Friday, February 14, 2014

1161) HARIAN METRO 13/2/2014 INI TIDAK ADIL




Headline: 'Ini tidak adil'
Publication: HM
Date of publication: Feb 13, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 039
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Jika yang dimaksudkan itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), saya anggap ia adalah fitnah yang nyata. Di peringkat persatuan kita sudah bincang dan kesal dengan beberapa kenyataannya yang mengaitkan kami dengan tawaran menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman.

Pada satu sidang media semalam, beliau menafikan pihaknya menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang menampar wakil rakyat itu berikutan penghasilan video klip yang mencetuskan kontroversi seperti dinyatakan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dalam laman sosial.

Katanya, dalam demonstrasi menyatakan kecaman kepada Teresa 6 Februari lalu, PPIM bersama badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menyatakan pendirian berhubung isu itu, namun bukannya menjadi satu-satunya pihak yang membuat tawaran itu.

"Memang seorang daripada aktivis kita menjadi jurucakap pada hari itu, tetapi, dia bukannya mewakili PPIM, sebaliknya gabungan NGO lain yang turut serta. Jadi tidak adil untuk mengatakan PPIM menawarkan ganjaran itu.

"Dia juga kata PPIM tidak Islamik dan tidak mewakili komuniti Islam, jadi apakah usaha membela pengguna Islam selama ini yang kita lakukan tidak mencerminkan Islam? Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berkata begitu, seolah-olah sangat bencikan PPIM," katanya pada sidang media itu di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Dr Maamor berkata, Zuraida juga di dalam kenyataan itu mendakwa NGO yang ada ketika ini banyak menyalahgunakan Islam untuk tujuan tertentu sedangkan selama ini banyak isu diketengahkan gabungan itu mendapat perhatian pihak berwajib.

Dalam satu kenyataan di laman sosial pada 7 Januari lalu, Zuraida dilapor sebagai berkata, tindakan PPIM membuat tawaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Ahli Parlimen itu tidak Islamik serta menyuburkan kebencian dalam kalangan rakyat.

"Sebagai wakil rakyat, dia sepatutnya rujuk fakta sebenar dan boleh dapatkan penjelasan terlebih dulu sebelum bercakap. Kita ada ramai ahli dan ini mungkin boleh mengelirukan masyarakat sedangkan PPIM turut sama dalam perhimpunan itu.


"Dia sebut PPIM yang tawarkan, seolah-olah hanya PPIM saja sedangkan ia daripada gabungan NGO. Kita kesal, namun tidak akan membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL