Tuesday, February 4, 2014

1133) METRO AHAD 26/1/2014 SEGERA AMBIL TINDAKAN




Headline: Segera ambil tindakan
Publication: MA
Date of publication: Jan 26, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pihak berkuasa digesa membuat pemantauan segera kerana kemungkinan ada warga tempatan senasib dengan seorang mualaf warga Filipina yang dipaksa menjadi ibu tumpang sehingga melahirkan anak kembar dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dirujuk secara langsung untuk membantu kes itu, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku kerana ia bukan saja membabitkan institusi kesihatan swasta di negara ini, malah lebih penting, dilakukan ke atas orang Islam.

Katanya, semua orang sedia maklum bahawa menggunakan khidmat ibu tumpang haram dalam Islam, namun cubaan pihak tertentu menawarkan khidmat itu dengan ganjaran lumayan sangat membimbangkan, apatah lagi ketika isu berkaitan agama hangat diperkatakan kebelakangan ini.

"Saya berjumpa mangsa dan mendapati ada asas dalam aduannya. Dia tersepit dan diugut ejen serta doktor pusat perubatan itu, menyebabkan dia terpaksa menerima 'ganjaran' menjadi ibu tumpang walaupun pada mulanya dia enggan," katanya.

Beliau mengulas nasib menimpa Irene, mualaf yang menempuh pengalaman pahit apabila dipaksa menjadi ibu tumpang oleh ejen pekerjaan, dipercayai didalangi sindiket tertentu yang menjanjikan bayaran lumayan.

Nadzim berkata, pihaknya juga merujuk mangsa ke Baitulmal Wilayah Persekutuan untuk bantuan segera berikutan dia tiada saudara- mara di Malaysia selain membantu wanita itu menyambung visa untuk tempoh sebulan lagi bagi menyelesaikan kes itu.

"Kita berharap ia jadi pengajaran kepada semua orang Islam. Hati-hati dengan tawaran sebegini dan jangan gelap mata apabila dijanjikan bayaran lumayan.

"Ini bukan saja berisiko menggadaikan akidah, malah dalam aspek lain menyumbang kepada kesinambungan generasi yang tidak diketahui asal keturunan," katanya

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL