Showing posts with label Ceti Haram. Show all posts
Showing posts with label Ceti Haram. Show all posts

Friday, September 1, 2023

PPIM NAFI ANIAYA MANGSA CETI HARAM - HARIAN METRO - 31/08/2023

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka terbabit menjadi antara perunding yang menganiaya mangsa ceti haram.

Setiausaha Kerja PPIM, Muhammad Zharif Johor berkata, video yang tular berkaitan aduan mangsa pinjaman wang atau lebih dikenali sebagai along tidak ada kaitan dengan persatuan itu.

Katanya, rakaman itu antara lain memaparkan rakaman audio mangsa berasa kesal dengan tindakan pihak yang tidak melaksanakan amanah seperti dijanjikan meskipun bayaran dibuat mangsa kepada organisasi terbabit.

"Saya tidak pasti organisasi mana ataupun yang dimaksudkan tetapi apa dinyatakan adalah selepas membuat pembayaran, mereka (organisasi) gagal untuk mendapatkan pembelaan.

"Sepertinya tidak ada perbezaan ketika mereka (mangsa) berurusan dengan pihak along," katanya dalam kenyataan.

Beliau turut membidas andaian beberapa individu menyatakan PPIM adalah antara salah sebuah NGO yang terpalit dalam isu ini.

"Kami di PPIM sudah lama menguruskan aduan seperti ini. Alhamdullilah, kita mempunyai kaedah tersendiri dan integriti kita terbukti.

"PPIM antara NGO yang bekerjasama baik dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pelbagai urusan serta bersama dalam sesi libat urus bagi meregulasi organisasi yang memberi khidmat perundingan kewangan termasuk kes-kes along.

"Kita minta masyarakat supaya menjadi lebih peka dan membuat pemilihan terbaik dengan pihak mana mereka ingin berurusan," katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak menilai kemampuan sesebuah organisasi berdasarkan populariti semata-mata tanpa menilai integriti serta kredibiliti mereka dalam konsultasi, rundingan dan pengurusan kes-kes berkaitan pinjaman kewangan atau along.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada along yang menubuhkan agensi perunding untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan atas kesusahan mangsa.

"Berdasarkan rekod, along ini sudah buat macam-macam dan tak mustahil mereka akan reka pelbagai cara untuk menakut-nakutkan peminjam," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM NAFI ANIAYA MANGSA CETI HARAM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/08/1005161/ppim-nafi-aniaya-mangsa-ceti-haram

Saturday, January 30, 2021

5351) PINJAM RM1,000 BAYAR DAH LEBIH RM100,000 - HARIAN METRO - 29/01/2021


Kuala Lumpur: Perah sampai kering. Itu istilah digunakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merujuk kepada ceti haram atau along yang semakin rancak mengenakan caj tinggi kepada peminjam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, sejak setahun lalu, pihaknya kembali menerima aduan tidak masuk akal termasuk berkaitan kadar caj melebihi 100 kali ganda.

Katanya, dalam kes terbaru, seorang peminjam kini dihimpit hutang apabila dipaksa membayar lebih 100,000 untuk pinjaman RM1,000.

"Ini antara aduan yang kita terima sepanjang PKP. Selain itu golongan peniaga juga dikesan menjadi antara peminjam paling ramai setakat ini.

"Secara keseluruhan, kes yang kita terima dan uruskan meningkat 30 peratus daripada biasa," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, along menjadikan alasan PKP sebagai tema untuk menawarkan pinjaman kepada orang ramai yang sangat terdesak.

Menurutnya, along juga menawarkan pinjaman kepada peniaga kononnya untuk membantu mereka, namun ia hanya pada peringkat awal, selepas itu peminjam dikenakan caj tidak masuk akal.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya meminta kerajaan untuk mempertimbangkan lanjutan moratorium tanpa syarat kepada rakyat supaya mereka dapat menanggung bebanan kewangan ketika ini.

Katanya, ia difikirkan perlu memandangkan pengguna sukar mendapatkan pembiayaan peribadi dari institusi kewangan sewaktu PKP selain terpaksa mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan.

"Sekarang semua pihak tertekan dan kita tidak boleh tunggu lagi. Data yang kita ada menunjukkan jumlah peminjam baru semakin meningkat, ia sesuatu yang amat tidak sihat," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

PINJAM RM1,000 BAYAR DAH LEBIH RM100,000

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/669293/pinjam-rm1000-bayar-dah-lebih-rm100000 

Thursday, January 2, 2020

5623) RAKYAT MALAYSIA RUGI RM1.8 BILION - HARIAN METRO - 02/01/2020


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merekodkan kerugian dialami rakyat Malaysia mencecah RM1.8 bilion membabitkan kes ceti haram, keldai akaun dan ‘scam’.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, faktor sikap menjadi punca utama mengapa masih ada mangsa bagi kes berkenaan termasuk mereka yang terperangkap dengan kes berulang dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini.
Katanya, secara purata, sebanyak 30 kes along diterima pihaknya setiap hari dengan nilai minimum pinjaman RM20,000 dengan sebahagian besarnya sudah diselesaikan secara rundingan bersama ceti haram terbabit.
"Untuk keldai akaun, kita ada beratus-ratus mangsa dengan nilai kerugian RM1 bilion dan jumlah itu semakin bertambah setiap hari. Saya yakin, lebih ramai lagi mangsa akan tampil selepas ini kerana mereka mula nampak jalan penyelesaian.
"Paling tidak, tempat untuk mengadu kerana sebelum ini, mereka tidak tahu kepada siapa hendak dirujuk. Ikutkan laporan polis, memang banyak dan kes seperti ini agak mengambil masa untuk diselesaikan. Ada juga kes yang sudah berjalan di mahkamah," katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, pihaknya juga menerima aduan mengenai pelbagai jenis penipuan terutama mereka yang berurusan secara online dan media sosial.
Katanya, semua aduan yang direkodkan akan dirujuk kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan dan pengguna mendapat pembelaan sewajarnya.
"Untuk tahun ini (2020), kita akan pelbagaikan bentuk kempen kepenggunaan iaitu memastikan agar pengguna peduli dengan hak mereka dan tahu apa tindakan perlu diambil sekiranya berdepan masalah.
"Di Malaysia, tahap kesedaran juga satu isu, ada yang tahu berdepan masalah tidak mahu buat laporan. Ada juga yang buat laporan beberapa kali, tapi tiada tindakan. Jadi saya rasa penting untuk kita semua tahu hak dan peranan masing-masing demi kebaikan bersama," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

RAKYAT MALAYSIA RUGI RM1.8 BILION


Tuesday, January 2, 2018

4271) AKAUN KAU, AKAUN AKU – HARIAN METRO – 2/1/18





Kuala Lumpur: Bukan saja memperdaya peminjam dengan kadar faedah tidak masuk akal, ceti haram kini menggunakan taktik terbaru iaitu menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk urusan transaksi akaun menyebabkan mereka kini menjadi buruan pihak berkuasa.
Ini menjadikan along terbabit berurusan menggunakan akaun orang lain dan yang paling teruk ia digunakan untuk tujuan penipuan termasuk menerima deposit secara haram.
Sejak Januari lalu, sebanyak 90 kes diadukan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membabitkan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM250,000 menerusi transaksi dibuat along.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, data peribadi berkenaan diperoleh ketika peminjam mengisi borang maklumat bagi memohon pinjaman.

Lebih malang, mangsa turut menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai jaminan ketika memohon pinjaman menjadikan ia bonus kepada along untuk menggunakan akaun peminjam untuk menipu.
Katanya, mangsa tidak menyedari akaun digunakan pihak ketiga sehingga dihubungi polis memaklumkan wujud penipuan menggunakan akaun mereka.
“Yang menjadi masalahnya adalah ia digunakan secara salah iaitu untuk transaksi deposit pinjaman. Maksudnya, along meminta peminjam memasukkan sejumlah wang sebagai deposit mendapatkan pinjaman.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mendapat duit seperti dijanjikan,” katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, peminjam yang tidak berpuas hati membuat laporan polis dan ketika itu, mangsa baru mengetahui akaun mereka digunakan along untuk kepentingan sendiri.
Menurutnya, PPIM menerima aduan hampir sama iaitu mangsa berdepan tindakan undang-undang kerana semua wang dimasukkan ke dalam akaun mereka tanpa pengetahuan dan membabitkan jumlah yang besar.
“Ini kes penganiayaan kepada mangsa kerana sudahlah mereka meminjam kerana kesempitan, along pula mengambil kesempatan dengan menggunakan butiran peribadi. Along lepas, mereka pula ditahan.
“Ada dua elemen di mana mereka ditipu dengan jumlah yang patut diterima daripada along dan wang deposit yang mereka masukkan untuk membolehkan sesuatu pinjaman diluluskan.
“PPIM akan membawa perkara ini ke Bukit Aman kerana bimbang ramai yang menjadi mangsa seperti ini. Kami harap, ia dapat disiasat kerana ada pengadu yang membatalkan pinjaman, tetapi akaun mereka digunakan along untuk menipu orang ramai,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
“AKAUN KAU, AKAUN AKU”

Wednesday, August 23, 2017

4002) "SAYA HIDUP LEBIH TENANG" - HARIAN METRO - 19/8/2017

harian metro 19.8.2017
Kuala Lumpur: “Kehidupan saya lebih tenang dan tumpuan kini hanya untuk mendalami ilmu agama,” kata Saad Kong atau nama asalnya Kong Kon Teck, 50 yang kini mempunyai kehidupan baru selepas bebas daripada menjadi hamba abdi ceti haram di sebuah bengkel besi buruk di Sepang, awal bulan lalu.
Pendedahan penderitaan Saad di Harian Metro, 4 Ogos lalu, mendorong Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) memberikan bantuan, sekali gus membolehkan dia ditempatkan di satu lokasi selamat untuk sementara waktu.
Saad berkata, dia menyusun semula kehidupan selain mendalami ilmu agama di kelas yang disediakan sejak ditempatkan di lokasi itu seminggu lalu.
Katanya, kehidupan sehariannya bermula pada jam 3.30 pagi setiap hari untuk dia bangun menunaikan solat tahajud dan diikuti solat Subuh.
“Saya cuba untuk berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis serta memulakan kelas agama bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Selepas itu, saya bercadang untuk membuka semula kelas tambahan setiap Sabtu dan meluangkan masa dengan keluarga serta aktif kembali dalam sukan memanah setiap Ahad.
“Saya masih dalam peringkat awal pembelajaran dengan belajar ilmu fiqah, fardu ain dan bacaan Iqra. Saya komited dengan ilmu yang dipelajari dan dalam tempoh seminggu ini, saya menjadi peserta kumpulan terbaik untuk latihan menjadi imam,” katanya kepada Harian Metro.
Dia berkata, kehidupannya selama lapan bulan menjadi hamba di bengkel besi buruk bertukar sekelip mata menjadi lebih baik dan ia membuktikan bahawa perancangan Allah SWT itu indah.
“Ketika menjadi hamba abdi saya tidak pernah mengeluh dengan ujian yang diberikan kerana saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.
“Apapun saya terhutang budi dengan rakan-rakan yang membantu membebaskan saya daripada menjadi hamba abdi selain PPIM serta YMM yang banyak memberikan tunjuk ajar serta membantu saya memulakan kehidupan baru sebagai mualaf,” katanya.
Pada 4 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan Saad yang dikerah menjadi hamba abdi selama kira-kira lapan bulan di sebuah bengkel besi buruk kerana terikat dengan hutang lebih RM30,000 dengan bekas rakan kongsi perniagaannya.
Penderitaan Saad berakhir apabila dia berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang rakan dan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya bersama YMM membantu memberi bimbingan kepada Saad dan kagum dengan komitmen lelaki itu yang bersungguh-sungguh mendalami Islam.
Katanya, menerusi bantuan pengerusi YMM, Nabila Shila Lama Abdullah dan pihak berkuasa agama, mereka akan membantu Saad mendalami agama dengan kelas pengajian asas solat dan lain-lain.
“Apa yang boleh dikatakan, kami memang kagum dengan ketabahan dia menjadi seorang Muslim selepas apa yang dilalui. Selepas ini, kita akan tengok apa lagi bantuan yang boleh diberikan kepadanya,” katanya.
Snapshot(4)
https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/08/255234/saya-hidup-lebih-tenang

Friday, May 19, 2017

3718) TAKLIMAT KESEDARAN ”BAHAYA AHLONG" DI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) PUTRAJAYA - PPIM - 19/5/2017


19 Mei 2017- PPIM telah mengadakan taklimat kepada warga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Putrajaya bertajuk Kesedaran Bahaya Ahlong.
Turut hadir memberi sokongan dalam taklimat ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Dato' Yusoff Bin Ayob. Hampir 300 pegawai JPJ hadir dalam sesi taklimat yang dikendalikan oleh Pengarah Latihan PPIM, Cikgu Izham Nayan.
Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa kakitangan JPJ Putrajaya memberi tanda sokongan dengan mendaftar sebagai Ahli PPIM. PPIM berharap agar program Taklimat Kesedaran Bahaya Ahlong oleh Unit Latihan PPIM mendapat sambutan oleh setiap masyarakat agar masalah Ahlong / Ceti Haram dapat dibendung segera.
Sekiranya anda atau kenalan mempunyai masalah berkaitan Ah Long, kami nasihatkan anda untuk segera melaporkan aduan kepada Unit Banteras Ceti Haram PPIM bagi mendapatkan bantuan.
Mengikut pengalaman kami, ramai mangsa Ahlong mula terjerat kerana menyangka mereka mampu berurusan secara sendiri dengan Ahlong tanpa sebarang masalah. Untuk makluman semua, Ahlong menggunakan pelbagai taktik licik dan zalim untuk memerangkap mangsanya. Bunga yang tidak masuk akal serta ugutan menyebabkan mereka yang meminjam dari Ahlong akhirnya menjadi hamba Ahlong untuk selama-lamanya.
PPIM melalui Unit Banteras Ceti Haram telah menyelesaikan ribuan kes Ahlong yang melibatkan nilai jutaan ringgit. Kejayaan demi kejayaan dicapai sekaligus membantu ribuan mangsa Ahlong serta mereka yang terbabit. Bantuan diberikan tidak mengira Bangsa mahupun Agama.
Unit Banteras Ceti Haram PPIM boleh dihubungi ditalian 013-3071 999 atau 019-3458 444.
Kami menasihati masyarakat jangan sesekali meminjam dari Ahlong!
Unit Banteras Ceti Haram
Persatuan Pengguna Islam Malaysia
70X, Jalan Keramat Hujung
Bukit Keramat. 54000 Kuala Lumpur
013-3071 999 / 019-3458 444
03-4257 7222 / 03-4256 6618
Sebarkan maklumat ini kepada kenalan anda atau mangsa Ahlong.
WhatsApp Image 2017-05-19 at 8.55.30 AM WhatsApp Image 2017-05-19 at 8.55.44 AM WhatsApp Image 2017-05-19 at 9.00.05 AM WhatsApp Image 2017-05-19 at 9.01.45 AM WhatsApp Image 2017-05-19 at 9.35.13 AM WhatsApp Image 2017-05-19 at 9.40.18 AM WhatsApp Image 2017-05-19 at 9.42.00 AM

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL