Showing posts with label COACH FADZIL HASHIM. Show all posts
Showing posts with label COACH FADZIL HASHIM. Show all posts

Friday, September 17, 2021

5938) EKONOMI KITA MUSNAH, KETAHUI APA PELAN UNTUK BANGUN SEMULA - MALAKAT TRIBUNE - 16/09/2021

 

CYBERJAYA – Pemulihan semula ekonomi negara yang musnah akibat penularan Covid-19 memerlukan semangat perjuangan dan penyatuan kuasa ekonomi masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, tanpa penglibatan dan kerjasama seluruh rakyat sebagai anggota dalam ‘Keluarga Malaysia’, permasalahan asas dalam ekonomi tidak mungkin dapat diselesaikan.

“Covid-19 telah menghancurkan asas ekonomi, keluarga dan usahawan kita. Ada syarikat yang sudah dibina berpuluh tahun akhirnya mati begitu sahaja.

“Jadi kita perlukan kerjasama taikun-taikun dan usahawan dari pelbagai bangsa untuk sama-sama kumpulkan semula kuasa ekonomi sama ada sebagai pembeli atau sebagai usahawan.

“Kita harap ini dapat membahagikan kekayaan ekonomi negara secara sama rata. Kita bersatu sebab Covid-19 dah hancurkan ekonomi kita,” katanya sempena sambutan Hari Malaysia di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), Syaraff al-Sadat.

Penularan wabak Covid-19 yang memberi impak teruk kepada ekonomi negara.

Mohd. Fadzil berkata, saranan beliau yang merupakan sebahagian daripada intipadi ‘Pelan Tindakan Transformasi Keluarga Malaysia’ itu adalah pendekatan pemulihan semula ekonomi secara lebih meluas tanpa meninggalkan perjuangan ekonomi umat Islam.

Ia juga diharap dapat melibatkan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara ini yang terkesan akibat kemerosotan ekonomi.

“Dahulu kita buat gerakan dengan NGO-NGO Islam. Alhamdulillah kempen itu berjalan dan akan diteruskan. Ramai yang tidak faham, ingat ia adalah perjuangan melawan orang bukan Islam walhal ia hanyalah sub-seksyen yang kecil daripada perjuangan ekonomi negara,” katanya.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, penglibatan semua kaum dalam sektor ekonomi negara perlu kerana berkait dengan rantaian ekonomi dari peringkat pengguna, peruncit dan pembekalan.

“Jadi sempena Hari Malaysia, saya menyeru rakan perniagaan kita berbangsa Cina, India dan bangsa-bangsa bumiputera yang lain. Ayuh kita satukan matlamat untuk ambil tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah asas ekonomi negara yang sudah musnah,” katanya.

Mohd. Fadzil berkata, selain membangunkan semula ekonomi, penyatuan kuasa ekonomi negara juga perlu mengambil kira penguasaan syarikat asing di negara ini yang secara berterusan ‘merampas’ dan menjarah hak serta kuasa ekonomi rakyat negara ini.

Katanya, dianggarkan 60 peratus daripada RM110 bilion pendapatan dikaut oleh syarikat asing di negara ini setiap tahun tanpa memberi banyak ‘manfaat’ ekonomi baik dari segi tawaran pekerjaan, gaji atau manfaat.

“Jadi kenapa kita nak bagi kepada mereka, kecuali dalam sektor yang kita tiada kepakaran. Dalam sektor peruncitan, kita mampu untuk melibatkan diri, jadi peluang perlu diagihkan kepada usahawan tempatan tapi ini tidak berlaku,” ujarnya.

Penglibatan pemain sektor peruncitan dari semua peringkat dan kaum akan memberi limpahan keuntungan kepada semua. 

Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama ‘memindahkan’ perbelanjaan daripada syarikat asing kepada syarikat milik tempatan dengan matlamat dapat mengurangkan monopoli syarikat asing di negara ini.

“Sasaran kita adalah untuk mengurangkan sebanyak 50 peratus daripada penguasaan 65 peratus pendapatan yang dikaut syarikat asing dalam tempoh 10 tahun.

“Melalui cara ini limpahan ekonomi akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan sekaligus memberi kelebihan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Di dalam Pelan Tindakan Transformasi Keluarga Malaysia yang dibentangkan, Coach Fadzil memberi penekanan kepada beberapa perkara yang dapat memulihkan ekonomi negara.

Antaranya sasaran gaji minimum RM5,000 dan pendapatan minimum RM50,000 kepada usahawan yang dalam jangka masa panjang akan dapat membantu rakyat menambah kuasa membeli dan membolehkan kerajaan meraih pungutan cukai lebih tinggi seperti di negara-negara maju.


Artikel oleh: Malakat Tribune

EKONOMI KITA MUSNAH, KETAHUI APA PELAN UNTUK BANGUN SEMULA

https://www.malakattribunenews.com/2021/09/ekonomi-kita-musnah-ketahui-apa-pelan-untuk-bangun-semula/

Thursday, May 7, 2020

5935) ZERO HUNGER DITERUSKAN, MASIH RAMAI PERLUKAN BANTUAN WALAUPUN PKPB TAMAT - MALAKAT TRIBUNE - 06/05/2020


RAUDHAH CITY - Program Zero Hunger Malakat Mall akan diteruskan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat bagi membantu golongan terjejas terutama mereka yang bergantung kepada sumber perniagaan dan gaji harian.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac dalam mengekang penularan Covid-19 menyebabkan golongan terbabit berikutan tidak dapat meneruskan perniagaan mereka.

Menurut beliau, Zero Hunger tidak hanya fokus kepada golongan asnaf tetapi mereka yang bergantung gaji harian juga perlu dibantu.


"Mereka yang bekerja harian dalam keadaan ekonomi biasa boleh mendapat pendapatan kira-kira RM70 namun selepas PKP fasa pertama dilaksanakan golongan itu terputus sumber pendapatan. 

"Apabila kerajaan mengumumkan PKPB bagi hampir semua sektor ekonomi dibuka semula, golongan tersebut masih perlu dibantu kerana mereka belum mendapat pendapatan harian dan tiada duit untuk berbelanja. Selain itu, majoriti kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti sepanjang PKPB seperti disarankan arahan Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Gardenia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kepada program Zero Hunger di Malakat Mall hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan. 

Mohd. Fadzil menambah, mereka yang bergaji harian walaupun PKPB melonggarkan arahan bagi membolehkan hampir semua sektor ekonomi dibuka, golongan itu belum tentu mendapat gaji.

Beliau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, program yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu tidak hanya fokus kepada golongan asnaf semata-mata.

"Seperti golongan peniaga kecil dan bergaji harian, mereka tiada dalam senarai di bawah agensi kerajaan kerana sebelum ini ada pendapatan tetapi pada waktu ini golongan itu terputus bekalan. 

Kita fokus hanya yang benar-benar yang memerlukan kepada golongan terputus bekalan makanan.


Artikel oleh: Malakat Tribune

ZERO HUNGER DITERUSKAN, MASIH RAMAI PERLUKAN BANTUAN WALAUPUN PKPB TAMAT

http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/12833/

5934) TABUNG SUSU UNTUK KELUARGA MISKIN - HARIAN METRO - 06/05/2020


SEBANYAK 100,000 permohonan diterima melalui program 'Zero Hunger' tajaan Yayasan Brainy Bunch melalui kerjasama antara Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malakat Mall sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 permohonan sudah pun disampaikan kepada ketua isi rumah di seluruh negara.

Menurut beliau, sumbangan makanan itu diberikan kepada golongan B40 dan yang menerima gaji harian tidak mengira pelbagai bangsa dan agama ketika berhadapan dengan wabak Covid-19.

"Setakat ini pihak kami sudah mengumpul sumbangan berjumlah hampir RM 1juta dan akan diagihkan kepada penerima secara berperingkat," katanya pada majlis penyerahan bantuan 'Zero Hunger' dengan kerjasama Gardenia Bakeries Sdn Bhd di Malakat Mall di Cyberjaya, tadi.

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Bantuan bekalan makanan itu adalah hasil derma individu, korporat dan syarikat swasta yang menghulurkan bantuan ke dalam tabung berkenaan.

Sumbangan itu kemudian disalurkan 200 sukarelawan dari seluruh negara termasuk ahli Kelab Pacuan Empat Roda yang membantu menjayakan program itu.

Fadzil berkata, pihaknya turut mengadakan inisiatif tabung susu untuk kanak-kanak dari keluarga yang tidak mampu dan putus sumber pendapatan sepanjang PKP.

Menurut beliau, bantuan susu itu penting bagi perkembangan dan pembesaran kanak-kanak kerana sebelum ini pihaknya ada menerima aduan dari keluarga yang terputus sumber kewangan dan tidak mampu membeli bekalan susu untuk anak.

Sementara itu Nadzim berkata, pihaknya menyeru lebih banyak syarikat swasta dan perbankan membantu menghulurkan bantuan supaya tiada pihak yang kelaparan di negara ini.

Artikel oleh: Harian Metro

TABUNG SUSU UNTUK KELUARGA MISKIN


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/05/575396/tabung-susu-untuk-keluarga-miskin

5933) 100,000 MOHON BANTUAN ZERO HUNGER - BERITA HARIAN - 06/05/2020


CYBERJAYA: Lebih 100,000 permohonan bantuan makanan diterima menerusi program Zero Hunger tajaan Yayasan Brainy Bunch dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malakat Mall sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Fadzil Hashim, berkata daripada jumlah itu kira-kira 9,000 bantuan sudah disampaikan kepada ketua isi rumah di seluruh negara.

Sumbangan makanan itu diberikan kepada golongan B40 dan yang menerima gaji harian tidak mengira bangsa dan agama.

"Setakat ini kami sudah mengumpul sumbangan hampir RM1 juta dan akan mengagihkannya kepada penerima secara berperingkat," katanya pada majlis penyerahan bantuan Zero Hunger dengan kerjasama Gardenia Bakeries Sdn Bhd di Malakat Mall di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Bantuan berkenaan adalah hasil derma individu, korporat dan syarikat swasta.

Sumbangan kepada penerima diagihkan 200 sukarelawan dari seluruh negara termasuk ahli Kelab Pacuan Empat Roda.

Fadzil berkata, pihaknya turut mengadakan inisiatif tabung susu untuk keluarga yang putus sumber kewangan berikutan PKP.


Sementara itu Nadzim berkata, pihaknya menyeru lebih banyak syarikat swasta dan perbankan membantu menghulurkan bantuan agar tiada pihak yang kelaparan di negara ini.

Sekiranya jumlah dana yang dikumpul itu banyak, maka program itu dapat diadakan secara berterusan disamping dapat dinikmati lebih banyak penerima.


Artikel oleh: Berita Harian

100,000 MOHON BANTUAN ZERO HUNGER


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/685806/100000-mohon-bantuan-zero-hunger

Thursday, April 30, 2020

5912) MALAKAT MALL DIBUKA DENGAN DOA - MALAKAT TRIBUNE - 30/04/2020


Moderator: Dr. Taha Omar

Panel: Pengasas Malakat Mall, Coach Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau Toqqi.


DR. TAHA: Pasca Covid-19, akan tiga perkara besar akan berlaku. Pertama, kadar pengangguran. Pengangguran sekarang ialah 3.2 peratus. Tetapi selepas Covid-19 akan naik kepada 10 hingga 15 peratus. Kedua, KDNK juga akan turun sehingga 40 peratus. Ketiga, ialah food security. Siapa pembekal, siapa pengedarnya? Siapa pula penjualnya. Food security is king! Boleh Coach ulas?

COACH FADZIL: Kita sedia maklum bahawa Malaysia mengimport makanan. Kita merekodkan import bahan makanan lebih 50 bilion setahun. Kalau kita import barangan yang tiada di Malaysia, itu memang tiada masalah. Tetapi, 50 peratus daripada bahan yang kita import itu sebenarnya boleh dihasilkan dalam negara kita.

Ketika membentangkan pelan kami kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kita mencadangkan pendekatan agar barangan yang kita ada, tidak perlu diimport. Sebaliknya kita wujudkan peluang untuk usahawan baharu.

Strategi Mengekang Pengangguran

Kalau kita tidak buat apa-apa yang strategik, melainkan menerima sahaja skim bantuan kerajaan, moratarium enam bulan, dapat pinjaman dengan kadar faedah 0 peratus sekadar untuk hidup, pengangguran akan meningkat.

Tetapi sekiranya kita ambil tindakan untuk mewujud peluang-peluang baharu, maka sebenarnya bukan kita boleh kurangkan impak, malah menjadi lebih hebat. Jadi kalau pengangguran sekarang 3.2 peratus dan diunjurkan pertambahan 10 hingga 15 peratus, mereka yang diberhentikan ini harus diserap ke dalam peluang pekerjaan yang baharu.

Ini yang kita bentangkan ke pihak kementerian. Pihak kementerian sudah terima cadangan kita. Cuma dengan sokongan kerajaan, ia akan menjadi kebih cepat.

Dalam rancangan kita untuk mengatasi masalah food security, kita telah membina satu pelan 222 ladang komuniti. Kita akan buat pembentangan untuk umumkan rancangan mewujudkan satu sistem ekonomi Islam yang baharu yang kita panggil Raudhah Economy.

Cuma dalam food security itu, kita sedang perincikan perancangannya. Kita sudah buat projek pilot projek ladang ayam organik. Bukan untuk menjadi pesaing kepada peladang sekarang. Kita akan utamakan peladang yang sedia ada terlebih dahulu.

Bagaimana pun mereka terlalu kecil berbanding dengan kehendak pasaran. Macam mana kalau kita tak ada pasar? Kita kena ambil ibrah Nabi Muhammad SAW. Bila baginda berhijrah, baginda tak berniaga di pasar Yahudi. Tetapi di pasar Islam yang dibina. 


Malakat Mall Dibuka Dengan Doa

Kita dapat buka Malakat Mall, bukan kerana kita hebat, tetapi Allah yang izinkan berkat doa manusia. Ramai yang berdoa seperti doa Ustaz Mazridzi dan kumpulannya dari sekolah-sekolah tahfiz. Apabila Allah gerakkan manusia, Malakat Mall jadi lambang kebangkitan.

Bila orang datang mereka berasa teruja. Cuma kita yang berasa serba tak lengkap. Dalam keadaan kekurangan itupun, orang lain melihat ia hebat. Bayangkan betapa KSU Kementerian Usahawan terlafaz nama Malakat Mall dalam mesyuarat. Ia sesuatu yang bukan senang terjadi.

Beliau panggil semua ketua-ketua agensi di bawah kementerian untuk mendengar pembentangan kami. Dia beri tempoh seminggu untuk kita duduk bersama pihak kementerian di war room mereka. Apabila kami bentangkan pihak kementerian setuju dengan inti pembentangan dan terus ingin sama-sama melaksanakannya.

Semua Kerana Bantuan Allah

Kita melihat bahawa Allah dah tunjukkan bahawa kita telah banyak kali menang. Allah bagi Malakat Mall, ahli KoPPIM (Koperasi Pembangunan Islam Malaysia) yang pada mulanya 30 orang sudah menjadi berbelas ribu walaupun belum aktif sepenuhnya.

Suruhanjaya Pembangunan Koperasi sendiri melihat KoPPIM sebagai sebuah koperasi yang mampu menyelamatkan umat Islam khususnya di negara kita untuk keluar dari sistem riba. Inilah yang kita ingin bina, sistem ekonomi tunai.

Kalau seseorang itu berhutang pun dia tak akan berhutang dengan cara riba. Kalau kita beri pinjaman pun ia tidak langsung menggunakan asas riba. SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) sendiri amat yakin dengan pelan yang kita ada. Jadi, dari segi food security ini peluang sebenarnya. Kita tak perlu tunggu nak siap ladang baharu, baru hendak mulakan.

Syarikat Berpengalaman Datang Membantu

Untuk fasa pertama, kita luaskan RGX (Raudhah Grocer Express). Kita boleh buka satu dalam seminggu. Kita sedang cari gudang, perisian rantaian bekalan dan pengurusan ladang. Tiba-tiba Allah hantar FGV Transport yang boleh buat semua. 

Mereka adalah bekas syarikat Unilever yang cukup berpengalaman dalam mengurus fast moving consumer goods (FMCG). Mereka sedang buat untuk Felda. Mereka ada gudang yang bolegh terus diaktifkan. Kita sedang menyelaras bentuk kerjasama dengan mereka.

Ini bantuan-bantuan Allah untuk mempermudahkan. Kita hanya perlu pengusaha-pengusaha umat Islam. Sesiapa yang ingin, boleh datang sekarang ke Raudhah Distribution Centre untuk kita ambil barangan.

Kita sedang bina model pembelian secara tunai. Ini belum pernah berlaku. Dalam sebulan dua ini kita akan wujudkan sistem yang mana kita boleh bayar tunai kepada pembekal yang terpilih. Kita bertanggungjawab untuk mengedarnya ke cawangan-cawangan Raudhah Grocer di seluruh negara.


DR TAHA: Apakah rumusan dan harapan Toqqi berhubung dengan Covid-19 ini? 

TOQQI: Di zaman guru hara ini, kita akan berdepan dengan norma baharu. Kita perlu kembali pada kita sendiri dan ambil ini sebagai cabaran untuk kita berubah. Toqqi biasa ditanya oleh kawan-kawan Cina sewaktu sekolah. Mereka bertanya kenapalah orang Melayu teruk. 

Orang Lain Sentiasa Persoal Kita

Sewaktu di sekolah, saya selalu ditanya oleh kawan-kawan Cina persoalan-persoalan mengenai keistimewaan bangsa Melayu sejak di sekolah rendah. Kerana itu kita kena perkasakan diri kita. Orang kita pun tak faham mengenai agamanya. Bila orang tanya, kita tak pandai menjawab.

Kalau yang ada ilmu tak pandai menjawab, inikan pula kita yang tiada ilmu. Jadi kita kena perkasakan diri kita untuk berbuat sesuatu sekarang. Kalau kita tidak ubah, tiada sesiapa pun yang boleh ubah mengubah kita.

Kerana itu, kita kena lancarkan BB atau Budaya Baharu. Budaya Baharu adalah sesuatu yang mengubah sistem kita. Sudah 62 tahun kita berpegang kepada budaya dan akhlak yang buruk. Kita perlu berubah dengan kesedaran yang luar biasa.

Kita Gagal Kerana Orang Kita Tak Jaga

Saya nak kongsi sesuatu. Tak lama dahulu ada sebuah syarikat yang membekal pekerja keselamatan kepada sebuah syaikat yang besar. Caj bulanannya hampir RM200,000. Pada mulanya bayarannya baik. Tetapi lama kelamaan bayarannya semakin lambat. 

Pembekal ini terpaksa meminjam dari bank. Bila meminjam dari bank, kita dah mula berperang dengan Allah dan Rasul. Pegawai di pihak syarikat besar itu pula menginginkan habuan buat dirinya sebelum membuat pembayaran.

Dalam pada itu, pinjaman bank pula bermasalah kerana dia belum menerima bayaran. Akhirnya dia meminjam dari ah long! Hal ini tak susah sebenarnya. Sekiranya syarikat besar itu membayar, syarikat pembekal tidak akan mempunyai masalah seberat itu.

Bisnes Jalan, Duit Tak Dibayar

Pembayaran lambat adalah di antara penyakit paling dahsyat dalam masyarakat kita. Syarikat boleh bankrap berjuta kerana tiada bayaran. Mengapa kita bankrapkan syarikat Melayu? Inilah yang patut berubah.

Satu lagi sikap ialah mengambil kesempatan. Baru-baru ini ada seorang usahawan yang mendapat geran berjumlah RM3 juta untuk kontrak pembersihan sungai. Kebanyakan pihak berkuasa pula tidak mahukan khidmat itu. Bayangkan... Operasi orang kita kadang-kadang lebih teruk daripada orang bukan Islam.

Produktiviti kita juga perlu diperbaiki. Bila kita tidak cukup masa bekerja, bagaimana kita hendak bawa rezeki itu kepada keluarga? Jadi kita kena jadi seseorang yang punyai jati diri dengan tidak meminta-minta.

Sekolah Tahfiz Yang Tak Bersih

Baru-baru ini ada seseorang yang mengambil sub-kontrak untuk sebuah bangunan yang hendak siap. Pekerjanya ada 1,000 orang. Tetapi dia tidak menerima bayaran sejumlah RM1 juta. Itulah kezeliman. Tetapi hal ini boleh selesai dengan satu panggilan telefon. Tetapi ini tidak dapat dilakukan.

Satu lagi contoh, kawan saya membersih lebih daripada 200 tahfiz. Menurutnya, hanya 6 atau 7 tahfiz sahaja yang bersih. Yang lain semuanya kotor. Di manakah nilai Islam kita?


DR. TAHA:  Apakah pandangan dan nasihat daripada seorang usahawan dan pejuang ekonomi kepada penonton?

COACH FADZIL: Saya ingin ingatkan kepada sahabat-sahabat perjuangan, bahawa syer yang hendak kita ambil alih ialah dari syarikat asing, bukannya dari syarikat tempatan. Ada yang berkata ini terlalu optimis dan tak mampu. Terdapat juga yang memberi reaksi negatif seperti kail yang panjang sejengkal, dan macam-macam.

Orang Kita Menyokong KoPPIM

Rasulullah SAW membawa agama ketika umatnya sangat lemah. Dalam konteks kita pula keadaan kita makin baik. Tapi, ada juga yang berpandangan, kita tidak boleh buat, tetapi orang lain boleh buat. Kalau bangsa lain nak buat, ia diyakini. Kalau kita nak buat ada yang menjangkakan kita akan gagal. 

Kalau orang lain buat nama syarikat ABC pun orang boleh terima. Tetapi kalau kita yang buat, maka banyaklah komen diberi. Teman-teman yang melihat di media sosial perlu diyakinkan. Kalau difikirkan, kita tak mampu hendak membuka mall kerana kerana koperasi belum ada duit.

Tetapi kita buka dahulu dan bertawakal kepada Allah. Bila siap ia menjadi lambang kepada kebangkitan. Ramai orang tua yang datang termasuk dengan kerusi roda. Mereka datang dari sejauh Johor dan Kelantan, membawa wang RM5,000 untuk dilaburkan ke dalam KoPPIM.

Mereka memahami bahawa hidup ini adalah perjuangan. Kita kena faham 'setiap perbuatan itu bermula dengan niat'. Niat kita ialah mendapat rahmat Allah untuk masuk ke syurga. Bukannya hendak kaya raya di dunia hingga menjadi Qarun dan mati masuk neraka.

Kita hendak kaya dan jadi seperti Abdul Rahman bin Auf atau Uthman bin Affan. Islam bangkit ketika umatnya lemah. Pada hari ini kita lemah. Lemah kerana perangai sendiri. Sebab itu, ini adalah gerakan masa rakyat untuk mempertingkat ekonomi.

Pengguna Jangan Dipergunakan

Sebagai pengguna, kita kena pastikan kita menjadi pengguna yang tidak dipergunakan. Kita kena jadi pengguna yang memiliki sebahagian daripada ekonomi. Kita kena yakin dengan janji Allah dan melihat Covid-19 ini sebagai kad kuning.

Contohnya mengenai riba, apakah kita ada niat hendak keluar daripada sistem itu? Inilah waktu kita kembali kepada sistem Islam di mana kita benar-benar bersaudara. Selama ini kita hanya menyebut tanpa tindakan.

Bangsa Lain Hantar Bunga, Bangsa Kita Hantar Santau!

Bangsa lain buka kedai, orang lain hantar bunga besar-besar, kita pula hantar santau. Saudara apa yang hantar santau! Kita kena hentikan budaya ini. Kita dilantik oleh Allah SWT ke dunia dengan dua peranan iaitu peranan sebagai hamba dan peranan sebagai khalifah. Perangai kenalah macam khalifah. Tapi kita tak boleh sorang-sorang. Kita kena duduk dalam jemaah iaitu KoPPIM.

Kita akan wujudkan Raudhah City di seluruh negara supaya kekuatan kebersamaan itu akan mempercepatkan kejayaan. Itu yang dilakukan Rasulullah SAW. Mereka bersolat bersama, hari-hari bertemu. Sebab itu mereka boleh buat pasar sendiri di madinah.

Mereka boleh tinggalkan kekayaan di Mekah. Rasulullah yang tidak boleh membaca dan menulis, berhijrah dan kemudian membina tamadun yang menjadi asas ilmu di seluruh dunia. Islam mengeluarkan manusia dari kegelapan 'dark age'.

Yakinlah dengan janji Allah, yakinlah Allah akan beri yang terbaik untuk kita bina sistem ekonomi Islam. Ayuh bersama menjadi saudara pengguna, menjadi saudara pekerja, menjadi saudara usahawan, menjadi saudara pelabur melalui KoPPIM. 

Semoga Allah memberi kita kekuatan hati. Jadilah ahli KoPPIM. Yang telah mendaftar, ambillah peluang membuka perniagaan Virus Buster ini atau peluang perniagaan yang lain. Terus sokong dengan berbelanja di tempat-tempat yang strategik terutamanya Raudhah Grocer dan Malakat Mall.

Semoga Allah memberi kita kekuatan bertindak.


Artikel oleh: Malakat Tribune

MALAKAT MALL DIBUKA DENGAN DOA

http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/12077/

Tuesday, April 28, 2020

5898) 'JANGAN DIHINA, KITA KENA BANGKIT' - MALAKAT TRIBUNE - 28/04/2020


Siaran langsung Facebook
Moderator: Dr. Taha Omar
Panel: Pengasas Malakat Mall, Coach Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (Toqqi).

DR. TAHA: Dalam pelbagai temubual samada di RTM, majalah Maskulin dan TV Hijrah, Coach berkata, kita tak akan menghadapi kemelesetan jika kita kenalpasti peluang perniagaan yang berdaya maju pasca Covid-19. Di antaranya ialah bisnes Virus Buster. Boleh terangkan lebih jelas mengenai perniagaan ini?

COACH FADZIL: Hari ini kita nak tawarkan kepada kawan-kawan untuk bersatu di bawah platform untuk ambil satu perniagaan yang sangat mudah. Kebetulannya, kami biasa membuat sanitasi di kampus-kampus kami secara berkala ataupun apabila terjadinya penyakit berjangkit seperti chicken pox. Kita lihat banyak sanitasi awam digerakkan oleh pihak kerajaan.

Mencari bisnes kos rendah

Kita lihat sangat mudah untuk wujudkan satu pelan perniagaan yang mana kos permulaannya sangat rendah, tetapi mempunyai potensi yang sangat tinggi terutamanya selepas tempoh PKP.

Sebagai seorang coach bisnes, saya membantu seramai mungkin pengguna Islam agar mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Saya bukan sekadar coach yang bagi pandangan dalam perniagaan, tetapi boleh bagi terus idea dan juga peluang bisnes.

Ada banyak program yang saya buat sejak membuka tadika di Brainy Bunch di Kajang. Setelah tujuh tahun kita dapat bina sebuah sekolah antarabangsa di Cyberjaya yang merupakan pemangkin Raudhah City.

Vendor besar tak mahu buka bisnes di Malakat Mall

Di Malakat Mall pula kita bina jenama-jenama lain. Cabaran awal kami ialah menghidupkan sebuah mall yang dah empat tahun mati. Ada yang pertikaikan apakah ada orang hendak ke mall itu bila ia dibuka kelak.

Pada peringkat awal, tiada vendor-vendor besar yang hendak sertai. Yang ada hanya yang kecil-kecil. Jadi kami terpaksa wujudkan jenama-jenama sendiri untuk menghidupkan suasana mall itu.

Misi dan visi pada kebanyakkan perniagaan yang kami bina tak lari jauh daripada hendak mencapai kebebasan kewangan. Bila terjadinya Covid-19 kita nampak ramai yang terperangkap dan tak tahu hendak buat apa walaupun ada modal.


Lihat sisi positif ruang dan peluang

Pada hari ini kita tumpukan pada bisnes yang mudah dilakukan. Bagi pada mereka yang tidak biasa melakukan bisnes ini, mereka boleh saja mengambil pekerja. Bagi apa yang berlaku, jika kita lihat dari sisi yang positif, kita akan nampak peluang dan ruang. 

Kita yakin semua manusia mampu dan berhak mencapai taraf bebas kewangan sekiranya bersedia untuk dilatih, dibimbing dan bertindak. Ramai yang boleh dilatih, tetapi berapa ramai yang boleh bertindak. Ini yang penting.

Bimbingan juga penting. Perniagaan yang bersendirian itu membosankan. Daripada lemah akan terus lemau. Sebab itulah saya sarankan kita bergerak secara berjemaah. Program yang kita buat ini ialah dengan membangkitkan sebuah jenama.

Ia bukannya francais yang memerlukan pelbagai fi. Bagaimanapun konsepnya ialah untuk menjana pendapatan sampingan di pelbagai peringkat masyarakat. Pendekatannya seperti sebuah francais, tetapi tiada bayaran untuk francais.

Golongan B40 pun boleh buka bisnes

Keluarga dari B40 pun boleh menyertainya. Kita sedang berbincang dengan TEKUN Nasional untuk membantu dari segi pembiayaan sekiranya ada mereka yang tidak mempunyai modal permulaan sekitar RM5,000.

Sekiranya terdapat mereka dari M40 yang ingin mempelbagaikan bisnes, mereka boleh tambah satu lagi perniagaan. Selepas Covid-19 ini akan ada banyak fasa pemulihan yang harus dilalui. Bila PKP ditamatkan, perkhidmatan sanitasi akan meletup.

Bisnes Virus Buster

Perniagaan Virus Buster ini hanya memerlukan modal permulaan dan risiko yang rendah. Cara menjalankannya pun mudah dengan masa yang fleksibel di luar waktu kerja dan akan diberi coaching tanpa had secara percuma. Kelasnya akan dibuat secara online.

Kita akan beri latihan teknikal yang sebenarnya mudah menurut SOP yang telah kita bangunkan. Kita jalankan khidmat sanitasi dan nyahkuman pejabat, kedai, rumah dan kilang. Kita akan juga sediakan peralatan lengkap.

Bisnes mendapat khidmat sokongan

Bimbingan yang kita beri melibatkan copywriting dan marketing. Mereka yang terpilih tidak perlu buat banyak. Hanya perlu copy, paste dan share menurut acuan operasi yang telah kita buatkan. Selain itu, peserta akan diberi pengetahuan mengenai sistem pemasaran, peralatan pemasaran online, dan pemasaran berpusat.

Di antara saluran pendapatan yang akan diperoleh ialah projek Virus Buster itu sendiri. Kemudian boleh menjadi referral untuk peralatan Virus Buster. Segmen-segmen pasaran juga amat luas. Bagi setiap premis yang telah disanitasi, sebuah pelekat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Ini akan memberi kelegaan kepada pelanggan.

Kos dan caj perkhidmatan

Caj untuk perkhidmatan ini juga amat berpatutan melalui pakej A atau B yang mana caj untuk pakej A untuk kawasan kurang dari 2,000 kaki persegi ialah RM250 dan yang luasnya melebihi 4,000 kaki persegi, cajnya ialah RM500.

Secara simulasinya, jika sanitasi dapat dibuat untuk satu unit dalam satu hari dan dapat membuat sanitasi untuk 20 buah rumah, pendapatannya ialah RM250 X 20 = RM5,000. Maknanya dalam sebulan sahaja seseorang itu akan dapat return of investment.

Seandainya sanitasi dilakukan untuk tiga unit sehari, dalam sebulan sejumlah 60 unit dapat dilakukan. Jumlahnya ialah 60 x RM250 = RM15,000.

Bagi pakej usahawan yang hanya RM5,000 dia akan memperoleh, 2 set mesin sanitasi, 5 set pakaian PPE, 500 tablet nyahkuman, program pemasaran dalam Instagram dan Facebook. Sesiapa yang berminat boleh terus mendaftar di https://bit.ly/BisnesVirusBuster.

Tempatnya amat terhad. Jika tiada modal, kita boleh bantu untuk mendapat pembiayaan dari TEKUN.


DR. TAHA: Boleh Toqqi berikan sedikit maklumat mengenai perkembangan KoPPIM dari segi jumlah dana, ahli, projek dan seumpamanya.

TOQQI: Kita ada Virus Buster untuk kereta. Ia bertujuan untuk menyaring virus yang tidak semestinya virus Covid-19 sahaja malah lain-lain virus. Dengan adanya model perniagaan seperti yang dicadangkan oleh Coach Fadzil, ia membantu orang kita mendapat bimbingan. 

Dengan cara ini, ia mengelak kesilapan yang dilakukan jika tiada bimbingan. Ada juga ketika bila tiada bimbingan, kesilapan yang dilakukannya tidak mahu diceritakan kepada orang. Ini akan memberi kesan kepada bisnes itu sendiri.

Pentingnya bisnes secara berjemaah

Kita adalah satu kumpulan pengguna Islam yang perlu memainkan peranan. Contohnya untuk bisnes ini, dengan perancangan dan keikhlasan, banyak lagi uang kita boleh lakukan. Dahulu, kita buat banyak tetapi kita dapat sedikit. Kali ini walaupun kita buat sedikit, kita mungkin dapat berganda-ganda.

Dengan pertolongan Allah, walaupun dua tiga orang mungkin boleh menewaskan ratusan ribu. Kalau orang kita mencari orang kita sendiri untuk mendapatkan khidmat, maka kita akan berjaya. Tetapi kalau kita tidak ubah sikap, dengan mengambil dari pihak lain, apakah kita boleh berjaya dalam melaksanakan agenda kita?

ABC: Asnaf Business Centre

Saya telah berbincang dengan Coach untuk kita wujudkan ABC atau Asnaf Business Centre di Malakat Mall. Ini yang tidak pernah ada lagi. Ia menghimpun perniagaan asnaf-asnaf di seluruh Malaysia yang selama ini tidak dapat masuk ke supermarket.

Tetapi Coach ada team yang boleh buat reka bentuk dan promosi. Kita harap dengan cara ini kita dapat mempercepatkan perniagaan yang mungkin dahulu mengambil masa berpuluh tahun untuk maju.

Contohnya PPIM mengambil masa 23 tahun. Tetapi bila ada organisasi lain bersama kita, kita tidak perlukan masa 20 tahun, malah 10 tahun pun. Model ini ada dengan Brainy Bunch dan Malakat Mall. Dengan cara ini kita akhirnya dapat jadi pemilik bersama.

Kita kena cari kaedah untuk kita satukan. Hanya denga kesatuan kita akan jadi luar biasa. Kerja membawa kesedaran ini ke dalam hati kita supaya mempunyai keikhlasan. Dengan kesungguhan, Allah akan membantu.

Sokongan padu ahli KoPPIM

Kita perlu berdoa agar apa yang kita buat ini menurut perancangan. Setakat beberapa bulan ini, Toqqi lihat banyak kemajuan. Sebelum kita melancarkan pun kita ada 15,000 ahli. Itupun sebelum kita mulakan apa-apa kerana kita belum adakan mesyuarat agung tahunan (EGM).

Dalam masa yang singkat pun kita boleh mendapat ahli. Insya-Allah apa yang kita buat, dengan barakah, ini tidak akan menjadi masalah. Apa yang perlu kita lakukan ialah dengan beristiqamah, bekerjasama untuk membela hak dan maruah kita.

Kita nampak betapa lemahnya kita sebelum ini. Nampak gayanya apa yang kita buat ini memberi impak yang membawa lembaran baharu kepada masyarakat kita. Inilah harapan baharu untuk kita mempunyai peluang terbaik mengembalikan hak dan maruah kita.

Allah telah beri Coach sebuah amanah yang berat. Toqqi amat senang hati kebelakangan ini. Apa yang Toqqi ada Toqqi akan beri kepada dia sebab menjadi tanggungjawabnya. Bagaimana pun kita hendak mereka di luar sana menjana ekonomi.

Jangan dihina. Kita kena bangkit

Kita hendak masyarakat kita menjadi produktif.
Jika seorang dapat kutip RM5,000 atau RM10,000 hasil perkhidmatan pencucian, kita akan ada sumber kewangan. Bagi penonton di luar sana, kita perlukan sumber kewangan. Dengan adanya wang, maka baharulah kita boleh bersedekah.

Kita perlu lihat kembali peranan setiap individu kita. Apa yang kita buat untuk menampakkan perubahan yang ketara dan sesegera mungkin. Cukup-cukuplah kita berada dalam keadaan yang hina. Pilihan di tangan kita.


Artikel oleh: Malakat Tribune

'JANGAN DIHINA, KITA KENA BANGKIT'

http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/11829

Monday, April 27, 2020

5895) MALAKAT MALL YANG AWAL DIBANTU - MALAKAT TRIBUNE - 27/04/2020


Siaran langsung Facebook
Moderator: Dr. Taha Omar
Panel: Pengasas Malakat Mall, Coach Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (Toqqi).

DR. TAHA: Baharu sahaja empat hari melancarkan Malakat Mall, tiba-tiba Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan dengan Covid-19. Bagi orang biasa, keadaan ini pasti mengganggu perancangan. Tetapi Coach nampak boleh menangani keadaaan. Apakah yang Coach Fadzil hendak sampaikan mengenai peluang bisnes pasca Covid-19?

COACH FADZIL: Dalam keadaan biasa kita melihat halangan pandemik ini sebagai petanda tak baik. Kami beroperasi selama empat hari sebelum PKP dikuatkuasakan. Dalam tempoh empat hari itu, 24,000 pengunjung telah datang ke Malakat Mall.

Malakat Mall yang awal bantu

Kami dikejutkan dengan ramainya pelanggan sehingga ada yang terpaksa berbaris hingga dua jam. Apabila PKP dikuatkuasakan kami lihat ia sebagai peluang untuk memperbetulkan kelemahan. Tetapi yang luar biasanya ialah apabila PKP diumumkan kami mengambil peluang untuk mengaktifkan program Zero Hunger untuk membantu mereka yang terkesan.

Program Zero Hunger telah kami mulakan lebih setahun yang lalu. Kami adalah di antara kumpulan yang awal melancarkan program kemanusiaan ini. Pada Hari ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengenali program Zero Hunger  dan pasukan Brainy Ranger Emergency Response Team (BERT). Kita telah berikan lebih 7,000 sumbangan dan orang ramai yang menderma lebih RM600,000.

Membantu sebelum kaya raya

Ini mempamerkan contoh bahawa kita hendak lahirkan usahawan yang boleh membantu meskipun sebelum dia kaya raya. Kelahirannya adalah untuk menyelesaikan masalah dalam masyarakat. Apabila terjadi sesuatu, usahawanlah orang yang pertama sekali menggunakan apa sahaja yang dia ada untuk membantu.

PKP ini sebenarnya terpaksa mempercepatkan program 10 dan 100 mall. Tiba-tiba kami dijemput untuk membentangkan pelan kami kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Mereka sangat-sangat teruja. KSU sendiri mengarahkan pegawainya agar bekerjasama dengan Malakat Mall.

Tadi kita ada mesyuarat dengan FGV Transport yang menyelesaikan 40 hingga 50 peratus back office yang kita rancang. Dalam Malakat Mall ada bermacam kedai. Tetapi yang paling mustahak ialah pembekalan makanan. Sebab itu Raudhah Grocer tiba-tiba jadi penting sangat dalam ekosistem hari ini. 

Kerana itu kita terpaksa mengambil alih pasaran khususnya perbekalan makanan asas melalui Raudhah Grocer. Inilah ibrah yang kami dapat dari aspek usahawan dan juga pengguna. Dalam perjuangan yang kita mulakan melalui gerakerja Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia, adalah untuk menjadikan pengguna sebagai pemilik ekonomi.

Bagi orang Islam Covid-19 buka peluang

Pada hari ini, kekayaan berlegar dalam kalangan kapitalis. Pakar-pakar ekonomi mengatakan adalah sukar untuk bangkit selepas Covid-19 kerana kesannya terlalu besar. Tetapi kalau kita lihat dalam neraca yang positif sebagai seorang Islam, inilah peluang terbaik untuk kita wujudkan dan pasakkan ekonomi Islam.

Mengapa Malakat Mall tidak terkesan? Malakat Mall tidak terkesan kerana kita tidak mempunyai pinjaman. Kita juga mengetengahkan ekonomi tunai. Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) menjadi satu platform yang sangat penting dalam menjayakan usaha mengambil alih syer pasaran khususnya dalam sektor runcit dalam negara kita.

Satu fakta yang dikongsikan oleh KSU Medac ialah, kumpulan SME hanya menyumbang 38 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Di China, SMEnya menyumbang 60 peratus daripada KDNK China. Maknanya ekonomi kita yang dikatakan kecil itu adalah kerana kita tidak memainkan peranan yang betul.

SME tidak menjadi penyumbang yang signifikan kepada ekonomi negara. Maknanya peluang sangat luas sekiranya dapat kita bangunkan SME-SME kita untuk jadi peneraju dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Dengan cara itu kita pasti boleh mengubah pemilikan ekonomi khususnya pada orang Islam, Insya-Allah.



DR TAHA: Boleh Toqqi jelaskan, apa hubungan KoPPIM dengan Malakat Mall?

TOQQI: KoPPIM telah mula beroperasi 23 tahun dahulu (1997) dengan tiada apa-apa keupayaan. Kita tubuhkan koperasi kerana menyedari pengguna Islam begitu banyak cabarannya. Secara sepintas lalu, kita tidak boleh dilihat sebagai pengguna Islam kerana pengguna Islam sepatutnya mendapat apa yang dia bayar.

Kita bukan pengguna tetapi diperguna

Sebaliknya kita bukan pengguna tetapi dipergunakan. Di seluruh dunia, pengguna Islam menghadapi keadaan dipergunakan sebagai penyuap kepada sistem yang besar kerana mereka di luar sana mengambil kesempatan di atas kelemahan kita.

Betapa pun, perjuangan selama 23 tahun ini memberi kita pengalaman dan cabaran yang cukup besar. Ada orang bertanya apa yang KoPPIM buat selama ini? Ia seperti memegang bara api selama 23 tahun kerana kita mempunyai terlalu banyak cabaran, keupayaan yang sedikit dan hampir tiada kesedaran serta kurang kebijaksanaan.

Bukannya negara Islam tidak kuatdari segi ekonomi, tetapi kesedaran itu hampir tidak wujud dan kita ada apa yang kita ada hari ini. Kerajaan dah belanjakan begitu banyak wang kepada orang Islam kalau tidak pun trilion, barangkali berbilion. 1.21.08

Setelah begitu banyak wang dicurahkan, kita tak maju-maju juga. Kita juga berada dalam keadaan tidak berapa sedarkan diri. Kita terperangkap dalam suatu keadaan yang kurang baik contohnya budaya yang buruk.

Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) ada menyebut, selepas Covid-19 ini kita akan melakukan new norms. Hal ini telah Toqqi bincang dengan Coach Fadzil iaitu untuk meningkatkan kesedaran apa yang kita lalui pada hari ini.

Kelemahan ketara orang Islam

Kita sebenarnya tidak ikut Islam. Kita kata menepati masa, kita tidak menepati masa, Islam kata bersih kita pengotor. Islam suruh kita rajin, kita malas. Mujur di bulan puasa kali ni tiada bufet. Nasib baik bulan raya ini tidak ada rumah terbuka. Banyak dapat kita jimatkan.

Keuntungan daripada pembaziran kita adalah orang yang bukan Islam yang ambil kesempatan untuk menekan. Jadi kita lihat banyak sangat masalah yang perlu kita hadapi. Ini mungkin sebuah confession mengenai koperasi.

Luahan hati Toqqi

Jawatankuasa koperasi ini adalah kali ketiga kerana kita mencari orang yang boleh melaksanakannya. Toqqi sudah tentu tidak boleh kerana kekangan masa menjadi masalah yang besar. Jadi bila kita lantik jawatankuasa, jawatankuasa itu tak menjadi. Kita cuba lagi, pun tak jadi.

Jadi ini kali ketiga. Di waktu itu Pak Menteri ada berkata dia sedia beri geran berjumlah RM5 juta pada waktu itu. Kita cuba. Tetapi cabaran yang paling besar ialah budaya kita. Ramai yang ambil kesempatan, tiada disiplin, malas, tak bersungguh, tidak bijak, jadi kita huru hara.

Mungkin kerana doa sebab Toqqi tak mampu hendak buat. Setelah begitu lama mencari orang yang boleh buat, akhirnya Allah makbulkan doa. Dihantarnya seorang Superman yang dapat melaksanakan agenda kita. Sekarang ini Alhamdulillah.

Toqqi telah menyerahkan koperasi ini untuk dilaksanakan oleh Coach Fadzil. Sebenarnya Toqqi rasa perlu cari pengerusi yang berkaitan. Tapi Coach Fadzil degil. Dia minta saya jadi Pengerusi. Tapi tidak kisahlah kerana ini pengorbanan.

Jadi bila berjumpa dengan Coach Fadzil dan dia bercerita bermacam-macam rancangannya, maka terjadilah kerjasama di mana kita akan bantu apa yang boleh. Toqqi meletakkan 100 peratus keyakinan. Insya-Allah dikabulkan.

Sikap sombong dilarang sama sekali

Yang paling penting dalam perjuangan adalah keikhlasan. Bukannya nak cari nama atau kesombongan. Orang kita, belum jadi apa lagi pun dah sombong. Sebenarnya sombong itu, adalah yang dilarang sama sekali. Kadang-kadang jadi guard pun dah bukan main sombong. Jadi, bagaimana Allah nak beri lebih?

Insya-Allah KoPPIM akan jadi pelabur dengan mengumpul modal yang ada. Pada hari ni, kalau kita pilih untuk berjaya, Insya-Allah kita akan dapat. Kita masih meneruskanuntuk berbuat apa yang kita mampu. Toqqi pun tak mampu melainkan dengan berdoa kemudian serahakan kepada Allah.

Kita yakin, apa yang dibuat pada hari ini ialah satu kerjasama yang menggunakan kepentingan awam bagi memajukan semua golongan pengguna. Mereka yang punyai syer dalam syarikat-syarikat berdaya maju yang ada kesungguhan. 

Utamakan berkat, bukannya duit

Hari ini, apa pun yang kita cerita yang diutamakan adalah duit. Tetapi kita tidak mahu bawa budaya menjadikan wang sebagai matlamat utama. Kalau kita orang Islam, kita melihat dari sudut keberkatan. Kalau tak berkat, ada duit pun tak ada guna. 

Kita menyerahkan diri kita, kita memohon Allah berikan kita keberkatan dan kesedaran supaya kita berjaya. Kejayaannya memang dah boleh nampak. Tapi kalau setahun lalu, Toqqi belum nampak jalan. Dengan Coach baharu berjumpa pada bulan Ogos tahun lalu. Belum sampai setahun pun kita merancang. 

Bila Allah membantu, tiada sesiapa pun yang boleh menewaskan. Kita kena pegang betul-betul kerana perjuangan kita cukup berat. Kita harus menggunakan apa yang kita ada hari ini sebagai kesempatan kita.

Ambil pengajaran daripada Covid-19

Kita hendak tunggu apa lagi untuk berubah? Kalau Covid-19 tak dapat mengubah kita, entah apa lagi yang boleh mengubah kita. Kita kena bercerita mengenai komitmen diri kita. Setelah 60 tahun, inilah peluang yang Allah bagi.

Saya mengharap mendapat sokongan semua di luar sana. Kelemahan kita pun ada. Orang kita pun lemah. Tetapi Allah beri sedikit kesedaran sehingga kita komited menjadikan ini sebagai perjuangan kita.

Kalau kita mati, pahalanya luar biasa, Insya-Allah. Terima kasih kepada Coach kerana 'menggalas biawak'. Insya-Allah kita dapat mengatasi ini semua dengan bersungguh-sungguh, berserah, berusaha dan berdoa.

Insya-Allah dalam setahun atau dua tahun kita akan nampak mereka yang datang hendak membantu. Saya juga telah berbincang mengenai pasca Covid-19 ini. Bagaimana kita hendak ambil peluang supaya dapat menyediakan platform terbaik untuk mereka yang hendak bekerja bersungguh-sungguh. - MT


Artikel oleh: Malakat Tribune

MALAKAT MALL YANG AWAL DIBANTU

http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/11710/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL