Friday, November 29, 2013

1010) HARIAN METRO 24/11/2013 - USUS BABI JADI SARUNG SOSEJ


Headline: Usus babi jadi sarung sosej
Publication: MA
Date of publication: Nov 24, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 034
Byline / Author: Oleh Aniza Zainudin




"SEBELUM melakukan serbuan bersama agensi kerajaan termasuk polis, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kesihatan negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kita terlebih dulu membuat pemantauan awal selama seminggu," kata Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro bertajuk `Sosej Usus Babi' pada 15 Mac 2005 dan `SMS Sabotaj' (18 Mac 2005) yang menggemparkan masyarakat.

Menurutnya, PPIM menerima maklumat berkaitan sarung sosej diperbuat daripada usus babi daripada individu yang berkhidmat dalam industri berkenaan.

"Selepas menerima aduan, kita membuat pemerhatian awal. Selepas yakin dengan hasil pemantauan, baru kita melakukan operasi bersama agensi kerajaan.

"Saya turut turun padang menyertai operasi itu. Permulaannya, pemilik kilang enggan memberi kerjasama yang baik, malah marah dengan tindakan dilakukan.

"Perilaku pekerja kilang yang kelam-kabut menambah keyakinan kami terhadap perkara `luar biasa' dilakukan pihak pengilang," katanya ketika dihubungi.

Mengimbas kembali situasi itu, Nadzim mengakui persekitaran kilang berkenaan terlalu kotor dan menjijikkan, tidak sesuai dengan status sebagai tempat memproses makanan.

Menggunakan pensijilan halal palsu, pengilang berkenaan turut membekalkan stok ke beberapa pasar raya secara meluas.

Selepas dikenakan tindakan disita selama dua minggu, kilang berkenaan tidak lagi beroperasi hingga kini.

Akui Nadzim, pembongkaran kes itu membuka mata masyarakat, khususnya umat Islam, namun yang menyedihkan, sensitiviti pengguna tidak berpanjangan apabila hanya memboikot tidak sampai sebulan.

Tegasnya, pengguna dan pihak berkuasa berkaitan harus menitikberatkan isu kepenggunaan, terutama membabitkan makanan yang menjadi darah daging.

Selain bergantung kepada aduan masyarakat, pihak berkuasa perlu lebih tegas melakukan pemeriksaan dan membuat penyelidikan terhadap contoh makanan di pasaran.

Menurut Nadzim, sejurus kes berkenaan heboh diperkatakan, PPIM tidak lagi menerima aduan berkaitan sosej usus babi, namun pengguna digalakkan memberi maklumat jika wujud kekeliruan.

Fakta

* Kilang memproses daging sosej milik bukan Bumiputera di Selayang dikesan menggunakan usus haiwan, disyaki babi, sebagai sarung sosej.

* Kilang terbabit turut menggunakan logo halal palsu dan produknya diedarkan secara meluas di beberapa pusat belibelah.

* Kegiatan didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas mendapati kilang terbabit turut memproses produk berasaskan babi.

* Perkara terbongkar selepas pemeriksaan lebih empat jam oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kesihatan negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan PPIM pada 14 Mac 2004.


* Tindakan tegas diambil terhadap pengilang terbabit atas kesalahan menggunakan logo halal JAIS yang tamat tempoh pada 28 Januari 2004


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL