Friday, December 8, 2023

PPIM CADANG TINGKATKAN HUKUMAN KEPADA PENIPU DALAM TALIAN - SINAR HARIAN - 08/12/2023

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan Jabatan Peguam Negara (ACG) mengenakan hukuman paling berat kepada penipu dalam talian iaitu penjara selama lima tahun dan bayaran denda sehingga ratusan ribu.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan boleh melaksanakan hukuman itu dengan mengkaji semula denda yang dikenakan kepada pesalah di bawah Kanun Keseksaan 417 iaitu bayaran sebanyak RM3,000 sahaja.

“Denda itu tidak masuk akal kerana selepas membayarnya, penipu akan dibebaskan. Jadi, mereka (penipu) boleh melakukan semula aktiviti ini kepada orang lain.

“Mangsa penipuan yang kehilangan ribuan ringgit pula didakwa di bawah undang-undang apabila akaun mereka terlibat dalam kegiatan haram,” katanya semasa sidang akhbar di Kondominium Vila Puteri, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pegawai Khas Penyiasatan PPIM, Adrian Fernandez; Pengerusi Parti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizam dan peguam, Shahrin Satheer.

Dalam pada itu, Shahrin turut mencadangkan penggubal undang-undang untuk mewajibkan hukuman penjara kepada penipu dalam talian yang berlaku di negara ini.

Jelasnya, individu yang melakukan penipuan tersebut perlu dijatuhkan hukuman penjara dan denda, bukan hanya salah satu daripadanya.

“Saya rasa tidak berapa masuk akal, ini kes penipuan. Tidak perlu ada ‘atau’, sepatutnya penjara ‘dan’ denda. Itu baru betul.

“Undang-undang ini semua sudah ada cuma perlu digerakkan untuk menangkap penipu yang terlibat,” ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM CADANG TINGKATKAN HUKUMAN KEPADA PENIPU DALAM TALIAN

https://www.sinarharian.com.my/article/638711/berita/semasa/ppim-cadang-tingkatkan-hukuman-kepada-penipu-dalam-talian

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...