Thursday, February 20, 2014

1164) BERITA HARIAN 19/2/2014 KAJI SEMULA SYARAT MILIKI 10 KAD SIM





Headline: Kaji semula syarat miliki 10 kad SIM
Publication: BH
Date of publication: Feb 19, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Syed Azwan Syed Ali; Sarah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kaji semula peraturan yang membenarkan setiap individu mendaftar sehingga 10 talian prabayar.

Itu desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung isu penjualan kad SIM haram yang boleh menggugat keselamatan negara.

Peraturan sedia ada membuka ruang kepada penyelewengan dan penyalahgunaan maklumat peribadi oleh pihak ketiga yang mungkin mendaftarkan baki sembilan lagi talian prabayar itu tanpa pengetahuan penama asal.

Daftar nama individu lain

Lebih memburukkan keadaan, kad SIM prabayar yang didaftarkan atas nama individu lain itu dikhuatiri digunakan pihak tidak bertanggungjawab termasuk penjenayah.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman, berkata SKMM perlu mengkaji peraturan sedia ada yang membolehkan pengguna mendaftar sehingga 10 talian prabayar.

"Ia buka ruang kepada salah guna kerana kad SIM prabayar sama akan digunakan semula selepas ia tidak lagi aktif. Dalam hal ini, syarikat telekomunikasi kena bertanggungjawab sebab mereka mempunyai pangkalan data pengguna dan boleh mengesan jika ada perkara tak kena.

"Kalau kita tengok secara khusus, majoriti pengguna tidak memerlukan sehingga 10 talian telefon," katanya mengulas isu penjualan kad SIM prabayar haram dibongkar Unit Khas BH sejak Ahad lalu.

Akhbar ini melaporkan penjualan kad SIM prabayar tanpa perlu mendaftar itu boleh dibeli dengan mudah di ibu negara, termasuk di pusat beli-belah dan pusat tumpuan pelancong seperti Chow Kit.

Lebih membimbangkan apabila kad SIM haram itu dijual secara terbuka termasuk kepada pendatang asing sekalipun SKMM mewajibkan syarikat telekomunikasi dan wakilnya memastikan pengguna mengemukakan dokumen pengenalan diri bagi mengelakkan ia disalah guna, berkuat kuasa Januari 2006.

35.9 juta talian prabayar

Isu membabitkan lebih 35.9 juta talian prabayar itu menimbulkan kebimbangan kerana penggunaannya membuka ruang kepada perlakuan jenayah seperti penipuan, peras ugut, kongsi gelap mahupun pengganas kerana talian telefon itu tidak didaftarkan di atas nama pengguna akhir.

Menyokong kajian semula had maksimum 10 talian itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman menegaskan perlunya kawalan dan inventori pendaftaran di peringkat pengedar kad SIM prabayar bagi mengelakkan penjualan kad SIM haram itu.


"Penjual kad SIM ini juga perlu didaftarkan atau dilesenkan, kawal peringkat sumber. Pihak berkuasa juga perlu pastikan hukuman maksimum dilaksanakan," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL