Showing posts with label UTUSAN. Show all posts
Showing posts with label UTUSAN. Show all posts

Monday, October 7, 2019

5365) PENGGUNA, USAHAWAN HARAP SISTEM CUKAI BAHARU LEBIH BERKESAN - UTUSAN - 07/10/2019


KUALA LUMPUR 7Okt. - Masyarakat Pengguna hanya mengharapkan sistem percukaian yang lebih berkesan yang membawa kesan positif dan perubahan kepada rakyat dan negara, kata Datuk Nadzim Johan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu memberitahu, persatuan-persatuan pengguna menyambut baik cukai baharu yang akan diperkenalkan kerajaan dan itulah diharapkan.
“Namun kerajaan perlu peka dan prihatin dengan apa yang berlaku. Kaedah lama atau sistem percukaian yang tidak adil hanya menyebabkan orang (rakyat) menjadi marah dan sakit hati.
“Yang kaya pula ‘kadang’ tidak membayar cukai yang sepatutnya mereka bayar,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Tambah Nadzim, kerajaan perlu mewujudkan kaedah ganjaran kepada pembayar cukai bagi menarik mereka untuk melunaskan tanggungjawab yang sepatutnya.
“Hal ini bagi mengelakkan mereka yang sewenang-wenangnya ‘mempergunakan’ perolehan atau hasil di negara ini namun gaji pekerja dibayar oleh syarikat antarabangsa.
“Itu antara taktik atau cara mereka untuk melarikan diri dari membayar cukai,” katanya.
Bagi Timbalan Presiden Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED), Ahmad Zakir Abdul Rahman, golongan usahawan perlu diyakinkan dengan pelan ekonomi yang strategik dan memberi manfaat, bukan tindakan tergesa-gesa seperti cukai baharu bagi membantu ekonomi negara.
“Sangat berbeza sekali kerajaan baharu sebelum dan selepas memerintah. Janji-janji kerajaan sebelum ini adalah untuk membantu bagi meringankan beban dan kos sara hidup rakyat namun kini dilihat terlalu terdesak.
“Pelbagai cukai diperkenalkan termasuklah ingin membawa kembali cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya. - UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan 
PENGGUNA, USAHAWAN HARAP SISTEM CUKAI BAHARU LEBIH BERKESAN

Wednesday, September 25, 2019

4311) PELANTIKAN JAWAHAR ALI SEBAGAI PRESIDEN PRESMA SEMARAK KEMPEN SPPZ - UTUSAN - 25/09/2019


KUALA LUMPUR - Pelantikan Datuk Jawahar Ali Taib Khan sebagai Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang baharu menjadi petanda yang baik kepada kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ).

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, Presma yang mempunyai kira-kira 4000 ahli terdiri daripada pengusaha restoran muslim itu memperoleh penjualan hampir RM10 juta melalui rangkaian kedai mamak Muslim tahun lepas.

Tambah Nadzim, komuniti SPPZ yang tergolong daripada pengguna dan usahawan akan mendapat tempias apabila Presma membuka ruang perniagaan kepada golongan usahawan Muslim untuk membekal bahan mentah dan keperluan restoran Muslim di seluruh Malaysia.

"Ini memberi peluang kepada Gerakan Tunai Zakat (GTZ) untuk membekal barangan kepada Presma dan seterusnya menjamin kualiti produk makanan di restoran Muslim negara.

"Kami amat menggalakkan semua usahawan untuk berdaftar dengan SPPZ untuk meluaskan lagi jaringan perniagaan sesama umat Islam di Malaysia dan luar negara," kata Nadzim dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Jawahar Ali  yang juga pengasas dan pemilik rangkaian Restoran Ali Maju dipilih sebagai Presiden Presma apabila diumum menang tanpa bertanding pada pemilihan malam tadi.

Ketika dihubungi, Jawahar Ali yang merupakan pemilik rangkaian Restoran Ali Maju meluahkan rasa syukur dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Presma yang baharu.

“Prema akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, memainkan peranan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia  bagi memastikan isu kepenggunaan ditangani dengan baik,” katanya.

Jawahar Ali turut menyandang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi PPIM, Penasihat PPIM dan merupakan rakan strategik kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).-UTUSAN ONLINE


Artikel oleh: Utusan

PELANTIKAN JAWAHAR ALI SEBAGAI PRESIDEN PRESMA SEMARAK KEMPEN SPPZ

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/pelantikan-jawahar-ali-sebagai-presiden-presma-semarak-kempen-sppz-1.976393

Thursday, September 5, 2019

5236) KALAU NAK BOIKOT, SAYA TIDAK BOLEH BUAT APA-APA - NADZIM - UTUSAN MALAYSIA - 05/09/2019

KUALA LUMPUR - "Kempen ini sebenarnya mudah sahaja. Sokong peniaga yang bayar zakat." Itu pandangan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang diundang sebagai tetamu segmen bual pagi, Mornink Blues yang disiarkan secara live di Facebook Utusan Online 8.30 pagi tadi.

Mengupas topik "Salahkah Sokong Produk Keluaran Muslim?", Nadzim berkata, tidak ada salahnya menyokong produk yang dikeluarkan atau dihasilkan oleh orang Islam.

Apabila kempen Beli Produk Muslim Dulu atau Buy Muslim First #BMF digerakkan, kata Nadzim, ada pihak yang menurunkan harga barangan sehingga separuh harga yang sebelum ini, dijual pada harga yang tingggi.

"Kempen #BMF ini, tidak ada boikot pun produk yang dihasilkan oleh kalangan bukan Islam tetapi kalau ada yang nak memboikot, saya tidak boleh nak kata apa-apa.

"Kalau kita tengok, punca tercetusnya kempen Beli Produk Muslim Dulu adalah daripada kumpulan keluarga askar yang terkesan dengan kumpulan yang mengatakan askar hanya makan dan tidur.

"Mungkin anak-anak yang ayahnya seorang askar, ahli keluarga lain terkilan apabila perjuangan dan pengorbanan askar-askar ini tidak dihargai. Jadi, tercetus rasa geram dan tidak puas hati apabila dihina sebegitu.

"Mungkin juga kempen #BMF ini wujud selepas cadangan mengajar tulisan Jawi di sekolah-sekolah menjadi satu isu. Apabila diri kita merasakan terus dihina, kita perlu bangkit dan kempen Beli Produk Muslim Dulu adalah penyatuan orang-orang Islam," katanya.

Menurut Nadzim lagi, perjalanan kita telah jauh dan kesabaran orang yang dihina pun telah lama. Kenapa kita dihina? Sebenarnya kempen ini antaranya untuk membawa keharmonian dalam negara.

"Kalau dalam negara yang kaum -kaum yang ada mempunyai jurang pendapatan yang jauh, hubungan itu tidak mungkin baik. Jadi, keadaan itu membuatkan kita terkesan dan sudah tiba masanya, kita tidak lagi membenarkan kumpulan tertentu terus-terusan mengambil kesempatan ke atas kita.

"Kalau orang buat tak baik, kita perlu lakukan sesuatu untuk membaikkan keadaan dan kempen #BMF ini adalah kempen yang boleh membawa keharmonian kepada negara, bukan memecah belahkan perpaduan rakyat," jelasnya.

Beliau berkata, kuasa beli pengguna yang ada di tangan pengguna tidak mungkin boleh dipaksa untuk membeli produk yang mereka kehendaki dan samalah seperti mereka yang menyokong kempen #BMF ini akan terus menyokong kempen ini.

"Ini bukan sekadar kempen hangat-hangat tahi ayam sebaliknya kempen ini harus disokong. Bangsa yang berjaya akan menyokong kempen ini, Beli Produk Muslim Dulu dan bukannya marah," katanya. - UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia

KALAU NAK BOIKOT, SAYA TIDAK BOLEH BUAT APA-APA

Tuesday, February 9, 2016

2545) UTUSAN - 07/02/16 - BUAT TAPISAN KESELAMATAN TERHADAP PATI YANG DIDAFTARKAN



KUALA LUMPUR 6 Feb. – Kerajaan digesa membuat pendaftaran dan tapisan keselamatan lebih ketat terhadap semua pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Program Penggajian dan Pe­nempatan Semula PATI yang bermula pada 15 Februari ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pendaftaran tersebut perlu merangkumi butiran peri­badi dan cap jari semua PATI bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di negara asal.

Katanya, program itu perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk semua pelarian yang mendapatkan perlindungan di negara ini.

“Tidak kira sama ada PATI atau pelarian, mereka perlu mendaftar dan dibuat tapisan keselamatan. Jika berlaku sebarang kejadian jenayah, kita dapat mengesan mereka dengan mudah. Tambahan pula kehadiran mereka semakin ramai dan ini akan menyukarkan lagi sebarang pemantauan.

“Selain itu, jika ada PATI yang mempunyai rekod jenayah, kita perlu menghantar pulang walau apa jua alasan kerana kita nak pastikan kehadiran mereka tidak memberi kesan lain terutama berkaitan ketenteraman awam,” katanya ketika dihubu­ngi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan akan melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI selama tiga bulan bermula 15 Februari ini.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan perlu menyekat kemasukan pekerja asing susulan pelaksanaan program berkenaan.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi mengelakkan kebanjiran warga asing yang boleh menyebabkan impli­kasi dalam aspek sosial dan keselamatan masyarakat di negara ini.

“Dalam tempoh program ini dibuat kita sekat kemasukan mereka. Kita juga perlu membuat pemantauan secara kerap bagi memastikan mereka tidak melakukan pekerjaan selain sektor yang didaftarkan Walaupun ada permit yang sah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, pihaknya menyambut baik program tersebut, namun kerajaan perlu mempunyai mekanisme dalam mengawal jumlah kemasukan PATI ke negara ini.




Saturday, December 26, 2015

2475) UTUSAN - 25/12/15 - TINGKATKAN PEMANTAUAN DI UNIVERSITI SWASTA






2473) UTUSAN - 26/12/15 - AMBIL TINDAKAN TEGAS


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan didesak mengambil tindakan tegas terhadap penjual dan syarikat telefon bimbit yang menggunakan cara samseng dalam kejadian di Kompleks Beli-belah Kota Raya, di sini baru-baru ini.

Exco Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, selain syarikat dan penjual, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan terhadap pusat beli-belah itu sendiri kerana membenarkan kejadian penipuan berlaku depan mata.

“Syarikat Samsung Malaysia Electronics (Samsung) harus batalkan semua hubungan niaga dengan syarikat tersebut serta-merta kera­na merosakkan imej jenama itu. Jika diterus­kan, maka boleh dikatakan pihak Samsung setuju dengan cara peniaga memeras dan menipu pengguna.

“Saya memohon jasa baik pihak polis untuk melepaskan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana mereka memperjuangkan hak pengguna yang ditindas dan ditipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kompleks Beli-belah Kota Raya terpaksa ditutup pada Ahad lalu selepas sekumpulan lelaki menyerang pekedai te­lefon bimbit.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas seorang pelanggan mendakwa dia ditipu semasa membeli telefon.

Sementara itu, Armand Azha ber­kata, pengguna-pengguna boleh ke Mara Digital yang terletak di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini bagi membeli alatan elektronik.

“Pada pihak yang saya lihat berterusan menyerang Mara Digital, cukup-cukuplah membuat provokasi dan persepsi buruk terhadap pusat beli-belah tersebut,” katanya.


Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-tindakan-tegas-1.172953

2472) UTUSAN - 25/12/15 - GANTUNG PERKHIDMATAN TELCO



KUALA LUMPUR 24 Dis. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak tegas termasuk menggantung perkhidmatan dan mengheret syarikat telekomunikasi (telco) ke mahkamah jika didapati melakukan pendaftaran palsu kad SIM prabayar.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut wajar dan setimpal terutama jika kesalahan berkenaan berulang.

Katanya, SKMM juga perlu menyenarai hitam syarikat yang terlibat sebagai pengajaran serta memastikan jaminan dan hak pengguna dapat dijaga.

“Jika kesalahan tersebut berulang, bentuk kompaun juga perlu digandakan. Apa yang penting mereka sedar dan tidak mengulangi kesalahan pada masa akan datang.

“Jumlah kompaun untuk kesalahan kali pertama mungkin memadai. Tetapi jika kali kedua dan ketiga, ia sudah melampau. Apa yang penting, tindakan berkenaan dijadikan pengajaran kepada syarikat lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, SKMM memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 50 kompaun bernilai RM2.29 juta kepada telco atas kesalahan pendaftaran palsu kad SIM prabayar bagi tempoh antara Januari hingga Disember tahun ini.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kompaun yang dikenakan tidak memberikan kesan kepada telco dalam usaha membendung kesalahan tersebut kerana mereka mampu membayarnya.

“Tindakan menggantung perkhidmatan mungkin cara penyelesaian terbaik. Tambahan pula jika perkhidmatan yang disediakan lemah dan mengenakan pelbagai caj lain kepada pengguna.

“Tekanan perlu diberikan kepada syarikat berkenaan demi memastikan hak pengguna terus terpelihara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tindakan perlu diambil terhadap keseluruhan syarikat termasuk ketua organisasinya.

“Ketua syarikat juga perlu dikenakan tindakan kerana mereka yang mencorak sesebuah organisasi itu.

“Setiap masalah ada jalan penyelesaian dan merekalah yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu ini,” katanya.


Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gantung-perkhidmatan-telco-1.172658

Friday, July 24, 2015

"KAJI BAHAN PERISA ROKOK ELEKTRONIK (VAPE)" - #PPIM

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kaji-bahan-perisa-rokok-elektronik-1.116258

Kementerian Kesihatan disaran melakukan kajian terperinci terhadap bahan-bahan yang digunakan untuk membuat perisa rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nad­zim Johan, kajian secara terperinci itu boleh mengenal pasti sekiranya betul terdapat bahan terlarang seperti ekstrak ganja atau ketum digunakan untuk menghasilkan perisa rokok elektronik berkenaan.

“Kementerian Kesihatan perlu mengeluarkan kenyataan menjelaskan kesan menghisap rokok elek­tronik terhadap kesihatan serta bahan-bahan yang digunakan untuk membuat perisanya kepada pengguna bagi mengelakkan rokok tersebut disalah guna untuk tujuan tertentu.

“Jika sebelum ini pelbagai maklumat mengenai bahaya rokok dapat disalurkan kepada pengguna, mengapa perkara yang sama tidak dibuat terhadap rokok elektronik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan khas Utusan Malaysia hari ini mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab meng­adun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelin­tir penghisap rokok elektronik.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, sekiranya kajian yang dilakukan oleh kementerian mendapati terdapat bahan terlarang digunakan dalam penghasilan perisa rokok elek­tronik, maka tindakan tegas perlu diambil.

Katanya, langkah tersebut bagi memastikan perisa bahan terlarang itu tidak menjadi pencetus baharu kepada masalah penagihan dadah di negara ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pre- siden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, perisa bahan terlarang itu secara tidak langsung boleh mendorong masyarakat untuk mengetahui bagaimana rasa ganja atau ketum.

Menurut beliau, dorongan itu boleh bertukar menjadi serius apabila masyarakat ingin mencuba dadah sebenar untuk mendapatkan lebih kepuasan.

“Bila sudah tahu macam mana rasa dadah atau perasaan khayal akibat perisa tersebut, mungkin selepas itu nak cuba dadah sebenar pula untuk lebih rasa puas.

“Jika perisa itu digunakan untuk merawat penagih dadah tegar sebagai alternatif, tidak mengapa, tetapi jika mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, itu sudah menjadi masalah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Wednesday, July 22, 2015

2767) UTUSAN MALAYSIA - 22/7/2015 - NGO, PBT PATUT GEMPUR JUDI ONLINE


NGO, PBT PATUT GEMPUR JUDI ONLINE

Usaha menggempur kegiatan perjudian online tidak sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya memerlukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johanberkata, tanpa kerjasama tiga pihak terbabit, adalah sukar untuk menghapuskan ke­giatan haram itu sehingga ke akar umbi.

Katanya, polis tidak sepatutnya memandang remeh peranan NGO dan PBT dalam menangani gejala itu dan wajar menjalinkan kerjasama yang lebih erat agar tindakan yang lebih berkesan dapat diambil ke atas pemilik premis perjudian.

“Selama ini polis dan PBT saling menuding jari dalam menangani isu perjudian sehingga banyak pihak yang keliru pihak mana satukah yang sebenarnya ‘tidak buat kerja’.

“Polis dan PBT sepatutnya be­kerjasama termasuklah menerima pandangan daripada NGO-NGO yang mewakili ahli masyarakat,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ke­tua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad semalam yang menegaskan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkaitan tindakan membanteras mesin perjudian online sebelum ini masih lagi berkuat kuasa.

Dalam kenyataan itu, Zainuddin berkata, sejak Januari sehingga Julai 2015, sebanyak 418 premis diserbu, 1,291 orang ditahan dan 12,389 buah komputer beserta peralatannya serta wang tunai seba­nyak RM157,990 telah dirampas oleh polis.

Nadzim menegaskan, polis, NGO dan PBT mempunyai peranan serta kelebihan tersendiri yang boleh digabungkan menerusi satu pasukan dalam usaha menangani gejala itu dengan lebih cepat serta berkesan.

“Polis mempunyai bahagian perisikan dan bidang kuasanya sendiri, begitu juga dengan PBT dengan bahagian penguat kuasa masing-masing manakala NGO pula menerima banyak maklumat dan aduan daripada orang ramai. Semua elemen ini perlulah digabungkan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jaringan Me­layu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut bekerjasama dengan polis, NGO dan PBT.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak yang terbabit akan memudahkan risikan, serbuan, tangkapan serta pendakwaan di mahkamah dilakukan terhadap tauke-tauke premis perjudian yang masih berdegil meneruskan kegiatan haram itu.

“Apabila sudah ada persetujuan itu, maka satu jawatankuasa bersepadu bagi menggabungkan kerjasama polis, NGO dan PBT dan juga SKMM bolehlah ditubuhkan supaya tindakan tegas dengan segera dapat dilakukan.

“Ketika itu tidak akan timbul lagi isu tuding menuding jari antara satu sama lain dan JMM juga tidak perlulah lagi mengadu ke sana ke mari,” katanya, - UTUSAN ONLINE

Wednesday, June 24, 2015

2709) - UTUSAN - 24/06/15 - 18 NGO Bantah China Larang Umat Islam Berpuasa


KUALA LUMPUR 23 Jun – Sebanyak 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan hari ini menyerahkan memorandum bantahan berhubung notis larangan berpuasa oleh kerajaan China ke atas umat Islam di wilayah Xinjiang kepada kedutaan negara itu di sini.

Memorandum setebal tiga muka surat tersebut diserahkan kepada wakil kedutaan China ke Malaysia pada pukul 11 pagi ini.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, larangan tersebut merupakan satu tindakan biadab kerajaan China dan melanggar hak kebebasan beragama seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara itu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan China yang secara dasarnya tidak menjaga sensitiviti lebih 1.4 bilion orang Islam di seluruh dunia.

“Ini merupakan pelanggaran hak asasi manusia, hak beragama dan kebebasan rakyat negara itu sendiri. Perkara ini tidak boleh kita terima dan kami mendesak supaya kerajaan China menarik balik larangan berpuasa kepada umat Islam di wilayah Xinjiang,” katanya kepada pemberita di sini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Inspirasi Muhibbah India Muslim (IMIM), Sabarudin Abdul Rahman; Aktivis Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Zharif Johor Nadzim Johan; Presiden Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Datin Aminah Zakaria dan Presiden Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan, Dr. Mohammad Fauzi Zakaria.

Kerajaan China baru-baru ini mengeluarkan larangan berpuasa terhadap umat Islam di wilayah Xinjiang termasuk memaksa penjawat awam untuk tidak berpuasa serta menggesa anggota parti, penjawat awam, pelajar dan guru-guru supaya tidak menyambut Ramadan.

Tindakan tersebut diambil susulan daripada kejadian serangan ganas di wilayah berkenaan sejak tiga tahun lalu sehingga mengakibatkan beratus-ratus orang terkorban dengan Beijing mendakwa serangan dilancarkan oleh militan Islam.

Mengulas lanjut Mohd. Azmi berkata, larangan yang dikeluarkan kerajaan China itu hanya akan mengundang kepada penentangan dan konflik antara umat Islam dan pihak berkuasa di negara berkenaan.

“Kerajaan China sewajarnya tidak mengikut budaya barat yang menanam sikap takut akan Islam atau Islamophobia.

“Mereka sepatutnya mengamalkan sikap toleransi dalam menyelesaikan isu terutama yang melibatkan agama dan etnik,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/18-ngo-bantah-china-larang-umat-islam-berpuasa-1.106451

Saturday, June 20, 2015

2700) UTUSAN - 20/06/15 - 270,000 Tan Makan 'Tidak Diusik'



KUALA LUMPUR 19 Jun - Setiap tahun untuk tempoh sebulan Ramadan, rakyat negara ini membuang 270,000 tan makanan yang ‘tidak diusik’ dan boleh dimakan semula.

Syarikat menyelia sisa pepejal, SWCorp, berkata, berdasarkan perkiraan itu, jumlah makanan tersebut boleh dihidangkan kepada 180 juta orang, enam kali ganda melebihi populasi negara ini iaitu 27 juta.

Jika disusun longgokan makanan yang boleh dimakan, ia bersamaan dengan ketinggian 30 bangunan KLCC. Ketinggian KLCC ialah 452 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp., Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, secara purata setiap hari pada bulan Ramadan sebanyak 9,000 tan makanan dibuang dan ia menjadi satu kebimbangan terhadap budaya pembaziran masyarakat negara ini.

“Sisa makanan adalah komponen tertinggi dalam skala komposisi sisa pepejal, pada 45 peratus, malah kos perbelanjaan untuk pengurusan sisa-sisa pepejal di negeri-negeri bawah seliaan SWCorp telah mencecah RM1.4 bilion tahun lepas,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ab. Rahim berkata, setiap 9,000 tan makanan itu boleh dihidangkan kepada enam juta orang.

Justeru, katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihaknya, antaranya mewujudkan kerjasama pengusaha kedai makanan, hotel serta industri terlibat untuk menyumbangkan makanan lebihan mereka kepada mana-mana badan kebajikan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpandangan, antara punca utama berlakunya pembaziran makanan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan disebabkan perkhidmatan bufet yang disediakan oleh setiap hotel dalam jumlah yang banyak.

“Pemilik-pemilik hotel harus tegas dengan mewujudkan mekanisme untuk mendenda 
pelanggan mereka yang membazirkan makanan.

“Kalau hotel buat mekanisme macam ini, saya yakin pelanggan akan berfikir dua tiga kali nak membazirkan makanan,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee berkongsi pendapat yang sama, pembaziran yang berlaku pada bulan Ramadan adalah akibat daripada hidangan secara bufet yang sering mendorong orang ramai mengambil makanan secara berlebihan.

“Dengan itu, persatuan kami bekerjasama dengan SWCorp dengan menampal poster-poster khusus untuk mendidik orang ramai agar tidak melakukan pembaziran makanan terutama pada bulan puasa.

“Kita kena didik, nasihat mereka dahulu sebelum mengambil langkah last resort untuk mendenda mereka yang membazirkan makanan,” katanya.– BERNAMA


Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/270-000-tan-makanan-8216-tidak-diusik-8217-1.105011

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL