CYBERJAYA- Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim memaklumkan, beliau telah dijemput oleh ulamak Indonesia untuk ke negara tersebut bagi membuat pembentangan berhubung konsep dan strategi dalam membangunkan pusat beli belah Malakat Mall.
Menurutnya, beliau akan membuat pembentangan itu di hadapan ulamak-ulamak di Indonesia dalam masa terdekat untuk membangunkan perniagaan itu di negara berkenaan.
“Ini adalah satu pengiktirafan kepada kerja-kerja dan usaha-usaha yang kita sedang lakukan.
Insya-ALLAH, dengan kekuatan dan kesatuan serta paling penting sekali dengan doa-doa daripada semua pihak, saya amat yakin kita akan dapat apa yang kita hajati,” ujarnya.
Beliau ditemui semasa program Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan Ekonomi Muslim yang disertai hampir 2000 jemaah yang terdiri daripada golongan ulamak, para hafiz dan NGO-NGO Islam di Malakat Mall di sini malam tadi.
Mohd Fadzil berkata, selepas segala usaha dilakukan bersama dan doa oleh para pencinta agama Islam, beliau sangat yakin kebangkitan semula para Mukmin yang akan mengembalikan semula kuasa ekonomi Ummah.
“Usaha kebangkitan Ummah adalah untuk mengembalikan maruah dan hak orang Islam khususnya di Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Pada masa yang sama, Mohd Fadzil berkata, beliau meletakkan sasaran yang begitu besar iaitu 1000 Malakat Mall di negara serumpun itu.
Jelasnya, sejak peringkat awal penubuhan Brainy Bunch, pihaknya telah mensasarkan seramai 1 juta pelajar di Indonesia mendapat pendidikan daripada Brainy Bunch pada tahun 2030.
“Memang kita ada fokus untuk meluaskan Malakat Mall di Indonesia kerana Indonesia merupakan populasi Islam terbesar dunia.
Sebab itu kalau di Malaysia kita target 100 Malakat Mall, maka di Indonesia targetnya 1000 Malakat Mall sebab di Indonesia, kesannya akan memberi satu kekuatan kebangkitan seluruh umat Islam yang jumlahnya hampir 2 billion,” katanya.
Pada program Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan ekonomi Islam itu, Malakat Mall dibanjiri hampir 2000 umat Islam dari golongan agamawan termasuk para ulamak dari Indonesia, lebih 1000 anak-anak tahfiz dari seluruh Malaysia, mudir-mudir, serta wakil daripada NGO-NGO Islam Malaysia.
Program yang bermula jam 5 petang itu dipenuhi sesi solat, tazkirah, zikir munajat, solat hajat dan doa supaya usaha mengembalikan ekonomi Islam melalui jualan dan peruncitan di Malakat Mall agar menjadi mercu kebangkitan Ekonomi Islam.
Artikel oleh: MelayuBangkitNews
MALAKAT MALL AKAN KE INDONESIA
No comments:
Post a Comment