Showing posts with label GLC. Show all posts
Showing posts with label GLC. Show all posts

Friday, October 2, 2015

2868) LENGAHKAN BAYARAN: GLC MAHU ANIAYA KONTRAKTOR MELAYU?


PENDEDAHAN Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berhubung sikap sambil lewa syarikat milik kerajaan (GLC) apabila melengah-lengahkan bayaran kepada kontraktor Melayu sewajarnya membuka mata semua pihak khususnya kerajaan.
Artikel berkaitan: KELEWATAN BAYARAN OLEH AGENSI KERAJAAN PUNCA USAHAWAN BUMIPUTERA GULUNG TIKAR
Tindakan seperti ini boleh disifatkan sebagai satu penganiayaan kerana pihak GLC terbabit gagal melunaskan bayaran sedangkan projek yang diberikan kepada kontraktor Melayu berkenaan telah pun disiapkan.

Masakan tidak, mereka (kontraktor Melayu) terpaksa mengeluarkan modal untuk menyiapkan satu-satu projek yang telah diberikan dalam tempoh masa tertentu dan mengikut prosedur GLC terlibat perlu melunaskan bayaran selepas 45 hari projek itu siap.


Difahamkan yang sering menjadi mangsa adalah syarikat kecil dan dikendalikan oleh kontraktor muda yang baru menapak dalam bidang perniagaan.

Kebetulan pula kejayaan mereka mendapat projek tersebut adalah disebabkan sebut harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding syarikat-syarikat lain ketika bidaan tender dibuat.

Tidak dinafikan peluang yang diberikan oleh GLC atau agensi kerajaan kepada kontraktor terbabit (kebanyakan kelas E dan G2) amat baik tetapi kegagalan melunaskan bayaran adalah sesuatu yang tidak patut dan dianggap menganiaya.

Sebagai contoh mudah, sebuah syarikat kontraktor Melayu kecil berjaya memperoleh projek bernilai RM100,000 daripada sebuah GLC dan dengan nilai projek sebegini, keperluan modalnya mungkin sekitar RM30,000 hingga RM45,000. Justeru, kegagalan GLC berkenaan menyelesaikan bayaran selepas projek selesai akan memberi kesan kepada pusingan modal kontraktor kecil berkenaan.

http://ppim4u.blogspot.my/2015/10/2866-utusan-malaysia-1102015-pegawai.html
Pihak GLC terbabit perlu sedar, sebagai sebuah syarikat baharu, mereka mungkin terpaksa meminjam daripada keluarga khususnya ibu bapa, adik beradik yang berkemampuan dan mungkin juga melalui pinjaman kredit disediakan oleh kerajaan bagi membolehkan projek dijalankan.

Sebab itu ada di antara ibu bapa yang tidak mempunyai wang ringgit sanggup mencagar tanah milik mereka di kampung semata-mata mahu membantu anak masing-masing meneruskan projek yang telah diberikan itu.

Mereka yang cuba membuat pinjaman antaranya dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) pula terpaksa melalui tempoh tertentu sebelum diluluskan dan dibimbangi sekiranya gagal mendapat pembiayaan kontraktor berkenaan mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman ‘along'.

Jika itu berlaku dikhuatiri mereka bakal berhadapan pelbagai ugutan serta ancaman sekiranya hutang ‘along' gagal dilangsaikan memandangkan kadar faedah yang dikenakan adalah terlalu tinggi.

http://ppim4u.blogspot.my/2015/09/2862-keratan-akhbar-3092015-segerakan.html
Perbuatan GLC ini sebenarnya membantutkan kemajuan usahawan berkenaan sedangkan kontraktor-kontraktor muda ini cukup berpotensi dalam bidang tersebut berdasarkan kekemasan dan ketelitian kerja dalam setiap projek yang diberikan. Paling menghairankan GLC yang dimaksudkan adalah syarikat-syarikat besar dan mustahil mengalami masalah kekurangan dana.

Sebenarnya bayaran projek daripada GLC itu amat diperlukan demi kelangsungan kontraktor-kontraktor Melayu dalam bidang perniagaan. Apa salahnya, selepas siap sahaja projek bayaran terus diberikan dan bukan ‘diperam' sehingga peringkat menganiaya kontraktor terlibat.

Bukankah tindakan seperti ini jelas tidak menyokong hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih ramai kontraktor-kontraktor Melayu dilahirkan sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi?

Dalam satu perbualan antara penulis dengan seorang kontraktor muda sekitar usia 28 tahun, beliau begitu terkilan dengan situasi tersebut.

Bahkan katanya, terdapat sebuah institusi pengajian milik agensi kerajaan yang sehingga kini gagal melunaskan bayaran kepadanya walaupun projek itu telah siap pada Oktober tahun lalu.

“Sudah hampir setahun saya masih belum mendapat bayaran lagi. Meskipun nilai projek hanya RM26,000 sahaja tetapi wang ini amat diperlukan terutama untuk dijadikan pusingan modal untuk projek-projek akan datang selain bayaran tertunggak yang perlu di­selesaikan,” katanya yang telah memulakan perniagaan lebih setahun lalu.

Beliau merupakan satu contoh terbaik bagaimana seorang kontraktor muda (graduan universiti tempatan) terpaksa berhadapan dengan isu bayaran projek walaupun kerja-kerja telah lama disiapkan.

Berdasarkan pengalamannya juga, katanya, pihak GLC juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam isu melengah-lengahkan pembayaran hingga menyebabkan ada kontraktor hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja sebelum terpaksa gulung tikar.

Penulis juga pernah berbual dengan seorang rakan kontraktor berjaya yang kini terlibat dengan projek bernilai jutaan ringgit dan beliau ada menceritakan bagaimana sukarnya untuk mendapatkan bayaran projek (dibayar berdasarkan kemajuan projek).

Namun begitu isu yang dibangkitkannya itu tidak melibatkan GLC mahu pun agensi kerajaan tetapi membabitkan sebuah syarikat korporat yang hebat di negara ini.

Katanya, beliau terpaksa ‘turun naik’ ibu pejabat syarikat korporat tersebut untuk menuntut bayaran sehingga peringkat seumpama ‘peminta sedekah’ yang sepatutnya perkara itu tidak berlaku apatah lagi nilai projek itu mencecah jutaan ringgit. Sudah tentu modal yang digunakan oleh kontraktor berkenaan itu juga mencecah jutaan ringgit.

Sehubungan itu, kerajaan mahu tidak mahu perlu bertindak demi kelangsungan kontraktor-kontraktor Melayu.

Sekiranya tiada sebarang tindakan drastik diambil akhirnya satu persatu kontraktor Melayu terpaksa gulung tikar disebabkan perbuatan tidak bertanggugjawab oleh GLC terlibat seperti mana pendedahan yang dilakukan oleh Nadzim dalam sidang akhbarnya sebelum ini.

Sumber dari artikel Utusan Malaysia:Tolonglah, jangan aniaya kontraktor Melayu

Thursday, February 12, 2015

2482) UTUSAN - 10/02/2015 - Kerajaan Disaran Beri Lebih Banyak Permit



SAHARUDDIN AWANG YAHYA Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) menyarankan kepada kerajaan agar mengeluarkan permit kepada lebih banyak peniaga bagi mengelakkan monopoli oleh individu tertentu dalam pasaran. 

Presidennya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, langkah itu juga dilihat dapat mengawal harga barangan dalam pasaran terutama melibatkan barangan keperluan harian. 

“Jika tiada kuasa monopoli, harga barangan pasti menjadi lebih murah dan banyak syarikat dapat bersaing secara sihat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata, amalan monopoli perniagaan yang diamalkan ketika ini perlu dihapuskan bagi menangani isu keengganan peniaga menurunkan harga barang seiring penurunan harga minyak. 

Menurut beliau, langkah memboikot peniaga tamak sahaja tidak akan memberi kesan dalam jangka masa panjang, sebaliknya kaedah lebih menyeluruh perlu dilaksanakan iaitu dengan menghapuskan monopoli perniagaan yang memberi keuntungan kepada sesetengah pihak sahaja. 

Saharuddin berkata, syarikat milik kerajaan (GLC) juga wajar membuat pemantauan harga semasa dan jika ada sesuatu yang tidak kena dalam pasaran, mereka boleh campur tangan. 

“Sekiranya para pe­niaga tidak mahu menurunkan harga barang, GLC boleh mengambil alih dan memainkan peranannya dengan membekalkan barangan antaranya kepada pasar tani dan koperasi agar dapat membantu pengguna yang ditindas. 

“Tindakan tersebut akan memberi cabaran kepada peniaga. Saya percaya, pengguna akan membeli barangan keperluan di tempat yang lebih murah sekali gus dapat memboikot peniaga yang hanya mementingkan keuntungan,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, usaha untuk menurunkan har­ga barangan ti­dak boleh berjaya sekiranya hanya peruncit ditekan tanpa kerjasama daripada pengeluar, pengedar dan pihak yang berkaitan. 

Katanya, pengeluar dan pihak ter­­libat perlu me­ngamalkan sikap ber­­tanggungjawab terlebih dahulu sebelum menyalahkan peruncit. 

“Kami setuju semua bentuk monopoli harus dihentikan supaya tiada lagi penindasan kepada pengguna. 

“Malah dilaporkan harga barangan di pasaran dunia sudah turun seperti gula tetapi harga runcit gula masih tiada perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berpendapat monopoli sangat bahaya jika diteruskan kerana boleh menyebabkan berlakunya penindasan kepada pengguna. 

“Oleh itu, kerajaan harus memastikan sistem monopoli perniagaan dipantau supaya rakyat tidak terbeban dengan harga yang tinggi,” katanya.


Thursday, November 7, 2013

975) UTUSAN MALAYSIA 7/11/13- GLC GAGAL BANTU USAHAWAN MELAYU-JMM


974) UTUSAN MALAYSIA 6/11/13-GLC gagal perkasa Melayu


Oleh SYUKRI SHAARI pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pengerusi-pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dibidas kerana didakwa 'gagal' mencapai matlamat membantu syarikat serta usahawan Melayu dan bumiputera memperkasakan kedudukan ekonomi kaum majoriti itu.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, sehingga ke hari ini, GLC masih tidak berjaya memainkan peranan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu golongan tersebut yang hanya mencapai sekitar 11 peratus.

Katanya, sebagai organisasi yang mendapat suntikan daripada kerajaan, GLC sewajarnya memberi perhatian lebih kepada usaha membangunkan ekonomi orang Melayu serta bumiputera, tetapi malangnya kerangka itu tidak berlaku pada hari ini.

"Setakat ini, kita lihat GLC gagal memainkan peranan tersebut. Penglibatan GLC hanya mencatatkan peningkatan tujuh peratus sahaja penglibatan Melayu dan bumiputera yang sasaran sepatutnya ialah 30 peratus.

"Perkembangan ekonomi orang Melayu masih di takuk lama, tiada perubahan. Pengerusi-pengerusi GLC sewajarnya bersikap lebih produktif, bantu orang Melayu dan bumiputera, sampai bila golongan ini hanya mempunyai kuasa membeli sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak kebelakangan ini termasuklah Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa GLC kurang memberi perhatian kepada syarikat serta pekerja berketurunan Melayu.

Malah, banyak juga pihak termasuk ahli akademik iaitu pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff menempelak peranan GLC yang tidak mengutamakan akhbar Melayu dalam memberi iklan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula memberitahu, isu membabitkan keprihatinan GLC terhadap syarikat-syarikat Melayu termasuk dalam industri persuratkhabaran sudah lama timbul.

Kata beliau, malangnya sehingga ke hari ini masalah itu seolah-olah tidak dipandang oleh GLC dan tiada inisiatif dilaksanakan untuk 'memperbetulkan' situasi berkenaan.

"Kita faham, GLC perlu dilihat memenuhi piawaian yang tinggi bertaraf antarabangsa, tetapi itu bukannya tiket untuk mereka mengabaikan agenda memperkasa ekonomi syarikat-syarikat Melayu termasuklah akhbar-akhbar berbahasa Melayu.

"Apabila kita bangkit isu ini, kita dikritik. Apabila akhbar seperti Utusan Malaysia menegur perkara ini, akhbar itu dihentam tetapi itulah situasinya pada hari ini, GLC dilihat gagal membantu syarikat, usahawan, orang Melayu serta bumiputera," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Mohamed Maliki meminta kerajaan meneliti terlebih dahulu latar belakang individu yang mahu dilantik menerajui sesebuah GLC bagi memastikan kepentingan ekonomi orang Melayu sentiasa menjadi agenda.

"Pilih calon yang cenderung serta mempunyai jati diri untuk membantu bangsa sendiri, khusus dalam aspek pembangunan ekonomi. Saya bukan mahu bersikap cauvinis, tetapi dalam hal ini kita telah jauh ketinggalan, kalau bukan bangsa sendiri yang membantu, siapa lagi?" ujar beliau.
  

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131106/dn_16/GLC-gagal-perkasa-Melayu#ixzz2jwGOr6bB © Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, November 6, 2013

966) UTUSAN MALAYSIA 4/11/13-Pecat CEO GLC enggan iklan dalam surat khabar Melayu



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Kementerian Kewangan diminta bertindak tegas termasuk memecat mana-mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan (GLC) yang enggan mematuhi saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya mereka mengutamakan iklan dalam surat khabar berbahasa Melayu.

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, saranan Perdana Menteri itu tidak sepatutnya dipandang sepi oleh GLC terlibat.

"Jadi POKB mahu Kementerian Kewangan lebih tegas dalam memastikan saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu dipatuhi dan memecat mana-mana CEO GLC yang ingkar dan sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang menyentuh sikap GLC tidak mengutamakan iklan kepada akhbar berbahasa Melayu.

Dalam artikel bertajuk GLC dan iklan, Awang Selamat menyatakan tertarik dengan gesaan pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff agar diwujudkan Dasar Pengiklanan Negara (DPN).

Tambah Sheikh Ahmad Dusuki, pihaknya turut menyokong gesaan tersebut bagi memastikan pengawalan kepada industri iklan, menangani lambakan iklan asing dan mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Jelasnya, jika dasar itu tidak dilaksanakan, dibimbangi juga nasib akhbar-akhbar berbahasa Melayu menjadi seperti akhbar Utusan Melayu (Jawi) yang telah berkubur kerana tidak ada sokongan daripada para pengiklan.

"Keresahan Awang Selamat berhubung kajian terbaharu AmResearch berkenaan perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar berbahasa Melayu yang merosot turut dirasakan POKB.

"Jadi kita mahu, GLC seperti Celcom, CIMB dan TM (Telekom Malaysia) mencontohi Bank Rakyat dan RISDA yang sentiasa memberi keutamaan kepada akhbar berbahasa Melayu dalam setiap iklan dan promosi mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, majoriti pengguna dan pelanggan Celcom, TM dan CIMB adalah terdiri daripada orang Melayu.

Sehubungan itu ujarnya, tiada sebab yang boleh menghalang GLC-GLC tersebut mengutamakan pengiklanan dan promosi mereka dalam akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia.

"Seperti dinyatakan oleh Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, bahawa GLC-GLC lebih banyak memberikan iklan kepada media yang menentang kerajaan semasa pilihan raya umum lalu dan menjadi senjata untuk melemahkan kerajaan.

"Jadi kami suka mengingatkan pegawai-pegawai tinggi di semua GLC bahawa mereka berada di tempat yang istimewa dan mendapat pendapatan lumayan ketika ini adalah kerana dasar-dasar diperjuangkan akhbar-akhbar Melayu terutama Utusan Malaysia termasuk sejak sebelum merdeka, kita harap janganlah mereka menggigit jari orang yang beri mereka makan," katanya.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131104/dn_19/Pecat-CEO-GLC-enggan-iklan-dalam-surat-khabar-Melayu#ixzz2jn5BYnEn © Utusan Melayu (M) Bhd

965) Bisik-Bisik Mingguan 3/11/13-GLC dan iklan


Bisik-Bisik Mingguan

GESAAN seorang pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff agar diwujudkan Dasar Pengiklanan Negara (DPN), menarik perhatian.

Antara matlamat DPN adalah bagi mengawal industri iklan, menangani lambakan iklan asing dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan.

Mohamad turut membangkitkan sikap banyak syarikat milik kerajaan (GLC) yang tidak lagi memberi keutamaan kepada akhbar berbahasa Melayu.

Tidak silap Awang bukan kali pertama Mohamad membuat gesaan itu tetapi setakat ini tiada respons daripada mana-mana pihak.

Berdasarkan kajian terbaharu AmResearch, perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar berbahasa Melayu merosot 1.8 peratus sehingga September lalu, walaupun adex industri mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus.

Menurut RHB Research pula, bagi September sahaja, adex akhbar berbahasa Melayu jatuh 26 peratus kepada RM116 juta berbanding RM154 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Ini berbeza dengan akhbar Cina dan Inggeris yang masing-masing meningkat 8.9 peratus dan 7.2 peratus.

Awang sendiri resah memikirkan masa depan Bahasa Kebangsaan dalam industri pengiklanan termasuk melalui media massa.

Apatah lagi apabila menyentuh sikap GLC yang tidak lagi mengutamakan iklan kepada akhbar berbahasa Melayu.

Ramai peneraju GLC seperti sudah hilang jati diri dan lupa hakikat kewujudan GLC itu sendiri. Mereka menyerahkan penentuan iklan misalnya kepada pihak industri terutama agensi yang banyak dikawal oleh ekspatriat, golongan rasis dan liberal yang tidak bertunjangkan perlembagaan.

Alasan yang selalu diberi oleh pihak industri adalah atas pertimbangan komersial semata-mata, yang sebenarnya terdedah kepada manipulasi.

Persoalannya, bagaimana kita mahu menyandarkan masa depan kedaulatan Bahasa Kebangsaan kepada ekspatriat dan golongan tersebut?

Dalam satu sesi perbincangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mempersoalkan beberapa bank dan syarikat telekomunikasi di bawah GLC yang yang kurang mengiklan dalam akhbar Bahasa Kebangsaan.

Antara nama yang disentuh adalah Celcom, CIMB dan Petronas. CIMB misalnya, walaupun majoriti pengguna adalah Melayu tetapi lebih ghairah mengiklan untuk akhbar Inggeris dan bahasa ibunda.

Awang pun sudah hilang rasa setia menjadi pelanggan Celcom. Pilihan terbentang luas. Untuk apa lagi menyokong GLC yang lesu agenda mendaulatkan bahasa dan pemerkasaan ekonomi bumiputera.

PPIM turut membuat rumusan yang lebih mengganggu fikiran. Sebahagian GLC menurut pengamatan NGO itu, memberikan lebih banyak iklan kepada media yang menentang kerajaan semasa PRU-13, mempersoalkan perlembagaan dan bersikap rasis terhadap kepimpinan Melayu.

‘‘Media berkenaan yang ghairah membawa aspirasi dan agenda pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan, terus diberi ganjaran lumayan menerusi iklan oleh GLC.

‘‘Perolehan iklan yang banyak itu akan terus digunakan sebagai senjata untuk menggugat dan melemahkan kerajaan,’’ demikian kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan.

Awang setuju dengan Nadzim. Mesejnya, GLC telah memperkasakan pihak yang salah kerana membenarkan diri terperangkap dalam putaran ganas yang dicaturkan oleh industri iklan.

Ternyata kita tidak mengambil pengajaran.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131103/re_04/GLC-dan-iklan#ixzz2jn3kpx1n© Utusan Melayu (M) Bhd

964) RENCANA UTUSAN MALAYSIA : Kalau bukan Melayu siapa lagi?


MUKADIMAH
PENDIRIAN tegas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam isu-isu berkaitan pengguna terutama melibatkan soal halal dan ketamakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan keterlaluan sering sahaja menjadi tajuk berita hangat di dada-dada akhbar.

Terbaru, pendedahan mengenai 90 peratus minyak masak di pasaran yang dipercayai hasil kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Antara orang yang lantang mendedahkan perkara ini adalah Ketua Aktivis PPIM DATUK NADZIM JOHAN.

Dalam satu pertemuan bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID baru-baru ini, Nadzim meluahkan kekecewaannya tentang nipisnya kesedaran membantu orang Melayu oleh syarikat milik kerajaan (GLC).

Apa salahnya jika syarikat-syarikat Melayu ini tetap diberi bantuan kerana GLC pun mendapat banyak faedah dari usaha yang dilakukan kerajaan," katanya.

MINGGUAN: Sekarang banyak rungutan diterima tentang keengganan GLC membantu syarikat-syarikat serta pekerja-pekerja Melayu mereka sendiri. Apakah perkara itu serius atau bagaimana?

NADZIM: Daripada apa yang kami lihat saya rasa ini mungkin berlaku disebabkan kehilangan atau semakin nipisnya kesedaran orang Melayu itu sendiri dalam membantu bangsanya. Apatah lagi seharusnya GLC perlu lebih fokus kepada memenuhi matlamat sebenar yang hakikatnya berlandaskan Perlembagaan negara sendiri. Ia kemudiannya diteruskan oleh pihak kementerian sebelum melibatkan GLC itu sendiri. Mungkin sesetengah mereka terperangkap terutama melibatkan ketua pegawai eksekutif di antara mendapatkan yang termurah atau terbaik atau mendapatkan khidmat syarikat Melayu dan bumiputera yang bermasalah. Mungkin mereka ini mempunyai KPI sendiri dalam mencari keuntungan.

Jadi mereka bimbang akan kerugian dan terpaksa memilih jalan selamat. Namun saya melihat perkara ini tidak harus berlaku kerana kalau pihak ini bersungguh mencari mereka yang berkemampuan maka semua pihak akan mendapat keuntungan. Mungkin orang kata ada orang Melayu yang tidak cukup pandai tetapi ramai lagi orang Melayu yang lebih pandai daripada bangsa lain. Kita boleh lihat contoh seperti Allahyarham Tan Sri Nasimuddin, Tan Sri Syed Mokhtar dan sebagainya yang bermula dengan modal yang kecil dan berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

Maksud Datuk GLC tidak boleh cepat putus harap terhadap orang Melayu dan perlu terus mencari dan memberi peluang kepada usahawan Melayu yang betul-betul berkualiti?

NADZIM: Itulah yang sepatutnya. GLC tidak boleh mengambil sesiapa sahaja tetapi perlu memilih dan mencari mereka yang benar-benar layak dan terbaik. Mereka yang diberi peluang pula perlu benar-benar bersungguh menjalankan tugas dan amanah yang diberikan selain membantu usahawan Melayu dan bumiputera lain untuk berjaya. Namun saya melihat ini mungkin kesilapan yang dilakukan oleh orang Melayu sendiri terutama di peringkat pengurusan tertinggi yang mahu mencari jalan mudah mengambil majoriti orang bukan Melayu untuk diberi projek dan sebagainya. Namun hakikatnya dalam apa jua yang kita lakukan perlu pengorbanan.

Kita cuba lihat bangsa-bangsa lain mereka berkorban untuk kaum mereka. Malah saya dahulu bersekolah di sekolah Cina dan melihat keadaannya sama iaitu ada Cina yang bijak dan ada yang tidak berapa pandai. Maksudnya orang Melayu pun tidak ada jauh berbeza. Bagaimanapun orang Cina yang tidak berapa berjaya mereka dibantu sehabis baik oleh kawan-kawan mereka yang berjaya sedangkan orang Melayu pula bersendirian. Jika orang Melayu bergerak sendirian boleh berjaya tidakkah kita lebih hebat daripada bangsa lain. Namun mungkin tidak ramai kerana tidak ramai yang mendapat pendedahan dan mereka ini pula tidak mendapat bantuan dan sokongan dari kaum mereka sendiri.

Kenapa perkara ini berlaku kerana sepatutnya orang Melayu seharusnya lebih banyak membantu sesama mereka?

NADZIM: Kalau kita lihat bersandarkan sejarah dan latar belakang orang Melayu bukanlah bangsa yang biasa berniaga. Memang pengalaman kita kurang dan pelbagai lagi masalah lain. Namun ini menjadi tanggungjawab GLC untuk menentukan pembahagian itu berlaku. Banyak persepsi negatif berlegar bahawa syarikat orang Melayu ini banyak yang tidak berkualiti, jika benar sekalipun takkan semua begitu. Carilah yang benar-benar berkualiti atau yang tersenarai di bursa saham. Saya percaya banyak syarikat-syarikat Melayu yang mempunyai kualiti dan boleh diberi peluang oleh GLC untuk dikongsi bersama. Jika kita lihat lebih mendalam GLC-GLC ini pun yang sudah bertaraf antarabangsa masih tetap menerima bantuan serta projek dari kerajaan malah pasaran pula dikawal kerana untuk bersaing di peringkat antarabangsa bukanlah satu kerja yang mudah.

Maka apa salahnya jika syarikat-syarikat Melayu ini tetap diberi bantuan kerana GLC pun mendapat banyak faedah dari usaha yang dilakukan kerajaan. Ini yang seharusnya dilakukan namun ia tidak berlaku mungkin kerana tidak ada kesedaran atau terlena seketika dalam keadaan yang selesa. Selesa mungkin kerana gajinya besar, banyak kemudahan diperoleh dan saya lihat semua ini memerlukan pendekatan baharu melibatkan semua pegawai-pegawai peringkat tertinggi dalam GLC. Mereka ini memegang tanggungjawab dan amanah untuk menjayakan agenda dan aspirasi nasional.

Dalam hal iklan melibatkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu ini kenapa GLC kurang membantu sedangkan akhbar-akhbar ini yang banyak membantu ketika mereka berhadapan tekanan dan krisis?

NADZIM: Ini disebabkan faktor kurang kesedaran terutama dalam soal membantu bangsa sendiri. Bukanlah kita mahu bertindak ekstrem sehingga semua iklan atau projek diberi kepada akhbar dan orang Melayu sahaja. Tidak ada salahnya berkongsi dengan bangsa lain namun janganlah sampai memperlekeh atau memandang rendah keupayaan bangsa sendiri sehingga mengambil mudah agenda nasional. Namun sudah tentu jika kita membantu faedahnya tentu diterima oleh bangsa kita juga. Jika kita bandingkan orang Melayu dengan orang Cina, bagaimana mereka membantu akhbar mereka habis-habisan. Jadi dalam keadaan orang Cina yang kaya dan maju dalam segala sudut dan dibandingkan dengan syarikat Melayu yang ketinggalan, kurang modal dan pengalaman sudah tentu kita akan ketinggalan.

Organisasi dan syarikat besar orang Cina memang akan membantu kaum serta akhbar mereka dan ia sudah menjadi tabiat serta budaya mereka untuk membantu bangsa mereka. Ini yang perlu kita belajar. Seharusnya orang Melayu tidak perlu malu membantu sesama sendiri terutama GLC. Ini kerana perkara ini adalah tanggungjawab mereka untuk membantu bangsa sendiri dan mereka perlu belajar dari syarikat-syarikat Cina yang membantu kaum mereka dahulu. Inilah realiti yang berlaku kerana mereka akan membantu sesama sendiri sama ada bermula dengan saudara mara atau kawan-kawan dan kemudian kaum mereka yang kurang berjaya.

Mungkin kerana sikap pihak tertentu yang merasakan jika orang Melayu dibantu mereka akan bersikap lemah dan sebagainya. Apakah perkara ini benar atau sengaja dibangkitkan untuk memberi persepsi negatif tentang orang Melayu?

NADZIM: Ini adalah realiti kehidupan. Dalam hal ini kita perlu faham dan bersungguh dalam bagaimana kita boleh membantu bangsa kita. Namun mungkin disebabkan orang Melayu yang berjaya ini atau beberapa kerat yang berjaya ini tidak sedar atau faham kenapa mereka perlu membantu bangsa sendiri. Contoh yang saya mahu sebutkan di sini adalah mengenai syarikat stesen minyak yang kurang mendapat bantuan, apa yang dilakukan kalau nak daftar, kalau tidak ada modal susah nak buka stesen minyak. Kalau pinjaman tidak diluluskan itu adalah masalah sendiri dan tidak ada inisiatif dalam membantu. Apa salahnya dibantu usahawan Melayu ini supaya mereka boleh bermula dengan kecil dan kemudian berkembang menjadi besar.

Kesedaran sebegini tidak ada dan itu adalah sesuatu yang menyedihkan. Kalau kita lihat orang Cina mereka dibantu oleh bangsa mereka sendiri dari segi modal, pendaftaran dan sebagainya. Ini bukanlah cubaan bersikap cauvinis tetapi ini adalah hakikat. Jika orang Melayu bersikap pemurah dan saling bantu-membantu semua masalah ini tidak akan timbul. Mungkin orang akan kata dari segi etika tidak berapa betul tetapi sudah tentu kita akan membantu saudara kita dahulu dan bukannya membantu musuh dahulu. Sebagai contoh dalam industri media dan akhbar kenapa iklan perlu diberi kepada mereka yang tidak membantu atau hanya tahu mengkritik dan menentang. Sedangkan akhbar yang banyak menolong dan berjasa dianak tirikan. Ini bagi saya adalah satu perkara yang agak pelik kerana yang menentang dibantu tetapi yang menyokong dibiarkan terkapai-kapai.

Pada pandangan Datuk, apa sebenarnya punca kenapa terdapat pihak yang sengaja tidak mahu membantu bangsa mereka sendiri?

NADZIM: Kita mempunyai satu masalah lupa diri dan tidak sedar diri. Kita tidak sedar dari mana asalnya kita ini dan apabila berjaya pula kita akan lupa diri dan kemudian hanyut. Akhirnya kita bukan sekadar dibenci oleh orang lain tetapi oleh orang kita sendiri. Tetapi sudah tentu bukan semua orang Melayu begitu. Kita boleh lihat beberapa orang Melayu yang berjaya ini seperti Tan Sri Azman Hashim dan Tan Sri Syed Mokhtar mereka ini banyak membantu orang Melayu lain walaupun sudah berjaya. Jika kita bandingkan dengan bangsa-bangsa lain, tidak banyak yang disumbangkan walaupun sudah berjaya dan kaya raya. Namun semua ini adalah salah orang kita sendiri yang terikut-ikut dengan masalah tidak sedar diri dan lupa diri. Kita perlu mendidik dan menyedarkan orang Melayu malah mungkin pengurusan tertinggi perlu diberi kursus tentang tahu sejarah, apa yang berlaku dalam masyarakat kita supaya tidak lupa diri.

Bagi saya sejarah sangat penting kerana jika kita gagal memahami sejarah akhirnya sejarah yang akan menghukum kita semula. Oleh itu kita perlu insaf terutama pegawai tertinggi di GLC tentang siapa kita dan dari mana asalnya kita. Siapa yang membantu mereka dari mana biasiswa yang diterima mereka dan siapa yang meletakkan mereka di tempat tersebut. Saya bukan nak katalah tetapi ada di antara mereka ini yang datang dari kampung dan hidup susah tetapi apabila berjaya semua itu dilupakan. Bukankah sepatutnya keutamaan mereka setelah berjaya adalah melahirkan lebih ramai lagi orang Melayu seperti mereka yang berjaya dan menduduki kerusi penting di peringkat tertinggi.

Bagaimana Datuk melihat pandangan atau persepsi yang menyatakan PPIM ini bertindak keterlaluan dalam hal-hal yang berkaitan orang Melayu dan Islam?

NADZIM: Kita jelas dalam soal ini dan pihak PPIM pun mempunyai siaran radio dalam sejam setiap hari. Kami terbuka dalam soal ini malah ia turut melibatkan wakil dari pihak Cina. Pihak kami berpandangan realiti semasa perlu kita fahami dan dalam soal orang Cina dan India mereka juga adalah rakyat Malaysia dan tidak bolehlah kita kata pada mereka balik ke Cina, India dan sebagainya. Jadi apa salahnya kita hidup saling hormat menghormati dalam keadaan terbaik dimana kita boleh hidup dalam suasana harmoni serta anak-anak kita yang berbilang bangsa ini boleh hidup aman makmur bersama. Semua ini boleh dilakukan dan tidak perlulah kita bergaduh tidak tentu hala. Sebagai contoh dalam sebuah keluarga tentu ada abang atau adik yang tidak berjaya.

Takkanlah mereka yang berjaya ini nak berebut harta atau tanah sekangkang kera sedangkan adik beradiknya yang lain hidup susah. Pada hari ini kita kurang melihat soal membantu tetapi lebih kepada berebut dan menegakkan hak masing-masing. Sedangkan dalam konteks negara ini semua kaum harus saling bantu membantu. Barulah mereka akan menjadi sebuah masyarakat yang baik dan harmoni. Orang Melayu juga haruslah sedar diri kerana ramai di antara kita yang bersikap mengambil mudah. Jadi perkara ini adalah yang terbaik kerana ia mewujudkan equalibrium dalam masyarakat untuk hidup bersama. Jika keadaan tegang dan masing-masing mahu mengatakan mereka betul seperti yang berlaku sekarang maka jadinya yang kalah jadi abu dan menang jadi arang.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131103/re_02/Kalau-bukan-Melayu-siapa-lagi?#ixzz2jn1vtccs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, November 5, 2013

937) UTUSAN MALAYSIA 16/10/13-NGO puji komitmen Mara




KUALA LUMPUR 15 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memuji langkah segera Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai agensi pertama yang merancang, bertindak sekali gus menyahut komitmen kerajaan untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, tindakan proaktif dan terbuka Mara itu sewajarnya dijadikan contoh buat syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) di negara ini.

"Kita tidak mahu lagi GLC dan GLIC yang hidup ini terus retorik iaitu semata-mata menyatakan sokongan tanpa sebarang tindakan serta inisiatif untuk melihat perubahan pada ekosistem ekonomi bumiputera.

"Pada saya bukan sesuatu yang mustahil untuk agensi lain mengikut jejak langkah Mara apatah lagi bidang-bidang keutamaan yang perlu ditumpukan adalah selari dengan kemampuan masing-masing," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berhubung tujuh langkah segera yang akan diambil agensi itu bagi menjayakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Tujuh langkah itu termasuk meningkatkan mutu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); memperkasakan peranan Universiti Kuala Lumpur (UniKL); meningkatkan penajaan pelajar cemerlang ke luar negara dan melaksanakan Dana Pendidikan Mara RM1 bilion.

Keutamaan lain termasuk menggalakkan kontraktor bumiputera bekerjasama dengan Mara melalui Skim Pembiayaan Ekspres (Spike); memberi nafas baharu kepada Amanah Saham Mara dan mewujudkan program keusahawanan yang lebih intensif.

Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya GLC dan GLIC bekerjasama menyokong agenda kerajaan sekali gus mengetepikan agenda peribadi masing-masing yang bersifatkan keuntungan semata- mata.

Hal ini kerana katanya, tindakan segelintir GLC dan GLIC yang mengabaikan golongan bumiputera dilihat tersasar jauh daripada hasrat kerajaan memperkasa ekonomi kaum itu.

"Rakyat semakin celik, mereka mahukan bukti dan oleh itu saya mencabar agensi-agensi seperti Petronas, Maybank dan lain-lain lagi untuk mengemukakan pelan pembangunan serta inisiatif masing-masing yang bakal memberi manfaat kepada golongan bumiputera di negara ini.

"Wawasan 2020 hanya tinggal beberapa tahun lagi, justeru saya tidak mahu budaya anak Melayu dan bumiputera dipinggirkan dan dianaktirikan terus berleluasa sampai bila-bila," tegasnya.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_20/NGO-puji-komitmen-Mara#ixzz2jl88k4eY  © Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, October 18, 2012

638) FORUM PENGGUNA PPIM : VIDEO SESI 1 :GLC-"Gagalkah GLC Dan Agensi Perlaksana Membantu /Memajukan Ekonomi Bumiputera?"





Tarikh : 13/10/12 (Sabtu)
Masa : 9.30pg-1.30ptg

Moderator : Dr. Izham Nayan, Aktivis PPIM

Panel : 
1) Tuan Abdul Halim Abdul Hamid, Pensyarah Ekonomi dan Kewangan, Universiti Multimedia
2) YM Tengku Azwil B Tengku Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM
3) Y Bhg Dato' Nadzim Johan, Ketua Aktivis, PPIM

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL