Friday, November 29, 2013

1012) HARIAN METRO 29/11/2013 - ALONG OH ALONG!



Headline: Along oh Along !
Publication: HM
Date of publication: Nov 29, 2013
Section heading: Majalah Metro
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


TERDESAK akibat perniagaan merudum, seorang kontraktor syarikat kejuruteraan yang hanya mahu dikenali sebagai Hashim, 63, mengakui dia terpaksa meminjam wang daripada tujuh along semata-mata mahu membayar pelbagai keperluan termasuk gaji pekerja, sewa premis, elektrik dan air.

Pada awalnya saya membuat pinjaman daripada seorang along sembilan bulan lalu sebanyak RM20,000.

Sebelum meminjam, along memberitahu kadar bunga yang dikenakan adalah sebanyak 10 peratus bagi tempoh 12 hari, namun selepas sebulan kadar itu bertukar kepada 10 peratus dalam masa 10 hari.

"Ketika itu, saya masih mampu membayar hutang itu, namun selepas sebulan along menghubungi memaklumkan kadar bunga naik kepada 15 peratus bagi tempoh 10 hari.

"Saya mula menggelabah kerana sebelum ini hanya membayar RM2,400 dalam masa 12 hari, namun selepas kadar bertukar saya perlu membayar sebanyak RM3,000.

"Saya tidak dapat meneruskan bayaran kerana terlalu tinggi sedangkan perniagaan semakin merosot," katanya.

Walaupun hanya meminjam RM20,000, dia sudah menyelesaikan hutang itu dengan bayaran lebih RM30,000.

Katanya, dalam keadaan kewangan yang teruk, along lain menghubungi dengan menawarkan pinjaman sebanyak RM20,000 bagi membayar hutang.

Akibat terdesak dan ugutan daripada along sebelum ini, dia mengambil keputusan membuat pinjaman daripada tujuh along.

Jumlah semua pinjaman sebanyak RM100,000 dan setakat ini dia sudah membayar lebih RM200,000 kepada tujuh along itu, namun ia masih tidak mencukupi sehinggakan semua along mula memburunya.

Tidak cukup dengan panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mereka turut datang ke pejabatnya dan melakukan pelbagai ugutan.

"Takut dengan ugutan itu saya cuba melarikan diri, namun mereka sungguh licik kerana dapat mencari saya ke mana jua.

"Saya kini bimbang dengan keselamatan keluarga kerana mereka sanggup mengganggu kehidupan saya untuk mendapat wang yang dimahukan," katanya.

Menurutnya, keadaan perniagaan yang merosot dan gangguan along itu membuatkan dia juga berada dalam tertekan hingga menjejaskan kesihatan diri.

"Saya tidak begitu sihat kerana mempunyai penyakit jantung dan bimbang sekiranya gangguan itu akan menjejaskan lagi tahap kesihatan.

"Saya nasihatkan kepada semua supaya tidak membuat pinjaman daripada along walaupun dalam keadaan terdesak kerana ia hanya akan memakan diri dan keluarga," katanya.

Sehubungan itu, Hashim meminta bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa minggu lalu kerana tidak mahu along mengganggu dan mendesaknya supaya membuat bayaran tidak munasabah.

SELESAI MEMBAYAR PUN JADI BURUAN

Seorang lagi ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 53, berkata dia terpaksa membuat pinjaman along selepas wang simpanannya berjumlah kira-kira RM700,000 habis dilaburkan untuk membuat kajian tumbuh-tumbuhan pada awal 2012.

"Saya membuat pelaburan itu kerana mahukan geran kajian dan menyahut seruan kerajaan, namun selepas membuat pelaburan, saya masih tidak mendapat geran.

"Akibat ketiadaan wang dan terdesak untuk membayar gaji tiga pekerja, bil elektrik, sewa pejabat dan bil air, saya mengambil keputusan meminjam daripada along.

"Saya membuat pinjaman sebanyak RM25,000 pada akhir 2012 dengan seorang along tetapi hanya mendapat RM20,000," katanya.

Menurutnya, ketika membuat pinjaman kadar bunga dikenakan sebanyak 12 peratus untuk tempoh 12 hari, namun kadar itu meningkat selepas beberapa kali pembayaran.

Dia dapat membayar pinjaman dengan baik termasuk bunga iaitu sebanyak RM38,000. Sebaik habis membayar Ogos lalu, pihak along masih mengganggu apabila datang ke rumahnya di Gombak dan mengugut melalui telefon.

Dia tidak mahu membayar baki wang sebanyak RM15,000 kerana sudah selesai membuat bayaran seperti dalam perjanjian.

Along itu juga mencari sehingga ke 'lubang cacing' dengan memasang geng mereka di kawasan yang selalu dikunjungi peminjam.

Akibat selalu diburu, Mohamad kini takut untuk keluar seorang diri dan hanya melakukan kerja di kawasan pejabat dan rumahnya.

Menurutnya, dia terpaksa minta bantuan PPIM kerana tidak mahu terus diganggu demi menjaga keselamatan diri dan keluarga juga tidak mahu mereka menerima akibat daripada pinjaman itu.



Mohamad menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil keputusan meminjam daripada along yang pasti memberi risiko.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL