Showing posts with label KELDAI AKAUN. Show all posts
Showing posts with label KELDAI AKAUN. Show all posts

Wednesday, July 1, 2026

ISU KELDAI AKAUN: PPIM GESA KAJI SEMULA PENDEKATAN SUPAYA MANGSA SEBENAR TIDAK TERANIAYA - HARIAN METRO - 01/07/2026

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan dan agensi berkaitan mengkaji semula pendekatan menangani jenayah penipuan kewangan, khususnya membabitkan keldai akaun supaya individu yang benar-benar menjadi mangsa tidak terus dihukum.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata sistem keadilan jenayah perlu memberi keutamaan kepada siasatan yang menyeluruh bagi memastikan tindakan hanya dikenakan terhadap individu yang benar-benar bersalah.

Jelasnya, terdapat kes membabitkan pemegang akaun yang mendakwa mereka tidak mengetahui akaun bank mereka disalahgunakan oleh sindiket penipuan, namun berdepan pelbagai sekatan sehingga menjejaskan kehidupan.

"Kita mahu sistem keadilan jenayah benar-benar memihak kepada rakyat yang teraniaya. Siasatan perlu dilakukan dengan teliti supaya jika seseorang itu benar-benar memperoleh manfaat daripada jenayah berkenaan, dia bertanggungjawab.

"Tetapi jika dia sendiri tidak tahu akaunnya dimanipulasi, dia pula menjadi mangsa.

"Individu yang disenarai hitam akibat dikaitkan dengan keldai akaun berdepan kesukaran membuka akaun bank baharu, mendapatkan pekerjaan, membuat pinjaman serta meneruskan pengajian," katanya dalam sidang media berkaitan penipuan di sini, hari ini.

Katanya, keadaan itu memberi kesan besar kepada kehidupan mangsa dan keluarga mereka.

Nadzim berkata, sehubungan itu PPIM akan mengemukakan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Menteri Komunikasi serta kementerian dan agensi berkaitan bagi menggesa penambahbaikan dasar dan prosedur pengendalian kes.

Aktivis itu turut mendakwa terdapat kelemahan dalam sistem perbankan yang menurutnya masih membuka ruang kepada penyalahgunaan transaksi, termasuk isu paparan transaksi "float" yang boleh mengelirukan pengguna.

Mengulas statistik penipuan kewangan, Nadzim berkata pihaknya menerima 10,000 aduan berkaitan keldai akaun, manakala keseluruhan kerugian akibat jenayah penipuan dianggarkan mencecah RM2.6 bilion berdasarkan yang diperoleh daripada pihak polis.

"Jumlah itu menunjukkan masalah berkenaan semakin serius dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

"Semua pihak mempunyai peranan termasuk pengguna, institusi kewangan dan pihak berkuasa. Pengguna memang perlu lebih berhati-hati tetapi jika mereka tidak cuai sekalipun, mereka tetap perlu diberi perlindungan. Kaedah sedia ada perlu dinilai semula supaya mangsa tidak terus menjadi mangsa," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

ISU KELDAI AKAUN: PPIM GESA KAJI SEMULA PENDEKATAN SUPAYA MANGSA SEBENAR TIDAK TERANIAYA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/07/1377755/isu-keldai-akaun-ppim-gesa-kaji-semula-pendekatan-supaya-mangsa-sebenar 

CUKUP-CUKUP MEMANGSAKAN MANGSA!!! RAKYAT KECEWA MENGAPA MANGSA SCAM MASIH GAGAL DILINDUNGI!!! - SIDANG MEDIA PPIM - 01/07/2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan (scam) di negara ini yang disifatkan semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

Dalam sidang media Kempen Anti-Scam, PPIM menegaskan bahawa Malaysia berisiko menjadi destinasi pilihan sindiket penipuan antarabangsa sekiranya kelemahan dalam sistem penguatkuasaan, perbankan dan telekomunikasi tidak ditangani dengan tegas.

PPIM turut membangkitkan isu kelemahan kawal selia pendaftaran kad SIM serta sistem transaksi perbankan yang didakwa membuka ruang kepada sindiket scam memperdaya mangsa. Menurut PPIM, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperkukuh sistem keselamatan bagi melindungi pengguna.

Selain itu, PPIM melahirkan kebimbangan terhadap nasib individu yang menjadi "keldai akaun" (mule account), khususnya mereka yang diperdaya oleh sindiket penipuan. Ramai dalam kalangan mereka berdepan tindakan undang-undang dan kesukaran meneruskan kehidupan akibat rekod jenayah, sedangkan dalang sebenar masih sukar dibawa ke muka pengadilan.

PPIM turut menekankan bahawa kerugian akibat jenayah scam kini mencecah berbilion ringgit setiap tahun, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memperkukuh undang-undang serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Sehubungan itu, PPIM menggesa kerajaan mengadakan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan bagi menambah baik sistem sedia ada, termasuk memberi tumpuan kepada usaha mengesan aliran wang, membanteras rangkaian sindiket dan membawa dalang utama ke muka pengadilan.

PPIM juga menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan dan tampil membuat aduan sekiranya menjadi mangsa, demi memastikan jenayah scam dapat dibanteras secara lebih berkesan.

Friday, December 8, 2023

PPIM CADANG TINGKATKAN HUKUMAN KEPADA PENIPU DALAM TALIAN - SINAR HARIAN - 08/12/2023

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan Jabatan Peguam Negara (ACG) mengenakan hukuman paling berat kepada penipu dalam talian iaitu penjara selama lima tahun dan bayaran denda sehingga ratusan ribu.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan boleh melaksanakan hukuman itu dengan mengkaji semula denda yang dikenakan kepada pesalah di bawah Kanun Keseksaan 417 iaitu bayaran sebanyak RM3,000 sahaja.

“Denda itu tidak masuk akal kerana selepas membayarnya, penipu akan dibebaskan. Jadi, mereka (penipu) boleh melakukan semula aktiviti ini kepada orang lain.

“Mangsa penipuan yang kehilangan ribuan ringgit pula didakwa di bawah undang-undang apabila akaun mereka terlibat dalam kegiatan haram,” katanya semasa sidang akhbar di Kondominium Vila Puteri, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pegawai Khas Penyiasatan PPIM, Adrian Fernandez; Pengerusi Parti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizam dan peguam, Shahrin Satheer.

Dalam pada itu, Shahrin turut mencadangkan penggubal undang-undang untuk mewajibkan hukuman penjara kepada penipu dalam talian yang berlaku di negara ini.

Jelasnya, individu yang melakukan penipuan tersebut perlu dijatuhkan hukuman penjara dan denda, bukan hanya salah satu daripadanya.

“Saya rasa tidak berapa masuk akal, ini kes penipuan. Tidak perlu ada ‘atau’, sepatutnya penjara ‘dan’ denda. Itu baru betul.

“Undang-undang ini semua sudah ada cuma perlu digerakkan untuk menangkap penipu yang terlibat,” ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM CADANG TINGKATKAN HUKUMAN KEPADA PENIPU DALAM TALIAN

https://www.sinarharian.com.my/article/638711/berita/semasa/ppim-cadang-tingkatkan-hukuman-kepada-penipu-dalam-talian

'KETATKAN LAGI UNDANG-UNDANG SUPAYA 'SCAMMER' TAK BERANI LAGI BUAT' - HARIAN METRO - 08/12/2023

 

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara digesa untuk merayu semula hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di Melaka terhadap 16 individu yang dijatuhi hukuman denda RM3,000 setiap seorang atau tujuh bulan penjara kerana melakukan penipuan dalam talian baru-baru ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya berasakan hukuman yang dijatuhkan itu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh 16 individu tersebut.

Katanya, hukuman dikenakan seharusnya paling maksimum agar mereka yang melakukan penipuan dalam talian ini tidak berani melakukan kesalahan serupa selepas ini.

"Kita meminta Pejabat Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji balik dan membuat rayuan dalam masa 14 hari ini (berkenaan keputusan kes).

"Ada beberapa hari lagi (untuk dibuat rayuan) agar perkara ini tidak dilepaskan begitu sahaja dan mereka ini diberi hukuman yang setimpal," katanya pada sidang medianya di ibu pejabat PPIM di sini, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media, Pengerusi Anti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizan Ibrahim.

Pada 28 November lalu, 16 individu dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM48,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka selepas mengaku bersalah melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai pihak daripada pakatan jenayah telah melakukan kesalahan memperdayakan mangsa-mangsa di United Kingdom dalam tawaran pekerjaan dalam talian yang tidak wujud.

Mengulas isu sama, Mohd Fakrunizan pula melihat denda yang dikenakan sebanyak RM3,000 setiap seorang itu sebagai kecil dan tidak akan memberikan kesan kepada mereka yang melakukan penipuan dalam talian.

"'Scammer' ini selepas bayar (denda) RM3,000, dia buat balik dan (mendapatkan keuntungan) berpuluh kali ganda.

"Tolong ambil isu ini sebagai isu nasional dan ketatkan lagi undang-undang supaya 'scammer' ini tidak berani lagi membuat perkara seperti ini," katanya.

Beliau berkata, hukuman terhadap mereka yang melakukan penipuan dalam talian ini perlulah berat kerana yang menjadi mangsa kebanyakannya adalah individu susah.

"Pastikan hukuman lebih berat dikenakan kepada golongan ini sebab yang kenanya bukan orang senang tetapi orang susah dan orang kampung. Kadang-kadang yang mudah ditipu ini orang tua dan tidak berpendidikan.

"Kepada orang-orang ini, nilainya tinggi kepada mereka (kerana wang itu) hasil titik peluh masing-masing," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

'KETATKAN LAGI UNDANG-UNDANG SUPAYA 'SCAMMER' TAK BERANI LAGI BUAT'

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/12/1038527/ketatkan-lagi-undang-undang-supaya-scammer-tak-berani-lagi-buat

PPIM DESAK HUKUMAN LEBIH TEGAS ATAS PESALAH SCAM - SIDANG MEDIA PPIM - 08/12/2023

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengucapkan tahniah kepada Pejabat Peguam Negara kerana berjaya mendakwa individu dipercayai scammer kewangan melibatkan kes keldai akaun.

Walau bagaimanapun, hukuman yang diterima oleh mereka iaitu denda RM3000 terlalu kecil dibandingkan dengan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa mereka.

Justeru, PPIM telah mengadakan satu sidang media untuk menggesa pihak Pejabat Peguam Negara merayu hukuman yang lebih setimpal terhadap pelaku.

Wednesday, April 13, 2022

PPIM GESA SIASAT PENJENAYAH SEBENAR KELDAI AKAUN - SINAR HARIAN - 13/04/2022

 

SHAH ALAM - Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap penjenayah sebenar di sebalik isu keldai akaun dan bukannya pemilik akaun.

Menurut beliau, yang menjadi masalah melibatkan isu keldai akaun adalah tindakan diambil terhadap pemilik akaun yang kebanyakannya merupakan mangsa keadaan.

“Jika terbukti ada unsur subahat, maka wajarlah tindakan diambil terhadap kedua-dua dalang dan pemilik akaun, namun selalunya pemilik akaun menjadi mangsa penipuan atau dipengaruhi pihak tertentu.

“Saya beri analogi mudah, pisau milik Leha digunakan Ali untuk menikam Abu. Maka pihak berkuasa sepatutnya menyiasat Ali dan bukannya Leha yang dicari di mahkamah.

 “Inilah isu besar yang menjadi kelompangan dan perlu segera dihentikan bagi mengelak pihak tidak bersalah teraniaya,” ujar Nadzim ketika ditemu bual di Shah Alam pada Selasa.

Menurut Nadzim atau mesra disapa sebagai Toqqi, pihak PPIM menerima ribuan aduan pihak yang menjadi mangsa isu keldai akaun dan amat menyedihkan apabila majoritinya adalah orang Melayu.

“Antaranya, seorang graduan yang baru beberapa hari menamatkan pengajian berdepan tindakan undang-undang hanya kerana dirinya pemilik akaun dalam kes yang disyaki membabitkan keldai akaun.

“Akaun dibuka atas permintaan ibunya yang hendak meminjam daripada ah long yang sebenarnya adalah scammer,” katanya.

Tegas Nadzim, kerajaan menerusi pihak berkuasa harus bertindak proaktif dalam menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan terhadap dalang yang sebenar-benarnya.

“Lakukan siasatan menyeluruh dan pastikan penjenayah sebenar dihukum, jangan hanya mahu tutup kes dengan segera,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mencadangkan supaya peruntukan undang-undang berkaitan jenayah penipuan dalam talian digubal bagi memberi lebih kuasa khususnya kepada polis dalam menguatkuasakan undang-undang dengan lebih berkesan.

Menurut Arjunaidi, kuasa yang lebih luas akan membolehkan polis menangkap, menyiasat dan mendakwa dalang penjenayah yang bersembunyi di belakang keldai akaun.

Dalam pada itu, Toqqi turut membangkitkan keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang bagi memastikan syarikat telco tidak menyalahkan gunakan butiran pemilik nombor telefon untuk tujuan penipuan atau scam dalam talian.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA SIASAT PENJENAYAH SEBENAR KELDAI AKAUN

https://www.sinarharian.com.my/article/197657/BERITA/Nasional/PPIM-gesa-siasat-penjenayah-sebenar-keldai-akaun

Friday, February 19, 2021

5425) KELDAI AKAUN | MANGSA DIHUKUM, SINDIKET MASIH BEBAS? - ASTRO AWANI - 18/02/2021

 


Laporan khas siri kedua sindiket keldai akaun rela atau paksa kali ini mengupas bagaimana Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memerangi jenayah atas talian itu. Menurut Pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob, modes operandi sindiket juga berubah-ubah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.


Artikel oleh: Astro Awani

KELDAI AKAUN | MANGSA DIHUKUM, SINDIKET MASIH BEBAS?


Thursday, December 17, 2020

6164) IKUTI FACEBOOK LIVE PPIM | KELDAI AKAUN - PPIM - 17/12/2020

Ikuti Facebook Live bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) toqqi bersama Peguam Rakyat, Tuan Mahmud Jumaat membincangan mengenai isu Keldai Akaun (Mule Account) pada 23.12.2020, Rabu, jam 1 petang.
BUKTIKAN keprihatinan anda!
Sokong dan Bantu kami untuk terus berjuang bersama Tabung Perjuangan PPIM.
Sumbangan bulanan anda akan terus menyokong usaha kami demi membela pengguna dan bangsa!
“Tidak ada balasan kebaikan melainkan kebaikan”
Ar-Rahman : 60
"Perjuangan Bersama Demi Pengguna!"
Jom, bersama perjuangan ini! : https://sumbangan.ppim.org.my/
Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(CIMB: 8604189567) *rujukan TPPPIM.
Hotline:013-2262 444



Saturday, August 1, 2020

5160) ELAK AKAUN BANK DIGUNA PIHAK LAIN - UTUSAN MALAYSIA - 01/08/2020


SAUDARA PENGARANG,

PENDEDAHAN Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini tentang 25,000 kes 'keldai akaun' yang didalangi sindiket di seluruh negara sejak tiga tahun lalu cukup mengejutkan. Pendedahan itu jelas membuktikan masih terdapat ramai yang sanggup menyewakan akaun bank semata-mata untuk mendapat wang segera yang sebenarnya tidak banyak. Yang untung sebenarnya anggota sindiket yang difahamkan mengutip keuntungan berkali-kali ganda lebih banyak.

Sehubungan itu, diharapkan mereka yang masih menyimpan hasrat untuk menyewa akaun bank mereka supaya membatalkan terus niat berkenaan. Ini kerana mereka yang menyewa akaun akan dicari pihak berkuasa dan bukannya anggota sindiket penipuan. Undang-undang jelas menyatakan kesalahan diletakkan kepada pemilik akaun walaupun dalam kes tertentu, mereka tidak mengetahui ia digunakan untuk tujuan menipu.

KUDA ZEBRA
Shah Alam


Artikel oleh: Utusan Malaysia

ELAK AKAUN BANK DIGUNA PIHAK LAIN

Monday, July 6, 2020

6100) PPIM KESAN 25,000 KES KELDAI AKAUN - METRO AHAD - 05/07/2020


Artikel oleh: Harian Metro

PPIM KESAN 25,000 KES KELDAI AKAUN

6099) PPIM REKODKAN 25,000 KES KELDAI AKAUN SEJAK 3 TAHUN LALU - HARIAN METRO - 04/07/2020


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima 25,000 kes keldai akaun yang didalangi sindiket di seluruh negara sejak tiga tahun lalu dan ia umpama kisah lama yang tidak selesai.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, 25,000 kes itu menerusi aduan terus kepada PPIM selain daripada maklumat diterima melalui rangkaian mereka.
Beliau berkata, isu itu berlanjutan hingga kini dengan jumlah mangsa dijangka meningkat ekoran terdapat kes terbaru beberapa minggu lalu.
Nadzim menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa untuk menghentikan perbuatan pihak tertentu yang menggunakan identiti orang lain untuk kepentingan sendiri, termasuk aktiviti menyalahi undang-undang negara.
"Ini isu yang kita terima beberapa tahun lalu dan seperti tiada kesudahan. Ada yang sudah dipenjara, ada yang terpaksa berkurung di rumah kerana takut. Peraturan yang ada pula meletakkan kesalahan kepada pemilik akaun walaupun dalam kes tertentu, mereka tidak mengetahui ia digunakan tanpa kebenaran.
"Sama ada kad pengenalan dicuri atau data diperoleh daripada pihak ketiga, mereka ini sudah dianiaya. Ada yang akaun mereka digunakan untuk urusan ceti haram, ada yang untuk perniagaan yang akhirnya terdedah kepada risiko mengambil deposit secara haram," katanya.
Nadzim berkata, isu itu sudah dibawa ke pengetahuan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, pada pertemuan baru-baru ini.
Menurut Nadzim, walaupun ia menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), namun peranan kementerian itu ditagih untuk memberi kesedaran kepada pengguna berkaitan kewujudan isu itu agar mereka mengambil langkah berhati-hati.
Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya turut menerima aduan seumpamanya dan merujuk kes berkenaan kepada PDRM serta BNM.
"Walaupun ia di bawah bidang Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, tetapi kita cadangkan kepada Bank Negara supaya memperkenalkan aplikasi bagi membolehkan pengguna mengetahui jumlah baki dalam akaun.
"Ada individu memiliki dua tiga akaun bank, dengan adanya aplikasi ini, ia akan menjadi lebih mudah. Kita boleh tahu kalau tiba-tiba ada orang masukkan duit RM20,000 contohnya, ke dalam akaun kita dan kita ditangkap kerana jenayah perdagangan," katanya.
Sehubungan itu, Rosol meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya memastikan bahawa akaun milik peribadi tidak digunakan orang lain.
"Sebagai rasa tanggungjawab, kementerian ini akan membantu memberikan ceramah kepada ibu bapa dan pelajar khususnya, supaya lebih berhati-hati," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM REKODKAN 25,000 KES KELDAI AKAUN SEJAK 3 TAHUN LALU

Thursday, January 2, 2020

5623) RAKYAT MALAYSIA RUGI RM1.8 BILION - HARIAN METRO - 02/01/2020


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merekodkan kerugian dialami rakyat Malaysia mencecah RM1.8 bilion membabitkan kes ceti haram, keldai akaun dan ‘scam’.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, faktor sikap menjadi punca utama mengapa masih ada mangsa bagi kes berkenaan termasuk mereka yang terperangkap dengan kes berulang dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini.
Katanya, secara purata, sebanyak 30 kes along diterima pihaknya setiap hari dengan nilai minimum pinjaman RM20,000 dengan sebahagian besarnya sudah diselesaikan secara rundingan bersama ceti haram terbabit.
"Untuk keldai akaun, kita ada beratus-ratus mangsa dengan nilai kerugian RM1 bilion dan jumlah itu semakin bertambah setiap hari. Saya yakin, lebih ramai lagi mangsa akan tampil selepas ini kerana mereka mula nampak jalan penyelesaian.
"Paling tidak, tempat untuk mengadu kerana sebelum ini, mereka tidak tahu kepada siapa hendak dirujuk. Ikutkan laporan polis, memang banyak dan kes seperti ini agak mengambil masa untuk diselesaikan. Ada juga kes yang sudah berjalan di mahkamah," katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, pihaknya juga menerima aduan mengenai pelbagai jenis penipuan terutama mereka yang berurusan secara online dan media sosial.
Katanya, semua aduan yang direkodkan akan dirujuk kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan dan pengguna mendapat pembelaan sewajarnya.
"Untuk tahun ini (2020), kita akan pelbagaikan bentuk kempen kepenggunaan iaitu memastikan agar pengguna peduli dengan hak mereka dan tahu apa tindakan perlu diambil sekiranya berdepan masalah.
"Di Malaysia, tahap kesedaran juga satu isu, ada yang tahu berdepan masalah tidak mahu buat laporan. Ada juga yang buat laporan beberapa kali, tapi tiada tindakan. Jadi saya rasa penting untuk kita semua tahu hak dan peranan masing-masing demi kebaikan bersama," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

RAKYAT MALAYSIA RUGI RM1.8 BILION


Friday, October 25, 2019

5428) TAK SANGKA INI TAWARAN KE PENJARA - MALAYSIA GAZETTE - 17/10/2019


KUALA LUMPUR –  “Saya trauma. Tidak pernah terfikir dalam hidup saya akan dipenjarakan sekaligus mempunyai rekod jenayah,” demikian luahan seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Jeff, yang berusia 27 tahun.
Jeff terpaksa menjalani hukuman penjara selama empat bulan selepas dijatuhkan hukuman bersalah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan. Dia juga terpaksa membayar denda berjumlah RM14,500 terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sejarah hitam dalam hidupnya bermula selepas dia memohon pekerjaan sebagai pemandu syarikat yang diiklankan dan ditampal di dinding sebuah restoran di Bangi pada awal April 2018, seterusnyna menyerahkan kad ATM miliknya kepada individu lain.
“Tak sangka, niat untuk mencari kerja yang lebih menjamin kehidupan saya sekeluarga akhirnya menjadikan masa depan saya gelap,” katanya.
Katanya, dia telah menghubungi nombor telefon yang tertera sebelum berjumpa dengan seorang lelaki di sebuah restoran untuk sesi temuduga.
“Lelaki itu beritahu saya diterima bekerja sebagai pemandu syarikat dengan gaji berjumlah RM2,500. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta saya membuka akaun bank di CIMB Bank untuk pembayaran gaji.
“Lelaki itu juga memberi saya wang tunai RM250 untuk membuka akaun bank berkenaan selain sentiasa berada di samping saya ketika proses membuka akaun,” katanya.
Jeff berkata, setelah urusan membuka akaun itu selesai, lelaki berkenaan telah meminta kad ATMnya dengan alasan duit syarikat berada di dalam akaun tersebut serta akan memulangkannya semula sebaik saja dia memulakan tugas. Bagaimanapun, selepas dua minggu, lelaki itu gagal dihubungi.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan akaun milik saya tiada wang selain tidak pernah memberi nombor pin kad ATM tersebut,” katanya.
Namun, jangkaannya meleset apabila pada Ogos 2018, dia dihubungi polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu yang memintanya hadir ke IPD berhampiran untuk diambil keterangan kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan wang.
“Saya telah memberi kerjasama dengan menghadirkan diri di Balai Polis Sungai Besi untuk merakamkan percakapan.
“Pada November 2018, polis daripada IPD Langkawi, Kedah pula menghubungi saya dan meminta saya hadir ke IPD berhampiran. Sekali lagi saya ke Balai Polis Sungai Besi untuk diambil keterangan. Namun, saya telah ditahan dan terus dibawa ke IPD Langkawi,” katanya yang ditemui ketika hadir di Biro Pembangunan Sosial (BPS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Menurutnya, untuk kes di Mahkamah Langkawi, dia telah dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan namun tidak mengaku salah dan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.
Bagaimanapun, Jeff gagal membayar ikat jamin berkenaan menyebabkan terpaksa dihantar ke Penjara Pauh, Perlis, sementara menunggu hari bicara.
“Pada hari perbicaraan, saya telah diarahkan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan,” dakwanya.
“Sewaktu menjalani hukuman penjara di Penjara Pauh, Perlis, saya turut dibawa ke Mahkamah Kuala Berang, Terengganu dan Batu Gajah, Perak untuk perbicaraan di sana serta terpaksa mengaku bersalah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dengan denda berjumlah RM14,500,” katanya yang turut memberitahu, ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara mara untuk membayar denda tersebut.
Jeff telah dibebaskan pada bulan Mac lalu namun terpaksa berhadapan dengan dua lagi pertuduhan iaitu di Kelantan dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kepincangan  perlaksanaan  sistem   perundangan   adalah   agenda  nasional yang perlu dikaji semula dan ditangani  segera  bagi  membenteras sindiket penipuan kewangan yang semakin kritikal.
Menurutnya, undang-undang sepatutnya menjaga kemakmuran dan seharusnya menegakkan keadilan bukan sekadar menyiasat kerugian sahaja.
“Undang-undang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan kadar  jenayah dan meningkatkan rasa selamat di kalangan masyarakat tetapi sebaliknya, umpama menyediakan   satu ruang yang hampir selesa  untuk  jenayah komersil semakin berleluasa.
“Kita merayu pada pihak berwajib utk mengkaji semula kaedah penguatkuasaan undang-undang ini sekaligus melindungi mangsa keldai akaun yang teraniaya.
“Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian negara dari segi kewangan malah kerugian modal insan yang seharusnya menjadi aset yang boleh dibangunkan,” katanya.
Seramai 50 pengadu kes keldai akaun telah datang ke PPIM untuk membuat sekaligus meminta khidmat nasihat.

Artikel oleh: Malaysia Gazette
TAK SANGKA INI TAWARAN KE PENJARA

Friday, October 18, 2019

5409) DIPENJARA SELEPAS SERAH KAD ATM KEPADA MAJIKAN - SINAR HARIAN - 17/10/2019


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tidak menyangka hasratnya untuk mencari pekerjaan menyebabkannya terpaksa meringkuk di penjara gara-gara menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada 'majikan'.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Jeff, 28, berdepan tuduhan penipuan wang menyebabkannya dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas didapati bersalah di bawah kes penipuan wang.

Bukan itu sahaja, malah Jeff juga terpaksa membayar denda berjumlah RM14,500 terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Berkongsi sejarah hitam dalam hidupnya itu, Jeff berkata, pada mulanya dia memohon pekerjaan sebagai pemandu syarikat yang iklannya ditampal di dinding sebuah restoran di Bangi, awal April tahun lalu.

Katanya, dia tidak menyangka niat untuk mencari kerja untuk menampung keluarga akhirnya menyebabkan masa depannya gelap selepas menyerahkan kad ATM miliknya kepada individu lain.

"Saya kemudiannya telah menghubungi nombor telefon yang tertera sebelum berjumpa dengan seorang lelaki di sebuah restoran untuk sesi temuduga.

"Individu terbabit kemudiannya memberitahu dirinya diterima bekerja sebagai pemandu syarikat dengan gaji berjumlah RM2,500.

"Lelaki tersebut meminta saya membuka akaun di sebuah bank untuk pembayaran gaji.

“Dia juga memberi saya wang tunai RM250 untuk membuka akaun bank berkenaan selain sentiasa berada di samping saya ketika proses membuka akaun,” katanya yang ditemui di Biro Pembangunan Sosial (BPS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Bagaimanapun, katanya, setelah urusan membuka akaun itu selesai, lelaki berkenaan telah meminta kad ATM miliknya dengan alasan duit syarikat berada dalam akaun tersebut serta akan memulangkannya semula sebaik saja dia memulakan tugas.

"Bagaimanapun, selepas dua minggu, lelaki tersebut gagal dihubungi.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan akaun milik saya tiada wang selain tidak pernah memberi nombor pin kad ATM tersebut,” katanya.

Jeff telah dibebaskan pada Mac lalu, namun terpaksa berhadapan dengan dua lagi pertuduhan penipuan wang iaitu di Kelantan dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kepincangan pelaksanaan sistem perundangan adalah agenda nasional yang perlu dikaji semula dan ditangani bagi membanteras sindiket penipuan kewangan.

Menurutnya, undang-undang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Kita merayu pada pihak berwajib utk mengkaji semula kaedah penguatkuasaan undang-undang ini sekali gus melindungi mangsa keldai akaun yang teraniaya.

“Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian negara dari segi kewangan malah kerugian modal insan yang seharusnya menjadi aset yang boleh dibangunkan,” katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

DIPENJARA SELEPAS SERAH KAD ATM KEPADA MAJIKAN

https://www.sinarharian.com.my/article/52643/EDISI/Selangor-KL/Dipenjara-selepas-serah-kad-ATM-kepada-majikan

Sunday, October 13, 2019

5387) KELDAI AKAUN!!.. SATU RANGKAIAN SCAMMERS - PPIM - 12/10/2019

KELDAI AKAUN!!.. SATU RANGKAIAN SCAMMERS YANG DIGUNAKAN UNTUK PENIPUAN JUALAN DALAM TALIAN. #JomViral #Kongsi #BendaBolehSettle
.
Scammer akan menggunakan akaun mangsa untuk aktiviti menipu mangsa lain terutama dalam urusan jual beli di media sosial, tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka.
.
Sekiranya mangsa penipuan jual beli membuat aduan mengenai jualan dalam talian, pihak berkuasa akan mencari pemilik akaun tersebut.
.
Dan pemilik akaun yang menyerahkan kad pula ditangkap atas kegiatan penipuan yang tidak diketahuinya.
.
Manakala Scammer terlepas dari penguatkuasaan kerana identiti tidak diketahui.
.
Ikuti rakaman pengakuan mangsa di laman sosial PPIM dan bantulah mereka dari segi kewangan dengan menyumbang ke Tabung Perjuangan PPIM di laman web kami: https://sumbangan.ppim.org.my/
.
Berminat untuk menjadi ahli sukarealawan PPIM, sila hantarkan Nama, No. MyKad, No. Telefon & Alamat ke WhatsApp https://SukarelawanPPIM.wasap.my/
.
dan pelbagai info kami di laman web PPIM: https://www.ppim.org.my/
.
Hubungi kami ditalian 013-2262 444 atau 019-359 1000 untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.
.
Perjuangan Bersama Demi Pengguna!

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL