Showing posts with label VIRUS BUSTER. Show all posts
Showing posts with label VIRUS BUSTER. Show all posts

Thursday, May 14, 2020

5964) PELUANG BERGELAR USAHAWAN VIRUS BUSTER - MALAKAT TRIBUNE - 13/05/2020


RAUDHAH CITY - Virus Covid-19 yang melanda tanah air menyaksikan perkhidmatan nyah kuman diperlukan oleh banyak pihak membuatkan pihak Malakat Mall membuka peluang kepada usahawan menyertai program virus buster yang dijalankan oleh pihaknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya menjangkakan keperluan perkhidmatan untuk perkhidmatan nyah kuman ini akan meningkat khususnya selepas Hari Raya Aidilfitri apabila sekolah mahupun taska dibuka.

Katanya, ini kerana antara syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan adalah mewajibkan premis-premis itu dinyah kuman sebelum beroperasi.

Menurutnya, pihaknya juga mengharapkan lebih ramai bakal usahawan mengambil peluang dan ruang ini untuk menambah pendapatan.

"Setakat ini kita menerima lebih 100 permohonan dan kira-kira 15 usahawan yang telah membuat pembayaran menerima peralatan. Kita berjaya tawarkan kepada usahawan bagi kumpulan pertama dan akan ada beberapa kumpulan akan datang.

"Mana mungkin penyedia yang sedia ada sekarang ini boleh buat semua itu. Oleh sebab itu, kita tawarkan kepada mereka yang berminat dengan syarat mereka perlu menjadi ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam (KoPPIM), jika tidak mereka tidak boleh sertai program ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada MBNews selepas majlis kursus usahawan bisnes virus buster di Malakat Mall hari ini. 

Mohd. Fadzil berkata, kebanyakkan penyedia perkhidmatan nyah kuman lebih menawarkan perkhidmatan itu sendiri tanpa mewujudkan peluang perniagaan kepada orang lain. 

Oleh itu, beliau mahu menjadikan Malakat Mall sebagai sebuah pusat beli belah yang memberi ruang dan peluang kepada bakal usahawan.

"Sebab itu juga, kami mewujudkan pelan atau program keusahawanan virus buster ini yang mampu milik dengan hanya membayar RM5,000 untuk permulaan kos ditambah dengan khidmat sokongan termasuk pemasaran digital dan pelbagai lagi kita bantu.

"Insya-Allah, kita akan sasarkan paling kurang 100 usahawan dalam bulan ini. Kita juga sasar pada penghujung tahun ini adalah 500 usahawan virus buster dapat dilahirkan," katanyaa.

Tambah beliau, selain iti, pihaknya juga akan membuat beberapa perkara untuk membantu para usahawan virus buster ini dengan melakukan pemasaran di ibu pejabat ditambah apabila pihaknya menerima permintaan yang besar ia akan diberikan kepada usahawan untuk dilakukan.

Antara yang nyah kuman yang akan digunakan oleh usahawan.

Katanya, dalam masa sama, para usahawan ini juga perlu memasarkan di beberapa platform yang dilakukan secara berjemaah.

Ditanya mengenai usahawan mahu menyertai namun tiada memiliki modal sebanyak RM5,000, Mohd. Fadzil menjelaskan, mereka boleh gunakan platform lain seperti TEKUN Nasional sebagai contoh untuk memohon membiayai menjadi usahawan buat masa ini.

Beliau menambah, perkhidmatan nyah kuman ini berada di sektor servis yang mempunyai margin sangat tinggi dan risikonya sangat rendah kerana tiada barangan yang mudah rosak.

"Kami akan memberi peralatan termsuk dua set mesin dan bahan nyah kuman yang bertahan dalam tempoh satu bulan untuk diguna pakai ketika menjalankan servis di premis pelanggan.

"Selain itu, apa yang penting adalah mereka dapat bimbingan perniagaan daripada saya sendiri dan kita juga ajar bagaimana untuk menguruskan kewangan peribadi, pelan perniagaan, target dan kita ada sistem kita berikan kepada usahawan-usahawan kita.

"Malah, kita juga memberikan khidmat sokongan terus daripada pasukan Malakat Mall dan Brainy Bunch yang mempunyai kepakaran masing-masing," katanya. -MBNews


Artikel oleh: Malakat Tribune

PELUANG BERGELAR USAHAWAN VIRUS BUSTER

http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/13738/

5961) PROGRAM BASMI VIRUS UNTUK P-HAILING RIDER - EHAILING FM - 14/05/2020


Program CSR eHailingFM bersama PPIM, PKEH dan Gardenia. Khidmat basmi virus untuk Rider P-Hailing dan penyampaian hamper. #ehailingfm #ppim #gardenia


Artikel oleh: EHAILING FM

PROGRAM BASMI VIRUS UNTUK P-HAILING RIDER


5960) AKTIVITI | MAJLIS PENYERAHAN PEK SUMBANGAN RAMADAN GARDENIA KEPADA PEMANDU E-HAILING DI RESTORAN ALI CAFE, JALAN PANTAI BARU - PPIM - 14/05/2020

Telah berlangsungnya, majlis penyerahan Pek Sumbangan Ramadan Gardenia kepada pemandu e-hailing di Restoran Ali Cafe, Jalan Pantai Baru Bangsar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Industri E-Hailing Malaysia (PKEH).

Di samping itu, turut dijalankan proses nyahkuman semburan cecair Virus Buster kepada motosikal e-hailing seperti Grabfood dan Food Panda.  


Tuesday, April 28, 2020

5898) 'JANGAN DIHINA, KITA KENA BANGKIT' - MALAKAT TRIBUNE - 28/04/2020


Siaran langsung Facebook
Moderator: Dr. Taha Omar
Panel: Pengasas Malakat Mall, Coach Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (Toqqi).

DR. TAHA: Dalam pelbagai temubual samada di RTM, majalah Maskulin dan TV Hijrah, Coach berkata, kita tak akan menghadapi kemelesetan jika kita kenalpasti peluang perniagaan yang berdaya maju pasca Covid-19. Di antaranya ialah bisnes Virus Buster. Boleh terangkan lebih jelas mengenai perniagaan ini?

COACH FADZIL: Hari ini kita nak tawarkan kepada kawan-kawan untuk bersatu di bawah platform untuk ambil satu perniagaan yang sangat mudah. Kebetulannya, kami biasa membuat sanitasi di kampus-kampus kami secara berkala ataupun apabila terjadinya penyakit berjangkit seperti chicken pox. Kita lihat banyak sanitasi awam digerakkan oleh pihak kerajaan.

Mencari bisnes kos rendah

Kita lihat sangat mudah untuk wujudkan satu pelan perniagaan yang mana kos permulaannya sangat rendah, tetapi mempunyai potensi yang sangat tinggi terutamanya selepas tempoh PKP.

Sebagai seorang coach bisnes, saya membantu seramai mungkin pengguna Islam agar mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Saya bukan sekadar coach yang bagi pandangan dalam perniagaan, tetapi boleh bagi terus idea dan juga peluang bisnes.

Ada banyak program yang saya buat sejak membuka tadika di Brainy Bunch di Kajang. Setelah tujuh tahun kita dapat bina sebuah sekolah antarabangsa di Cyberjaya yang merupakan pemangkin Raudhah City.

Vendor besar tak mahu buka bisnes di Malakat Mall

Di Malakat Mall pula kita bina jenama-jenama lain. Cabaran awal kami ialah menghidupkan sebuah mall yang dah empat tahun mati. Ada yang pertikaikan apakah ada orang hendak ke mall itu bila ia dibuka kelak.

Pada peringkat awal, tiada vendor-vendor besar yang hendak sertai. Yang ada hanya yang kecil-kecil. Jadi kami terpaksa wujudkan jenama-jenama sendiri untuk menghidupkan suasana mall itu.

Misi dan visi pada kebanyakkan perniagaan yang kami bina tak lari jauh daripada hendak mencapai kebebasan kewangan. Bila terjadinya Covid-19 kita nampak ramai yang terperangkap dan tak tahu hendak buat apa walaupun ada modal.


Lihat sisi positif ruang dan peluang

Pada hari ini kita tumpukan pada bisnes yang mudah dilakukan. Bagi pada mereka yang tidak biasa melakukan bisnes ini, mereka boleh saja mengambil pekerja. Bagi apa yang berlaku, jika kita lihat dari sisi yang positif, kita akan nampak peluang dan ruang. 

Kita yakin semua manusia mampu dan berhak mencapai taraf bebas kewangan sekiranya bersedia untuk dilatih, dibimbing dan bertindak. Ramai yang boleh dilatih, tetapi berapa ramai yang boleh bertindak. Ini yang penting.

Bimbingan juga penting. Perniagaan yang bersendirian itu membosankan. Daripada lemah akan terus lemau. Sebab itulah saya sarankan kita bergerak secara berjemaah. Program yang kita buat ini ialah dengan membangkitkan sebuah jenama.

Ia bukannya francais yang memerlukan pelbagai fi. Bagaimanapun konsepnya ialah untuk menjana pendapatan sampingan di pelbagai peringkat masyarakat. Pendekatannya seperti sebuah francais, tetapi tiada bayaran untuk francais.

Golongan B40 pun boleh buka bisnes

Keluarga dari B40 pun boleh menyertainya. Kita sedang berbincang dengan TEKUN Nasional untuk membantu dari segi pembiayaan sekiranya ada mereka yang tidak mempunyai modal permulaan sekitar RM5,000.

Sekiranya terdapat mereka dari M40 yang ingin mempelbagaikan bisnes, mereka boleh tambah satu lagi perniagaan. Selepas Covid-19 ini akan ada banyak fasa pemulihan yang harus dilalui. Bila PKP ditamatkan, perkhidmatan sanitasi akan meletup.

Bisnes Virus Buster

Perniagaan Virus Buster ini hanya memerlukan modal permulaan dan risiko yang rendah. Cara menjalankannya pun mudah dengan masa yang fleksibel di luar waktu kerja dan akan diberi coaching tanpa had secara percuma. Kelasnya akan dibuat secara online.

Kita akan beri latihan teknikal yang sebenarnya mudah menurut SOP yang telah kita bangunkan. Kita jalankan khidmat sanitasi dan nyahkuman pejabat, kedai, rumah dan kilang. Kita akan juga sediakan peralatan lengkap.

Bisnes mendapat khidmat sokongan

Bimbingan yang kita beri melibatkan copywriting dan marketing. Mereka yang terpilih tidak perlu buat banyak. Hanya perlu copy, paste dan share menurut acuan operasi yang telah kita buatkan. Selain itu, peserta akan diberi pengetahuan mengenai sistem pemasaran, peralatan pemasaran online, dan pemasaran berpusat.

Di antara saluran pendapatan yang akan diperoleh ialah projek Virus Buster itu sendiri. Kemudian boleh menjadi referral untuk peralatan Virus Buster. Segmen-segmen pasaran juga amat luas. Bagi setiap premis yang telah disanitasi, sebuah pelekat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Ini akan memberi kelegaan kepada pelanggan.

Kos dan caj perkhidmatan

Caj untuk perkhidmatan ini juga amat berpatutan melalui pakej A atau B yang mana caj untuk pakej A untuk kawasan kurang dari 2,000 kaki persegi ialah RM250 dan yang luasnya melebihi 4,000 kaki persegi, cajnya ialah RM500.

Secara simulasinya, jika sanitasi dapat dibuat untuk satu unit dalam satu hari dan dapat membuat sanitasi untuk 20 buah rumah, pendapatannya ialah RM250 X 20 = RM5,000. Maknanya dalam sebulan sahaja seseorang itu akan dapat return of investment.

Seandainya sanitasi dilakukan untuk tiga unit sehari, dalam sebulan sejumlah 60 unit dapat dilakukan. Jumlahnya ialah 60 x RM250 = RM15,000.

Bagi pakej usahawan yang hanya RM5,000 dia akan memperoleh, 2 set mesin sanitasi, 5 set pakaian PPE, 500 tablet nyahkuman, program pemasaran dalam Instagram dan Facebook. Sesiapa yang berminat boleh terus mendaftar di https://bit.ly/BisnesVirusBuster.

Tempatnya amat terhad. Jika tiada modal, kita boleh bantu untuk mendapat pembiayaan dari TEKUN.


DR. TAHA: Boleh Toqqi berikan sedikit maklumat mengenai perkembangan KoPPIM dari segi jumlah dana, ahli, projek dan seumpamanya.

TOQQI: Kita ada Virus Buster untuk kereta. Ia bertujuan untuk menyaring virus yang tidak semestinya virus Covid-19 sahaja malah lain-lain virus. Dengan adanya model perniagaan seperti yang dicadangkan oleh Coach Fadzil, ia membantu orang kita mendapat bimbingan. 

Dengan cara ini, ia mengelak kesilapan yang dilakukan jika tiada bimbingan. Ada juga ketika bila tiada bimbingan, kesilapan yang dilakukannya tidak mahu diceritakan kepada orang. Ini akan memberi kesan kepada bisnes itu sendiri.

Pentingnya bisnes secara berjemaah

Kita adalah satu kumpulan pengguna Islam yang perlu memainkan peranan. Contohnya untuk bisnes ini, dengan perancangan dan keikhlasan, banyak lagi uang kita boleh lakukan. Dahulu, kita buat banyak tetapi kita dapat sedikit. Kali ini walaupun kita buat sedikit, kita mungkin dapat berganda-ganda.

Dengan pertolongan Allah, walaupun dua tiga orang mungkin boleh menewaskan ratusan ribu. Kalau orang kita mencari orang kita sendiri untuk mendapatkan khidmat, maka kita akan berjaya. Tetapi kalau kita tidak ubah sikap, dengan mengambil dari pihak lain, apakah kita boleh berjaya dalam melaksanakan agenda kita?

ABC: Asnaf Business Centre

Saya telah berbincang dengan Coach untuk kita wujudkan ABC atau Asnaf Business Centre di Malakat Mall. Ini yang tidak pernah ada lagi. Ia menghimpun perniagaan asnaf-asnaf di seluruh Malaysia yang selama ini tidak dapat masuk ke supermarket.

Tetapi Coach ada team yang boleh buat reka bentuk dan promosi. Kita harap dengan cara ini kita dapat mempercepatkan perniagaan yang mungkin dahulu mengambil masa berpuluh tahun untuk maju.

Contohnya PPIM mengambil masa 23 tahun. Tetapi bila ada organisasi lain bersama kita, kita tidak perlukan masa 20 tahun, malah 10 tahun pun. Model ini ada dengan Brainy Bunch dan Malakat Mall. Dengan cara ini kita akhirnya dapat jadi pemilik bersama.

Kita kena cari kaedah untuk kita satukan. Hanya denga kesatuan kita akan jadi luar biasa. Kerja membawa kesedaran ini ke dalam hati kita supaya mempunyai keikhlasan. Dengan kesungguhan, Allah akan membantu.

Sokongan padu ahli KoPPIM

Kita perlu berdoa agar apa yang kita buat ini menurut perancangan. Setakat beberapa bulan ini, Toqqi lihat banyak kemajuan. Sebelum kita melancarkan pun kita ada 15,000 ahli. Itupun sebelum kita mulakan apa-apa kerana kita belum adakan mesyuarat agung tahunan (EGM).

Dalam masa yang singkat pun kita boleh mendapat ahli. Insya-Allah apa yang kita buat, dengan barakah, ini tidak akan menjadi masalah. Apa yang perlu kita lakukan ialah dengan beristiqamah, bekerjasama untuk membela hak dan maruah kita.

Kita nampak betapa lemahnya kita sebelum ini. Nampak gayanya apa yang kita buat ini memberi impak yang membawa lembaran baharu kepada masyarakat kita. Inilah harapan baharu untuk kita mempunyai peluang terbaik mengembalikan hak dan maruah kita.

Allah telah beri Coach sebuah amanah yang berat. Toqqi amat senang hati kebelakangan ini. Apa yang Toqqi ada Toqqi akan beri kepada dia sebab menjadi tanggungjawabnya. Bagaimana pun kita hendak mereka di luar sana menjana ekonomi.

Jangan dihina. Kita kena bangkit

Kita hendak masyarakat kita menjadi produktif.
Jika seorang dapat kutip RM5,000 atau RM10,000 hasil perkhidmatan pencucian, kita akan ada sumber kewangan. Bagi penonton di luar sana, kita perlukan sumber kewangan. Dengan adanya wang, maka baharulah kita boleh bersedekah.

Kita perlu lihat kembali peranan setiap individu kita. Apa yang kita buat untuk menampakkan perubahan yang ketara dan sesegera mungkin. Cukup-cukuplah kita berada dalam keadaan yang hina. Pilihan di tangan kita.


Artikel oleh: Malakat Tribune

'JANGAN DIHINA, KITA KENA BANGKIT'

http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/11829

Monday, March 30, 2020

5821) KEMUDAHAN VIRUS BUSTER NANO SPRAY DI MALAKAT MALL - MALAKAT TRIBUNE - 29/03/2020

RAUDHAH CITY – Malakat Mall bakal menjadi pusat beli belah pertama menyediakan perkhidmatan Virus Buster Nano Spray di pintu masuk utama bermula petang ini.
Pengasasnya, Mohd. Fadzil Hashim berkata, teknologi itu merupakan inovasi ciptaan Zull Design yang dibawa oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Datuk Nadzim Johan ke Malakat Mall.
Menurutnya, sebuah mesin berteknologi tinggi diletakkan di pintu masuk sebagai langkah pencegahan mengawal penularan virus dalam kalangan pelanggan yang memasuki premis itu.
“Ini merupakan projek pertama di sini dan boleh dipindahkan ke lokasi lain. Pada masa sama sistem ini juga telah dipraktikkan di China.
“Usaha kita adalah mahu memastikan pelanggan yang masuk ke premis kita dilindungi,” katanya.
Mohd. Fadzil berkata, penggunaan Virus Buster Nano Spray bergerak ini akan diedarkan melalui koperasi.
Jelasnya, pencipta produk inovasi itu seorang yang kreatif kerana menghasilkan pelbagai teknologi terkini.
“Insya-Allah kita diberi peluang untuk menjadi perintis pertama dan berharap pelanggan Malakat Mall terutama Raudhah Grocer sentiasa rasa selamat ketika membeli barangan harian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bagaimanapun penggunaan produk inovasi itu akan diuji secara rasmi pada petang ini sebagai langkah pencegahan awal sebrlum memasuki pusat beli belah kami,” katanya.
Beliau turut memberitahu, Malakat Delivery yang sebelum ini berdepan dengan sekatan jalan raya masih meneruskan penghantaran barangan.
Katanya lagi, buat masa ini pihaknya terpaksa mengecilkan kawasan penghantaran namun pesanan yang dibuat sebelum ini masih tetap dihantar.
“Kami harap pelanggan bersabar dan memahami walaupun kami dibenarkan bergerak melakukan penghantaran namun terpaksa berdepan dengan sekatan jalan raya yang terpaksa mengambil masa,” katanya.
Artikel oleh: Malakat Tribune
KEMUDAHAN VIRUS BUSTER NANO SPRAY DI MALAKAT MALL 

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL