MUKADIMAH
PENDIRIAN tegas Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam isu-isu berkaitan pengguna terutama
melibatkan soal halal dan ketamakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan
keterlaluan sering sahaja menjadi tajuk berita hangat di dada-dada akhbar.
Terbaru, pendedahan mengenai 90
peratus minyak masak di pasaran yang dipercayai hasil kegiatan kitar semula
minyak masak yang telah digunakan.
Antara orang yang lantang
mendedahkan perkara ini adalah Ketua Aktivis PPIM DATUK NADZIM JOHAN.
Dalam satu pertemuan bersama
wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID baru-baru ini, Nadzim meluahkan
kekecewaannya tentang nipisnya kesedaran membantu orang Melayu oleh syarikat
milik kerajaan (GLC).
Apa salahnya jika
syarikat-syarikat Melayu ini tetap diberi bantuan kerana GLC pun mendapat
banyak faedah dari usaha yang dilakukan kerajaan," katanya.
MINGGUAN: Sekarang banyak rungutan diterima tentang keengganan GLC
membantu syarikat-syarikat serta pekerja-pekerja Melayu mereka sendiri. Apakah
perkara itu serius atau bagaimana?
NADZIM: Daripada apa yang kami lihat saya rasa ini mungkin berlaku
disebabkan kehilangan atau semakin nipisnya kesedaran orang Melayu itu sendiri
dalam membantu bangsanya. Apatah lagi seharusnya GLC perlu lebih fokus kepada
memenuhi matlamat sebenar yang hakikatnya berlandaskan Perlembagaan negara
sendiri. Ia kemudiannya diteruskan oleh pihak kementerian sebelum melibatkan
GLC itu sendiri. Mungkin sesetengah mereka terperangkap terutama melibatkan
ketua pegawai eksekutif di antara mendapatkan yang termurah atau terbaik atau
mendapatkan khidmat syarikat Melayu dan bumiputera yang bermasalah. Mungkin
mereka ini mempunyai KPI sendiri dalam mencari keuntungan.
Jadi mereka bimbang akan kerugian dan terpaksa memilih jalan selamat.
Namun saya melihat perkara ini tidak harus berlaku kerana kalau pihak ini
bersungguh mencari mereka yang berkemampuan maka semua pihak akan mendapat
keuntungan. Mungkin orang kata ada orang Melayu yang tidak cukup pandai tetapi
ramai lagi orang Melayu yang lebih pandai daripada bangsa lain. Kita boleh
lihat contoh seperti Allahyarham Tan Sri Nasimuddin, Tan Sri Syed Mokhtar dan
sebagainya yang bermula dengan modal yang kecil dan berjaya dalam perniagaan
yang diceburi.
Maksud Datuk GLC tidak boleh cepat putus harap terhadap orang Melayu
dan perlu terus mencari dan memberi peluang kepada usahawan Melayu yang
betul-betul berkualiti?
NADZIM: Itulah yang sepatutnya. GLC tidak boleh mengambil sesiapa
sahaja tetapi perlu memilih dan mencari mereka yang benar-benar layak dan
terbaik. Mereka yang diberi peluang pula perlu benar-benar bersungguh
menjalankan tugas dan amanah yang diberikan selain membantu usahawan Melayu dan
bumiputera lain untuk berjaya. Namun saya melihat ini mungkin kesilapan yang
dilakukan oleh orang Melayu sendiri terutama di peringkat pengurusan tertinggi
yang mahu mencari jalan mudah mengambil majoriti orang bukan Melayu untuk
diberi projek dan sebagainya. Namun hakikatnya dalam apa jua yang kita lakukan
perlu pengorbanan.
Kita cuba lihat bangsa-bangsa lain mereka berkorban untuk kaum mereka.
Malah saya dahulu bersekolah di sekolah Cina dan melihat keadaannya sama iaitu
ada Cina yang bijak dan ada yang tidak berapa pandai. Maksudnya orang Melayu
pun tidak ada jauh berbeza. Bagaimanapun orang Cina yang tidak berapa berjaya
mereka dibantu sehabis baik oleh kawan-kawan mereka yang berjaya sedangkan
orang Melayu pula bersendirian. Jika orang Melayu bergerak sendirian boleh
berjaya tidakkah kita lebih hebat daripada bangsa lain. Namun mungkin tidak
ramai kerana tidak ramai yang mendapat pendedahan dan mereka ini pula tidak
mendapat bantuan dan sokongan dari kaum mereka sendiri.
Kenapa perkara ini berlaku kerana sepatutnya orang Melayu seharusnya
lebih banyak membantu sesama mereka?
NADZIM: Kalau kita lihat bersandarkan sejarah dan latar belakang orang
Melayu bukanlah bangsa yang biasa berniaga. Memang pengalaman kita kurang dan
pelbagai lagi masalah lain. Namun ini menjadi tanggungjawab GLC untuk
menentukan pembahagian itu berlaku. Banyak persepsi negatif berlegar bahawa
syarikat orang Melayu ini banyak yang tidak berkualiti, jika benar sekalipun
takkan semua begitu. Carilah yang benar-benar berkualiti atau yang tersenarai
di bursa saham. Saya percaya banyak syarikat-syarikat Melayu yang mempunyai
kualiti dan boleh diberi peluang oleh GLC untuk dikongsi bersama. Jika kita
lihat lebih mendalam GLC-GLC ini pun yang sudah bertaraf antarabangsa masih
tetap menerima bantuan serta projek dari kerajaan malah pasaran pula dikawal
kerana untuk bersaing di peringkat antarabangsa bukanlah satu kerja yang mudah.
Maka apa salahnya jika syarikat-syarikat Melayu ini tetap diberi
bantuan kerana GLC pun mendapat banyak faedah dari usaha yang dilakukan
kerajaan. Ini yang seharusnya dilakukan namun ia tidak berlaku mungkin kerana
tidak ada kesedaran atau terlena seketika dalam keadaan yang selesa. Selesa
mungkin kerana gajinya besar, banyak kemudahan diperoleh dan saya lihat semua
ini memerlukan pendekatan baharu melibatkan semua pegawai-pegawai peringkat
tertinggi dalam GLC. Mereka ini memegang tanggungjawab dan amanah untuk
menjayakan agenda dan aspirasi nasional.
Dalam hal iklan melibatkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu ini kenapa
GLC kurang membantu sedangkan akhbar-akhbar ini yang banyak membantu ketika
mereka berhadapan tekanan dan krisis?
NADZIM: Ini disebabkan faktor kurang kesedaran terutama dalam soal
membantu bangsa sendiri. Bukanlah kita mahu bertindak ekstrem sehingga semua
iklan atau projek diberi kepada akhbar dan orang Melayu sahaja. Tidak ada
salahnya berkongsi dengan bangsa lain namun janganlah sampai memperlekeh atau
memandang rendah keupayaan bangsa sendiri sehingga mengambil mudah agenda
nasional. Namun sudah tentu jika kita membantu faedahnya tentu diterima oleh
bangsa kita juga. Jika kita bandingkan orang Melayu dengan orang Cina,
bagaimana mereka membantu akhbar mereka habis-habisan. Jadi dalam keadaan orang
Cina yang kaya dan maju dalam segala sudut dan dibandingkan dengan syarikat
Melayu yang ketinggalan, kurang modal dan pengalaman sudah tentu kita akan
ketinggalan.
Organisasi dan syarikat besar orang Cina memang akan membantu kaum
serta akhbar mereka dan ia sudah menjadi tabiat serta budaya mereka untuk
membantu bangsa mereka. Ini yang perlu kita belajar. Seharusnya orang Melayu
tidak perlu malu membantu sesama sendiri terutama GLC. Ini kerana perkara ini
adalah tanggungjawab mereka untuk membantu bangsa sendiri dan mereka perlu
belajar dari syarikat-syarikat Cina yang membantu kaum mereka dahulu. Inilah
realiti yang berlaku kerana mereka akan membantu sesama sendiri sama ada
bermula dengan saudara mara atau kawan-kawan dan kemudian kaum mereka yang
kurang berjaya.
Mungkin kerana sikap pihak tertentu yang merasakan jika orang Melayu
dibantu mereka akan bersikap lemah dan sebagainya. Apakah perkara ini benar
atau sengaja dibangkitkan untuk memberi persepsi negatif tentang orang Melayu?
NADZIM: Ini adalah realiti kehidupan. Dalam hal ini kita perlu faham
dan bersungguh dalam bagaimana kita boleh membantu bangsa kita. Namun mungkin
disebabkan orang Melayu yang berjaya ini atau beberapa kerat yang berjaya ini
tidak sedar atau faham kenapa mereka perlu membantu bangsa sendiri. Contoh yang
saya mahu sebutkan di sini adalah mengenai syarikat stesen minyak yang kurang
mendapat bantuan, apa yang dilakukan kalau nak daftar, kalau tidak ada modal
susah nak buka stesen minyak. Kalau pinjaman tidak diluluskan itu adalah
masalah sendiri dan tidak ada inisiatif dalam membantu. Apa salahnya dibantu
usahawan Melayu ini supaya mereka boleh bermula dengan kecil dan kemudian
berkembang menjadi besar.
Kesedaran sebegini tidak ada dan itu adalah sesuatu yang menyedihkan.
Kalau kita lihat orang Cina mereka dibantu oleh bangsa mereka sendiri dari segi
modal, pendaftaran dan sebagainya. Ini bukanlah cubaan bersikap cauvinis tetapi
ini adalah hakikat. Jika orang Melayu bersikap pemurah dan saling
bantu-membantu semua masalah ini tidak akan timbul. Mungkin orang akan kata
dari segi etika tidak berapa betul tetapi sudah tentu kita akan membantu
saudara kita dahulu dan bukannya membantu musuh dahulu. Sebagai contoh dalam
industri media dan akhbar kenapa iklan perlu diberi kepada mereka yang tidak
membantu atau hanya tahu mengkritik dan menentang. Sedangkan akhbar yang banyak
menolong dan berjasa dianak tirikan. Ini bagi saya adalah satu perkara yang agak
pelik kerana yang menentang dibantu tetapi yang menyokong dibiarkan
terkapai-kapai.
Pada pandangan Datuk, apa sebenarnya punca kenapa terdapat pihak yang
sengaja tidak mahu membantu bangsa mereka sendiri?
NADZIM: Kita mempunyai satu masalah lupa diri dan tidak sedar diri.
Kita tidak sedar dari mana asalnya kita ini dan apabila berjaya pula kita akan
lupa diri dan kemudian hanyut. Akhirnya kita bukan sekadar dibenci oleh orang
lain tetapi oleh orang kita sendiri. Tetapi sudah tentu bukan semua orang Melayu
begitu. Kita boleh lihat beberapa orang Melayu yang berjaya ini seperti Tan Sri
Azman Hashim dan Tan Sri Syed Mokhtar mereka ini banyak membantu orang Melayu
lain walaupun sudah berjaya. Jika kita bandingkan dengan bangsa-bangsa lain,
tidak banyak yang disumbangkan walaupun sudah berjaya dan kaya raya. Namun
semua ini adalah salah orang kita sendiri yang terikut-ikut dengan masalah
tidak sedar diri dan lupa diri. Kita perlu mendidik dan menyedarkan orang
Melayu malah mungkin pengurusan tertinggi perlu diberi kursus tentang tahu
sejarah, apa yang berlaku dalam masyarakat kita supaya tidak lupa diri.
Bagi saya sejarah sangat penting kerana jika kita gagal memahami
sejarah akhirnya sejarah yang akan menghukum kita semula. Oleh itu kita perlu
insaf terutama pegawai tertinggi di GLC tentang siapa kita dan dari mana
asalnya kita. Siapa yang membantu mereka dari mana biasiswa yang diterima
mereka dan siapa yang meletakkan mereka di tempat tersebut. Saya bukan nak
katalah tetapi ada di antara mereka ini yang datang dari kampung dan hidup
susah tetapi apabila berjaya semua itu dilupakan. Bukankah sepatutnya keutamaan
mereka setelah berjaya adalah melahirkan lebih ramai lagi orang Melayu seperti
mereka yang berjaya dan menduduki kerusi penting di peringkat tertinggi.
Bagaimana Datuk melihat pandangan atau persepsi yang menyatakan PPIM
ini bertindak keterlaluan dalam hal-hal yang berkaitan orang Melayu dan Islam?
NADZIM: Kita jelas dalam soal ini dan pihak PPIM pun mempunyai siaran
radio dalam sejam setiap hari. Kami terbuka dalam soal ini malah ia turut
melibatkan wakil dari pihak Cina. Pihak kami berpandangan realiti semasa perlu
kita fahami dan dalam soal orang Cina dan India mereka juga adalah rakyat
Malaysia dan tidak bolehlah kita kata pada mereka balik ke Cina, India dan
sebagainya. Jadi apa salahnya kita hidup saling hormat menghormati dalam
keadaan terbaik dimana kita boleh hidup dalam suasana harmoni serta anak-anak
kita yang berbilang bangsa ini boleh hidup aman makmur bersama. Semua ini boleh
dilakukan dan tidak perlulah kita bergaduh tidak tentu hala. Sebagai contoh
dalam sebuah keluarga tentu ada abang atau adik yang tidak berjaya.
Takkanlah mereka yang berjaya ini nak berebut harta atau tanah
sekangkang kera sedangkan adik beradiknya yang lain hidup susah. Pada hari ini
kita kurang melihat soal membantu tetapi lebih kepada berebut dan menegakkan
hak masing-masing. Sedangkan dalam konteks negara ini semua kaum harus saling
bantu membantu. Barulah mereka akan menjadi sebuah masyarakat yang baik dan
harmoni. Orang Melayu juga haruslah sedar diri kerana ramai di antara kita yang
bersikap mengambil mudah. Jadi perkara ini adalah yang terbaik kerana ia
mewujudkan equalibrium dalam masyarakat untuk hidup bersama. Jika keadaan
tegang dan masing-masing mahu mengatakan mereka betul seperti yang berlaku
sekarang maka jadinya yang kalah jadi abu dan menang jadi arang.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131103/re_02/Kalau-bukan-Melayu-siapa-lagi?#ixzz2jn1vtccs
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment