Thursday, February 6, 2014

1138) UTUSAN MALAYSIA 6/2/2014 KEPUTUSAN TIDAK NAIKKAN KADAR TOL MENGGEMBIRAKAN RAKYAT







KUALA LUMPUR 5 Feb. - Keputusan kerajaan tidak menaikkan kadar tol di seluruh negara disifatkan sebagai khabar gembira yang sudah lama ditunggu-tunggu rakyat, sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi berhubung perkara tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George menyifatkan pengumuman itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat.

Katanya, pengumuman tersebut juga dapat menamatkan spekulasi berhubung kenaikan kadar tol yang telah tersebar luas, khususnya dalam media baharu.

"Keputusan ini tepat kerana jika kadar tol dinaikkan, sudah pasti kenaikan harga barang juga akan berlaku.

"Saya yakin rakyat berasa lega dan seterusnya berterima kasih dengan keputusan kerajaan ini," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tentang kadar tol di seluruh negara tidak akan dinaikkan tahun ini.

Muhyiddin berkata, langkah tersebut diambil supaya rakyat tidak dibebani dengan kadar tol baharu.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tentu rakyat gembira dengan pengumuman tersebut kerana sebelum ini ada pihak yang sengaja menggembar-gemburkan kenaikan kadar tol sehingga ramai terpengaruh, sedangkan perkara itu belum dimuktamadkan lagi.

"Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja menyebarkan tuduhan berhubung kenaikan kadar tol sehingga menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan rakyat sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali," katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya yang menyokong penuh keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol sedia ada.

Katanya, keputusan itu mampu mengurangkan bebanan kewangan rakyat, khususnya yang menggunakan lebuh raya setiap hari untuk ke tempat kerja.

"Saya yakin pengumuman tersebut dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam mendengar keluhan rakyat di akar umbi," jelasnya

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL