Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian
Islam Kontemporari, UiTM.
Di saat survival umat Islam dan umat Melayu di
Malaysia mula menjadi bualan, penulis amat menyokong kenyataan oleh Ketua
Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dalam
Akhbar Mingguan Malaysia yang bertajuk "Kalau Bukan Melayu Siapa
Lagi" untuk di renung-renungkan dengan lebih mendalam lagi.
Ini kerana sememangnya terdapat kaum tertentu yang
begitu bersungguh-sungguh membantu sesama mereka sedangkan orang Melayu
mengelak untuk bersatu dan terus bercakaran sesama sendiri.
Malahan jika diperhalusi sifat mulia saling tolong
menolong merupakan sebahagian dari ajaran Islam yang suci dan berupaya pula
untuk mewujudkan kesatuan dan kekuatan ummah yang semakin sirna dewasa ini.
Tak usah kita berbicara soal-soal yang kompleks
untuk menjelaskan tentang perkara ini kerana dalam konteks mencari yang halal
dalam bab makanan dan minuman pun kita sudah kecundang. Terdapat segelintir
kaum Muslimin yang begitu berselera makan dan minum di premis yang tidak
berstatus halal sedangkan di sana ada alternatif premis makanan halal yang
enggan dikunjungi.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan pendedahan PPIM
bahawa 90% minyak masak yang digunakan oleh pengusaha restoran di Malaysia
adalah minyak masak kitar semula yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan
tetapi yang lebih menjijikkan apabila sumber minyak kitar semula itu
kemungkinan bercampur antara minyak untuk memasak makanan yang halal dan tidak
halal.
Malah menurut kenyataan itu lagi bahawa minyak
tersebut juga boleh mengundang risiko kanser kepada pengguna kerana mengandungi
unsur karsinogen yang tinggi iaitu agen penyebab kanser dan penyakit berbahaya
yang lain.
Dalam hal ini keprihatinan pengguna Muslim untuk
berhijrah dan hanya mengguna produk berstatus halal JAKIM sangat sangat
diharapkan agar tidak terlibat memakan yang haram sehingga menjadi darah daging
lalu akhirnya dihumbankan ke dalam neraka jahanam.
Selain itu, apabila ada produk-produk keperluan
pengguna yang memudaratkan kesihatan lagi tidak mementingkan diet yang sihat,
umat Islam diseru untuk berkorban dan berhijrah dengan membeli dan menyokong
produk yang benar-benar diyakini halal lagi berkhasiat. Malah dalam konteks
inilah sokongan dari pada Muslimin ditagih untuk meningkatkan bidang
perekonomian ummah sekali gus menyumbang kepada pelaksanaan ibadah secara
kolektif dan menyeluruh.
Penulis juga sangat tertarik dengan kenyataan yang
dikeluarkan oleh PPIM bahawa terdapat tepung gandum yang dipasarkan di negara
ini mengandungi Benzoyl Peroxide iaitu sejenis bahan kimia peluntur yang
digunakan untuk memutihkan gandum.
Menurut laporan akhbar tempatan lagi dipercayai
syarikat pengimport tepung gandum di Malaysia membeli bekalan tepung terpakai
dan lama disimpan sehingga warnanya bertukar kehitaman atau kekuningan di
pasaran antarabangsa sebelum di eksport ke sini. Jadi untuk mencantikkannya
bahan peluntur yang menjadi penggalak kepada penyakit kencing manis, arthritis
dan gout ini digunakan secara berleluasa sehingga berhasil mengaut keuntungan
berlipat kali ganda.
Malah tepung gandum yang selama ini menjadi bahan
asasi untuk orang Melayu menyediakan lempeng, kuih cucur dan banyak kuih muih
tradisional juga telah kehilangan semua nutrisi dan vitamin asli setelah
melalui proses pelunturan tersebut. Sebagai gantinya ia diperkayakan semula
dengan vitamin B1 yang menurut Nadzim lagi berkemungkinan diperoleh dari sumber
babi kerana ia paling mudah dan murah untuk diperolehi.
Sekali lagi dalam hal ini terdapat di pasaran
tepung gandum yang halal lagi bersih dan sangat memerlukan sokongan masyarakat
Islam untuk maju sehingga mampu bersaing secara sihat di peringkat global.
Soalnya, berapa ramaikah orang kita sanggup berhijrah dan menyokong
produk-produk tersebut?
Cakap-cakap bahawa produk Muslim tidak berkualiti,
tidak berdaya maju haruslah diganti dengan sanggup berkorban untuk menyokong
produk tersebut demi untuk meninggikan taraf perekonomian ummah yang realitinya
masih jauh ketinggalan berbanding orang lain.
Dalam pada itu syarikat-syarikat milik bumiputera
haruslah pula sanggup berhijrah kepada mengeluarkan produk-produk yang lebih
berkualiti demi memenuhi keperluan pasaran semasa agar pengusaha dan pengguna
secara umumnya mendapat manfaat dan kebaikan bersama.
Pengusaha restoran Muslim sebagai contohnya diseru
agar lebih prihatin dengan hanya membeli barangan yang diyakini halal untuk
dimasak dan dijual kepada saudara seagama. Usah hanya memikirkan keuntungan
sementara sehingga tergamak menyediakan makanan yang haram kepada saudara
sendiri, akibatnya diri sendiri yang terpalit dengan dosa.
Mudah-mudahan dengan sedikit pengorbanan untuk
berhijrah kepada yang lebih baik seperti ini perniagaan yang diuruskan akan
dilimpahi dengan keberkatan sehingga sebahagian dari hasilnya diinfakkan semula
kepada cabang fisabilillah melalui pembayaran zakat perniagaan dan sedekah yang
berterusan.
Sehubungan itu, bersempena dengan ketibaan tahun
baharu 1435 hijrah yang mulia ini umat Islam diseru untuk menterjemahkan
tuntutan berhijrah dalam realiti kehidupan masa kini.
Hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat
terdahulu elok dijadikan tauladan dan sempadan bagi menentukan survival orang
Melayu dan umat Islam di tanah airnya sendiri. Persoalan kalau bukan Melayu
siapa lagi juga hendaklah difahami dengan bersungguh-sungguh lalu
direalisasikan dalam konteks kehidupan masa kini demi memahami makna hijrah
yang hakiki.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131105/re_06/Soalnya,-sanggupkah-pula-orang-Melayu-berhijrah?#ixzz2jnETOtOi
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment