Showing posts with label BIRO PEMBANGUNAN SOSIAL. Show all posts
Showing posts with label BIRO PEMBANGUNAN SOSIAL. Show all posts

Friday, October 25, 2019

5428) TAK SANGKA INI TAWARAN KE PENJARA - MALAYSIA GAZETTE - 17/10/2019


KUALA LUMPUR –  “Saya trauma. Tidak pernah terfikir dalam hidup saya akan dipenjarakan sekaligus mempunyai rekod jenayah,” demikian luahan seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Jeff, yang berusia 27 tahun.
Jeff terpaksa menjalani hukuman penjara selama empat bulan selepas dijatuhkan hukuman bersalah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan. Dia juga terpaksa membayar denda berjumlah RM14,500 terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sejarah hitam dalam hidupnya bermula selepas dia memohon pekerjaan sebagai pemandu syarikat yang diiklankan dan ditampal di dinding sebuah restoran di Bangi pada awal April 2018, seterusnyna menyerahkan kad ATM miliknya kepada individu lain.
“Tak sangka, niat untuk mencari kerja yang lebih menjamin kehidupan saya sekeluarga akhirnya menjadikan masa depan saya gelap,” katanya.
Katanya, dia telah menghubungi nombor telefon yang tertera sebelum berjumpa dengan seorang lelaki di sebuah restoran untuk sesi temuduga.
“Lelaki itu beritahu saya diterima bekerja sebagai pemandu syarikat dengan gaji berjumlah RM2,500. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta saya membuka akaun bank di CIMB Bank untuk pembayaran gaji.
“Lelaki itu juga memberi saya wang tunai RM250 untuk membuka akaun bank berkenaan selain sentiasa berada di samping saya ketika proses membuka akaun,” katanya.
Jeff berkata, setelah urusan membuka akaun itu selesai, lelaki berkenaan telah meminta kad ATMnya dengan alasan duit syarikat berada di dalam akaun tersebut serta akan memulangkannya semula sebaik saja dia memulakan tugas. Bagaimanapun, selepas dua minggu, lelaki itu gagal dihubungi.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan akaun milik saya tiada wang selain tidak pernah memberi nombor pin kad ATM tersebut,” katanya.
Namun, jangkaannya meleset apabila pada Ogos 2018, dia dihubungi polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu yang memintanya hadir ke IPD berhampiran untuk diambil keterangan kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan wang.
“Saya telah memberi kerjasama dengan menghadirkan diri di Balai Polis Sungai Besi untuk merakamkan percakapan.
“Pada November 2018, polis daripada IPD Langkawi, Kedah pula menghubungi saya dan meminta saya hadir ke IPD berhampiran. Sekali lagi saya ke Balai Polis Sungai Besi untuk diambil keterangan. Namun, saya telah ditahan dan terus dibawa ke IPD Langkawi,” katanya yang ditemui ketika hadir di Biro Pembangunan Sosial (BPS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Menurutnya, untuk kes di Mahkamah Langkawi, dia telah dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan namun tidak mengaku salah dan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.
Bagaimanapun, Jeff gagal membayar ikat jamin berkenaan menyebabkan terpaksa dihantar ke Penjara Pauh, Perlis, sementara menunggu hari bicara.
“Pada hari perbicaraan, saya telah diarahkan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan,” dakwanya.
“Sewaktu menjalani hukuman penjara di Penjara Pauh, Perlis, saya turut dibawa ke Mahkamah Kuala Berang, Terengganu dan Batu Gajah, Perak untuk perbicaraan di sana serta terpaksa mengaku bersalah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dengan denda berjumlah RM14,500,” katanya yang turut memberitahu, ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara mara untuk membayar denda tersebut.
Jeff telah dibebaskan pada bulan Mac lalu namun terpaksa berhadapan dengan dua lagi pertuduhan iaitu di Kelantan dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kepincangan  perlaksanaan  sistem   perundangan   adalah   agenda  nasional yang perlu dikaji semula dan ditangani  segera  bagi  membenteras sindiket penipuan kewangan yang semakin kritikal.
Menurutnya, undang-undang sepatutnya menjaga kemakmuran dan seharusnya menegakkan keadilan bukan sekadar menyiasat kerugian sahaja.
“Undang-undang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan kadar  jenayah dan meningkatkan rasa selamat di kalangan masyarakat tetapi sebaliknya, umpama menyediakan   satu ruang yang hampir selesa  untuk  jenayah komersil semakin berleluasa.
“Kita merayu pada pihak berwajib utk mengkaji semula kaedah penguatkuasaan undang-undang ini sekaligus melindungi mangsa keldai akaun yang teraniaya.
“Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian negara dari segi kewangan malah kerugian modal insan yang seharusnya menjadi aset yang boleh dibangunkan,” katanya.
Seramai 50 pengadu kes keldai akaun telah datang ke PPIM untuk membuat sekaligus meminta khidmat nasihat.

Artikel oleh: Malaysia Gazette
TAK SANGKA INI TAWARAN KE PENJARA

Friday, October 18, 2019

5409) DIPENJARA SELEPAS SERAH KAD ATM KEPADA MAJIKAN - SINAR HARIAN - 17/10/2019


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tidak menyangka hasratnya untuk mencari pekerjaan menyebabkannya terpaksa meringkuk di penjara gara-gara menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada 'majikan'.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Jeff, 28, berdepan tuduhan penipuan wang menyebabkannya dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas didapati bersalah di bawah kes penipuan wang.

Bukan itu sahaja, malah Jeff juga terpaksa membayar denda berjumlah RM14,500 terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Berkongsi sejarah hitam dalam hidupnya itu, Jeff berkata, pada mulanya dia memohon pekerjaan sebagai pemandu syarikat yang iklannya ditampal di dinding sebuah restoran di Bangi, awal April tahun lalu.

Katanya, dia tidak menyangka niat untuk mencari kerja untuk menampung keluarga akhirnya menyebabkan masa depannya gelap selepas menyerahkan kad ATM miliknya kepada individu lain.

"Saya kemudiannya telah menghubungi nombor telefon yang tertera sebelum berjumpa dengan seorang lelaki di sebuah restoran untuk sesi temuduga.

"Individu terbabit kemudiannya memberitahu dirinya diterima bekerja sebagai pemandu syarikat dengan gaji berjumlah RM2,500.

"Lelaki tersebut meminta saya membuka akaun di sebuah bank untuk pembayaran gaji.

“Dia juga memberi saya wang tunai RM250 untuk membuka akaun bank berkenaan selain sentiasa berada di samping saya ketika proses membuka akaun,” katanya yang ditemui di Biro Pembangunan Sosial (BPS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Bagaimanapun, katanya, setelah urusan membuka akaun itu selesai, lelaki berkenaan telah meminta kad ATM miliknya dengan alasan duit syarikat berada dalam akaun tersebut serta akan memulangkannya semula sebaik saja dia memulakan tugas.

"Bagaimanapun, selepas dua minggu, lelaki tersebut gagal dihubungi.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan akaun milik saya tiada wang selain tidak pernah memberi nombor pin kad ATM tersebut,” katanya.

Jeff telah dibebaskan pada Mac lalu, namun terpaksa berhadapan dengan dua lagi pertuduhan penipuan wang iaitu di Kelantan dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kepincangan pelaksanaan sistem perundangan adalah agenda nasional yang perlu dikaji semula dan ditangani bagi membanteras sindiket penipuan kewangan.

Menurutnya, undang-undang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Kita merayu pada pihak berwajib utk mengkaji semula kaedah penguatkuasaan undang-undang ini sekali gus melindungi mangsa keldai akaun yang teraniaya.

“Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian negara dari segi kewangan malah kerugian modal insan yang seharusnya menjadi aset yang boleh dibangunkan,” katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

DIPENJARA SELEPAS SERAH KAD ATM KEPADA MAJIKAN

https://www.sinarharian.com.my/article/52643/EDISI/Selangor-KL/Dipenjara-selepas-serah-kad-ATM-kepada-majikan

Tuesday, October 8, 2019

5368) KERAJAAN DIMINTA KAJI SEMULA HUKUMAN PENJARA - BERITA HARIAN - 06/10/2019



Kuala Lumpur: Kesalahan pemilik akaun hanyalah kecuaian menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mereka kepada pihak lain tetapi dihukum seolaholah mereka adalah sindiket.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sehubungan itu mencadangkan agar pesalah atas kesalahan itu dikenakan hukuman Perintah Kehadiran Wajib atau Perintah Khidmat Masyarakat yang lebih perikemanusiaan.

Ketua Biro Pembangunan Sosial PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar, berkata hukuman berkenaan adalah wajar sekiranya siasatan menjurus kepada punca kecuaian berlaku.

“Ini kerana negara akan kerugian aset dan bertambahnya kos yang perlu ditampung dalam penjara. Adalah lebih baik mereka menjalani perintah khidmat masyarakat yang diselia parol kerana tiada rekod jenayah yang akan mencalar masa depan mereka,” katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan kecuaian pemegang kad ATM antara punca pemilik akaun dijadikan keldai akaun selepas kad mereka digunakan sindiket untuk jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, dilaporkan berkata ada pemilik akaun kehilangan kad ATM tetapi tidak melaporkan kehilangannya kepada pihak bank menyebabkan akaun masih aktif.

Mazlina berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu menguatkuasakan undangundang terhadap mereka yang memiliki akaun bank secara berlebihan.

“Bagaimana seseorang boleh memiliki lebih 12 akaun? Bank pula perlu memainkan peranan mengingatkan pelanggan untuk tidak serahkan maklumat bank kepada pihak lain.

“Begitu juga syarikat telekomunikasi, masih ada sim kad prabayar yang tidak berdaftar dibenarkan penjualannya sehingga menyukarkan pihak berkuasa mengesan penjenayah sebenar,” katanya.

Beliau berkata, PPIM menerima 44 kes keldai akaun sejak Januari tahun ini dan sebahagian besar kes menunjukkan bukti mereka meminjam wang daripada along serta menyerahkan kad ATM mereka sebagai cagaran.

“Along inilah yang terbabit dalam sindiket Macau, panggilan penyamaran dan lainlain modus operandi untuk menipu orang ramai dengan menggunakan nombor akaun keldai akaun.

“Ramai keldai akaun yang menjadi mangsa. Contohnya, tidak logik banduan dalam penjara boleh keluarkan ratusan ribu ringgit daripada ATM. Kenapa tidak siasat siapa yang mengeluarkan wang berkenaan?” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menafikan ada segelintir bersubahat dengan sindiket tetapi siasatan menyeluruh boleh mengasingkan mana yang benar atau sebaliknya.

“Contoh, kes seorang petani membuka 12 akaun bank manakala isterinya membuka sembilan akaun bank yang jelas ada unsur subahat.

“Undang-undang perlu dikaji semula kerana sudah lapuk. Kesalahan memiliki kad ATM orang lain hanya disabit kesalahan kecil, sedangkan kesalahan menyerahkan kad ATM kepada orang lain dihukum penjara.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi BH berkata, pemberi pinjam wang (PPW) berlesen tidak dibenarkan memegang kad ATM dan nombor pengenalan peribadi pelanggan mereka.

“Apa yang kita bimbang, ada PPW yang beroperasi secara haram dan meletakkan syarat itu sebagai cagaran.

“Orang ramai boleh membuat aduan ke Jabatan Peminjam Wang KPKT untuk tindakan lanjut,” katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

KERAJAAN DIMINTA KAJI SEMULA HUKUMAN PENJARA

5367) JANGAN SERAH KAD ATM SEMBARANGAN - BERITA HARIAN - 05/10/2019


Kuala Lumpur: Orang ramai diminta tidak menyerahkan butiran akaun dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada pihak ketiga tanpa usul periksa.

Ini kerana kecuaian berbuat demikian boleh menyebabkan mereka meringkuk dalam penjara jika akaun bank mereka disalah guna.

Lima individu yang mendakwa akaun bank mereka disalah guna pihak ketiga tampil mendedahkan pengalaman masing-masing selepas dituduh sebagai `keldai akaun’.

Kebanyakan mereka menjadi mangsa dan dikenakan hukuman penjara atas kesalahan tertentu selepas menyerahkan kad ATM kepada ceti haram atau along sebagai cagaran sebelum pinjaman wang diluluskan.

Sebaliknya, pihak ketiga yang menggunakan akaun mereka dipercayai bagi penipuan panggilan penyamaran atau Macau Scam, terlepas daripada siasatan.

Ikuti kes mereka seperti diceritakan kepada BH di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, minggu lalu.

Kes 1: Pinjam along RM350, dipenjara 9 bulan

Seorang wanita dipenjarakan sembilan bulan selepas akaun bank miliknya dipercayai digunakan ceti haram yang meminjamkannya RM350, untuk tujuan penipuan.

Ibu kepada lima anak yang ingin dikenali sebagai Saadiah, 40, mendakwa dia dihukum mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan pada Jun tahun lalu kerana memiliki harta curi.
Pembantu kedai makan itu berkata, sebelum ditahan polis, dia meminjam wang daripada along pada Mac tahun lalu ketika anaknya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dia memerlukan wang untuk membayar kos rawatan dan ubat anaknya.

“Ketika itu, saya amat terdesak kerana tiada siapa mahu pinjamkan wang. Saya terbaca iklan pinjaman wang secara mudah menerusi Facebook sebelum menghubunginya.

“Saya mohon pinjaman RM500 tetapi lelaki itu bersetuju meminjamkan RM350 sahaja dan perlu membayar balik dua minggu kemudian sebanyak RM600 ke akaun banknya. Saya bertanya alamat pejabat tetapi katanya tak perlu kerana dia akan bertemu saya di padang berhampiran HKL.

“Syarat pinjaman wang meminta menyerahkan kad ATM dan butiran akaun bank sebagai cagaran. Akibat terdesak, saya serahkan tanpa berfikir apa-apa kesannya,” katanya kepada BH di sini.

Saadiah berkata, selepas dua minggu seperti dijanjikan untuk pembayaran balik, dia memasukkan RM600 ke akaunnya tetapi usaha menghubungi along selepas itu gagal.

“Tiga bulan kemudian, saya ditahan polis atas kesalahan pemilik akaun yang digunakan untuk menipu membabitkan transaksi RM160,000,” katanya.

Selepas keluar penjara, dia mengakui sukar mendapat pekerjaan kerana rekod jenayah serta disenaraihitamkan daripada membuka mana-mana akaun.

Syarat pinjaman wang meminta menyerahkan kad ATM dan butiran akaun bank sebagai cagaran. Akibat terdesak, saya serahkan tanpa berfikir apa-apa kesannya.

Kes 2: Dituduh curi RM180,000 ketika dalam penjara

Seorang wanita dituduh membuat transaksi RM180,000 menggunakan kad ATM sepanjang empat bulan dia dipenjarakan.

Pengeluaran wang itu berlaku ketika wanita dikenali sebagai Jen, 34, dihukum penjara empat bulan atas kesalahan menunggang motosikal curi.

“Ibarat jatuh ditimpa tangga, saya tidak tahu motosikal yang dipinjam daripada seorang rakan adalah motosikal curi.

“Lebih teruk, sejurus keluar penjara, saya berdepan 30 tuduhan membuat transaksi sebanyak RM180,000 menggunakan kad ATM saya. Bagaimanapun kegiatan itu berlaku sepanjang saya dalam penjara.

“Puncanya, sebelum ditahan polis, saya menyerahkan kad ATM sebagai cagaran kepada along kerana meminjam RM800 bagi membayar tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya menghubungi along itu selepas melihat iklannya menerusi Facebook.

“Kebimbangan saya disenarai hitam PTPTN kerana tidak menjelaskan tunggakan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila saya dituduh menipu duit orang lain,” katanya yang kecewa kerana kehilangan pekerjaan sebagai konsultan Teknologi Maklumat di sebuah syarikat terkemuka di Cyberjaya.

Dia bimbang masa depannya musnah kerana tiada majikan mahu mengambilnya bekerja walaupun ada pengalaman dan latar belakang akademik yang cemerlang.

Kes ketiga: Lelaki Afrika jadikan keluarga mentua keldai akaun

Seorang lelaki mendakwa butiran akaun bank dan kad ATM keluarganya digunakan abang iparnya, warga Afrika untuk menipu orang ramai sejak tahun 2017.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Abu berusia 20 tahun itu berkata, kakaknya baru selesai menjalani hukuman penjara atas tuduhan menyimpan hasil penipuan sebanyak RM140,000 pada tahun sama.

Keluarga Abu dikatakan terjebak kerana percaya abang ipar benar-benar memerlukan akaun bank tempatan bagi memudahkan pelaburan wang dari luar negara masuk untuk tujuan perniagaan.

“Kami tidak menyangka abang ipar menyamar wakil agensi kerajaan untuk mendapat wang secara tipu tetapi menggunakan akaun bank saya dan kakak untuk transaksi.

“Bagaimanapun ia terbongkar selepas pihak polis memaklumkan saya terdapat laporan polis dibuat oleh pengurus bank yang mendakwa seorang warga asing mengaku abang ipar saya memohon sekatan akaun bank berkenaan dilepaskan.

“Apa yang pelik tiada siasatan ke atas abang ipar saya dan sehingga kini dia masih bebas,” katanya yang bimbang dengan nasib ibu dan bapanya kerana mereka turut menyerahkan kad ATM kepada abang ipar.

Kes keempat: Kad ATM diambil ketika temu duga kerja

Seorang lelaki dari Sabah terkejut apabila dia dituduh lima kes menyembunyikan wang hasil penipuan, tahun lalu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Din, 47, berkata tuduhan itu berlaku selepas dia menghadiri temu duga jawatan kosong pemandu peribadi di Bandar Bukit Raja.

“Sesi temu duga itu berlangsung di sebuah restoran Bandar Bukit Raja dan saya berjaya diterima untuk bekerja.

“Bagaimanapun saya dibenarkan bekerja sebulan selepas tarikh temu duga.

“Mungkin kerana terdesak untuk mendapat pekerjaan saya tidak terfikir permintaan bakal majikan yang mahu menyimpan kad ATM saya sesuatu yang pelik.

“Menurut bakal majikan, kad itu akan digunakan untuk memasukkan gaji nanti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas sebulan, dia gagal menghubungi bakal majikannya itu dan baru membuat laporan polis berhubung pemberian kad ATM terbabit.

“Dua minggu selepas laporan dibuat, polis meminta saya hadir ke balai untuk pengecaman, sangka saya suspek sudah ditahan namun realitinya saya pula ditahan reman seminggu atas kesalahan menyimpan wang hasil penipuan.

“Saya amat sedih kerana meninggalkan lima anak yang masih bersekolah dan isteri tidak bekerja terkontang-kanting akibat insiden itu,” katanya.

Kes kelima : Sindiket tawar imbuhan buka empat akaun

Terpengaruh dengan pujukan rakan sekampung, seorang lelaki membuka empat akaun bank dan menyerahkannya semua butiran perbankan kepada rakannya itu.

Petani berusia 27 tahun itu berkata, rakannya bersungguh-sungguh meyakinkannya akaun bank itu digunakan untuk perniagaan.

“Saya tidak bersangka buruk kerana sudah mengenali rakan berkenaan bertahun-tahun lamanya. Rumah keluarganya juga tidak jauh dari tempat tinggal saya.

“Tambahan pula ketika tawaran dibuat, saya memerlukan wang untuk menyambut Aidilfitri. Katanya dia tawarkan RM800 untuk empat akaun berkenaan.

“Saya dibawa ke Kedah, dan di sana saya berkenalan dengan dua lagi lelaki yang juga ditawarkan membuka akaun bank. Bagaimanapun sebulan selepas itu rakan saya gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.

“Polis datang ke rumah saya memaklumkan saya menghadapi tuduhan melakukan transaksi RM90,000 dalam tempoh tiga hari hasil penipuan,” katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

JANGAN SERAH KAD ATM SEMBARANGAN

Tuesday, September 24, 2019

4306) ALONG CAJ BIAYA KERETA SESUKA HATI - HARIAN METRO - 23/09/2019


WUJUD syarikat pembiaya pinjaman kenderaan atau syarikat kredit didalangi along mengenakan caj sesuka hati serta mendesak peminjam supaya melangsaikan pembiayaan penuh atau berdepan kereta dilelong.

Ketua Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya menerima 30 aduan mengenai kereta yang akan ditarik biarpun tunggakan baru memasuki tempoh dua bulan.

“Selain itu menghairankan, bagaimana mereka ini bukan saja mendesak agar tunggakan pinjaman dibayar penuh, tetapi mahu semua saman dan bayaran utiliti diselesaikan.

“Kebanyakan mangsa sudah berada pada bulan terakhir pembiayaan.

“Tiba-tiba akan ada caj berbeza daripada jumlah tunggakan dan ketika ingin mengambil balik kenderaan. Sebagai contoh seorang pengadu perlu bayar bulanan RM560, tapi bila keluar surat tarik sehari selepas itu, amaun meningkat kepada RM1,500,” katanya.

Dr Mazlina berkata, pihaknya mempersoalkan bagaimana kereta terbabit akan ditarik walaupun baru masuk tunggakan dua bulan sedangkan mengikut akta hanya boleh berbuat demikian selepas tiga bulan tunggakan.

Menurutnya, jumlah aduan berkaitan semakin meningkat kebelakangan ini dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

“Biro akan merujuk kes ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengelak mangsa dianiaya sindiket yang secara terang-terangan membelakangi undang-undang,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro 

ALONG CAJ BIAYA KERETA SESUKA HATI 


Saturday, September 14, 2019

4284) WARTAWAN BIMBANG KERETA DILELONG - BERITA HARIAN - 14/09/2019


KUALA LUMPUR: Seorang wartawan wanita bimbang keretanya dilelong berikutan tindakan syarikat peminjam wang berlesen yang memberi kemudahan pinjaman kenderaan, enggan menerima tunggakan bayarannya.
Usaha wartawan dari Perak itu untuk membayar tunggakan sehari selepas keretanya ditarik Khamis lalu, tidak berhasil apabila caj melepaskan sitaan tiga kali ganda daripada kos yang dikenakan dalam notis ketika kereta ditarik.
Mangsa berusia 32 tahun mendakwa, mengikut notis, dia memiliki dua bulan tunggakan berjumlah RM1,052 dan bayaran tambahan RM578 tetapi bayaran keseluruhan melepaskan sitaan pula adalah RM3,500.
“Masalahnya, kereta itu ditarik dan disimpan di Perak, tetapi saya perlu selesaikan tunggakan bayaran di syarikat berkenaan yang beroperasi di Kuala Lumpur.
“Sebelum ini saya cuba menghubungi pihak syarikat bertanya tentang prosedur untuk bayaran tunggakan, namun mereka meminta saya menunggu surat jadual kelima dan kemungkinan perlu membayar baki pinjaman kereta sebanyak RM27,000,” katanya kepada BH selepas membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini.
PPIM diketuai Ketua Biro Pembangunan Sosial PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar menemani pengadu ke syarikat itu bagi menyelesaikan masalahnya.
Setibanya di syarikat itu, baharu pengadu dimaklumkan perlu menyediakan penyata gaji, bil utiliti, pendaftaran syarikat selain perlu menjelaskan semua saman trafik sebelum bayaran dibuat.
Dalam pada itu, Mazlina berkata, syarikat itu bertindak seperti ‘along’ dan caj yang dikenakan untuk upah tarik dan simpan kereta sangat tidak munasabah iaitu lebih RM2,000, walau hanya selepas sehari ditarik.
“PPIM menerima lebih 20 aduan sejak awal tahun ini menggunakan taktik sama membabitkan syarikat yang sama.
“Modus operandi syarikat berkenaan adalah menolak bayaran daripada pengadu dengan pelbagai alasan sehingga satu tempoh tertentu mereka akan minta keseluruhan baki pinjaman bayaran yang dianggarkan puluhan ribu.
“Kegagalan pengadu untuk menjelaskan bayaran akan menyebabkan kenderaan itu dilelong.
“Kebanyakan kes pengadu terpaksa membiarkan kenderaan mereka dilelong,” katanya.
Ditanya mengapa bayaran untuk melepaskan sitaan itu terlalu mahal berbanding notis tunggakan ketika disita, wakil syarikat itu berkata, ia upah dikenakan penarik kenderaan.
“Kenderaan itu akan dilepaskan pada minggu depan jika semua tuntutan lain dipenuhi serta bayaran dijelaskan. Ia adalah prosedur syarikat,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi BH berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

Artikel oleh: Berita Harian
WARTAWAN BIMBANG KERETA DILELONG

Friday, July 12, 2019

5069) MUALAF JADI MANGSA ‘KALDAI AKAUN’ - MALAYSIA GAZETTE - 12/07/2019


KUALA LUMPUR – Seorang mualaf berstatus ibu tunggal menjadi mangsa terbaru sindiket ‘kaldai akaun’ apabila dia dianiaya rakan sendiri.
Wanita berusia 51 tahun dan mempunyai tiga orang anak berumur lingkungan 13 hingga 26 tahun itu kini terpaksa meringkuk di dalam penjara di Pulau Pinang selama tiga bulan.
Semua itu terjadi apabila wanita berkenaan dituduh bersubahat dengan lelaki yang dipercayai terlibat dengan sindiket menggunakan akaun bank milik orang lain untuk mendapatkan keuntungan tanpa disedari pemilik akaun sebenar.
Ketua Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Mazlina Abu Bakar yang mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mendapat panggilan dari mangsa yang dikenali sebagai Nor Hidayah Lee Abdullah selepas dia beberapa hari di dalam penjara berkenaan.
Katanya, mangsa mendapat nombor telefon menerusi Hotline Biro Pembangunan Sosial melalui seorang pegawai di penjara yang memberitahu, PPIM pernah membantu seorang mangsa yang menerima nasib sama sepertinya.
“Lebih kurang 9 malam Isnin lalu, saya menerima panggilan daripada seorang wanita dalam keadaan ketakutan dan bimbang dengan nasibnya yang menjadi mangsa keldai akaun.
“Mangsa memaklumkan sudah berada di dalam penjara selama tiga hari setelah dia didenda RM1,000 susulan mengaku bersalah tanpa memahami akibatnya dan kerana tidak mampu membayar denda, dia dipenjarakan tiga bulan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Norhidayah yang mempunyai tiga orang anak dan menetap di Johor telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis ketika siasatan dijalankan.
“Namun, apa yang kami kesalkan Nor Hidayah didakwa di dalam kes ini yang mana kami percaya dia merupakan mangsa keadaan,” ujarnya.
Menurut Dr. Mazlina, masalah Nor Hidayah berpunca daripada kedaifannya dan terdesak untuk membuat pinjaman bagi membayar yuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah anaknya yang tertunggak sejak awal tahun berjumlah RM200.
Katanya, disebabkan buntu dengan perkara itu wanita tersebut telah membuat pinjaman daripada seorang lelaki berbangsa Cina yang juga rakannya dengan diminta supaya menyerahkan kad pengeluaran wang (ATM) sebagai cagaran.
Bagaimanapun katanya, setelah membuat bayaran balik, mangsa telah membuat pembatalan kad ATM berkenaan dan dia kemudiannya membuat sekeping kad baru dan dimaklumkan oleh pihak bank ada transaksi yang meragukan.
“Oleh kerana pada waktu dia membuat pembatalan kad lama untuk menukar kad ATM baru, tiada wang didalam akaunnya maka Norhidayah tidak membuat apa-apa tindakan susulan kerana menyangka perkara itu selesai,” jelas Mazlina.
Namun katanya lagi, mangsa pihak ketiga yang telah diperdaya sindiket telah memasukkan wang ke dalam akaun Norhidayah dan kemudian membuat laporan polis menyebabkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menahan Norhidayah.
Mazlina menambah, kejadian seperti itu semakin kerap berlaku dan ia dilihat membimbangkan kerana modus operandi yang digunakan jelas mahu mengambil kesempatan terhadap kelemahan individu khususnya mereka yang berada dalam keadaan terdesak.
Justeru, PPIM menasihatkan pengguna dan orang ramai agar tidak mendedahkan sebarang maklumat berhubung dokumen bank kepada mana-mana pihak bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
MUALAF JADI MANGSA ‘KALDAI AKAUN’

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/12/mualaf-jadi-mangsa-kaldai-akaun/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL