Monday, August 19, 2019

5175) CAJ TAK RELEVAN - METRO AHAD - 18/08/2019



KERAJAAN digesa mengkaji semula denda RM500 yang dikenakan kepada majikan jika pembantu rumah atau amah menghadapi masalah serta melarikan diri.

Ini kerana mereka sudah rugi berkali ganda sejak dari awal menggaji amah termasuk membawa mereka masuk ke negara ini selain kerugian akibat kecurian dan kehilangan lain.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh kerana yang rugi adalah majikan dan bukan amah itu sendiri.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia perlu melihat kembali kewajaran denda itu berdasarkan fakta kes kerana banyak aduan diterima mengenai majikan yang teraniaya akibat amah yang lari bersama barangan berharga.

“Itu belum lagi mereka tinggalkan anak-anak kecil di bawah jagaan begitu saja. Ada yang lari ikut teman lelaki, rakan senegara dan pelbagai lagi masalah lain.

“Apakah kita yang bayar belasan ribu ringgit ini dikira salah jika amah yang lari.

“Sudahlah begitu, kerajaan menetapkan denda sedangkan duit yang sudah dikeluarkan juga banyak untuk mendapatkan khidmat mereka. Akhirnya apa pun tak dapat, rugi pula lagi,” katanya.

Beliau mengulas nasib malang majikan yang seolah-olah tidak terbela ekoran masalah amah lari dari rumah yang sudah berlarutan sekian lama dilaporkan akhbar ini, semalam.

Sebanyak 30,560 kes direkodkan sejak 2015 hingga Julai 2019 dan berdasarkan kiraan RM12,000 seorang, majikan mengalami kerugian lebih RM367 juta sepanjang tempoh berkenaan.

Nadzim berkata, PPIM juga menerima banyak aduan berkaitan amah termasuk isu yang diketengahkan dan meminta penjelasan pihak berwajib berhubung perkara itu.

“Banyak, memang banyak aduan mengenai amah ini. Kebanyakannya semua memberikan masalah kepada majikan.

“Saya rasa kerajaan perlu juga memikirkan kaedah lain untuk memastikan majikan dilindungi daripada sebarang penipuan.

“Mungkin perlu melihat semula peraturan sedia ada serta perjanjian antara negara sumber supaya isu ini boleh diatasi demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya.

Artikel oleh: Metro Ahad


CAJ TAK RELEVAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/08/487121/caj-tak-relevan

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL