Thursday, August 5, 2021

5840) 'GENCATAN POLITIK BANTU KERAJAAN TUMPU USAHA PULIH NEGARA' - BERITA HARIAN - 04/08/2021

 

KUALA LUMPUR: Gabungan 13 badan bukan kerajaan (NGO) menggesa gencatan politik dilakukan segera oleh semua pihak bagi membolehkan kerajaan menumpukan usaha memulihkan ekonomi negara dan kesihatan rakyat dijalankan tanpa gangguan

Langkah itu perlu kerana isu siapa berhak memimpin negara pada masa ini tidak seharusnya timbul ketika semua pihak bergelut dengan pandemik COVID-19 hingga menjejaskan kehidupan.

Koordinator gabungan 13 NGO berkenaan, Ahmad Yazid Othman, berkata kerajaan harus menggunakan kuasa dan masa yang ada dengan memastikan keperluan serta bantuan mencukupi untuk memulihkan negara dengan kerjasama semua pihak.

Beliau berkata, bantuan dirancang jika tergendala pelaksanaannya boleh memberi kesan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pendidikan dan agenda pembangunan ekonomi hingga menyebabkan usaha negara mencapai imunisasi kelompok turut terjejas.

Bagaimanapun, katanya, jika gencatan politik tidak boleh dicapai dan kerajaan tidak mendapat cukup sokongan, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) difikirkan mampu meredakan kekusutan dan kemelut politik.

"Paling penting, ini bagi membolehkan pemerintah menumpukan perhatian terhadap usaha memulihkan rakyat dan negara tanpa perlu memikirkan siapa perlu menggantikan kerajaan.

"Kepentingan negara dan rakyat perlu melangkaui kepentingan parti atau mana-mana pihak. Jika ahli politik tidak boleh menerima cadangan itu, jadi darurat perlu diteruskan supaya tidak perlu risau kedudukan politik dan fokus kepada usaha menyelamatkan rakyat daripada kesan pandemik COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.

Prof Dr Sivamurugan Pandian
Prof Dr Sivamurugan Pandian

Tiga belas NGO dalam gabungan itu adalah Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Amal Sejagat Malaysia, Himpunan Anak Kedah SeMalaysia (HaKEM), Gabungan Demi Melayu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (WADI Malaysia), PAKAR Malaysia, Pertubuhan Sinar Rahmah dan MyVoice Malaysia.

Ahmad Yazid berkata, jika semua kaedah berkenaan tidak mampu menyelesaikan perbalahan politik sekarang, Al-Sultan Abdullah boleh mengusulkan pelantikan Perdana Menteri interim.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata semua parti mesti melakukan gencatan politik sehingga sidang Parlimen akan datang bagi meredakan seketika polemik yang menjejaskan kestabilan negara.

Katanya, kerajaan sudah membuat ketetapan mengemukakan usul undi percaya di Parlimen yang mendapat perkenan Seri Paduka.

"Istana sudah bersetuju usul itu dibawa. Jadi gencatan politik harus dilakukan segera. Saya khuatir dalam tempoh itu berlaku pembelian akuan bersumpah (SD) atau 'penjualan' wakil rakyat kerana masing-masing mahukan nombor (majoriti)," katanya.

Berdasarkan Takwim Dewan, Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung 15 hari bermula 6 hingga 30 September depan bagi mesyuarat pertama, diikuti mesyuarat kedua bermula 25 Oktober hingga 16 Disember depan.

Sivamurugan mengakui gencatan politik tidak mudah dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa dalam UMNO.

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

"Kita tidak tahu ke mana UMNO selepas ini, termasuk kedudukan menterinya. Apakah wujud perpecahan dalam UMNO yang turut mendorong kegagalan gencatan politik ini," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berkata, pemimpin politik tidak wajar membuat serangan dalam isu keabsahan kepimpinan.

Katanya, tempoh sebulan sebelum Parlimen bersidang perlu dijadikan zon bertenang untuk semua pihak bertindak secara rasional.

"Saya yakin ketetapan kerajaan membuat usul undi percaya boleh meredakan krisis politik yang berlaku secara muktamad," katanya.

Felo kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir pula mengalu-alukan usul undi percaya dan yakin ia boleh menghentikan polemik kepimpinan daripada berterusan.

Namun, katanya, usul itu wajar dibawa ke Parlimen segera bagi mengelak krisis berlanjutan yang menjejaskan usaha memulihkan negara.

Dr Mohd Izani Mohd Zain
Dr Mohd Izani Mohd Zain


Artikel oleh: Berita Harian

'GENCATAN POLITIK BANTU KERAJAAN TUMPU USAHA PULIH NEGARA'

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/847286/gencatan-politik-bantu-kerajaan-tumpu-usaha-pulih-negara

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...