Thursday, August 22, 2019

5186) PRODUK BUKAN ISLAM GUNA TULISAN JAWI KELIRUKAN PENGGUNA - MALAYSIA GAZETTE - 22/08/2019


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) senada dengan Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia(MCED)  yang mahu satu akta digubal bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada bungkusan produk bukan Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pengguna keliru dengan syarikat bukan Islam yang menggunakan tulisan Jawi.

“Ramai rakan kita yang bukan Islam membantah pendidikan Jawi di peringkat sekolah atas alasan ia merupakan langkah islamisasi.

“Oleh itu, kita setuju dengan pendapat mereka yang meletakkan tulisan Jawi sebagai identifikasi Islam.

“Maka, produk bukan Islam hendaklah dilarang sama sekali daripada menggunakan tulisan Jawi pada bungkusan, iklan, papan tanda kedai, dan apa juga label perniagaan bukan Islam,” katanya di sini.

Menurut Nadzim lagi, pengguna Islam terutamanya telah lama tertipu dengan teknik pengiklanan, pemasaran dan pembungkusan yang menggunakan lambang-lambang dan tulisan yang sinonim dengan Islam.

Katanya, ia termasuk seperti tulisan Jawi, lambang masjid serta nama-nama Islam sebagai jenama produk.

“Sudah tiba masanya kita membezakan yang mana produk Islam dan mana produk bukan Islam agar pengguna boleh membuat pilihan yang lebih bijak,” katanya.

Nadzim turut berpendapat syarikat bukan Islam rata-rata kurang memahami konsep halal dan toyyib.

“Mereka sewenang-wenangnya mendapatkan pensijilan halal oleh pihak Jakim dan kemudian melanggar syarat sah halal sehingga banyak kes sijil halal produk dan perkhidmatan mereka ditarik balik.

“Namun begitu, mereka hanya perlu membuat pembetulan dan memohon semula sijil halal. Hakikatnya, kesan daripada produk yang tidak halal itu kekal dan tidak boleh dihapuskan semudah itu,” katanya.

Nadzim berpendapat sijil Halal Jakim tidak mengambil kira majikan yang tidak membenarkan pekerja solat atau memakai tudung.

“Ada hotel mendapat sijil halal tetapi tidak benarkan pekerja memakai tudung, ia tidak masuk akal kerana halal bukan hanya pada makan dan minum,” katanya.

Selain itu, Nadzim berkata, peniaga bukan Islam juga tidak membayar zakat dan tidak menyumbang kepada masyarakat Islam walaupun memperolehi kekayaan daripada masyarakat Islam.

Semalam, MCED dilaporkan menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.


Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris dipetik berkata, tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.


Artikel oleh: Malaysia Gazette

PRODUK BUKAN ISLAM GUNA TULISAN JAWI KELIRUKAN PENGGUNA

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/22/produk-bukan-islam-guna-tulisan-jawi-kelirukan-pengguna/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL