KUALA LUMPUR 26 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) pengguna menyifatkan tindakan kerajaan memansuhkan subsidi gula sebanyak
34 sen adalah tepat dan bersesuaian memandangkan kesedaran masyarakat tentang
bahaya gula berlebihan masih rendah.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna
Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, langkah ini
bertepatan jika melihat tahap kesihatan rakyat negara yang menunjukkan antara
penghidap diabetes tertinggi.
"Walaupun pemansuhan subsidi menyebabkan
kenaikan harga gula, namun secara tidak langsung langkah itu akan mendidik
pengguna supaya mengawal atau mengurangkan pengambilan gula dalam minuman dan
makanan.
"Pendekatan yang dilaksanakan kerajaan
sebenarnya bukan untuk membebankan tetapi menyedarkan masyarakat tentang bahaya
penggunaan gula berlebihan terhadap kesihatan mereka," katanya ketika dihubungi
Mingguan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas tentang tindakan kerajaan
memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen berkuat kuasa hari ini bagi
menyejahterakan kesihatan rakyat.
Tambah Saharuddin, pengguna tidak perlu bimbang
sekiranya pemansuhan subsidi akan membebankan mereka memandangkan kerajaan
telah menambah nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Peningkatan jumlah agihan BR1M ini
menunjukkan keprihatinan kerajaan rakyat memandangkan kos sara hidup rakyat
yang semakin meningkat. Langkah ini sedikit-sebanyak mengurangkan beban
pengguna dalam berbelanja," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pemansuhan subsidi gula
memberi mesej kepada masyarakat bahawa kesihatan adalah paling utama dalam
kehidupan seharian.
"Seperti yang diketahui, gula merupakan punca
penyakit diabetes yang melanda rakyat di negara ini. Kita boleh mati kerana
gula, namun tanpa gula kita masih boleh hidup.
"Justeru, saya menyokong tindakan kerajaan
memansuhkan subsidi demi memastikan rakyat mengutamakan kesihatan dengan
mengurangkan pengambilan gula," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang
dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George melihat langkah pemansuhan adalah
untuk menyedarkan pengguna sekiranya penggunaan gula tidak dikawal.
"Kita tidak mahu generasi akan datang
menghidap penyakit berkaitan dengan gula, jadi pengurangan subsidi tersebut
dapat mendisiplinkan diri dan mengawal pengambilan gula.
"Abaikan provokasi yang dibuat oleh pihak yang
tidak bertanggungjawab dalam mempersoalkan pengurangan subsidi ini kerana
banyak lagi perkara mustahak perlu diambil dan bukannya pengurangan subsidi
gula dijadikan isu hangat," katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131027/dn_10/Setuju-subsidi-gula-dimansuh#ixzz2jlHLgYif
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment