CYBERJAYA – Pembukaan pusat beli belah pertama Buy Muslim First (BMF), Malakat Mall di sini dijangka dapat menjadi pencetus kebangkitan ekonomi Islam sekali gus mampu merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim yang juga pengasas Malakat Mall, ini kerana sejak 62 tahun usia kemerdekaan negara, umat Islam terutamanya masih ketinggalan dalam bidang ekonomi khususnya dalam peruncitan.
Beliau berkata, keadaan tersebut sangat menyedihkan kerana umat Islam dan kaum Melayu khususnya merupakan majoriti di negara ini namun, ketinggalan dari sudut ekonomi.
“Ini bukan salah orang lain tetapi kita sendiri, sejak 62 tahun merdeka orang kita hanya berniaga dalam kerajaan dan syarikat bukan kerajaan (GLC), bukannya menerusi sektor peruncitan.
“Justeru, kebanyakan pusat beli belah dimiliki oleh syarikat asing. Kita sebenarnya tiada masalah cuma kita pertikaikan kenapa kita tidak boleh jual ayam, baju dan lain-lain sendiri dalam pusat beli belah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menandatangani perjanjian sewa bangunan bersama Setia Haruman Sdn. Bhd. (Setia Haruman) dan majlis Pra Pelancaran Malakat Mall semalam..
Dalam majlis tersebut Setia Haruman diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Ahmad Khalif Mustapha Kamal manakala Raudhah City diwakili Mohd. Fadzil.
Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, bagi memastikan pusat beli belah BMF itu berjaya beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia menyokong usaha tersebut dengan membeli belah di Malakat Mall.
“Kejayaan Malakat Mall bergantung kepada seluruh masyarakat dan disebabkan itu kita juga berhubung rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pembela yang mempunyai ramai ahli untuk menjayakan kempen ini,” katanya.
Ditanya mengenai tahap kemajuan Malakat Mall, katanya, buat masa ini kerja-kerja pengubahsuaian sedang giat dijalankan dan sebanyak 30 unit kedai telah diisi.
Sementara itu, Ahmad Khalif memuji inisiatif yang diambil oleh Raudhah City untuk mewujudkan pusat beli belah itu dan pada masa sama, mendoakan Malakat Mall berjaya di masa hadapan. – Malakat Tribune
Artikel oleh: Malaysia Gazette
MALAKAT MALL BAKAL MENJADI PENCETUS KEBANGKITAN EKONOMI ISLAM
No comments:
Post a Comment