Headline: DATUK KENA
'KENCING'
Publication: HM
Date of publication:
Nov 25, 2013
Section heading:
Main Section
Page number: 004
Byline / Author:
Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur:
"Saya sudah tak tahu nak buat apa, terpaksa hubungi isteri di Malaysia
untuk dapatkan bantuan sebab kehabisan wang selepas tersadai selama tiga minggu
di Amsterdam," kata seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, yang ditipu
satu sindiket.
Lelaki yang hanya
mahu dikenali sebagai Zaidi, 63, berkata, dia sanggup pergi ke ibu negara
Belanda itu selepas dijanjikan bakal membawa pulang wang hampir RM200 juta yang
disimpan satu rangkaian pelaburan di luar negara.
Menurutnya, sebelum
sedar ditipu ejen pelaburan yang juga 'rakan kongsi' barunya di negara
berkenaan dia sudah membelanjakan wang simpanannya berjumlah RM500,000.
Menceritakan
pengalamannya ditipu ejen itu, Zaidi berkata, dia ditinggalkan bersendirian di
Amsterdam oleh ejen pelaburan terbabit yang mengarahkan menunggunya mengambil
dokumen sulit yang didakwa ada di Hong Kong bagi melengkapkan proses
pengeluaran wang itu.
Bagaimanapun,
katanya, sebaik dimaklumkan transaksi yang ingin dibuat bukan di bank
sebaliknya sebuah syarikat insurans, dia mula sedar ditipu lelaki terbabit yang
dikenalinya menerusi seorang rakan di Malaysia sekitar September lalu.
Mangsa berkata,
selepas berkenalan dengan ejen terbabit, dia dipujuk mengeluarkan wang
RM100,000 sebagai bayaran kos untuk mengeluarkan wang yang didakwa disimpan di
Lombard Finance Corporation di Luxembourg.
Katanya, lelaki itu
menunjukkan beberapa dokumen sulit termasuk salinan penyata akaun berjumlah
ratusan juta ringgit didakwa milik seseorang yang berpengaruh, namun tidak
dapat dikeluarkan atas sebab keselamatan.
Antara dokumen lain
ialah pengesahan daripada Bank Negara, kerajaan Amerika Syarikat dan sijil
kelayakan untuk mengeluarkan wang berkenaan yang didakwa hanya diterima oleh
penyumbang berpotensi.
"Permulaannya,
saya hairan juga mengapa perlu ke Amsterdam sedangkan wang itu dikatakan berada
di Luxembourg, tetapi saya ikutkan saja selepas diberitahu akan dibawa bertemu
seorang pegawai bank yang kononnya bertanggungjawab mengeluarkan wang itu.
"Semua kos
penginapan dan penerbangan saya dan ejen itu saya tanggung sepenuhnya berjumlah
hampir RM200,000. Pada 15 September lalu, saya serahkan lagi RM100,000 dan
sehari selepas itu, saya tambah lagi 8,250 Pound Sterling (kira-kira RM50,000).
"Selepas
berurusan di bank di Amsterdam, saya dimaklumkan dokumen yang kami bawa tidak
lengkap dan ejen itu perlu mengambilnya di Hong Kong. Dia meninggalkan saya
sendirian di Amsterdam dan berjanji akan datang semula," katanya ketika
membuat aduan kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk
Nadzim Johan, semalam.
Zaidi berkata, dia
tinggal di Amsterdam selama tiga minggu seperti diarahkan ejen terbabit, namun
berasa tidak sedap hati selepas tiada perkembangan dan pada masa sama sudah
kehabisan wang untuk menampung perbelanjaan.
Katanya, dia
menghubungi isterinya di Malaysia dan meminta memasukkan sejumlah wang ke akaun
untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia sebelum membuat laporan.
"Setiba di
tanah air, saya cuba mendapatkan ahli keluarga ejen itu dan dimaklumkan dia
berada di luar negara sehinggalah pada satu hari, menerusi bantuan seorang
rakan lain, saya berjumpa dengannya di sebuah hotel di ibu negara.
"Bukan saja dia
tidak mahu minta maaf, malah dia minta saya berjumpa seseorang bergelar Tuanku
kerana kononnya arahan mendapatkan wang itu datang daripadanya," katanya
yang turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.
Sementara itu,
Nadzim berkata, pihaknya sudah merujuk kes berkenaan kepada Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk tindakan lanjut.
"Pemeriksaan
kita ke atas dokumen terbabit mendapati, wujud unsur penipuan kerana duit yang
dikatakan dipunyai seseorang bergelar Tuanku itu memang tidak wujud, malah ia
disahkan bank di Amsterdam sendiri.
"Kami juga akan
memanjangkan perkara ini kepada pihak berwajib lain bagi menentukan kemungkinan
ada lagi mangsa yang kerugian akibat penipuan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment