Tuesday, August 6, 2019

5142) 4 BERANAK DIBURU ALONG TINGGALKAN KAMPUNG - BERITA HARIAN - 06/08/2019


Kuala Lumpur: Empat beranak terpaksa melarikan diri dari kampung mereka selepas diugut along sejak sebulan lalu, disebabkan pinjaman RM1,200.

Lebih menyedihkan apabila dua anaknya yang menyambung pelajaran di universiti awam di Pantai Timur juga terpaksa menangguhkan pengajian akibat turut menjadi buruan along terbabit.

Mangsa, Khairul Anwar Ali, 38, yang bekerja sebagai peniaga warung di Chendering, Kuala Terengganu, berkata dia mengambil keputusan membuat pinjaman itu kerana kesempitan wang untuk meneruskan perniagaan.

Selain itu, keluarganya turut memerlukan wang bagi membeli persiapan apabila anak tiri perempuannya menerima tawaran menyambung pengajian universiti di Jepun.

“Dalam keadaan terdesak itu, saya terbaca iklan dipasang berhampiran warung mengenai pinjaman wang ‘Islamik’. Jadi saya mengambil keputusan membuat pinjaman RM1,200 pada Mei lalu.

“Pada mulanya, saya mampu membayar ‘bunga’ pinjaman mengikut perjanjian. Namun, apabila perniagaan semakin merosot, ada beberapa kali saya terlewat membayar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Khairul Anwar berkata, sehingga bulan lalu, dia sudah membayar lebih RM7,000, namun along berkenaan masih memburunya dengan alasan bayaran itu hanya ‘bunga’ pinjaman dan jumlah semakin meningkat setiap kali berlaku kelewatan.

“Apabila berlaku kelewatan pembayaran, along terbabit bukan saja mengganggu, malah turut menyebabkan kemerosotan perniagaan apabila mencetak gambar saya dan melekatnya di kawasan rumah dan warung.

“Tindakan itu menyebabkan orang ramai menjauhi warung kami. Jika sebelum ini ada yang menempah makanan, mereka juga tidak lagi berbuat demikian selepas gambar saya tersebar kerana berhutang,” katanya.

Khairul Anwar berkata, sehingga kini hutangnya meningkat kepada RM19,000 dan along itu turut mengugut mencederakan anak perempuannya hingga mendesak mereka sekeluarga meninggalkan kampung halaman untuk sementara waktu.

Mereka kini mendapat perlindungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.


Artikel oleh: Berita Harian


4 BERANAK DIBURU ALONG TINGGALKAN KAMPUNG

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL