SUDAH sampai masanya institusi kewangan juga perlu menyumbang dalam bentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu pengguna terutama ketika berdepan situasi sukar.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, mengambil kira konteks perniagaan sejak puluhan tahun lalu, ini adalah kali pertama negara berdepan situasi sukar begini sehingga rakyat tidak dapat menjalankan rutin harian.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga, pengguna sebagai pendeposit menjadi tulang belakang kepada perniagaan institusi kewangan dan 'jasa' itu juga perlu dikenang dan berkongsi kesusahan dialami.
"Bukan lama pun, jumlah yang kita minta untuk moratarium juga tidaklah besar berbanding keuntungan sudah puluhan tahun.
"Beza kali ini bukanlah seperti pusingan kegawatan ekonomi seperti sebelum ini, tetapi keseluruhan kehidupan terjejas, jadi mereka patut lebih faham," katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas saranan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mahu semua institusi kewangan terbabit melupuskan terus kadar faedah atau keuntungan bagi meringankan beban pengguna.
Katanya, PPIM juga sedang meneliti untuk memberikan penarafan kepada institusi kewangan seperti yang diadakan setiap tahun dan CSR ini salah satu daripada kriterianya.
"Bank juga harus ingat, pengguna gerakan kuasa pengguna begitu besar di negara ini. Jika tidak bantu, kita sebagai NGO pengguna akan memberi penarafan supaya pendeposit mengambil tindakan sewajarnya.
"Itu duit pendeposit, jadi sampai masanya mereka boleh membantu, bukan lama, enam bulan saja berbanding orang yang sudah meminjam untuk tempoh yang lama.
"Sekarang juga masih ada pinjaman berjumlah jutaan ringgit, jadi apa masalahnya kalau nak mansuhkan faedah hanya untuk tempoh tertentu," katanya.
SEKURANG-KURANGNYA 120 jenama penapis air yang diragui status halalnya berada di pasaran dan dijual pada harga murah berbanding penapis berjenama, menggunakan bahan daripada tulang haiwan sebagai karbon aktif bagi menapis kotoran.
Ia dijual di pasaran tempatan sejak lebih sepuluh tahun lalu ketika teknologi penapisan air mula diperkenalkan bagi menapis pelbagai jenis bahan tercemar dan sisa toksik yang berbahaya dalam air seperti klorin, logam berat dan seumpamanya.
Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mahyeddin Mohd Salleh berkata, kajian pihaknya menunjukkan ada penapis air menggunakan tulang haiwan yang dijadikan bio seramik bagi membekalkan kalsium pada air.
Katanya, kebanyakannya diimport dari negara luar yang tidak mempunyai pengesahan halal, dijual dengan harga lebih murah berbanding jenama terkenal menggunakan bahan semula jadi.
DR Mahyeddin. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
“Kajian mendapati kebanyakan tulang haiwan dalam industri diperoleh dari sumber haram atau diragui status halalnya.
“Memang tulang haiwan menjadi pilihan utama kerana harganya lebih murah dan mudah didapati.
“Jenis tulang dan cara tulang diperoleh, termasuk disembelih secara betul atau tidak itu diragui dan kebanyakan karbon aktif daripada tulang haiwan dihasilkan dari China.
“Jadi kita minta pengguna berhati-hati atau merujuk terlebih dulu dengan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya kepada Metro Ahad.
Dr Mahyeddin berkata, memandangkan sistem penapis air digunakan secara berskala besar untuk tujuan industri dan rumah adalah penting untuk pengguna khususnya umat Islam memastikan produk digunakan patuh syariah.
Katanya, antara bahan dari sumber semula jadi seperti cengkerang laut, tempurung kelapa dan sisik ikan tilapia boleh menggantikan tulang haiwan yang digunakan dalam industri penapis air dan ia disahkan halal.
ELEMEN tipikal dalam penapis air komersial.
“Bagaimanapun, ia lebih mahal daripada tulang haiwan kerana lebih sukar didapati sekali gus mendorong perbezaan harga ketara bagi produk penapis air ini.
“Sejak beberapa tahun lalu, pasaran produk penapis air meningkat dan negara kita juga tidak terkecuali.
“Kami bimbang penggunaan tulang haiwan menimbulkan persoalan dari sudut hukum.
“Berdasarkan kajian, kebanyakan bahan penapis air di Malaysia diimport terutama dari China dan Taiwan, menyebabkan kebarangkalian tinggi untuk tulang diambil daripada sumber haram atau syubhah.
“Penentuan hukum juga membabitkan aplikasi ‘istihalah’, memandangkan tulang yang digunakan dalam produk penapis air bukan lagi dalam bentuk asal, sebaliknya telah berubah ke bentuk arang dan bio seramik melalui proses pembakaran pada suhu tinggi.
“Justeru saya nasihatkan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati membeli produk penapis air yang semakin mendapat tempat kebelakangan ini.
“Buat rujukan terlebih dulu bagi memastikan barangan yang dibeli itu daripada sumber yang halal,” katanya.
KARBON aktif digunakan secara meluas dalam pembuatan elemen penapisan.
GESA PENGELUAR MOHON SPHM
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta pengeluar penapis air di negara ini tampil memohon Sijil Pengesahan Halal (SPHM) Malaysia bagi memastikan pengguna dapat menggunakan produk tanpa sebarang keraguan.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, hal itu perlu memandangkan permintaan terhadap penapis air sama ada yang digunakan di luar atau di dalam rumah semakin meningkat dan ia tidak boleh lari daripada aspek pengesahan halal.
Katanya, perkara itu seakan terlepas pandang kerana masyarakat selama ini memandang remeh isu penggunaan air bertapis di rumah kerana lebih memberi fokus kepada penyediaan makanan halal di restoran.
KETUA Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Paduka Nadzim Johan. FOTO Supian Ahmad
“Ini isu yang penting. Jumlah 120 jenama ini juga sangat tinggi dan kita difahamkan ada lima syarikat pengeluar produk ini di Malaysia.
“Kita tidak tahu apakah produk mereka sudah mendapatkan pensijilan halal seperti ditetapkan.
“PPIM juga berharap agar pengeluar dapat memastikan karbon aktif ini bukan diperbuat daripada tulang haiwan, sebaliknya bahan-bahan lain yang boleh dijadikan alternatif. Apapun, pengguna perlu dimaklumkan.
“Setakat ini kita menerima aduan tidak rasmi daripada orang awam. Tidak banyak forum membincangkan perkara ini, kalau ada pun, hanya bahan ilmiah daripada penyelidik dan ahli akademik,” katanya.
Nadzim berkata, pihaknya juga akan menggerakkan kempen kepada ahli agar lebih berhati-hati membeli apa juga produk terutama yang diimport dari luar negara bagi memastikan ia menepati piawaian halal ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
RAMUAN HAIWAN WAJIB DIPERIKSA
Berdasarkan pemeriksaan lapangan yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain), ada penemuan penapis air yang mengandungi bahan dari sumber haiwan seperti tulang dan lemak.
Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim Bukhari Md Akhir berkata, bagaimanapun, masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kesimpulan secara menyeluruh komponen yang terkandung dalam penapis air adalah daripada sumber bahan tidak halal.
Katanya, ini kerana di dalam pensijilan halal, segala sumber bahan mentah atau ramuan yang berasaskan haiwan adalah kritikal serta status kehalalannya wajib diperiksa dan disahkan pihak berautoriti sebelum digunakan mana-mana pemegang atau pemohon SPHM.
Menurutnya, syarat berkenaan adalah antara keperluan umum yang perlu dipenuhi pemohon SPHM untuk pelbagai skim yang ditawarkan dalam pensijilan halal Malaysia.
PENGARAH Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir di Kompleks Islam Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
“Pemeriksaan halal oleh Jakim dan Jain bukan sekadar secara dokumentasi semata-mata bahkan membabitkan pemeriksaan secara lapangan iaitu keberkesanan Sistem Jaminan Halal yang diamalkan syarikat terutama kepada premis makanan berangkai yang banyak menggunakan fasiliti penapis air.
“Penemuan penapis air mengandungi komponen haiwan akan menyebabkan permohonan SPHM dikenakan ketidakakuran pihak Jakim dan Jain hinggalah unsur meragukan itu dihindarkan penggunaannya dari premis atau produk yang mahu dipersijilkan halal.
“Situasi ini menjadi lebih rumit apabila ia membabitkan jumlah rangkaian yang banyak, masa yang lama untuk menggantikan penapis air yang mematuhi hukum syarak, kos dan komitmen tinggi daripada pemohon SPHM,” katanya.
Bukhari berkata, kerumitan itu mampu diatasi lebih awal jika pasukan Jawatankuasa Halal Dalaman mempunyai tahap ketelitian yang tinggi sebelum menghantar permohonan ke Jakim dan Jain.
“Sewajarnya, penilaian yang lebih mendalam terhadap semua aspek pemprosesan produk dan perkhidmatan halal diperhalusi sebaik mungkin dan dibincangkan secara serius sebelum pemasangan fasiliti membabitkannya dilakukan.
“Demi merancakkan lagi pertumbuhan bilangan pemegang SPHM dan kelestariannya, jabatan bersikap terbuka terhadap pelbagai bentuk perbincangan dengan industri yang menghadapi banyak kekangan untuk memenuhi syarat pensijilan demi kebaikan ummah sejagat,” katanya.
KUALA LUMPUR: Peluang kedua yang sebenar. Inisiatif itu diambil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang ‘menjemput’ bekas banduan dari Penjara Kajang, diberi latihan dan kerja untuk membolehkan mereka mengubah nasib dan masa depan.
Menerusi program Insan Sedia Berjasa (ISB) yang dimulakan dua bulan lalu, seramai 20 bekas banduan ditempatkan di beberapa premis perniagaan sekitar Lembah Klang termasuk restoran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejabat untuk memulakan hidup baharu.
Ia memberikan harapan betapa masih ada pihak yang menerima mereka selepas menempuh pengalaman pahit, keluar masuk penjara berulang kali kerana tiada peluang diberikan menyebabkan mereka terus memilih jalan salah.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif berkenaan diambil selepas pihaknya mengadakan beberapa siri pertemuan dengan banduan serta keluarga dan mendapati wujud keperluan mendesak untuk membantu bekas banduan di negara ini.
Katanya, pemerhatian pihaknya mendapati, kebanyakan bekas banduan akan kembali terjebak dengan ‘kerja lama’ kerana tiada sokongan atau peluang diberikan kepada mereka untuk berubah selepas keluar dari penjara.
“Ini satu cara kita untuk membantu kerajaan mengatasi lambakan banduan di penjara. Kita ambil mereka, beri latihan dan beri kerja. Kita juga adakan penjodohan pekerjaan bersama majikan untuk memastikan mereka sesuai bekerja di satu-satu tempat.
“Saya juga sudah menulis surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara memohon agar diberikan pertimbangan memohon lesen penjaja kerana mereka hanya perlukan peluang,” katanya.
Pemilik Ali Cafe Tomyam, Ali Syed Mohd, 53, antara majikan terawal yang menyokong ISB dan mengambil lima bekas banduan untuk bekerja dan membantu perniagaan di restoran miliknya sejak sebulan lalu.
Menurutnya, ia sebahagian tanggungjawab yang perlu dipikul demi memastikan mereka tidak tergelincir semula dan melakukan kesalahan sama berulang kali sehingga menggadaikan masa depan.
“Alhamdulillah sejak mereka bekerja di sini, saya lihat tidak ada masalah sebenarnya. Sebaliknya mereka lebih tekun dan berdisiplin dalam kerja mungkin kerana menghargai peluang yang diberikan.
“Insya-Allah, saya akan ambil lagi mereka dan latih untuk menjadi peniaga sama seperti saya. Yang penting, mereka mahu berubah dan menyesali kesalahan sebelum ini.
“Bagi saya, sama ada mereka bekas banduan atau tidak, itu tidak penting yang mustahaknya kesungguhan untuk menjadi manusia berguna,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya juga menyokong usaha berkenaan dan akan memberi peluang kepada bekas banduan bekerja di restoran milik ahli persatuan itu.
Katanya, selain bekerja untuk mendapatkan gaji, ia juga sebahagian tuntutan agama membantu sesama insan, apatah lagi ketika banyak pihak mengambil sikap acuh tak acuh untuk mengambil pekerja dari kalangan bekas banduan.
BEKAS banduan mendengar nasihat daripada Ali.
Nekad terus berubah
“SAYA menangis apabila dapat tahu ada pihak sudi memberikan kerja kepada bekas banduan seperti saya kerana sebelum ini saya tiada pilihan sehingga terpaksa buat kerja kotor semula untuk mendapatkan wang.
Sejak 2015, saya keluar masuk penjara atas kesalahan samun sebanyak enam kali kerana setiap kali bebas, amat sukar untuk mendapatkan kerja walaupun sebagai tukang cuci pinggan kerana status bekas banduan.
Sampai satu ketika, saya rasa tidak ada lagi peluang buat bekas banduan seperti saya dan rakan untuk kembali berbakti kepada keluarga dan masyarakat selepas merasai sendiri bagaimana masyarakat memandang sinis kepada kami.
Ketika dimaklumkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan melatih, memantau dan menyediakan peluang, saya seperti tidak percaya ada pihak sanggup menerima kami untuk bekerja, saya rasa seperti hidup semula kerana pengalaman sebelum ini membuatkan saya berputus asa.
Selama sebulan di PPIM, Datuk Nadzim (Johan) bersama aktivis lain banyak memberi dorongan dan kata-kata semangat kepada kami supaya teruskan perubahan yang baik dan jangan lagi terpedaya dengan pujukan untuk kembali buat jahat.
Alhamdulillah, keluarga juga gembira dengan perubahan saya dan saya nekad untuk terus berubah, buat yang terbaik untuk diri sendiri dengan mencari sebanyak mungkin pengalaman untuk membantu orang lain pula selepas ini.”
Sabri, 25 (kesalahan samun)
Majikan memahami
“Selama dalam penjara sejak 2005, saya tak pernah terfikir satu hari akan keluar dan mempunyai pekerjaan yang baik, majikan yang memahami serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang sudi mendengar rintihan bekas banduan.
Apa yang saya tahu, kemungkinan untuk saya kembali ke penjara adalah tinggi kerana bila kita keluar, semua akan memandang kami seperti sampah, jauh sekali untuk mengambil kami bekerja.
Tetapi ISB mengubah tanggapan itu dan saya rasa bertuah kerana ada pihak yang menerima kami seperti keluarga sendiri, tidak meminggirkan walaupun saya sudah empat kali keluar masuk penjara kerana pelbagai kesalahan.
Saya akui, dulu saya terjebak kerana pengaruh rakan-rakan dan ingin mendapatkan duit mudah tanpa memikirkan masa depan keluarga termasuk dua anak saya.
Peluang ini memberikan saya keyakinan meneruskan hidup dan saya amat berharap agar masyarakat tidak memandang hina bekas banduan seperti kami dan berilah peluang untuk kami menebus kesalahan lalu.
Walaupun bekerja sebagai pembantu restoran, saya akan buat yang terbaik untuk balas kepercayaan majikan yang tidak putus-putus memberikan nasihat dan tunjuk ajar walaupun tahu latar belakang saya sebelum ini.”
Amrin, 34 (pecah rumah, miliki barang curi)
'Saya hanya minta satu peluang'
“Selama ini saya hanya minta satu peluang dan Allah makbulkan, saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang tawarkan peluang itu ketika orang lain memang tak bagi harapan.
Sebulan sebelum saya bebas, pihak penjara ada tanya mengenai peluang untuk bekerja, dan saya maklumkan saya mahu bekerja, asalkan dapat duit yang halal.
Setakat ini saya membantu PPIM untuk kerja-kerja di pejabat dan walaupun bergaji kecil saya rasa cukup dan tenang kerana dikelilingi individu positif dan sentiasa mengambil berat, tidak seperti sebelum ini.
Dulu saya pernah hidup mewah dengan kerja haram, tetapi kali ini, peluang ini menjadikan saya insaf betapa masih ada orang yang sayang dengan bekas banduan dan sudi berkawan.
Saya berdoa supaya kekal begini sampai bila-bila dan bersyukur kerana keluarga juga menyokong saya di sini dan mereka mahu saya membalas jasa dengan melakukan perkara yang baik.
Bila melalui pengalaman dalam ISB ini, saya tidak akan menoleh ke belakang lagi kerana tidak mahu menghampakan mereka yang memberikan kehidupan baru kepada saya dan rakan-rakan.”
KERAJAAN digesa mengkaji semula denda RM500 yang dikenakan kepada majikan jika pembantu rumah atau amah menghadapi masalah serta melarikan diri.
Ini kerana mereka sudah rugi berkali ganda sejak dari awal menggaji amah termasuk membawa mereka masuk ke negara ini selain kerugian akibat kecurian dan kehilangan lain.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh kerana yang rugi adalah majikan dan bukan amah itu sendiri.
Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia perlu melihat kembali kewajaran denda itu berdasarkan fakta kes kerana banyak aduan diterima mengenai majikan yang teraniaya akibat amah yang lari bersama barangan berharga.
“Itu belum lagi mereka tinggalkan anak-anak kecil di bawah jagaan begitu saja. Ada yang lari ikut teman lelaki, rakan senegara dan pelbagai lagi masalah lain.
“Apakah kita yang bayar belasan ribu ringgit ini dikira salah jika amah yang lari.
“Sudahlah begitu, kerajaan menetapkan denda sedangkan duit yang sudah dikeluarkan juga banyak untuk mendapatkan khidmat mereka. Akhirnya apa pun tak dapat, rugi pula lagi,” katanya.
Beliau mengulas nasib malang majikan yang seolah-olah tidak terbela ekoran masalah amah lari dari rumah yang sudah berlarutan sekian lama dilaporkan akhbar ini, semalam.
Sebanyak 30,560 kes direkodkan sejak 2015 hingga Julai 2019 dan berdasarkan kiraan RM12,000 seorang, majikan mengalami kerugian lebih RM367 juta sepanjang tempoh berkenaan.
Nadzim berkata, PPIM juga menerima banyak aduan berkaitan amah termasuk isu yang diketengahkan dan meminta penjelasan pihak berwajib berhubung perkara itu.
“Banyak, memang banyak aduan mengenai amah ini. Kebanyakannya semua memberikan masalah kepada majikan.
“Saya rasa kerajaan perlu juga memikirkan kaedah lain untuk memastikan majikan dilindungi daripada sebarang penipuan.
“Mungkin perlu melihat semula peraturan sedia ada serta perjanjian antara negara sumber supaya isu ini boleh diatasi demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya.
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan tindakan sebuah kedai buku yang meletak dan mempamer al-Quran di lantai.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu kelmarin dan siasatan awal mendapati al-Quran berkenaan diletakkan di bawah disusun meninggi di sebuah kedai buku terkenal.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan pemilik kedai berkenaan sepatutnya lebih sensitif kerana ia adalah rujukan tertinggi di dalam Islam.
“Sepatutnya ia tidak diletakkan di bawah kerana orang Islam sendiri menjunjung al-Quran dan diletakkan di tempat yang sepatutnya, bukan di lantai.
“PPIM meminta penjelasan pemilik kedai dan akan merujuk kes ini kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Metro Ahad.
Nadzim berkata, tindakan seperti itu seolah-olah mempersenda umat Islam dan satu lagi cubaan menggugat sensitiviti agama seperti yang dilakukan pihak tertentu sebelum ini.
“Kita pernah ada jualan arak pada bufet Ramadan, kita pernah ada kes berhala pada botol minuman berlogo halal dan kini al-Quran diletak di lantai seperti di kaki manusia.
“PPIM memandang serius perkara ini dan berharap tindakan tegas diambil agar tidak lagi berlaku pada masa depan,” katanya.