatkuasakan semula dengan tiada kelonggaran yang akan diberikan.

"Tidak kira apa kenderaan yang dimiliki, pemandu harus ada dokumen penting yang sah," katanya ketika sidang media di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, hari ini.

Zailani berkata, bagi memudahkan urusan pembayaran pembaharuan dokumen itu, pihaknya bekerjasama Pos Malaysia Berhad untuk proses transaksi bermula esok.

Katanya kaunter pejabat pos turut dibuka pada hujung minggu dan urusan berlangsung melalui temujanji yang dibuat terlebih dahulu selain pihaknya juga menyediakan kiosk.

"Kita harapkan tidak wujud kluster (COVID-19) pos kerana banyak platform disediakan dan jika ada yang datang secara terus (walk in) sekalipun, mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Terdahulu beliau hadir dalam Program JPJ Prihatin bersama pengusaha kenderaan perdagangan dengan mengagihkan 150 bakul makanan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Zailani berkata, agihan bakul makanan hasil kerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu dibuat kepada pemandu lori, pengusaha bas sekolah, bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran dan kereta sewa.

"Sumbangan ini adalah manifestasi jelas terhadap keprihatinan JPJ dan PPIM kepada golongan yang terkesan bagi meringankan beban mereka yang kehilangan punca pendapatan," katanya.

KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim (dua kanan) memakai topi kepada penunggang motosikal ketika hadir dalam Op Patuh COVID-19 di hadapan Akademi Pemgangkutan Jalan Wilayah Timur. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel oleh: Berita Harian

TIADA LAGI MORATORIUM PEMBAHARUAN LESEN MEMANDU, CUKAI JALAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/848704/tiada-lagi-moratorium-pembaharuan-lesen-memandu-cukai-jalan

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL