SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah daripada orang ramai lebih RM1.14 juta antara Januari 2016 hingga Februari 2017.
Tertuduh, Rosman Jamal, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menerima deposit dari seorang individu sebanyak 10 kali berjumlah RM375,500 tanpa memiliki lesen yang sah diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).
Tertuduh juga didakwa menerima deposit dari individu lain sebanyak enam kali transaksi berjumlah RM772,800.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Tadisma Business Park, Seksyen 13 di sini antara 17 Januari 2016 hingga 13 Januari 2017.
Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat menawarkan jaminan sebanyak RM160,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport serta perlu melapor diri di Balai Polis setiap awal bulan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Jason Singh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut memandangkan anak guamnya perlu menyara empat orang anak serta menanggung kedua ibu bapanya.
Yang Zaimey kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM45,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan.
Tertuduh membayar wang jaminan itu dan tarikh sebutan ditetapkan pada 26 September depan.
Akhbar pada April tahun lalu melaporkan, sekumpulan 28 individu membuat laporan polis mendakwa ditipu oleh Yayasan Amanah Niaga Kebangsaan Malaysia berhubung pelaburan wang melibatkan kerugian kira-kira RM4.7 juta.
Mereka yang mendapatkan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa mula melabur pada 2016 dengan pulangan yang dijanjikan antara 20 dan 35 peratus setiap bulan. - K! ONLINE
Artikel oleh: Kosmo
AHLI PERNIAGAAN DIDAKWA TERIMA WANG DEPOSIT TANPA LESEN RM1.14 JUTA
No comments:
Post a Comment