SHAH ALAM - Walaupun menggunakan taktik sama, sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’ bijak mempermainkan emosi untuk memanipulasi psikologi mangsa sehingga mereka ditipu.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sindiket tersebut sangat terancang dan berjaya menipu bukan sahaja rakyat biasa malah pegawai tinggi membabitkan pihak berkuasa turut menjadi mangsa.
Menurutnya, mereka akan menyamar sebagai pihak berkuasa dan mendakwa mangsa ada melakukan kesalahan undang-undang serta diminta membayar sejumlah wang untuk menyelesaikan tuduhan tersebut.
“Mereka akan tawarkan kepada mangsa barang berharga seperti emas dan kereta pada harga yang tidak masuk akal sehingga ada yang menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit.
“Mereka sangat licik malah sudah merancang lima hingga 10 langkah ke hadapan. Jadi kita perlu sentiasa berhati-hati dan jangan mudah dipengaruhi,” katanya dalam wawancara secara maya di Facebook PPIM pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, untuk membanteras sindiket penipuan berkenaan semua pihak perlu menjalankan tugas dengan telus dan bersungguh-sungguh.
“Rangkaian mereka sangat luas membabitkan semua sektor. Wakil rakyat pun ada yang menjadi mangsa mereka.
“Polis perlu ubah cara penyiasatan mereka dan badan penguatkuasaan perlu lebih tegas serta bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila membuat urusan berkaitan maklumat kewangan peribadi.
“Penjenayah memerlukan data kewangan kita. Jadi perlu berhati-hati dengan siapa kita berurusan terutama jika menunjukkan wang tunai atau pembelian kereta baru di media sosial,” ujarnya.
Artikel oleh: Sinar Harian
SCAMMER BIJAK BERMAIN EMOSI, PSIKOLOGI PUNCA MANGSA TERPEDAYA: PPIM
No comments:
Post a Comment