Headline: Perjanjian selesai krisis bekalan air
Publication: BH
Date of publication: Feb 27, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008
Kejayaan Kerajaan Pusat dan Selangor menyelesaikan masalah
bekalan air menerusi pemeteraian memorandum persefahaman bagi penstrukturan
semula industri air di negeri itu, semalam, disambut baik pelbagai pihak kerana
ia akan memanfaatkan rakyat.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Datuk
Mohd Fidaus Abdullah, berkata perkara itu sememangnya dinantikan oleh rakyat
bagi membolehkan kerajaan melakukan tindakan yang mampu menyelesaikan krisis
air menerusi projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.
"Penstrukturan semula industri bekalan air adalah
sebahagian daripada perkara dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA)
kerana melaluinya, ia dapat menambahbaik infrastruktur bagi menampung
permintaan air terawat di Selangor.
Ambil langkah terbaik
"Akhirnya, Selangor mengambil langkah untuk turut serta
dalam penstrukturan selepas Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak
dan Perlis," katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Kerajaan Persekutuan dan Selangor menandatangani
Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air
Selangor selepas ia berlarutan tanpa penyelesaian sejak 2008, sekali gus
membolehkan projek LRA Langat 2 yang tertangguh diteruskan.
MoU itu ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang mewakili Kerajaan Persekutuan,
manakala kerajaan Selangor diwakili Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia,
Foon Weng Lian, berkata perjanjian itu adalah titik permulaan yang positif bagi
sektor perkhidmatan air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Katanya, ramai pihak pasti tertunggu-tunggu langkah
seterusnya yang akan diambil Kerajaan Pusat dan Selangor bagi mengakhiri krisis
air di Selangor.
"Kami sememangnya menyokong tindakan ini dan
mengharapkan pelaksanaan segera dalam keadaan yang telus dan cepat bagi
mengatasi krisis air.
"Rakyat sudah lama sengsara dan dengan adanya LRA
Langat 2, ia sudah tentu dapat mengelakkan sebarang catuan air," katanya.
Tingkat bekalan air
Presiden Persatuan Air Malaysia, Syed Mohd Adnan Mansor
Alhabshi, berkata perjanjian itu adalah langkah positif untuk industri air dan
pembinaan LRA Langat 2 akan meningkatkan bekalan air di Selangor dalam tempoh
20 tahun akan datang.
"Penstrukturan industri air akan tercapai apabila
kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan dan membuka lembaran baru,"
katanya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai masalah
air dan kerajaan seharusnya sudah lama menyelesaikan masalah itu demi menjaga
kepentingan rakyat.
"Saya harap pengguna tidak lagi menjadi mangsa
permainan politik dan seharusnya pemimpin mengutamakan kepentingan
rakyat," katanya
No comments:
Post a Comment