Saturday, August 21, 2021

5871) KESTABILAN POLITIK NEGARA DEMI KELANGSUNGAN RAKYAT – PPIM - SAMUDERA.MY - 20/08/2021

 

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pemimpin yang dilantik menerajui negara membawa agenda menyatu padukan Melayu dan Bumiputera serta memperkasakan umat Islam dalam segenap segi.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata siapa pun yang bakal dilantik harus mengutamakan agenda tersebut demi kelangsungan rakyat.

Selain itu, dinamik antara bakal Perdana Menteri dan timbalannya serta menteri kabinet lain juga seharusnya diperkukuh demi kebaikan rakyat.

“Sesiapa juga yang memimpin negara ini nanti seharusnya seorang yang berpegang teguh pada ajaran Islam dan mempunyai prinsip untuk memperkasakan Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Tambah Nadzim kemelut politik negara masa kini dilihat sebagai waktu terbaik untuk rakyat yang dahagakan pemimpin paling sesuai untuk mentadbir serta membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang.

“Dalam tempoh tiga tahun sahaja kita sudah bertukar kerajaan sebanyak tiga kali, dan setiap kali pertukaran itu rakyat dapat menilai pemimpin manakah yang benar-benar bekerja demi rakyat atau yang lebih mengutamakan politik semata-mata,” katanya.

Ditanya siapakah pilihan calon Perdana Menteri yang ideal, Nadzim berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan politik, sebaliknya PPIM tegas dalam pendirian untuk menyokong mana-mana pemimpin yang berpegang teguh dengan ajaran Islam, mempunyai prinsip untuk memperkasakan Melayu dan bumiputera, mengutamakan rakyat khususnya umat Islam dan tidak sekadar menabur janji-janji kosong, ” katanya.

 

Artikel oleh: Samudera.my

KESTABILAN POLITIK NEGARA DEMI KELANGSUNGAN RAKYAT – PPIM

https://www.samudera.my/kestabilan-politik-negara-demi-kelangsungan-rakyat-ppim/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL