CYBERJAYA-Pengasas Pusat Beli Belah Islam pertama di Malaysia, Mohd Fadzil Hashim melahirkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran atas kehadiran hampir 2000 golongan agamawan termasuk beberapa tokoh ulamak nusantara, guru tahfiz, pelajar tahfiz dan pemimpin-pemimpin NGO Islam ke Malakat Mall bagi menjayakan program Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan Ekonomi Islam di Malakat Mall di sini hari ini.
Mohd Fadzil berkata, kehadiran kesemua jemputan tersebut sebagai satu sejarah baharu di negara ini apabila zikir, munajat dan doa-doa dipanjatkan kepada ALLAH SWT di pusat beli belah itu.
“Ia bukan sesuatu yang kita pernah lihat sebelum ni. Ribuan anak tahfiz sekolah pondok, guru sekolah pondok dan para ulamak nusantara, melafazkan zikir dan munajat untuk kejayaan usaha kita,” katanya.
Pendekar Ekonomi Islam itu berkata, setelah segala usaha dilakukan dan akan terus dilakukan, doa kepada ALLAH adalah sesuatu yang mesti menjadi keutamaan.
“Setelah kita berusaha, kita masih sedang berusaha dan akan teruskan usaha untuk kejayaan. Tapi doa dan keyakinan kepada ALLAH SWT yang kita panjatkan dan munajatkan hari ini Insya-ALLAH akan diperkenankan ALLAH SWT.
Kita akan pastikan Malakat Mall menjadi mercu tanda kebangkitan umat Islam,” katanya.
Majlis istimewa itu bermula jam 5 petang dengan tazkirah diikuti dengan solat Maghrib berjemaah sebelum disambung dengan ucapan perasmian oleh Mohd Fadzil dan diteruskan dengan sesi tazkirah.
Manakala sesi zikir munajat, solat hajat dipimpin oleh tokoh ulama terkenal Indonesia iaitu Habib Agil Yahya, Kiyai Pasentren Wali Songo; Maulana Wan Tahir Al-Mazahiri dan Kiai KH Dr Zainul Ariffin P.
Hadir sama Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan ; Presiden Pembela, Aminuddin Yahaya; mantan Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, pejuang BMF Cikgu Izzat, mudir-mudir dan wakil-wakil NGO dari seluruh Malaysia.~MBNews
Artikel oleh: MelayuBangkitNews
2000 BERMUNAJAT DI MALAKAT MALL
No comments:
Post a Comment