Wednesday, July 22, 2015

2767) UTUSAN MALAYSIA - 22/7/2015 - NGO, PBT PATUT GEMPUR JUDI ONLINE


NGO, PBT PATUT GEMPUR JUDI ONLINE

Usaha menggempur kegiatan perjudian online tidak sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya memerlukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johanberkata, tanpa kerjasama tiga pihak terbabit, adalah sukar untuk menghapuskan ke­giatan haram itu sehingga ke akar umbi.

Katanya, polis tidak sepatutnya memandang remeh peranan NGO dan PBT dalam menangani gejala itu dan wajar menjalinkan kerjasama yang lebih erat agar tindakan yang lebih berkesan dapat diambil ke atas pemilik premis perjudian.

“Selama ini polis dan PBT saling menuding jari dalam menangani isu perjudian sehingga banyak pihak yang keliru pihak mana satukah yang sebenarnya ‘tidak buat kerja’.

“Polis dan PBT sepatutnya be­kerjasama termasuklah menerima pandangan daripada NGO-NGO yang mewakili ahli masyarakat,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ke­tua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad semalam yang menegaskan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkaitan tindakan membanteras mesin perjudian online sebelum ini masih lagi berkuat kuasa.

Dalam kenyataan itu, Zainuddin berkata, sejak Januari sehingga Julai 2015, sebanyak 418 premis diserbu, 1,291 orang ditahan dan 12,389 buah komputer beserta peralatannya serta wang tunai seba­nyak RM157,990 telah dirampas oleh polis.

Nadzim menegaskan, polis, NGO dan PBT mempunyai peranan serta kelebihan tersendiri yang boleh digabungkan menerusi satu pasukan dalam usaha menangani gejala itu dengan lebih cepat serta berkesan.

“Polis mempunyai bahagian perisikan dan bidang kuasanya sendiri, begitu juga dengan PBT dengan bahagian penguat kuasa masing-masing manakala NGO pula menerima banyak maklumat dan aduan daripada orang ramai. Semua elemen ini perlulah digabungkan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jaringan Me­layu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut bekerjasama dengan polis, NGO dan PBT.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak yang terbabit akan memudahkan risikan, serbuan, tangkapan serta pendakwaan di mahkamah dilakukan terhadap tauke-tauke premis perjudian yang masih berdegil meneruskan kegiatan haram itu.

“Apabila sudah ada persetujuan itu, maka satu jawatankuasa bersepadu bagi menggabungkan kerjasama polis, NGO dan PBT dan juga SKMM bolehlah ditubuhkan supaya tindakan tegas dengan segera dapat dilakukan.

“Ketika itu tidak akan timbul lagi isu tuding menuding jari antara satu sama lain dan JMM juga tidak perlulah lagi mengadu ke sana ke mari,” katanya, - UTUSAN ONLINE

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL