Monday, February 17, 2014

1162) UTUSAN MALAYSIA 15/2/2014 VANDALISME ANCAMA TELEFON AWAM




KESEDARAN sivik dan penekanan terhadap nilai-nilai murni sangat penting dalam membentuk budaya masyarakat yang menghargai telefon awam.

Jika tidak, perbuatan vandalisme akan terus berleluasa lantas menimbulkan kesukaran dan mungkin memudaratkan pengguna lain yang memerlukan khidmat telefon awam di saat genting.

Melihat kepada statistik vandalisme yang dikeluarkan Muzium Telekom pada tahun 2001 hingga 2007, ternyata begitu banyak kes vandalisme.

Bermula pada 2001, jumlah keseluruhan vandalisme yang dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 9,631 kes, 9,745 (2002), 7,404 (2003), 10,898 (2004), 7,851 (2005), 2,002 (2006) dan 241 (2007).

Walaupun terdapat penurunan masalah tersebut pada 2004 hingga 2007, namun tiada petunjuk bahawa kesedaran kepentingan menjaga telefon awam sudah meningkat.

Ini berikutan banyak aduan dan rungutan dipaparkan di dalam media mengenai kerosakan telefon awam dan kemungkinan penurunan berlaku disebabkan faktor peralihan kepada gajet yang lebih canggih.

Menurut Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya, kes vandalisme merupakan isu utama yang sering kali dikaitkan dengan telefon awam.

"Sikap segelintir pengguna yang suka memecahkan telefon, putuskan wayar dan mencabut ganggang menyebabkan banyak telefon awam tidak boleh digunakan. Bahkan, ada juga yang mencuri duit syiling.

"Sebab itu, perubahan sikap amat penting dan menjadi perkara utama yang perlu ditekankan bagi memastikan kemudahan telefon awam dapat digunakan secara berterusan," katanya.

Katanya, setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran, jika tidak telefon awam yang kian berkurangan akan hilang dari pandangan umum.

"Walaupun orang ramai sudah beralih kepada penggunaan telefon bimbit, namun kemudahan telefon awam juga amat penting.

"Manalah tahu tiba-tiba berlaku kecemasan dan pada masa sama telefon bimbit pula kehabisan bateri atau tidak ada kredit, bukankah telefon awam boleh menyelamatkan keadaan," katanya.

Saharuddin berkata, kadang-kadang kerosakan telefon awam disebabkan vandalisme ini berlaku kerana kegagalan kemudahan itu berfungsi.

"Kita tidak menolak kemungkinan rasa marah yang timbul akibat tidak dapat membuat panggilan walaupun duit telah dimasukkan atau 'ditelan' mendorong seseorang untuk melakukan vandalisme.

"Justeru, kualiti perkhidmatan juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk sistem dan mekanikal telefon itu sendiri," katanya.

Beliau pada masa sama menyarankan agar kemudahan telefon awam mengutamakan penggunaan kad berbanding duit syiling kerana langkah itu dapat mengurangkan vandalisme.

"Menerusi langkah itu, risiko kecurian duit syiling secara tidak langsung dapat ditangani sekali gus mengelakkan syarikat telekomunikasi menanggung kerugian yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan tidak menafikan perbuatan vandalisme berlaku akibat kurang didikan dan penerapan nilai-nilai murni dari segi kesedaran menjaga kemudahan awam.

"Sesetengah pengguna mempunyai satu penyakit 'gatal' tangan nak buat vandalisme. Pantang nampak telefon awam, mulalah rosakkan semua benda, dengan telefon sekali dicabutnya.


"Itu adalah salah satu tabiat buruk yang perlu diperbetulkan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang bijak berfikir," katanya

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL