Showing posts with label DR MAZLINA ABU BAKAR. Show all posts
Showing posts with label DR MAZLINA ABU BAKAR. Show all posts

Tuesday, October 8, 2019

5368) KERAJAAN DIMINTA KAJI SEMULA HUKUMAN PENJARA - BERITA HARIAN - 06/10/2019



Kuala Lumpur: Kesalahan pemilik akaun hanyalah kecuaian menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mereka kepada pihak lain tetapi dihukum seolaholah mereka adalah sindiket.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sehubungan itu mencadangkan agar pesalah atas kesalahan itu dikenakan hukuman Perintah Kehadiran Wajib atau Perintah Khidmat Masyarakat yang lebih perikemanusiaan.

Ketua Biro Pembangunan Sosial PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar, berkata hukuman berkenaan adalah wajar sekiranya siasatan menjurus kepada punca kecuaian berlaku.

“Ini kerana negara akan kerugian aset dan bertambahnya kos yang perlu ditampung dalam penjara. Adalah lebih baik mereka menjalani perintah khidmat masyarakat yang diselia parol kerana tiada rekod jenayah yang akan mencalar masa depan mereka,” katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan kecuaian pemegang kad ATM antara punca pemilik akaun dijadikan keldai akaun selepas kad mereka digunakan sindiket untuk jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, dilaporkan berkata ada pemilik akaun kehilangan kad ATM tetapi tidak melaporkan kehilangannya kepada pihak bank menyebabkan akaun masih aktif.

Mazlina berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu menguatkuasakan undangundang terhadap mereka yang memiliki akaun bank secara berlebihan.

“Bagaimana seseorang boleh memiliki lebih 12 akaun? Bank pula perlu memainkan peranan mengingatkan pelanggan untuk tidak serahkan maklumat bank kepada pihak lain.

“Begitu juga syarikat telekomunikasi, masih ada sim kad prabayar yang tidak berdaftar dibenarkan penjualannya sehingga menyukarkan pihak berkuasa mengesan penjenayah sebenar,” katanya.

Beliau berkata, PPIM menerima 44 kes keldai akaun sejak Januari tahun ini dan sebahagian besar kes menunjukkan bukti mereka meminjam wang daripada along serta menyerahkan kad ATM mereka sebagai cagaran.

“Along inilah yang terbabit dalam sindiket Macau, panggilan penyamaran dan lainlain modus operandi untuk menipu orang ramai dengan menggunakan nombor akaun keldai akaun.

“Ramai keldai akaun yang menjadi mangsa. Contohnya, tidak logik banduan dalam penjara boleh keluarkan ratusan ribu ringgit daripada ATM. Kenapa tidak siasat siapa yang mengeluarkan wang berkenaan?” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menafikan ada segelintir bersubahat dengan sindiket tetapi siasatan menyeluruh boleh mengasingkan mana yang benar atau sebaliknya.

“Contoh, kes seorang petani membuka 12 akaun bank manakala isterinya membuka sembilan akaun bank yang jelas ada unsur subahat.

“Undang-undang perlu dikaji semula kerana sudah lapuk. Kesalahan memiliki kad ATM orang lain hanya disabit kesalahan kecil, sedangkan kesalahan menyerahkan kad ATM kepada orang lain dihukum penjara.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi BH berkata, pemberi pinjam wang (PPW) berlesen tidak dibenarkan memegang kad ATM dan nombor pengenalan peribadi pelanggan mereka.

“Apa yang kita bimbang, ada PPW yang beroperasi secara haram dan meletakkan syarat itu sebagai cagaran.

“Orang ramai boleh membuat aduan ke Jabatan Peminjam Wang KPKT untuk tindakan lanjut,” katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

KERAJAAN DIMINTA KAJI SEMULA HUKUMAN PENJARA

5367) JANGAN SERAH KAD ATM SEMBARANGAN - BERITA HARIAN - 05/10/2019


Kuala Lumpur: Orang ramai diminta tidak menyerahkan butiran akaun dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada pihak ketiga tanpa usul periksa.

Ini kerana kecuaian berbuat demikian boleh menyebabkan mereka meringkuk dalam penjara jika akaun bank mereka disalah guna.

Lima individu yang mendakwa akaun bank mereka disalah guna pihak ketiga tampil mendedahkan pengalaman masing-masing selepas dituduh sebagai `keldai akaun’.

Kebanyakan mereka menjadi mangsa dan dikenakan hukuman penjara atas kesalahan tertentu selepas menyerahkan kad ATM kepada ceti haram atau along sebagai cagaran sebelum pinjaman wang diluluskan.

Sebaliknya, pihak ketiga yang menggunakan akaun mereka dipercayai bagi penipuan panggilan penyamaran atau Macau Scam, terlepas daripada siasatan.

Ikuti kes mereka seperti diceritakan kepada BH di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, minggu lalu.

Kes 1: Pinjam along RM350, dipenjara 9 bulan

Seorang wanita dipenjarakan sembilan bulan selepas akaun bank miliknya dipercayai digunakan ceti haram yang meminjamkannya RM350, untuk tujuan penipuan.

Ibu kepada lima anak yang ingin dikenali sebagai Saadiah, 40, mendakwa dia dihukum mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan pada Jun tahun lalu kerana memiliki harta curi.
Pembantu kedai makan itu berkata, sebelum ditahan polis, dia meminjam wang daripada along pada Mac tahun lalu ketika anaknya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dia memerlukan wang untuk membayar kos rawatan dan ubat anaknya.

“Ketika itu, saya amat terdesak kerana tiada siapa mahu pinjamkan wang. Saya terbaca iklan pinjaman wang secara mudah menerusi Facebook sebelum menghubunginya.

“Saya mohon pinjaman RM500 tetapi lelaki itu bersetuju meminjamkan RM350 sahaja dan perlu membayar balik dua minggu kemudian sebanyak RM600 ke akaun banknya. Saya bertanya alamat pejabat tetapi katanya tak perlu kerana dia akan bertemu saya di padang berhampiran HKL.

“Syarat pinjaman wang meminta menyerahkan kad ATM dan butiran akaun bank sebagai cagaran. Akibat terdesak, saya serahkan tanpa berfikir apa-apa kesannya,” katanya kepada BH di sini.

Saadiah berkata, selepas dua minggu seperti dijanjikan untuk pembayaran balik, dia memasukkan RM600 ke akaunnya tetapi usaha menghubungi along selepas itu gagal.

“Tiga bulan kemudian, saya ditahan polis atas kesalahan pemilik akaun yang digunakan untuk menipu membabitkan transaksi RM160,000,” katanya.

Selepas keluar penjara, dia mengakui sukar mendapat pekerjaan kerana rekod jenayah serta disenaraihitamkan daripada membuka mana-mana akaun.

Syarat pinjaman wang meminta menyerahkan kad ATM dan butiran akaun bank sebagai cagaran. Akibat terdesak, saya serahkan tanpa berfikir apa-apa kesannya.

Kes 2: Dituduh curi RM180,000 ketika dalam penjara

Seorang wanita dituduh membuat transaksi RM180,000 menggunakan kad ATM sepanjang empat bulan dia dipenjarakan.

Pengeluaran wang itu berlaku ketika wanita dikenali sebagai Jen, 34, dihukum penjara empat bulan atas kesalahan menunggang motosikal curi.

“Ibarat jatuh ditimpa tangga, saya tidak tahu motosikal yang dipinjam daripada seorang rakan adalah motosikal curi.

“Lebih teruk, sejurus keluar penjara, saya berdepan 30 tuduhan membuat transaksi sebanyak RM180,000 menggunakan kad ATM saya. Bagaimanapun kegiatan itu berlaku sepanjang saya dalam penjara.

“Puncanya, sebelum ditahan polis, saya menyerahkan kad ATM sebagai cagaran kepada along kerana meminjam RM800 bagi membayar tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya menghubungi along itu selepas melihat iklannya menerusi Facebook.

“Kebimbangan saya disenarai hitam PTPTN kerana tidak menjelaskan tunggakan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila saya dituduh menipu duit orang lain,” katanya yang kecewa kerana kehilangan pekerjaan sebagai konsultan Teknologi Maklumat di sebuah syarikat terkemuka di Cyberjaya.

Dia bimbang masa depannya musnah kerana tiada majikan mahu mengambilnya bekerja walaupun ada pengalaman dan latar belakang akademik yang cemerlang.

Kes ketiga: Lelaki Afrika jadikan keluarga mentua keldai akaun

Seorang lelaki mendakwa butiran akaun bank dan kad ATM keluarganya digunakan abang iparnya, warga Afrika untuk menipu orang ramai sejak tahun 2017.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Abu berusia 20 tahun itu berkata, kakaknya baru selesai menjalani hukuman penjara atas tuduhan menyimpan hasil penipuan sebanyak RM140,000 pada tahun sama.

Keluarga Abu dikatakan terjebak kerana percaya abang ipar benar-benar memerlukan akaun bank tempatan bagi memudahkan pelaburan wang dari luar negara masuk untuk tujuan perniagaan.

“Kami tidak menyangka abang ipar menyamar wakil agensi kerajaan untuk mendapat wang secara tipu tetapi menggunakan akaun bank saya dan kakak untuk transaksi.

“Bagaimanapun ia terbongkar selepas pihak polis memaklumkan saya terdapat laporan polis dibuat oleh pengurus bank yang mendakwa seorang warga asing mengaku abang ipar saya memohon sekatan akaun bank berkenaan dilepaskan.

“Apa yang pelik tiada siasatan ke atas abang ipar saya dan sehingga kini dia masih bebas,” katanya yang bimbang dengan nasib ibu dan bapanya kerana mereka turut menyerahkan kad ATM kepada abang ipar.

Kes keempat: Kad ATM diambil ketika temu duga kerja

Seorang lelaki dari Sabah terkejut apabila dia dituduh lima kes menyembunyikan wang hasil penipuan, tahun lalu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Din, 47, berkata tuduhan itu berlaku selepas dia menghadiri temu duga jawatan kosong pemandu peribadi di Bandar Bukit Raja.

“Sesi temu duga itu berlangsung di sebuah restoran Bandar Bukit Raja dan saya berjaya diterima untuk bekerja.

“Bagaimanapun saya dibenarkan bekerja sebulan selepas tarikh temu duga.

“Mungkin kerana terdesak untuk mendapat pekerjaan saya tidak terfikir permintaan bakal majikan yang mahu menyimpan kad ATM saya sesuatu yang pelik.

“Menurut bakal majikan, kad itu akan digunakan untuk memasukkan gaji nanti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas sebulan, dia gagal menghubungi bakal majikannya itu dan baru membuat laporan polis berhubung pemberian kad ATM terbabit.

“Dua minggu selepas laporan dibuat, polis meminta saya hadir ke balai untuk pengecaman, sangka saya suspek sudah ditahan namun realitinya saya pula ditahan reman seminggu atas kesalahan menyimpan wang hasil penipuan.

“Saya amat sedih kerana meninggalkan lima anak yang masih bersekolah dan isteri tidak bekerja terkontang-kanting akibat insiden itu,” katanya.

Kes kelima : Sindiket tawar imbuhan buka empat akaun

Terpengaruh dengan pujukan rakan sekampung, seorang lelaki membuka empat akaun bank dan menyerahkannya semua butiran perbankan kepada rakannya itu.

Petani berusia 27 tahun itu berkata, rakannya bersungguh-sungguh meyakinkannya akaun bank itu digunakan untuk perniagaan.

“Saya tidak bersangka buruk kerana sudah mengenali rakan berkenaan bertahun-tahun lamanya. Rumah keluarganya juga tidak jauh dari tempat tinggal saya.

“Tambahan pula ketika tawaran dibuat, saya memerlukan wang untuk menyambut Aidilfitri. Katanya dia tawarkan RM800 untuk empat akaun berkenaan.

“Saya dibawa ke Kedah, dan di sana saya berkenalan dengan dua lagi lelaki yang juga ditawarkan membuka akaun bank. Bagaimanapun sebulan selepas itu rakan saya gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.

“Polis datang ke rumah saya memaklumkan saya menghadapi tuduhan melakukan transaksi RM90,000 dalam tempoh tiga hari hasil penipuan,” katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

JANGAN SERAH KAD ATM SEMBARANGAN

Tuesday, September 24, 2019

4306) ALONG CAJ BIAYA KERETA SESUKA HATI - HARIAN METRO - 23/09/2019


WUJUD syarikat pembiaya pinjaman kenderaan atau syarikat kredit didalangi along mengenakan caj sesuka hati serta mendesak peminjam supaya melangsaikan pembiayaan penuh atau berdepan kereta dilelong.

Ketua Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya menerima 30 aduan mengenai kereta yang akan ditarik biarpun tunggakan baru memasuki tempoh dua bulan.

“Selain itu menghairankan, bagaimana mereka ini bukan saja mendesak agar tunggakan pinjaman dibayar penuh, tetapi mahu semua saman dan bayaran utiliti diselesaikan.

“Kebanyakan mangsa sudah berada pada bulan terakhir pembiayaan.

“Tiba-tiba akan ada caj berbeza daripada jumlah tunggakan dan ketika ingin mengambil balik kenderaan. Sebagai contoh seorang pengadu perlu bayar bulanan RM560, tapi bila keluar surat tarik sehari selepas itu, amaun meningkat kepada RM1,500,” katanya.

Dr Mazlina berkata, pihaknya mempersoalkan bagaimana kereta terbabit akan ditarik walaupun baru masuk tunggakan dua bulan sedangkan mengikut akta hanya boleh berbuat demikian selepas tiga bulan tunggakan.

Menurutnya, jumlah aduan berkaitan semakin meningkat kebelakangan ini dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

“Biro akan merujuk kes ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengelak mangsa dianiaya sindiket yang secara terang-terangan membelakangi undang-undang,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro 

ALONG CAJ BIAYA KERETA SESUKA HATI 


Saturday, April 27, 2019

4909) KERANA KAU - HARIAN METRO - 27/4/19


SUDAHLAH kehilangan ibu tersayang, muflis pula. Itu kisah pilu eksekutif swasta yang melalui detik sedih berganda apabila tidak dapat mengeluarkan wang untuk pengurusan jenazah kerana disahkan bankrap pada hari sama.
Ia permulaan episod duka, Saleha, 53, yang kini tercari-cari pedoman hidup akibat ditipu rakan niaganya selepas membuat pinjaman untuk memulakan sewaan restoran pada 2012.
Bukan itu saja, dia kini trauma memikirkan nasib yang masih berstatus bankrap biarpun sudah enam tahun membuat bayaran kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) kerana menganggap ia tidak adil buat dirinya.
"Saya mengenali rakan itu beberapa tahun lalu selepas dia menjadi kontraktor mengubahsuai rumah saya. Tidak lama kemudian, dia mengajak membuka restoran di ibu negara dan membuat pinjaman untuk lima tahun.
"Selang beberapa bulan, saya dimaklumkan ada bayaran tertunggak dan usaha untuk menghubunginya gagal. Dia yang menguruskan bayaran balik sebelum itu dan nama saya digunakan sebagai penjamin," katanya ditemui ketika membuat aduan kepada Timbalan Pengerusi Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar, hari ini.
Saleha berkata, dia hanya mengetahui bankrap apabila gagal mengeluarkan wang menerusi mesin pengeluaran automatik untuk membeli barangan pengurusan jenazah ibunya pada 2013.
Katanya, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia terpaksa meminta bantuan adik-beradik lain untuk mendahulukan wang mereka bagi membolehkan jenazah ibunya diuruskan sebaik mungkin.
"Selepas itu, saya cuba mencari rakan terbabit, namun gagal sehingga hari ini. Saya pula yang perlu membayar ansuran kepada MdI kerana dia tidak dapat dijejaki.
"Bayaran itu saya boleh usahakan, tetapi hidup saya seperti dikongkong kerana tidak dapat membuat pinjaman untuk anak-anak menyambung pengajian. Kadang-kadang terfikir, apalah guna saya sebagai ibu kerana tidak dapat bantu anak-anak. Saya nak jelaskan pun susah kerana saya hanya penjamin," katanya.
Sementara itu, Dr Mazlina berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada MdI berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat kerana Saleha kini menanggung hutang ke depan yang perlu dijelaskan dalam tempoh lima tahun.
Katanya, perkara itu perlu diambil kira kerana dia dan rakannya baru saja membayar beberapa bulan, biarpun kontrak sewaan tapak kedai itu ditandatangani untuk tempoh lima tahun.
"Hutang itu dikira untuk tempoh lima tahun, sedangkan ia bukan pinjaman pembiayaan, ia sewa unit kedai. Jadi aspek itu perlu diambil kira," katanya.


Artikel oleh : Harian Metro

KERANA KAU


Wednesday, April 10, 2019

4883) DITIMPA BALA KEDUA – HARIAN METRO – 10/4/19



NIAT mereka ingin meminjam untuk menyelesaikan masalah kewangan namun lebih 100 peminjam along kini berdepan tindakan mahkamah apabila maklumat perbankan mereka digunakan sindiket sebagai medium transaksi membabitkan kerugian lebih RM15 juta sejak setahun lalu.
Dengan jumlah transaksi antara RM5,000 dan RM4 juta setiap seorang, mereka berdepan puluhan laporan polis yang dibuat selepas ceti haram menjadikan akaun bank milik mereka sebagai akaun rasmi untuk semua transaksi tanpa disedari.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr Mazlina Abu Bakar yang menerima aduan pengadu berusia 20 hingga 65 tahun sejak awal tahun lalu mendakwa mereka menjadi mangsa sindiket keldai akaun selepas berurusan dengan along untuk pinjaman.
Katanya, rekod pihaknya setakat ini mendapati seorang pengadu berdepan sehingga 30 laporan polis di seluruh negara kerana akaunnya digunakan sindiket selepas kad ATM miliknya diserahkan kepada along sebagai syarat kelulusan pinjaman, awal tahun ini.

“Mereka tidak mengetahui maklumat diserahkan dimanipulasi untuk tujuan lain. Ada yang menyerahkan sendiri kad bank, tapi kebanyakan mereka menggunakan khidmat kurier untuk pos kad itu kepada alamat yang diberitahu.
“Paling malang, ada akaun digunakan sindiket ketika pemiliknya berada di dalam penjara untuk kes lain menyebabkan ia menjadi semakin rumit. Kita hairan bagaimana sindiket ini boleh beroperasi dengan meluas, menggunakan data peribadi orang lain menyebabkan mereka menanggung risiko tinggi dipenjarakan,” katanya kepada Harian Metro.
Pengadu, Amira ketika ditemui berkata, dia membuat pinjaman RM10,000 Januari lalu selepas menghadapi masalah kewangan.
Katanya, menerusi iklan di Facebook, dia menghubungi along terbabit sebelum diminta memberi kad bank sebagai syarat kelulusan.
“Kerana terdesak, saya serahkan kad dan mengharap duit masuk. Namun sebaliknya berlaku apabila along memaklumkan ada masalah teknikal untuk memasukkan wang ke akaun saya.
“Saya jangkakan pinjaman tidak diluluskan dan oleh kerana akaun saya kosong, saya minta kad dipulangkan. Selepas beberapa lama, saya masih belum dapat semula kad itu dan oleh kerana akaun kosong, saya biarkan dulu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan.
Amira berkata, tidak lama selepas itu, dia menerima panggilan daripada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar meminta dia hadir memberi keterangan berhubung transaksi mencurigakan.
Menurutnya, dia terkejut sebaik dimaklumkan ada 29 laporan serupa ke atasnya dengan anggaran transaksi antara RM10,000 hingga RM120,000 yang tidak diketahui kerana tidak pernah berurusan menggunakan akaun terbabit sejak awal tahun.
Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahayu, 23, berkata, dia meminjam dengan ceti haram RM5,000 selepas perniagaannya menghadapi masalah.
Mendapat nombor telefon menerusi iklan Facebook, dia berurusan dengan along terbabit yang memintanya menyerahkan kad bank sebagai syarat pinjaman.
“Bagaimanapun, selepas sebulan menunggu, saya menerima panggilan polis mengatakan ada lebih 10 laporan atas nama saya kerana akaun digunakan untuk transaksi pinjaman mudah.
“Saya buntu kerana langsung tidak mengetahui apa-apa kerana menyangkakan akaun itu tidak lagi aktif.
“Lebih malang, saya cuba menghubungi telefon along terbabit, tetapi gagal menyebabkan saya disabitkan dengan kesalahan bersubahat dengan sindiket pinjaman yang memperdaya orang ramai,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
DITIMPA BALA KEDUA

Wednesday, February 28, 2018

4385) JANGAN BIARKAN JIKA DITIPU SINDIKET TAWAR HARGA MURAH – MALAYSIA GAZETTE – 28/2/18




KUALA LUMPUR – Dalam 10 aduan diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sembilan daripadanya adalah kes penipuan, kata Datuk Hishamuddin Hashim.
Peguam PPIM itu mendakwa, keghairahan untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang murah menyebabkan mangsa-mangsa penipuan terlupa faktor penting iaitu memastikan sama ada wujud atau tidak pihak yang membuat tawaran tersebut.
“Kalau bagi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), rasuah musuh nombor satu negara. Kalau bagi agensi dadah mereka kata dadah nombor satu negara, kita di PPIM kata penipuan musuh nombor satu jugak.
“Hari-hari cerita pasal tipu, tipu, tipu dan tipu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sidang media tersebut diadakan selepas 11 ejen yang terlibat menjual tiket penerbangan murah membuat aduan ke pejabat PPIM berkenaan ditipu seorang wanita yang melantik mereka sebagai ejen.
Menurut Hishamuddin, meskipun kes-kes penipuan seperti itu akhirnya boleh dibongkar namun ia tidak sepatutnya berlaku.
“Kita juga minta pengguna peka dan jangan sekali-kali beli mana-mana tiket daripada ejen yang tidak berlesen,” ujarnya.
Katanya, PPIM menggesa polis memandang serius kes-kes melibatkan penipuan secara kolektif dengan tidak membiarkan pelaku penipuan terlepas.
Tambahnya, sesuatu kes itu perlu disiasat seadil-adilnya dengan memperlihat secara komprehensif dan bukannya sekadar melepas batuk ditangga. – MalaysiaGazette

Artikel Oleh : Malaysia Gazette
JANGAN BIARKAN JIKA DITIPU SINDIKET TAWAR HARGA MURAH

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL