Friday, February 28, 2014

1179) BERITA TV9 27/2/2014 ISU PENGGUNAAN PELEKAT HOLOGRAM DIBAWA KE KABINET



Isu penggunaan pelekat hologram pada naskhah Al-Quran akan dibawa ke kabinet dalam masa terdekat bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaannya.  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mengambil kira pandangan Persatuan Penerbit Al-Quran Malaysia PQM berhubung masalah penggunaan hologram; Termasuk terdedah kepada cetak rompak seperti yang dihadapi kementerian dan agensi lain sebelum ini.  Datuk Seri Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan PQM di pejabatnya pagi tadi. Dalam pada itu, tegas Datuk Seri Ahmad Zahid, Jabatan Imigresen akan melaksanakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan yang dikuasai warga asing sama ada menggunakan lesen rakyat tempatan atau melalui cara lain. 

1178) MINISTRY OF HOME AFFAIR 27/2/2014 PERBINCANGAN MENTERI DALAM NEGERI BERSAMA PERSATUAN PENERBIT AL-QURAN MALAYSIA (PQM)



PERBINCANGAN MENTERI DALAM NEGERI BERSAMA PERSATUAN PENERBIT AL-QURAN MALAYSIA (PQM)
Putrajaya,  27 Februari 2014 – Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan bersama Persatuan Penerbit Al-Quran (PQM) bagi berbincang mengenai isu penggunaan pelekat hologram pada naskah al-Quran.

Menurut beliau, KDN akan membawa isu pelekat hologram al-Quran ini ke kabinet dalam masa terdekat bagi mengkaji keberkesanan perlaksanaannya sebelum tindakan lanjut di buat.

"Sementara menanti keputusan kabinet yang diharap akan memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak, kita ambil keputusan untuk 'memperlahankan' penguatkuasaan itu," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan mengambil kira pandangan Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) berhubung masalah penggunaan hologram, termasuk perlakuan cetak rompak seperti yang dihadapi oleh kementerian dan agensi lain sebelum ini.

"Pertemuan ini diadakan untuk mencapai kesepakatan sejauh mana penerbit-penerbit al-Quran boleh dibantu untuk mengatasi permasalahan mereka termasuklah apabila berlaku cetak rompak terhadap al-Quran,” katanya.


Pertemuan ini berlangsung di pejabat beliau di KDN Putrajaya. Turut sama ialah Ketua Setiausah KDN, Dato’ Mohamad Khalid Hj Sharif dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN Datuk Alwi Hj. Ibrahim.

1177) UTUSAN MALAYSIA 27/2/2014 ISU PELEKAT HOLOGRAM KE KABINET




AHMAD Zahid Hamidi bersama Mohamad Khalid Shariff (kanan) menunjukkan al-Quran yang telah ditampal dengan pelekat hologram kepada pihak media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 27 Feb. - Penggunaan pelekat hologram pada naskhah al-Quran yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Mac ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil selepas mendapat pandangan dan rayuan daripada Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) yang meminta penguatkuasaannya dikaji semula.

"Kita telah maklumkan kepada pihak persatuan untuk membawa perkara ini kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan pandangan mereka dan mendapatkan keputusan muktamad bagi menyelesaikan masalah ini.

"Penguatkuasaan tidak akan ditangguhkan tetapi dilembutkan pendekatannya dan sebelum Kabinet membuat keputusan, kita juga akan perlahankan penguatkuasaannya di mana pihak di Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan persatuan mengambil pendekatan kebijaksanaan serta ketertiban menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama PQM di pejabatnya di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Presiden Penaja PQM, Sabariah Abdullah.

Penggunaan pelekat hologram yang diperkenalkan sejak 2011, mewajibkan penerbit atau pencetak al-Quran melekatkannya (dijual pada harga RM1 sekeping) pada setiap naskhah kitab suci itu.

Namun, PQM meminta kerajaan memansuhkan penguatkuasaan pelekat tersebut pada naskhah al-Quran kerana dikatakan membeban dan menyebabkan harga kitab suci itu meningkat sehingga 50 peratus.

Menurut Ahmad Zahid, sehingga kini pihaknya telah mengeluarkan sejuta keping pelekat itu dengan 347,000 keping telah dijual.

Beliau berkata, perkara tersebut juga akan dibincangkan dalam Kabinet bagi melihat kos yang telah dikeluarkan kerajaan untuk mencetak pelekat itu dari segi perundangan, perakaunan dan implikasinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk melekatkan hologram dalam al-Quran selepas menerima rungutan daripada para penerbit kitab suci umat Islam itu ekoran terdapat naskhah yang diimport mempunyai kesalahan pencetakan dan dicetak rompak.

"Pertemuan ini diharap dapat membantu kita mencari jalan penyelesaian terbaik dan menang-menang berdasarkan pengalaman beberapa kementerian, jabatan dan unit yang menguatkuasakan sebarang bahan dikeluarkan dengan meletakkan tanda hologram,'' katanya.


Sementara itu, Sabariah ketika ditemui, berterima kasih dengan keputusan tersebut dan berharap kerajaan dapat membuat keputusan yang adil dan menang-menang demi kebaikan semua pihak.

1176) BERITA HARIAN 27/2/2014 ISU PELEKAT HOLOGRAM PADA NASKHAH AL QURAN DIBAWA KE KABINET - ZAHID


PUTRAJAYA: Penggunaan pelekat hologram pada naskhah al-Quran yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Mac ini akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaannya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan mengambil kira pandangan Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) berhubung masalah penggunaan hologram, termasuk terdedah kepada cetak rompak seperti yang dihadapi kementerian dan agensi lain sebelum ini.


"Sementara menanti keputusan Kabinet yang diharap akan memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak, kita ambil keputusan untuk 'memperlahankan' penguatkuasaan itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan PQM di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

Penggunaan pelekat hologram diperkenalkan sejak 2011 yang mewajibkan penerbit atau pencetak al-Quran melekatkan pelekat hologram (yang dijual pada harga RM1 sekeping) pada setiap naskhah kitab suci itu.

Namun PQM meminta kerajaan memansuh penguatkuasaan pelekat itu pada naskhah al-Quran kerana ia dikatakan membeban dan menyebabkan harga kitab suci itu meningkat sehingga 50 peratus.


Sementara itu, Zahid berkata, Jabatan Imigresen akan melaksanakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan yang dikuasai warga asing sama ada menggunakan lesen rakyat tempatan atau melalui cara lain

Thursday, February 27, 2014

1175) BERITA HARIAN 27/2/2014 PERJANJIAN SELESAI KRISIS BEKALAN AIR


Headline: Perjanjian selesai krisis bekalan air
Publication: BH
Date of publication: Feb 27, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008


Kejayaan Kerajaan Pusat dan Selangor menyelesaikan masalah bekalan air menerusi pemeteraian memorandum persefahaman bagi penstrukturan semula industri air di negeri itu, semalam, disambut baik pelbagai pihak kerana ia akan memanfaatkan rakyat.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Datuk Mohd Fidaus Abdullah, berkata perkara itu sememangnya dinantikan oleh rakyat bagi membolehkan kerajaan melakukan tindakan yang mampu menyelesaikan krisis air menerusi projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

"Penstrukturan semula industri bekalan air adalah sebahagian daripada perkara dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) kerana melaluinya, ia dapat menambahbaik infrastruktur bagi menampung permintaan air terawat di Selangor.

Ambil langkah terbaik

"Akhirnya, Selangor mengambil langkah untuk turut serta dalam penstrukturan selepas Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Perlis," katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Kerajaan Persekutuan dan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air Selangor selepas ia berlarutan tanpa penyelesaian sejak 2008, sekali gus membolehkan projek LRA Langat 2 yang tertangguh diteruskan.

MoU itu ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang mewakili Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan Selangor diwakili Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia, Foon Weng Lian, berkata perjanjian itu adalah titik permulaan yang positif bagi sektor perkhidmatan air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Katanya, ramai pihak pasti tertunggu-tunggu langkah seterusnya yang akan diambil Kerajaan Pusat dan Selangor bagi mengakhiri krisis air di Selangor.

"Kami sememangnya menyokong tindakan ini dan mengharapkan pelaksanaan segera dalam keadaan yang telus dan cepat bagi mengatasi krisis air.

"Rakyat sudah lama sengsara dan dengan adanya LRA Langat 2, ia sudah tentu dapat mengelakkan sebarang catuan air," katanya.

Tingkat bekalan air

Presiden Persatuan Air Malaysia, Syed Mohd Adnan Mansor Alhabshi, berkata perjanjian itu adalah langkah positif untuk industri air dan pembinaan LRA Langat 2 akan meningkatkan bekalan air di Selangor dalam tempoh 20 tahun akan datang.

"Penstrukturan industri air akan tercapai apabila kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan dan membuka lembaran baru," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai masalah air dan kerajaan seharusnya sudah lama menyelesaikan masalah itu demi menjaga kepentingan rakyat.


"Saya harap pengguna tidak lagi menjadi mangsa permainan politik dan seharusnya pemimpin mengutamakan kepentingan rakyat," katanya

1174) UTUSAN MALAYSIA 27/2/2014 CADANGAN NGO SIASAT RBA DIAWANG - AWANGAN


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan status cadangan mereka kepada kerajaan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan serta tindak tanduk Red Bean Army (RBA).

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri pada Julai tahun lalu, namun sehingga hari ini, perkara itu masih di awang-awangan tanpa sebarang tindakan.

Sehubungan itu, beliau mendesak cadangan tersebut diteliti semula memandangkan tentera siber pembangkang itu semakin melampau dan biadab sehingga sanggup mengugut untuk mengancam nyawa pihak tertentu.

"Kepada pihak berkuasa, kenapa begitu sukar untuk diambil tindakan sedangkan agenda jahat mereka secara terang-terangan bergerak aktif dengan penyebaran fitnah dan berita palsu demi melumpuhkan perpaduan kaum di negara ini.

"Perancangan mereka melalui cara ini cukup berbahaya, maka amat wajar RCI ditubuhkan bagi menyiasat siapakah dalang, apakah matlamat dan di manakah mereka mendapat dana yang bertujuan mahu merosakkan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan RBA muncul semula dan kali ini bertindak lebih berani apabila melakukan ugutan bunuh ke atas Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The Nation, Shen Yee Aun.

RBA cukup terkenal dengan propaganda dan perbuatan kurang ajar mereka menyerang pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan kerajaan, semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagi membantah kegiatan RBA itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pada Julai tahun lalu telah menyerahkan memorandum penubuhan RCI agar kerajaan menyiasat secara mendalam dan terperinci tentang peranan RBA dalam menyerang institusi-institusi negara melalui media sosial.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, pihaknya juga telah pun menghantar memorandum sama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada bulan lalu, namun perkara itu sepi tanpa jawapan.


Kata beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan serius berhubung kegiatan seumpama itu dengan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Thailand dan negara Asia Barat yang terpaksa berdepan keadaan kucar-kacir akibat provokasi melampau.

Wednesday, February 26, 2014

1173) UTUSAN MALAYSIA 26/2/2014 TINDAKAN 'KUNO' - NGO





KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diselar kerana mengambil tindakan seperti 'berundur ke belakang' kira-kira 30 tahun yang lalu apabila membuat catuan air bagi menangani krisis bekalan itu ketika ini.
Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Jamal Yunos berkata, tindakan tersebut langsung tidak menggambarkan sebuah negara yang akan menuju status negara maju yang sepatutnya telah pun membuat persiapan awal bagi menghadapi krisis tersebut.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah lama menjangkakan krisis air akan berlaku di negeri ini dan disebabkan itu mahu membina Loji Rawatan Air Langat 2 sejak lima tahun lalu.
"Apabila krisis air terjadi, kerajaan Selangor masih menuduh Kerajaan Pusat, janganlah semua perkara dipolitikkan kerana kita sedang menghadapi krisis kemanusiaan paling kritikal.
"Oleh itu kita mendesak Kerajaan Selangor dapat menyegerakan pembinaan loji itu, kita perlu siapkan simpanan air melalui sistem yang diwujudkan, jangan hanya mengharapkan hujan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Kerajaan PKR Selangor melaksanakan catuan bekalan air secara bergilir di seluruh negeri mulai hari ini ekoran daripada penyusutan paras air empangan.
Keputusan itu dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengelak rizab air di empangan di negeri ini digunakan terlalu banyak selain memastikan para pengguna terus mendapat bekalan air bersih.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Kerajaan Selangor diminta meletakkan kepentingan pengguna di tangga teratas dan harus melihat ke hadapan ketika menangani isu membabitkan keperluan asas yang harus diselesaikan secara bijak tanpa pertimbangan politik.
Katanya, krisis air sepatutnya tidak berlaku jika kerajaan negeri melakukan persiapan jangka panjang lebih awal dan bukannya mengambil tindakan 'kuno'.
"Kita menyeru kerajaan negeri meletakkan kepentingan pengguna nombor satu supaya rakyat tidak terkesan dan mengalami kepayahan menghadapi krisis ini.
"Rakyat bertambah ramai, industri semakin bertambah, jadi isu-isu berkaitan perlu ditangani dengan baik," katanya.

Tuesday, February 25, 2014

1172) UTUSAN MALAYSIA 24/2/2014 HAPUS HAK ISLAM BUMIPUTERA, BERSIFAT HIPOKRIT


KUALA LUMPUR 24 Feb. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membidas sikap hipokrit pihak tertentu mendesak kerajaan menghapuskan hak orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Penasihatnya, Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, mereka bersikap celupar dan biadab apabila menggesa perkataan 'bangsa' dihapuskan daripada borang rasmi kerajaan.

Katanya, kumpulan pendesak itu juga meminta penghapusan dasar melindungi kepentingan bumiputera dan tanah rizab Melayu serta kelonggaran kepada orang Islam untuk murtad.

"Namun pada masa sama, mereka mengamalkan hipokrasi dengan menekan golongan bumiputera dalam pelbagai bidang yang mereka kuasai.

"Mereka turut menganiaya pekerja bumiputera dan Islam sehingga ke tahap tidak membenarkan memakai tudung serta bersolat selain mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zaki turut mempersoalkan tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan pihak terbabit iaitu sekolah vernakular diberi keistimewaan yang sama dengan sekolah kebangsaan, mengiktiraf agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), liberalisme agama serta peluang yang lebih besar kepada bukan bumiputera untuk memasuki sektor awam dan institusi pengajian tinggi awam.

Katanya, tindakan kumpulan pendesak itu dilihat pelik kerana keistimewaan yang dinikmati bumiputera adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka.

"Berikutan tuntutan-tuntutan melampau tersebut, PPIM meminta pihak berkuasa dan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan itu.

"PPIM juga berikrar akan meneruskan kempen menghentikan tindakan biadab ini ke seluruh negara," tegasnya.


Menurut Ahmad Zaki, sokongan rakyat yang cintakan keamanan amat diperlukan bagi memastikan masa depan negara tidak hancur dan kucar-kacir.

1171) UTUSAN MALAYSIA 22/2/2014 HARGA NASKHAH AL-QURAN NAIK 50 PERATUS?




KUALA LUMPUR 22 Feb. - Ketika rakyat merasai pelbagai kenaikan harga barangan, masyarakat Islam pula dijangka dibebani dengan kenaikan harga kitab al-Quran sehingga 50 peratus jika kerajaan meneruskan penguatkuasaan pelekat hologram mulai 1 Mac ini.

Presiden penaja Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM), Sabariah Abdullah berkata, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan kerana para penerbit diwajibkan oleh kerajaan membeli hologram dengan harga RM1 bagi setiap naskhah.

"Harga senaskhah al-Quran adalah daripada RM10 hingga RM300 tetapi naskhah paling banyak dijual adalah yang berharga RM10.

"Apabila penguatkuasaan pelekat hologram dijalankan oleh kerajaan maka harga RM10 senaskhah akan naik pada harga sekitar RM16 kerana peningkatan kos," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Bendahari Persatuan Gabungan NGO Islam (Accin), Mukram Mohd. Taib.

Sabariah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 2011 mengarahkan penerbit agar setiap naskhah kitab suci itu dilekat hologram yang dijual dengan harga RM1 melalui Bahagian Teks al-Quran KDN.

Menurutnya, bermula 1 Mac ini pula, KDN akan menjalankan penguatkuasaan dengan mengenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun ke atas penerbit atau pekedai yang didapati menjual al-Quran tanpa pelekat hologram.

Sehubungan itu, beliau berkata, PQM menggesa kerajaan memansuhkan penguatkuasaan tersebut kerana peraturan itu didapati membebankan penerbit dan pengguna.

Menurutnya, kos yang meningkat adalah bagi menampung pembelian pelekat hologram, kos tambahan tenaga pekerja untuk melekatkan hologram selain pembaziran masa.

Katanya, pelekat hologram itu juga tidak dapat menjamin ketulenan al-Quran kerana kitab suci itu masih boleh dicetak rompak.

Menurut Sabariah, tidak mustahil sebahagian daripada 100 syarikat penerbitan al-Quran di negara ini berisiko untuk gulung tikar akibat kenaikan kos berkenaan.

"Penerbit mencetak 5,000 hingga 20,000 setiap cetakan, ini bermakna penerbit harus menyediakan wang tunai sehingga RM20,000 untuk membeli hologram sebelum al-Quran dapat dicetak maka ini sangat membebankan penerbit kecil," katanya sambil menambah 100 penerbit al-Quran yang mempunyai lesen itu menerbitkan 500,000 naskhah setahun.

Beliau berkata, sepatutnya KDN mempermudahkan penerbitan al-Quran bagi menggalakkan penyebaran kitab suci tersebut dan bukannya mengenakan peraturan tidak wajar yang menyusahkan penerbitannya.

Katanya, PQM mencadangkan agar KDN mengekalkan sistem cop Perakuan Betul Huruf Pruf Akhir Teks al-Quran yang digunakan selama ini dan memberikan dana bantuan kepada para penerbit.

Menurutnya, kaedah tersebut terbukti berkesan manakala pelekat hologram adalah satu kaedah yang tidak pernah dilakukan oleh negara lain termasuk Arab Saudi, Jordan dan Mesir.

Sabariah berkata, PQM juga berharap dapat menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secepat mungkin bagi membincangkan masalah berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Pustaka Darul Iman, Mohd. Fadzil Saleh berkata, jualan naskhah al-Quran menurun antara 30 hingga 50 peratus sejak tahun lalu kerana kitab di kedainya tiada dilekat hologram.


Penerbit lain, Abdul Khaliq Abdul Malik daripada Percetakan Dar Hakamah pula memberitahu, sebanyak 2,500 naskhah al-Quran terpaksa dipulangkan oleh pekedai kerana tidak dapat dijual berikutan ketiadaan pelekat berkenaan.

1170) BERITA HARIAN 23/2/2014 HARGA AL-QURAN DIJANGKA NAIK



Headline: Harga al-Quran dijangka naik
Publication: BM
Date of publication: Feb 23, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 006


Kuala Lumpur: Harga senaskhah al-Quran dijangka meningkat 50 peratus susulan penguatkuasaan pelekat hologram bagi kitab suci itu, mulai 1 Mac ini.

Hologram yang dijual dengan harga RM1 sekeping melalui Bahagian Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu wajib dilekatkan pada setiap naskhah.

Penerbit atau pencetak kitab suci yang gagal mematuhi peraturan yang diperkenalkan sejak 1 Ogos 2011 itu boleh didenda RM10,000 atau penjara.

Gesaan mansuh

Berikutan itu, Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) menggesa kerajaan memansuhkan penguatkuasaannya kerana ia membebankan penerbit dan umat Islam.

Malah, jualan al-Quran didakwa merosot sehingga 30 peratus sejak beberapa bulan lalu kerana peniaga memulangkan semula naskhah selepas diberi surat amaran oleh penguat kuasa KDN.

Presiden Penaja PQM, Sabariah Abdullah, berkata pelaksanaan hologram bukan jaminan ketulenan al-Quran kerana ia boleh dicetak rompak.

"Penerbit memerlukan tenaga kerja tambahan untuk melekatkan hologram sebelum dibungkus, sekali gus menyebabkan kos turut meningkat sehingga RM5 senaskhah.

"Malah, peraturan pembelian secara tunai juga menambah beban penerbit, terutama peniaga kecil," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Bendahari Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam Malaysia (ACCIN), Mukram Mohd Taib.

Sehubungan itu, Sabariah berkata, PQM menghantar memorandum kepada KDN kelmarin, untuk mendapatkan penyelesaian.

"Kami berharap dapat membincangkan perkara ini dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana ia seolah-olah mengenakan cukai terhadap penerbitan al-Quran," katanya.

1169) METRO AHAD 23/2/2014 TETAP TULEN TANPA HOLOGRAM




Headline: Tetap tulen tanpa hologram
Publication: MA
Date of publication: Feb 23, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024


Kuala Lumpur: "Al-Quran akan tetap tulen, walaupun tanpa hologram (imej fotografi tiga dimensi laser)."

Itu tegas Presiden Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM), Sabariah Abdullah dalam menyatakan bantahannya terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasakan penggunaan pelekat hologram pada setiap terbitan naskhah al-Quran.

Berhubung perkara itu, Sabariah berkata, bermula 1 Mac ini kerajaan mewajibkan penerbit membeli hologram berharga RM1 melalui Bahagian Teks al-Quran KDN sebagai satu jaminan ketulenan naskhah yang dijual.

Katanya, jika arahan itu tidak dipatuhi, penerbit atau pekedai akan didenda RM10,000 atau dihukum penjara.

"Setiap hologram perlu ditampal pada setiap naskhah (al-Quran) sebelum dibungkus, satu lagi beban kepada penerbit dan akan menyebabkan kenaikan harga jualan.

"Penerbit mencetak 5,000 hingga 20,000 naskhah al-Quran, ini bermakna penerbit harus menyediakan wang tunai RM20,000 untuk membeli hologram.

"Ia sangat membebankan penerbit, terutama penerbit kecil," katanya pada sidang media khas berhubung isu ini, di sini, semalam.

Turut Hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dan Ustaz Mukram Mohd Taib dari Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Sabariah berkata, tidak dinafikan pengawasan dan penguatkuasaan terhadap penerbitan adalah longgar, namun penggunaan hologram tidak boleh diharapkan untuk menyelesaikan masalah itu.


"Persatuan (PQM) mencadangkan supaya 'sistem perakuan betul huruf pruf (salinan percubaan) akhir teks al-Quran' yang diguna pakai ketika ini dikekal dan diperkasakan, selain pemantauan berkala dan sistematik ke premis bercetak," katanya.

Friday, February 21, 2014

1168) HARIAN METRO 21/2/2014 PPIM GESA HENTI PAKAI BATIK SUTERA



Headline: PPIM gesa henti pakai batik sutera
Publication: HM
Date of publication: Feb 21, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 017


Kuala Lumpur: Cetek ilmu agama menyebabkan kebanyakan lelaki Melayu Islam di negara ini terus memakai batik sutera tulen walaupun menyedari pemakaian itu salah di sisi agama Islam.

Menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hampir 90 peratus batik sutera yang dipakai oleh lelaki Malaysia adalah batik yang diperbuat daripada sutera tulen.

Aktivis PPIM Sheikh Abd Kareem S Khadaeid berkata haram bagi seseorang lelaki itu untuk memakai pakaian batik yang diperbuat daripada sutera.

Beliau lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri tekstil berkata terdapat tiga kod kain sutera asli yang dijual pasaran menjadi tumpuan peminat batik iaitu kod 14366; 14101 dan 12102.

Selain jenis kain itu, antara kain yang menggunakan sutera asli adalah silk jaquad; wanshou brocade; silk strip jacquard, dan silk check jacquard.

"Saya menggesa lelaki Islam supaya sedaya upaya mengelak daripada memilih pakaian yang diperbuat daripada sutera kerana sudah jelas hukumnya.


"Lagipun kita tidak perlu untuk mewujudkan fatwa bagi pengharaman pemakaian sutera oleh lelaki kerana ia sudah jelas berdasarkan hadis sahih Nabi Muhammad menjelaskan pemakaian sutera bagi lelaki adalah haram," katanya.

1167) BERNAMA 21/2/2014 PENGUSAHA BATIK MALAYSIA DIGESA LABEL KANDUNGAN BATIK BAGI TENTU KETULINAN



KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pengusaha batik Malaysia digesa melabelkan kandungan kain batik sutera mereka untuk menentukan ketulenannya bagi membolehkan lelaki Islam memakai pakaian yang diperbuat daripada kain itu, kata aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Syeikh Abd Kareem S Khadaied.

Katanya hasil kajian PPIM mendapati hampir 90 peratus pasaran batik sutera di Malaysia diperbuat daripada sutera tulen dan kaum lelaki Islam diharamkan memakai sutera tulen.

"Menurut hadis sahih, batik sutera tulen lelaki tak boleh dipakai sebab dari sisi agama Islam juga haram hukumnya," katanya kepada pemberita di pejabat PPIM di Villa Puteri Condominium dekat sini, Khamis.

Beliau berkata aduan berhubung pemakaian sutera tulen oleh lelaki Islam telah dibuat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 1997 dan dibincangkan semenjak tahun 2009 namun belum diwartakan.

Syeikh Abd Kareem berkata Perbadanan Kraftangan Malaysia harus mencari fabrik alternatif seperti campuran kain misalnya kapas dan linen bagi menggantikan sutera tulen.

Katanya industri batik sutera harus memajukan dua bahan tersebut iaitu linen dan kapas supaya kaum lelaki boleh memakainya



1166) UTUSAN MALAYSIA 21/2/2014 TONY PUA SENGAJA CETUS PROVAKASI HINA ISLAM PERLU DIDAKWA


KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua perlu didakwa di bawah Akta Hasutan kerana sengaja melakukan provokasi menghina Islam apabila mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan umat Islam menyambut Hari Kekasih.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, umat Islam tidak perlu menagih permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya itu disebabkan keceluparan ditunjukkan, tetapi perlu mengheretnya ke mahkamah.

"Kita perlu dakwa dia di mahkamah dengan segera sebagai langkah pencegahan kerana sebenarnya dia sedang menguji kesabaran orang Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam beberapa mufti mendesak Tony Pua menarik kembali kenyataannya yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan umat Islam menyambut Hari Kekasih seperti dinyatakan melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Tony Pua tidak berhak mencampuri urusan berkaitan agama Islam sehingga mengundang suasana tidak harmoni di negara ini.

Mengulas lanjut Ismail Mina berkata, kenyataan bersifat provokasi tersebut sengaja dikeluarkan kerana percaya umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan lemah akibat perpecahan.

"Muafakat berpendapat Tony Pua sebagai seorang intelek, pemimpin politik, sebenarnya memahami perkara-perkara yang sensitif dalam kumpulan masyarakat dan agama.

"Muafakat berpendapat perkara ini sengaja dicetuskan untuk menimbulkan provokasi," katanya sambil menambah kelemahan orang Melayu sehingga ada dalam kalangan mereka sendiri sanggup menjadi ejen DAP.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengingatkan Tony Pua tidak angkuh dan bongkak hingga berani mencampuri urusan agama Islam.

"Dia sudah lupa asas penubuhan negara ini yang dibina dengan dasar persefahaman dan saling hormat-menghormati. Ingatlah tahap kesabaran orang Melayu ada hadnya," katanya.


Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, Tony Pua sewajarnya belajar semula asas-asas untuk menghormati orang lain terutama di negara ini yang dihuni oleh berbilang kaum dan agama

1165) UTUSAN MALAYSIA 20/2/2014 RAMAI LELAKI ISLAM PAKAI BATIK SUTERA YANG HARAM



KUALA LUMPUR 20 Feb. - Golongan lelaki Islam diingatkan supaya lebih berwaspada ketika membeli kain batik sutera kerana kira-kira 90 peratus kain batik jenis itu di pasaran diperbuat daripada batik sutera asli yang haram dipakai di sisi agama Islam.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abdul Kareem S. Khadaied berkata, ia kerana kain batik yang diperbuat daripada 100 peratus kain sutera adalah haram dipakai oleh lelaki Islam berdasarkan kepada hadis Rasullullah SAW.

Katanya, ramai lelaki Islam masih beranggapan mereka tidak memakai kain batik diperbuat daripada kain sutera asli disebabkan harga yang dibeli di pasaran adalah murah.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mendedahkan perkara tersebut di Kondominium Vila Puteri di sini hari ini.


Sheikh Abdul Kareem yang juga merupakan Ahli Majlis Batik Antarabangsa berkata, terdapat tiga jenis kain sutera asli berkod 14366, 14101, 12102 yang banyak dipakai lelaki Islam di negara ini adalah haram kerana diperbuat daripada 100 peratus sutera. - UTUSAN ONLINE

Thursday, February 20, 2014

1164) BERITA HARIAN 19/2/2014 KAJI SEMULA SYARAT MILIKI 10 KAD SIM





Headline: Kaji semula syarat miliki 10 kad SIM
Publication: BH
Date of publication: Feb 19, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Syed Azwan Syed Ali; Sarah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kaji semula peraturan yang membenarkan setiap individu mendaftar sehingga 10 talian prabayar.

Itu desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung isu penjualan kad SIM haram yang boleh menggugat keselamatan negara.

Peraturan sedia ada membuka ruang kepada penyelewengan dan penyalahgunaan maklumat peribadi oleh pihak ketiga yang mungkin mendaftarkan baki sembilan lagi talian prabayar itu tanpa pengetahuan penama asal.

Daftar nama individu lain

Lebih memburukkan keadaan, kad SIM prabayar yang didaftarkan atas nama individu lain itu dikhuatiri digunakan pihak tidak bertanggungjawab termasuk penjenayah.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman, berkata SKMM perlu mengkaji peraturan sedia ada yang membolehkan pengguna mendaftar sehingga 10 talian prabayar.

"Ia buka ruang kepada salah guna kerana kad SIM prabayar sama akan digunakan semula selepas ia tidak lagi aktif. Dalam hal ini, syarikat telekomunikasi kena bertanggungjawab sebab mereka mempunyai pangkalan data pengguna dan boleh mengesan jika ada perkara tak kena.

"Kalau kita tengok secara khusus, majoriti pengguna tidak memerlukan sehingga 10 talian telefon," katanya mengulas isu penjualan kad SIM prabayar haram dibongkar Unit Khas BH sejak Ahad lalu.

Akhbar ini melaporkan penjualan kad SIM prabayar tanpa perlu mendaftar itu boleh dibeli dengan mudah di ibu negara, termasuk di pusat beli-belah dan pusat tumpuan pelancong seperti Chow Kit.

Lebih membimbangkan apabila kad SIM haram itu dijual secara terbuka termasuk kepada pendatang asing sekalipun SKMM mewajibkan syarikat telekomunikasi dan wakilnya memastikan pengguna mengemukakan dokumen pengenalan diri bagi mengelakkan ia disalah guna, berkuat kuasa Januari 2006.

35.9 juta talian prabayar

Isu membabitkan lebih 35.9 juta talian prabayar itu menimbulkan kebimbangan kerana penggunaannya membuka ruang kepada perlakuan jenayah seperti penipuan, peras ugut, kongsi gelap mahupun pengganas kerana talian telefon itu tidak didaftarkan di atas nama pengguna akhir.

Menyokong kajian semula had maksimum 10 talian itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman menegaskan perlunya kawalan dan inventori pendaftaran di peringkat pengedar kad SIM prabayar bagi mengelakkan penjualan kad SIM haram itu.


"Penjual kad SIM ini juga perlu didaftarkan atau dilesenkan, kawal peringkat sumber. Pihak berkuasa juga perlu pastikan hukuman maksimum dilaksanakan," katanya.

1163) UTUSAN MALAYSIA 19/2/2014 ELAK PUKAL : SEDIAKAN DAFTAR PEMBELI




KUALA LUMPUR 18 Feb. - Kerajaan perlu memastikan pihak pemaju perumahan menyertakan senarai daftar pembeli untuk setiap projek perumahan bagi membendung pembelian hartanah secara pukal oleh pihak tertentu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, langkah itu perlu supaya pihak pemaju tidak bersubahat dengan kumpulan pelabur hartanah berkenaan yang berniat mengaut keuntungan berganda.

"Kumpulan pelabur hartanah inilah yang menyebabkan berlaku lonjakan harga rumah yang melampau sehingga menafikan hak pengguna lain yang lebih memerlukan rumah.

"Mereka memegang rumah berkenaan untuk satu tempoh dan menjualnya kembali pada harga yang lebih tinggi kepada golongan berduit dan mudah mendapat pembiayaan daripada pihak bank," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam, yang mahu mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bagi membendung pembelian hartanah secara berkumpulan.

Menurut Abdul Rahman, kumpulan dikenali sebagai 'Kelab Pelabur Hartanah' itu beroperasi dengan menemui pemaju perumahan untuk membeli rumah dalam jumlah yang banyak atau pukal dan menjualnya kembali dengan harga lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, tindakan berkenaan satu bentuk penindasan terhadap pengguna terutama pengguna bumiputera.

"Banyak aduan yang diterima, pengguna mengadu rumah habis dijual tetapi selepas lima atau enam bulan kumpulan yang membeli rumah secara pukal ini akan menjualnya pada harga tinggi dan tidak mampu dibeli oleh pengguna bumiputera.


"Jika perlu kerajaan boleh tarik lesen pemaju yang ingkar kerana mereka hanya mengejar keuntungan hingga mengetepikan peluang pengguna lain untuk memiliki rumah," katanya.

Monday, February 17, 2014

1162) UTUSAN MALAYSIA 15/2/2014 VANDALISME ANCAMA TELEFON AWAM




KESEDARAN sivik dan penekanan terhadap nilai-nilai murni sangat penting dalam membentuk budaya masyarakat yang menghargai telefon awam.

Jika tidak, perbuatan vandalisme akan terus berleluasa lantas menimbulkan kesukaran dan mungkin memudaratkan pengguna lain yang memerlukan khidmat telefon awam di saat genting.

Melihat kepada statistik vandalisme yang dikeluarkan Muzium Telekom pada tahun 2001 hingga 2007, ternyata begitu banyak kes vandalisme.

Bermula pada 2001, jumlah keseluruhan vandalisme yang dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 9,631 kes, 9,745 (2002), 7,404 (2003), 10,898 (2004), 7,851 (2005), 2,002 (2006) dan 241 (2007).

Walaupun terdapat penurunan masalah tersebut pada 2004 hingga 2007, namun tiada petunjuk bahawa kesedaran kepentingan menjaga telefon awam sudah meningkat.

Ini berikutan banyak aduan dan rungutan dipaparkan di dalam media mengenai kerosakan telefon awam dan kemungkinan penurunan berlaku disebabkan faktor peralihan kepada gajet yang lebih canggih.

Menurut Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya, kes vandalisme merupakan isu utama yang sering kali dikaitkan dengan telefon awam.

"Sikap segelintir pengguna yang suka memecahkan telefon, putuskan wayar dan mencabut ganggang menyebabkan banyak telefon awam tidak boleh digunakan. Bahkan, ada juga yang mencuri duit syiling.

"Sebab itu, perubahan sikap amat penting dan menjadi perkara utama yang perlu ditekankan bagi memastikan kemudahan telefon awam dapat digunakan secara berterusan," katanya.

Katanya, setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran, jika tidak telefon awam yang kian berkurangan akan hilang dari pandangan umum.

"Walaupun orang ramai sudah beralih kepada penggunaan telefon bimbit, namun kemudahan telefon awam juga amat penting.

"Manalah tahu tiba-tiba berlaku kecemasan dan pada masa sama telefon bimbit pula kehabisan bateri atau tidak ada kredit, bukankah telefon awam boleh menyelamatkan keadaan," katanya.

Saharuddin berkata, kadang-kadang kerosakan telefon awam disebabkan vandalisme ini berlaku kerana kegagalan kemudahan itu berfungsi.

"Kita tidak menolak kemungkinan rasa marah yang timbul akibat tidak dapat membuat panggilan walaupun duit telah dimasukkan atau 'ditelan' mendorong seseorang untuk melakukan vandalisme.

"Justeru, kualiti perkhidmatan juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk sistem dan mekanikal telefon itu sendiri," katanya.

Beliau pada masa sama menyarankan agar kemudahan telefon awam mengutamakan penggunaan kad berbanding duit syiling kerana langkah itu dapat mengurangkan vandalisme.

"Menerusi langkah itu, risiko kecurian duit syiling secara tidak langsung dapat ditangani sekali gus mengelakkan syarikat telekomunikasi menanggung kerugian yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan tidak menafikan perbuatan vandalisme berlaku akibat kurang didikan dan penerapan nilai-nilai murni dari segi kesedaran menjaga kemudahan awam.

"Sesetengah pengguna mempunyai satu penyakit 'gatal' tangan nak buat vandalisme. Pantang nampak telefon awam, mulalah rosakkan semua benda, dengan telefon sekali dicabutnya.


"Itu adalah salah satu tabiat buruk yang perlu diperbetulkan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang bijak berfikir," katanya

Friday, February 14, 2014

1161) HARIAN METRO 13/2/2014 INI TIDAK ADIL




Headline: 'Ini tidak adil'
Publication: HM
Date of publication: Feb 13, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 039
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Jika yang dimaksudkan itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), saya anggap ia adalah fitnah yang nyata. Di peringkat persatuan kita sudah bincang dan kesal dengan beberapa kenyataannya yang mengaitkan kami dengan tawaran menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman.

Pada satu sidang media semalam, beliau menafikan pihaknya menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang menampar wakil rakyat itu berikutan penghasilan video klip yang mencetuskan kontroversi seperti dinyatakan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dalam laman sosial.

Katanya, dalam demonstrasi menyatakan kecaman kepada Teresa 6 Februari lalu, PPIM bersama badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menyatakan pendirian berhubung isu itu, namun bukannya menjadi satu-satunya pihak yang membuat tawaran itu.

"Memang seorang daripada aktivis kita menjadi jurucakap pada hari itu, tetapi, dia bukannya mewakili PPIM, sebaliknya gabungan NGO lain yang turut serta. Jadi tidak adil untuk mengatakan PPIM menawarkan ganjaran itu.

"Dia juga kata PPIM tidak Islamik dan tidak mewakili komuniti Islam, jadi apakah usaha membela pengguna Islam selama ini yang kita lakukan tidak mencerminkan Islam? Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berkata begitu, seolah-olah sangat bencikan PPIM," katanya pada sidang media itu di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Dr Maamor berkata, Zuraida juga di dalam kenyataan itu mendakwa NGO yang ada ketika ini banyak menyalahgunakan Islam untuk tujuan tertentu sedangkan selama ini banyak isu diketengahkan gabungan itu mendapat perhatian pihak berwajib.

Dalam satu kenyataan di laman sosial pada 7 Januari lalu, Zuraida dilapor sebagai berkata, tindakan PPIM membuat tawaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Ahli Parlimen itu tidak Islamik serta menyuburkan kebencian dalam kalangan rakyat.

"Sebagai wakil rakyat, dia sepatutnya rujuk fakta sebenar dan boleh dapatkan penjelasan terlebih dulu sebelum bercakap. Kita ada ramai ahli dan ini mungkin boleh mengelirukan masyarakat sedangkan PPIM turut sama dalam perhimpunan itu.


"Dia sebut PPIM yang tawarkan, seolah-olah hanya PPIM saja sedangkan ia daripada gabungan NGO. Kita kesal, namun tidak akan membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

1160) HARIAN METRO 13/2/2014 HASIL DALAM 3 BULAN




Headline: Hasil dalam 3 bulan
Publication: HM
Date of publication: Feb 13, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 032
Byline / Author: Oleh Ikram Ismail


Kuala Lumpur: Kempen kepenggunaan yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDPNKK) bersama 20 badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan mendidik pengguna dijangka diketahui tahap keberkesanannya dalam masa tiga bulan.

Ketua Setiausaha Kementeriannya Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kempen itu diharap dapat mengubah pengguna menjadi pengguna yang bijak.

"Pelan jangka pendek yang diumumkan Menteri Datuk Seri Hasan Malek itu bermatlamat memberi kesedaran kepada pengguna.

"Semua 353 program yang bakal dilakukan dalam tempoh tiga bulan bersama NGO akan mengubah persepsi pengguna agar tahu hak mereka,"katanya ketika di hubungi.

Alias berkata, apabila tempoh tiga bulan tamat, kementerian akan meneliti tahap keberkesanan kempen berkenaan.

"Kemudian pembentangan terhadap tahap keberkesanan akan dibentang oleh NGO yang terbabit kepada kementerian.

"Selepas itu kita akan melancarkan lagi program-program lain yang sesuai,"katanya.

Pada Isnin lalu, Hasan telah melancarkan kempen berkenaan yang memperuntukkan RM3.5 juta sebagai sebahagian rancangan jangka pendek di bawah pelan lima tahun Tindakan Pemerkasaan Pendidikan Pengguna (2014-2019)

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Persatuan Suri,Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanitapuri), serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Kebangsaan (GPMS).

Sementara itu, ditanya berhubung program Makmal Mengenai Kos Sara Hidup di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Alias berkata, KPDNKK adalah salah satu agensi yang terbabit.

"Setakat ini, antara perkara yang sudah dibincang di dalam makmal ialah indeks harga pengguna, subsidi dikaji semula dan sebagainya.


"Bagaimanapun banyak lagi insentif lain yang perlu dibincangkan secara mendalam bersama agensi lain yang terlibat sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya

Thursday, February 13, 2014

1159) SINAR HAARIAN 13/2/2014 NGO SYOR PERBANYAKKAN SEKOLAH VERNAKULAR




KUALA LUMPUR - Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengesyorkan kerajaan menubuhkan lebih banyak sekolah vernakular bangsa dan kumpulan etnik lain di negara ini, selain Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), yang ada sekarang.
   
Langkah itu, menurut Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Hak Asasi Pengguna Pahang (HAPP) dan Pertubuhan Kemakmuran Masyarakat India Pahang, bertujuan mengukuhkan lagi gagasan 1Malaysia serta memupuk lebih keharmonian antara kaum.
   
Pengerusi KWMM Dzulkarnain Taib berkata, langkah itu juga menjadikan matlamat konsep 1Malaysia lebih inklusif serta tidak dilihat meminggirkan mana-mana suku kaum atau kumpulan etnik di Malaysia.
   
"Sekolah vernakular wajar diperluaskan merangkumi bangsa Melayu, suku kaum Orang Asli, Pribumi Sabah dan Sarawak serta kumpulan etnik minoriti yang lain seperti Siam, Malayalam, Telegu, Urdu, Hindi, Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Portugis dan pelbagai lagi termasuk sekolah agama dan Arab persendirian," katanya.
   
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Presiden HAPP Ram Ponnusamy.
 
Dr Maamor berkata, sekolah vernakular juga memberi peluang kepada pebagai bangsa dan kumpulan etnik mempelajari adat dan budaya masing-masing.
   
"Kalau sekolah vernakular untuk bangsa Melayu misalnya, ia akan membantu bangsa Melayu mempelajari adat dan adab Melayu, mempelajari tulisan Jawi yang semakin hilang ditelan zaman atau mempelajari gurindam, syair, sajak yang menjadi kebanggaan orang Melayu pada zaman dahulu," katanya.
   
Ram Ponnusamy pula berkata, meskipun beliau berbangsa Tamil, namun langkah itu amat bertepatan dalam usaha mengharmonikan lagi pelbagai kaum yang terdapat di negara ini.
   
"Malaysia mempunyai pelbagai kaum dengan pelbagai bahasa, mungkin boleh dipertimbangkan satu pendekatan baharu untuk memberi peluang lebih banyak bangsa dan suku kaum mempelajari budaya mereka di sekolah vernakular khas seperti SJKC dan SJKT," katanya.
   
Keempat-empat NGO itu turut berpendapat penubuhan lebih banyak sekolah vernakular merangkumi pelbagai kaum juga akan membantu mewujudkan sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, bersatu padu dan berkeyakinan.

1158) UTUSAN MALAYSIA 13/2/2014 ZURAIDA TIDAK WAJAR SOKONG TERESA




PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL