Monday, October 19, 2015

2895) #ForumPengguna2015 : HARGA TOPUP KEMBALI PADA KADAR BIASA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon kembali seperti sebelum pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pada 1 November ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, JKDM telah berbincang mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pengguna tidak lagi dikenakan bayaran tambahan apabila membeli kemudahan tersebut.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat telekomunikasi (telco) yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya jika mereka masih berdegil.

“Macam mana Telco mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting rakyat beli RM10 dapat nilai RM10. Kita mahu JKDM buat susulan dengan SKMM dan buat pengumuman pada 1 November ini,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pengguna 2015 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Dewan Razakian, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh menerima alasan daripada pihak telco seperti sebelum ini bahawa sistem komputer mereka belum bersedia, kerana tempoh yang telah diberikan kepada telco terlalu lama.

“Jika pihak telco masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka perlu juga patuh pada arahan ini iaitu mengekalkan harga kad tambah nilai seperti asal. Sebab, secara logiknya kalau pihak telco tidak bersedia, kenapa pengguna pula yang kena tanggung kos tambahan,” katanya.

Dalam sesi forum ketiga yang bertajuk GST membawa kemakmuran dan kesengsaraan? - satu kajian semula, Johari turut menjadi ahli panel bersama Penasihat Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar), Bazeer Ahmad.

Awal Mei lalu, telco telah menawarkan dua pilihan yang tidak menyebelahi rakyat iaitu bersetuju menjual kad tambah nilai prabayar pada harga RM10.60 tetapi apabila diaktifkan pengguna menerima nilai RM10 manakala pilihan kedua pembelian pada harga RM10 dan apabila diaktifkan, pengguna hanya menerima RM9.43.

Dalam perkembangan lain, Johari turut memberitahu, kira-kira 70,000 peruncit di seluruh negara diwajibkan menggunakan sistem di tempat jualan atau Point of Sales bagi memantau jualan dan stok barangan dengan lebih efisien, sistematik dan teratur.

Katanya, kerajaan memberi tempoh kepada para peruncit untuk menukar sistem konvensional kepada POS selama sebulan bermula awal bulan ini.

“Sistem ini juga dapat membantu pengguna supaya tidak terus ditipu oleh peniaga yang sengaja mengenakan GST kepada semua produk yang dibeli termasuk barangan yang dikecualikan cukai tersebut.

“Kerajaan juga telah menyediakan ramai pembekal sistem POS ini bagi membantu golongan peniaga kecil dengan menawarkan pelbagai pakej pilihan seperti murah, mudah dan bayaran ansuran serendah RM30 sebulan,” katanya. - UTUSAN

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL