Thursday, February 20, 2014

1163) UTUSAN MALAYSIA 19/2/2014 ELAK PUKAL : SEDIAKAN DAFTAR PEMBELI




KUALA LUMPUR 18 Feb. - Kerajaan perlu memastikan pihak pemaju perumahan menyertakan senarai daftar pembeli untuk setiap projek perumahan bagi membendung pembelian hartanah secara pukal oleh pihak tertentu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, langkah itu perlu supaya pihak pemaju tidak bersubahat dengan kumpulan pelabur hartanah berkenaan yang berniat mengaut keuntungan berganda.

"Kumpulan pelabur hartanah inilah yang menyebabkan berlaku lonjakan harga rumah yang melampau sehingga menafikan hak pengguna lain yang lebih memerlukan rumah.

"Mereka memegang rumah berkenaan untuk satu tempoh dan menjualnya kembali pada harga yang lebih tinggi kepada golongan berduit dan mudah mendapat pembiayaan daripada pihak bank," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam, yang mahu mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bagi membendung pembelian hartanah secara berkumpulan.

Menurut Abdul Rahman, kumpulan dikenali sebagai 'Kelab Pelabur Hartanah' itu beroperasi dengan menemui pemaju perumahan untuk membeli rumah dalam jumlah yang banyak atau pukal dan menjualnya kembali dengan harga lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, tindakan berkenaan satu bentuk penindasan terhadap pengguna terutama pengguna bumiputera.

"Banyak aduan yang diterima, pengguna mengadu rumah habis dijual tetapi selepas lima atau enam bulan kumpulan yang membeli rumah secara pukal ini akan menjualnya pada harga tinggi dan tidak mampu dibeli oleh pengguna bumiputera.


"Jika perlu kerajaan boleh tarik lesen pemaju yang ingkar kerana mereka hanya mengejar keuntungan hingga mengetepikan peluang pengguna lain untuk memiliki rumah," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL