Kuala Lumpur:
"Saya OK". Itu reaksi ringkas Mastura, pengantin baru yang mengelar
tangannya sebagai jalan terakhir selepas berdepan dengan tekanan diburu along
yang ingin meminta hutang puluhan kali ganda daripada pinjaman sebenar.
Dia yang ditemui
ketika mengadakan perbincangan bersama Pegawai Unit Tindakan Khas Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam kelihatan lemah dan dibantu ahli
keluarga yang ingin menyelesaikan kes berkenaan dengan kadar segera.
Mastura yang
dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya Rabu lalu kini berehat dan dalam
proses menenangkan fikiran selepas tindakan yang hampir meragut nyawanya hanya
kerana terbeban untuk melangsaikan hutang RM1,000 kepada ceti haram.
Pegawai Unit Tindakan
Khas PPIM Yati Saharudin berkata, pihaknya menghubungi sebahagian daripada 20
along berurusan dengan Mastura termasuk mereka yang memasukkan wang ke dalam
akaun tanpa diketahui untuk menjadualkan semula pembayaran.
"Ketika ini
semuanya berjalan lancar. Keluarga Mastura juga memberi kerjasama yang begitu
baik kerana mereka ingin selesaikan perkara ini dengan cepat.
"Mastura juga
ceritakan segala-galanya kepada ibu bapa dan meminta maaf dengan apa yang
berlaku, cuma buat masa ini dia perlukan masa untuk berehat serta tidak mahu
diganggu. PPIM akan bantu selesaikan kes ini dan berharap ia tidak berlaku lagi
kepada orang lain," katanya.
Muka depan Metro
Ahad semalam, melaporkan Mastura yang meminjam wang berkenaan untuk urusan
perkahwinannya bertindak mengelar tangannya menggunakan pisau sebagai cubaan
bunuh diri akibat tidak mampu menanggung tekanan.
Dalam kejadian Isnin
lalu, dia bertindak demikian dalam sebuah bilik di rumah di Putrajaya sebelum
disedari ahli keluarga sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera.
Sementara itu, Ketua
Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya merujuk kes berkenaan kepada
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit
Aman Datuk Ab Razak Ab Ghani untuk tindakan susulan.
"Kami harap ia
menjadi pengajaran kepada sesiapa saja. Sebelum ini, kita biasa dengar kes
hilang rumah, kereta dan harta benda lain kerana nak melunaskan hutang. Kali
ini babitkan nyawa, jadi kami minta tindakan tegas diambil kepada mereka yang
terbabit," katanya.
No comments:
Post a Comment