Saturday, August 28, 2021

5881) DEMI HIDUP, PEMANDU TEKSI LIMOSIN LAKUKAN KERJA LAIN - UTUSAN MALAYSIA - 27/08/2021

 

BAYAN LEPAS: Langsung tiada pendapatan sejak hampir dua tahun hingga ada yang terpaksa bertukar kerjaya sebagai pengawal keselamatan; penghantar makanan dan barang, malah, menjadi pemandu lori. 

Itu nasib yang dialami lebih 300 pemandu aktif teksi limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini yang terjejas akibat pandemik Covid-19 khususnya sejak Mac tahun lalu. 

Lebih menyedihkan, menurut Pengerusi Persatuan pemandu Limo dan Teksi LTAPP, Hafizi Ahmad, ada ahli persatuan itu terpaksa merelakan kenderaan mereka ditarik balik kerana tidak mampu melunaskan bayaran bulanan selepas hilang pendapatan. 

Menurut Hafizi, 51, dia sendiri ketika ini terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai pengawal keselamatan pada sebelah malam bagi mencari pendapatan tambahan untuk meneruskan kehidupan. 

Ujarnya yang sudah menjadi pemandu limosin di LTAPP sejak 22 tahun lalu, pendapatannya kini merosot teruk yang mana hanya mampu mendapat antara satu ke dua penumpang dalam sebulan. 

“Berbanding sebelum pandemik Covid-19, saya kebiasaannya boleh mendapat antara empat hingga lima penumpang sehari dengan anggaran pendapatan sehingga RM200,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan bakul makanan kepada pemandu limosin dan teksi LTAPP oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini hari ini. 

Sumbangan barangan makanan bernilai RM100 yang diserahkan Ketua Cawangan Sumber Manusia Perkeso, Mohd. Razmi Khalid itu merupakan inisiatif agensi berkenaan dalam meringankan beban kumpulan penggiat dalam sektor pelancongan sempena Jelajah Prihatin Jubli Emas Perkeso 

Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang disinggah konvoi Perkeso itu selepas menghulurkan bantuan kepada pemandu limosin dan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu. 

Konvoi itu kemudiannya akan bergerak ke seluruh negara bagi menyerahkan keseluruhan sebanyak 900 kotak makanan menerusi program itu termasuk kepada mangsa tragedi kepala air di Yan, Kedah. 

Dalam pada itu, Hafizi berkata, selain sumbangan daripada pelbagai pihak yang dapat membantu meringankan tekanan ekonomi yang dihadapi pemandu teksi dan limosin ketika ini, pihaknya juga berharap masalah mereka mendapat perhatian lebih serius daripada kerajaan Pusat khususnya pihak berkuasa berkaitan. 

Antaranya kata beliau, berkenaan masalah persaingan mendapatkan penumpang dengan pemandu e-hailing di LTAPP yang sehingga kini masih belum diselesaikan. 

“Sebab itu kami berharap kerajaan Pusat dapat menghantar wakil khususnya daripada Kementerian Pengangkutan untuk bersemuka dan berbincang dengan kami bagi mengatasi masalah ini serta isu-isu lain supaya nasib kami lebih terbela,” katanya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

DEMI HIDUP, PEMANDU TEKSI LIMOSIN LAKUKAN KERJA LAIN

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/demi-hidup-pemandu-teksi-limosin-lakukan-kerja-lain/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL