Friday, October 2, 2015

2868) LENGAHKAN BAYARAN: GLC MAHU ANIAYA KONTRAKTOR MELAYU?


PENDEDAHAN Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berhubung sikap sambil lewa syarikat milik kerajaan (GLC) apabila melengah-lengahkan bayaran kepada kontraktor Melayu sewajarnya membuka mata semua pihak khususnya kerajaan.
Artikel berkaitan: KELEWATAN BAYARAN OLEH AGENSI KERAJAAN PUNCA USAHAWAN BUMIPUTERA GULUNG TIKAR
Tindakan seperti ini boleh disifatkan sebagai satu penganiayaan kerana pihak GLC terbabit gagal melunaskan bayaran sedangkan projek yang diberikan kepada kontraktor Melayu berkenaan telah pun disiapkan.

Masakan tidak, mereka (kontraktor Melayu) terpaksa mengeluarkan modal untuk menyiapkan satu-satu projek yang telah diberikan dalam tempoh masa tertentu dan mengikut prosedur GLC terlibat perlu melunaskan bayaran selepas 45 hari projek itu siap.


Difahamkan yang sering menjadi mangsa adalah syarikat kecil dan dikendalikan oleh kontraktor muda yang baru menapak dalam bidang perniagaan.

Kebetulan pula kejayaan mereka mendapat projek tersebut adalah disebabkan sebut harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding syarikat-syarikat lain ketika bidaan tender dibuat.

Tidak dinafikan peluang yang diberikan oleh GLC atau agensi kerajaan kepada kontraktor terbabit (kebanyakan kelas E dan G2) amat baik tetapi kegagalan melunaskan bayaran adalah sesuatu yang tidak patut dan dianggap menganiaya.

Sebagai contoh mudah, sebuah syarikat kontraktor Melayu kecil berjaya memperoleh projek bernilai RM100,000 daripada sebuah GLC dan dengan nilai projek sebegini, keperluan modalnya mungkin sekitar RM30,000 hingga RM45,000. Justeru, kegagalan GLC berkenaan menyelesaikan bayaran selepas projek selesai akan memberi kesan kepada pusingan modal kontraktor kecil berkenaan.

http://ppim4u.blogspot.my/2015/10/2866-utusan-malaysia-1102015-pegawai.html
Pihak GLC terbabit perlu sedar, sebagai sebuah syarikat baharu, mereka mungkin terpaksa meminjam daripada keluarga khususnya ibu bapa, adik beradik yang berkemampuan dan mungkin juga melalui pinjaman kredit disediakan oleh kerajaan bagi membolehkan projek dijalankan.

Sebab itu ada di antara ibu bapa yang tidak mempunyai wang ringgit sanggup mencagar tanah milik mereka di kampung semata-mata mahu membantu anak masing-masing meneruskan projek yang telah diberikan itu.

Mereka yang cuba membuat pinjaman antaranya dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) pula terpaksa melalui tempoh tertentu sebelum diluluskan dan dibimbangi sekiranya gagal mendapat pembiayaan kontraktor berkenaan mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman ‘along'.

Jika itu berlaku dikhuatiri mereka bakal berhadapan pelbagai ugutan serta ancaman sekiranya hutang ‘along' gagal dilangsaikan memandangkan kadar faedah yang dikenakan adalah terlalu tinggi.

http://ppim4u.blogspot.my/2015/09/2862-keratan-akhbar-3092015-segerakan.html
Perbuatan GLC ini sebenarnya membantutkan kemajuan usahawan berkenaan sedangkan kontraktor-kontraktor muda ini cukup berpotensi dalam bidang tersebut berdasarkan kekemasan dan ketelitian kerja dalam setiap projek yang diberikan. Paling menghairankan GLC yang dimaksudkan adalah syarikat-syarikat besar dan mustahil mengalami masalah kekurangan dana.

Sebenarnya bayaran projek daripada GLC itu amat diperlukan demi kelangsungan kontraktor-kontraktor Melayu dalam bidang perniagaan. Apa salahnya, selepas siap sahaja projek bayaran terus diberikan dan bukan ‘diperam' sehingga peringkat menganiaya kontraktor terlibat.

Bukankah tindakan seperti ini jelas tidak menyokong hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih ramai kontraktor-kontraktor Melayu dilahirkan sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi?

Dalam satu perbualan antara penulis dengan seorang kontraktor muda sekitar usia 28 tahun, beliau begitu terkilan dengan situasi tersebut.

Bahkan katanya, terdapat sebuah institusi pengajian milik agensi kerajaan yang sehingga kini gagal melunaskan bayaran kepadanya walaupun projek itu telah siap pada Oktober tahun lalu.

“Sudah hampir setahun saya masih belum mendapat bayaran lagi. Meskipun nilai projek hanya RM26,000 sahaja tetapi wang ini amat diperlukan terutama untuk dijadikan pusingan modal untuk projek-projek akan datang selain bayaran tertunggak yang perlu di­selesaikan,” katanya yang telah memulakan perniagaan lebih setahun lalu.

Beliau merupakan satu contoh terbaik bagaimana seorang kontraktor muda (graduan universiti tempatan) terpaksa berhadapan dengan isu bayaran projek walaupun kerja-kerja telah lama disiapkan.

Berdasarkan pengalamannya juga, katanya, pihak GLC juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam isu melengah-lengahkan pembayaran hingga menyebabkan ada kontraktor hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja sebelum terpaksa gulung tikar.

Penulis juga pernah berbual dengan seorang rakan kontraktor berjaya yang kini terlibat dengan projek bernilai jutaan ringgit dan beliau ada menceritakan bagaimana sukarnya untuk mendapatkan bayaran projek (dibayar berdasarkan kemajuan projek).

Namun begitu isu yang dibangkitkannya itu tidak melibatkan GLC mahu pun agensi kerajaan tetapi membabitkan sebuah syarikat korporat yang hebat di negara ini.

Katanya, beliau terpaksa ‘turun naik’ ibu pejabat syarikat korporat tersebut untuk menuntut bayaran sehingga peringkat seumpama ‘peminta sedekah’ yang sepatutnya perkara itu tidak berlaku apatah lagi nilai projek itu mencecah jutaan ringgit. Sudah tentu modal yang digunakan oleh kontraktor berkenaan itu juga mencecah jutaan ringgit.

Sehubungan itu, kerajaan mahu tidak mahu perlu bertindak demi kelangsungan kontraktor-kontraktor Melayu.

Sekiranya tiada sebarang tindakan drastik diambil akhirnya satu persatu kontraktor Melayu terpaksa gulung tikar disebabkan perbuatan tidak bertanggugjawab oleh GLC terlibat seperti mana pendedahan yang dilakukan oleh Nadzim dalam sidang akhbarnya sebelum ini.

Sumber dari artikel Utusan Malaysia:Tolonglah, jangan aniaya kontraktor Melayu

1 comment:

kontraktor kecil teraniya said...

Asalamualaikum ybg dato' nadzim, untuk makluman Ybhg dato' bukan GLC sahaja yg lambat buat bayaran, kementerian2 & agensi kerajaan juga tersangat lambat bayarannya menyebabkan kontraktor melayu/islam/bumiputera terpaksa bergadai & hutang along sbb sudah tiada pilihan utk nak bayar gaji.

Kementerian pendidikan malaysia tidak bayar kontraktor melayu yang setengah mati cari rezeki. Kontraktor yang buat kerja kebersihan Bangunan & Kawasan utk tempoh 3 tahun di sekolah2 bawah KPM di seluruh malaysia belum dapat bayaran bulan Jun, Julai, ogos & September 2015. Malahan juga tuntutan bulan disember 2014 pun belum dapat lagi. Secara purata kontraktor seluruh malaysia tak dapat sebanyak 5 bulan. Kerajaan menzalimi kami kontraktor bills ni. Kami kais pagi makan pagi.

Dalam perjanjian KPM sepatutnya bayar dalam tempoh 14 hari selepas tuntutan di buat. Kami yg nak hidup tumpang kerajaan rupa2nya di rindas dgn cara lambat bayar. Akhirnya terpaksa pinjam along. Along untung dari keringat kami. Kerajaan untung lambat bayar kami sebab pulangan interest boleh bayar hutang 1mdb. Kami macam dulu juga.

Mohon Ybhg dato panjangkan masaalah ini kpd menteri KPM, KSU KPM & menteri kewangan. Kerajaan Jangan aniaya kami.

Ybhg boleh dapatkan statistik hutang KPM kepada kontraktor kebersihan Bangunan dan Kawasan di KPM dari pejabat KPM. Jumlahnya berjuta. Jika beginilah cara kerajaan, janji nak tolong bumiputera hanya lah wayang & drama untuk halua telinga sahaja.

Harap ybg dato' sedia membantu kami. Kami akan kumpulan kontraktor2 berkaitan seluruh malaysia yang jumlahnya mungkin 700-800 syar'ikat kecil bumiputera yang teraniaya.

Sekian terima kasih Ybhg dato'.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL