Tuesday, August 6, 2019

5144) POLISI LAPUK BEBAN LEBIH 300,000 INDIVIDU - HARIAN METRO - 06/08/2019



Kuala Lumpur: Tidak diberikan penyata kewangan, kadar faedah 12 peratus menyamai pemberi pinjam wang berlesen serta fi yang tidak wajar.

Itu isu membelenggu individu dibankrapkan di negara ini yang berurusan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sejak beberapa tahun lalu sehingga mereka menganggap prosedur sedia ada bukan memudahkan, sebaliknya menjadikan mereka lebih terbelit.

Sehingga kini, lebih 300,000 individu bankrap belum bebas dari diisytihar muflis biarpun Akta Kebankrapan 1967 sudah pun dipinda dua tahun lalu, namun nasib mereka tidak banyak berubah.

Mendedahkan perkara itu, KetuaAktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima lebih 300 kes setahun sejak beberapa tahun lalu dan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, jumlah itu salah satu kekhuatiran PPIM, selain pelbagai tekanan hidup dihadapi bankrap yang tidak mengetahui sampai bila mereka terus membayar kepada MdI kerana beberapa polisi yang disifatkannya lapuk serta sesuai untuk zaman purba.

“Bukan itu saja, hasil daripada aduan, kami dapati, orang yang bankrap juga dikehendaki menjelaskan bayaran dan perbelanjaan bagi alat tulis, permohonan, iklan dan warta, notis permohonan, bayaran mahkamah dan pelbagai yang saya kira tidak wajar. “Sepatutnya pihak berwajib membantu, bukan menyusahkan.

“Kami minta pencerahan daripada Ketua Pengarah mengenai isu ini, ia sudah turun-temurun sejak peninggalan British lagi.

“Undang-undang perlu jelas kerana orang bankrap juga adalah aset negara. Kalau semua tak boleh buat, bagaimana mereka hendak menyumbang dan lebih penting, untuk meneruskan hidup,” katanya.

Nadzim berkata, kerajaan juga dicadang menyediakan akta bersyarat, contohnya menyediakan satu akaun untuk bankrap berurusan, bukan membekukan akaun seperti yang ada sekarang.

Menurutnya, umum tidak mengetahui apa kelonggaran atau pilihan yang ada kepada bankrap menyebabkan mereka buntu memikirkan jalan keluar kepada masalah mereka.

“Kenapa tak ikut macam negara maju contohnya di negara Eropah dan Australia yang mengehadkan tempoh bankrap kepada tempoh tertentu, tiga tahun umpamanya,” katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

POLISI LAPUK BEBAN LEBIH 300,000 INDIVIDU

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL