Tuesday, January 14, 2020

5648) LZS BANTU PUTERI BALQIS - MYMETRO - 13/01/2020


KISAH kehidupan pelakon cilik, Puteri Balqis yang memilih menulis puisi dan menjualnya di jalanan bagi menampung kehidupan seharian mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menghulurkan bantuan.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid berkata, keluarga itu didaftarkan sebagai asnaf miskin daerah Petaling dan buat permulaan, LZS menyalurkan bantuan kecemasan selain mereka juga disantuni dengan bantuan kewangan bulanan bermula Januari termasuk menyelesaikan bil utiliti yang tertunggak.

Katanya, pihaknya turut mempertimbangkan bantuan perubatan bagi membolehkan pelakon berkenaan meneruskan rawatan penyakit dihidapinya selepas mendapat pengesahan perubatan daripada hospital.

“Manakala bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.

“Untuk makluman, LZS turut turun padang dengan krew Bersamamu menziarahi Puteri Balqis dan ibunya, Norashikin Mohamad Aziz bagi melihat keadaan terkini mereka. Puteri Balqis sebelum ini dilaporkan menghidapi masalah kesihatan sejak dua tahun lalu yang menyebabkan beliau kerap demam berpanjangan, sesak nafas dan muntah,” katanya.

Kisah Balqis atau nama sebenarnya Puteri Balqis Azizi, 13, disiarkan akhbar ini Ahad lalu selepas dia bersama ibunya mengadakan perbincangan bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan untuk mencari jalan mendapatkan wang bagi menyara kehidupan.

Pemenang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Televisyen Asia 2014 itu bersama ibunya, Norashikin Mohd Aziz berulang-alik dari rumah mereka di Setia Alam Selangor sejak lebih setahun lalu, ke beberapa lokasi di ibu negara untuk menjual buku ‘38 Poems Of Puteri Balqis’ hasil nukilan sendiri ketika menanggung penyakit misteri sebelum ini.

Katanya, kehidupannya kini hanyalah bersama ibunya setiap hari menjual buku setebal 27 muka surat itu sama ada di Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni atau Jalan Petaling di ibu negara sebagai mata pencarian walaupun sebelum ini bergelar bintang dalam industri hiburan tanah air.

Ia mengundang reaksi netizen yang bersimpati dengan Puteri dan mengharapkan ada pihak yang tampil membantu bakat cilik itu yang berdepan masalah kesihatan selain kekurangan tawaran berlakon sejak 2018.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga menghubungi Harian Metro menyatakan hasrat untuk berjumpa Puteri dan ibunya bagi menyampaikan sumbangan serta membeli buku puisi yang dijual pada harga RM35 setiap satu itu.

Artikel oleh: MyMetro


LZS BANTU PUTERI BALQIS

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/01/534827/lzs-bantu-puteri-balqis

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL