Wednesday, November 27, 2013

1003) MINDA PENGARANG BERITA HARIAN 25/11/13-Antara ramalan tepat dan soalan bocor



Headline: Antara ramalan tepat dan soalan bocor
Publication: BH
Date of publication: Nov 25, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 028

Setiap kali tiba musim peperiksaan awam maka akan heboh mengenai soalan bocor. Ada kalanya, soalan bocor itu hanya soalan ramalan yang begitu mirip soalan sebenar. Namun, ada juga yang mendakwa soalan bocor itu sama dengan soalan sebenar sehingga ke nombornya. Sama ada benar atau tidak, dakwaan berlaku kebocoran soalan adalah perkara yang berkepentingan awam. Bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan berkenaan, ia satu bonus untuk mereka lulus subjek terbabit lebih baik. Bagi Kementerian Pendidikan pula, ia menjadi igauan kerana kerahsiaan kertas soalan sudah dikhianati individu tertentu. Kali ini, ketika ribuan pelajar sekolah menengah di seluruh negara menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kecoh diperkatakan kebocoran kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan. Malah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menerima maklumat berkenaan daripada orang ramai, sudah membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan selain laporan polis.


Justeru, amat wajar Kementerian Pendidikan menyiasat segala aduan yang dikemukakan bagi menentukan kesahihannya. Jika benar berlaku kebocoran kertas soalan subjek berkenaan, ia harus berusaha mengenal pasti siapa yang membocorkan kertas soalan itu dan mengambil tindakan sewajarnya seperti diperuntukkan undang-undang. Mereka terbabit perlu dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan sedemikian adalah jenayah pecah amanah yang serius. Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil langkah pembetulan atau pencegahan supaya perkara sama tidak berulang. Penyelesaian tuntas perlu dicari supaya mutu dan kewibawaan peperiksaan awam negara tidak terjejas sehingga dipertikaikan pihak luar. Kebocoran sebarang kertas soalan peperiksaan awam bukan saja menyebabkan ketidakadilan kepada pelajar yang tidak menerimanya tetapi juga memesongkan tahap sebenar pencapaian calon peperiksaan itu. Kementerian Pendidikan juga perlu memikirkan kewajaran untuk peperiksaan subjek berkenaan diadakan semula jika terbukti berlaku kebocoran soalan. Pelajar sudah cukup tertekan dengan persediaan menghadapi SPM dan jika terpaksa menduduki semula peperiksaan, ramai yang mungkin tidak mampu menjawab dengan baik seperti sebelum ini. Kita berharap calon SPM kali ini tidak 'dihukum' kerana perbuatan sebilangan pegawai dan kakitangan awam yang tidak amanah.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL