KUALA LUMPUR 15 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) memuji langkah segera Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai agensi pertama
yang merancang, bertindak sekali gus menyahut komitmen kerajaan untuk memainkan
peranan penting dalam menjayakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed
Maliki Mohamed Rapiee berkata, tindakan proaktif dan terbuka Mara itu
sewajarnya dijadikan contoh buat syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat
pelaburan milik kerajaan (GLIC) di negara ini.
"Kita tidak mahu lagi GLC dan GLIC yang hidup
ini terus retorik iaitu semata-mata menyatakan sokongan tanpa sebarang tindakan
serta inisiatif untuk melihat perubahan pada ekosistem ekonomi bumiputera.
"Pada saya bukan sesuatu yang mustahil untuk agensi
lain mengikut jejak langkah Mara apatah lagi bidang-bidang keutamaan yang perlu
ditumpukan adalah selari dengan kemampuan masing-masing," ujarnya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Pengerusi Mara, Tan Sri
Annuar Musa berhubung tujuh langkah segera yang akan diambil agensi itu bagi
menjayakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Tujuh langkah itu termasuk meningkatkan mutu Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM); memperkasakan peranan Universiti Kuala Lumpur
(UniKL); meningkatkan penajaan pelajar cemerlang ke luar negara dan
melaksanakan Dana Pendidikan Mara RM1 bilion.
Keutamaan lain termasuk menggalakkan kontraktor
bumiputera bekerjasama dengan Mara melalui Skim Pembiayaan Ekspres (Spike);
memberi nafas baharu kepada Amanah Saham Mara dan mewujudkan program
keusahawanan yang lebih intensif.
Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya GLC dan
GLIC bekerjasama menyokong agenda kerajaan sekali gus mengetepikan agenda
peribadi masing-masing yang bersifatkan keuntungan semata- mata.
Hal ini kerana katanya, tindakan segelintir GLC dan
GLIC yang mengabaikan golongan bumiputera dilihat tersasar jauh daripada hasrat
kerajaan memperkasa ekonomi kaum itu.
"Rakyat semakin celik, mereka mahukan bukti
dan oleh itu saya mencabar agensi-agensi seperti Petronas, Maybank dan
lain-lain lagi untuk mengemukakan pelan pembangunan serta inisiatif masing-masing
yang bakal memberi manfaat kepada golongan bumiputera di negara ini.
"Wawasan 2020 hanya tinggal beberapa tahun
lagi, justeru saya tidak mahu budaya anak Melayu dan bumiputera dipinggirkan
dan dianaktirikan terus berleluasa sampai bila-bila," tegasnya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_20/NGO-puji-komitmen-Mara#ixzz2jl88k4eY
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment